Pages

5 Februari 2010

Melayu perlu ambil iktibar kemelut politik Pulau Pinang

Utusan - 05/02/10
BUKIT MERTAJAM 4 Feb. - Kemelut politik di Pulau Pinang seharusnya menyedarkan orang Melayu betapa kerajaan negeri yang diketuai DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya tidak ikhlas memperjuangkan nasib mereka.
Bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohammad Afandy Yusof berkata, kemelut itu jelas menunjukkan wajah sebenar kepimpinan DAP-PKR yang hanya berlumba-lumba mengejar keuntungan politik dan peribadi.
Lebih malang katanya, rata-rata pemimpin PKR sanggup akur dengan tindak-tanduk DAP dan enggan bersuara semata-mata takut kehilangan jawatan.
"Banyak iktibar yang boleh direnung bukan sahaja isu gerai peniaga kecil Melayu yang diroboh tetapi juga sikap biadab pemimpin DAP sebelum ini yang memperlekehkan agama Islam.
"Lihat sahaja keceluparan pemimpin DAP yang pernah mengaitkan syariah Islam dengan golongan ekstremis. Semua ini seharusnya memberi kesedaran kepada orang Melayu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohammad Afandy yang meninggalkan PKR pada Ogos 2008 berkata, dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohamed Hashim yang menyifatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai cauvinis dan diktator seharusnya membuka mata orang Melayu.
Menurutnya, rentetan beberapa isu membabitkan orang Melayu termasuk tindakan kerajaan negeri meroboh gerai-gerai peniaga kecil Melayu membuktikan janji Guan Eng sebelum ini tidak ubah seperti 'tin kosong'.
"Guan Eng kononnya akan mengikut cara pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz dan kini terbukti ia hanyalah gimik politik murahan untuk mengaburi mata pengundi Melayu.
"Keadaan sekarang tidak ubah seperti lubang sedang digali oleh pemimpin-pemimpin ini yang akhirnya akan menimbus masa depan orang Melayu sendiri," katanya yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Bahagian Bayan Baru.
Malah dakwanya, kebiadaban pemimpin DAP juga terserlah apabila Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Jeff Ooi secara terang-terangan menyifatkan PKR perlu 'dibersihkan daripada pemimpin-pemimpin sampah'.
Sehingga kini katanya, tiada pemimpin PKR yang berani bangkit menepis dakwaan itu kerana takut hilang jawatan sehingga lebih rela menghentam Zahrain walaupun pemimpin itu mengkritik demi kepentingan parti.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan