Pages

9 Jun 2013

Membina ekonomi lestari

SEBAHAGIAN daripada para peserta termasuk perwakilan luar negara yang menghadiri Sidang Kemuncak Global Wanita 2013 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN
*****
KUALA LUMPUR 6 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan wanita perlu diberikan peranan penting dalam usaha sesebuah negara membina ekonomi yang lestari dan berjaya.
Menurut Perdana Menteri, hal ini kerana peranan wanita bukan hanya mampu menambah baik sesuatu proses membuat keputusan tetapi membuka ruang besar kepada bakat yang sering ditinggalkan.
‘‘Memajukan peluang kepada wanita khususnya dalam bidang ekonomi bukanlah sekadar langkah yang betul tetapi bijak. Oleh yang demikian, saya percaya bahawa kejayaan sesebuah negara itu adalah diukur dengan melihat pada status golongan wanita.
‘‘Atas sebab itu, dalam tiga tahun akan datang, kita meletakkan sasaran untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan kepada kadar 55 peratus. Tetapi matlamat ini akan dapat dicapai dengan gabungan komitmen sektor awam dan swasta,’’ katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Global Wanita 2013 di sini hari ini.
Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden Sidang Kemuncak Global Wanita, Irene Natividad serta barisan Kabinet.
Najib berkata, golongan wanita mampu dan akan mewujudkan peluang-peluang ekonomi baharu tetapi perkara itu akan dicapai jika sesebuah negara komited terhadap dasar-dasar untuk menjamin penglibatan serta potensi mereka.
Beliau kemudiannya melahirkan rasa kesal terhadap ruang serta persekitaran kerja yang tidak menepati kehendak wanita sehingga memaksa mereka meninggalkan sektor pekerjaan lebih awal bagi menumpukan perhatian pada anak-anak dan keluarga.
‘‘Sama seperti di Malaysia, Bank Dunia menganggarkan antara 500,000 hingga dua juta wanita Malaysia terpaksa memilih untuk berhenti kerja kerana mereka perlu menjaga keluarga.
‘‘Oleh itu, kita telah membuat satu pembaziran bakat, pengalaman dan potensi. Tetapi, kita telah melakukan banyak penambahbaikan seperti mewujudkan pusat penjagaan bayi, jadual kerja yang fleksibel dan program kemasukan semula wanita dalam sektor pekerjaan,’’ ujarnya.
Bagi sektor swasta pula jelasnya, mereka turut dituntut melakukan perubahan dengan mewujudkan polisi yang mesra wanita.
‘‘Saya cabar sektor korporat untuk memastikan wanita memenuhi 30 peratus jawatan di peringkat pembuat keputusan dan ahli lembaga pengarah termasuk di syarikat milik kerajaan (GLC) dan pelbagai suruhanjaya menjelang 2016,’’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan