Pages

5 Februari 2010

Gerai diroboh kerana bukan ahli DAP

Utusan - 05/02/10
PULAU PINANG 4 Feb. - Bukan sahaja peniaga Melayu, kerajaan negeri pimpinan DAP juga didakwa bertindak kejam merobohkan gerai peniaga Cina gara-gara mereka bukan ahli parti itu.
Dua peniaga, Lee Tsoong Heong, 52, dan Lee Shaw Heong, 48, mendakwa gerai milik keluarga mereka yang sudah beroperasi lebih 50 tahun dirobohkan pihak berkuasa tempatan pada 29 Disember lalu.
Peliknya, hanya gerai mereka sahaja dirobohkan sedangkan ada banyak lagi gerai lain di kawasan Kek Lok Si di Ayer Itam itu.
Apa yang menyakitkan hati, pihak berkuasa tempatan memberikan pelbagai alasan antaranya tidak mempunyai lesen, menceroboh tanah kerajaan negeri dan yang paling tidak munasabah, mereka bukan ahli DAP.
Kedua-dua peniaga terbabit turut terkilan apabila usaha bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Itam yang juga Exco Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Wong Hon Wai untuk menyelesaikan perkara itu, tidak dilayan.
Lebih mengecewakan kedua-dua peniaga terbabit apabila seorang lagi wakil rakyat DAP iaitu ADUN Komtar, Ng Wei Aik, turut campur tangan dengan memburuk-burukkan mereka dalam akhbar tempatan berbahasa Cina.
Justeru hari ini, Tsoong Heong dan Shaw Heong membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di sini, mendakwa menjadi mangsa penganiayaan dan salah guna kuasa oleh kedua-dua wakil rakyat itu.
Mereka diiringi Naib Ketua Pemuda Gerakan, H'ng Khoon Leng menyerahkan laporan dan maklumat lengkap berhubung perkara itu kepada wakil SPRM kira-kira pukul 11.50 pagi.
Pada masa sama, kedua-dua peniaga memberi tempoh sebulan kepada Wei Aik untuk membuat permohonan maaf kerana memburuk-burukkan mereka di beberapa akhbar tempatan berbahasa Cina pada Mei lalu.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan