Pages

28 Ogos 2010

Jangan cemari kesucian Islam - Harussani

UM - 28/8/10

IPOH 27 Ogos - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan kebimbangannya dengan kecenderungan pihak-pihak tertentu yang sanggup bertindak apa sahaja demi memperjuangkan ideologi politik masing-masing.

Katanya, perbuatan menjemput orang bukan Islam ke dalam surau atau masjid untuk tujuan memberi ceramah serta menyampaikan bantuan di dalam rumah Allah, jelas menunjukkan ketaksuban mereka terhadap perjuangan politik.

Harussani bimbang, tindakan yang dilakukan itu akhirnya hanya akan memudaratkan institusi agama Islam dan masyarakat keseluruhannya.

''Perbuatan yang sengaja mencemarkan Islam seperti ini sepatutnya dihentikan kerana orang kafir sentiasa mencari peluang untuk memburuk-burukkan Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching yang memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli Pas, Ahad lalu.

Sambil menasihatkan pihak terbabit supaya tidak terus mencemarkan kesucian agama dan memalukan umat Islam, beliau berkata, kesucian agama Islam tidak seharusnya digadaikan semata-mata untuk kepentingan diri.

''Kalau nak panggil orang bukan Islam untuk sesuatu majlis, sepatutnya ia dibuat di luar surau dan bukannya dalam ruang solat.

''Tindakan ini merupakan satu perbuatan yang jelas mengaibkan imej Islam dan tidak seharusnya dibiarkan.

''Mereka (orang bukan Islam) boleh berada di dalam surau atau masjid tetapi mesti dengan syarat-syarat yang dibenarkan," katanya.

Mengulas lanjut, Harussani berkata, sesiapa sahaja yang memasuki ruang surau atau masjid harus berpakaian ikut yang ditetapkan Islam.

Malah, katanya, sikap segelintir umat Islam yang sengaja mendoakan kesejahteraan orang kafir juga perlu dihentikan kerana hukumnya haram.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan