Pages

4 September 2010

Misi kemanusiaan beraya di Pakistan

BH - 2010/09/04

PUTRAJAYA: Aidilfitri yang akan menjelma minggu depan tidak menghalang 68 sukarelawan dan anggota media, termasuk 33 doktor berangkat ke Pakistan dalam Misi Kemanusiaan ke Pakistan Ramadan al-Mubarak, semalam.

Kumpulan itu hanya dijangka kembali sama ada pada hari raya pertama atau ketiga selepas mengagihkan pelbagai jenis bantuan berjumlah 185 tan sumbangan rakyat Malaysia kepada mangsa banjir di Pakistan yang kini diancam pelbagai penyakit

Kumpulan kedua misi anjuran bersama Kelab Putera 1Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) itu diketuai Presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang menjelaskan kumpulan itu akan berpecah tujuh pasukan untuk ke tujuh tempat berlainan seperti Karachi, Lahore, Punjab dan Islamabad.

Kita menyediakan 20 tan makanan, 15 tan barangan perubatan dan 150 tan air mineral selain makanan untuk 5,000 keluarga di sana," katanya sambil menambah misi bantuan itu kini bertumpu kepada merawat penyakit bawaan air seperti cirit-birit, taun, meningitis, tetanus serta kepialu.

Kumpulan pertama berlepas ke Pakistan minggu lalu untuk membuat tinjauan mengenai bentuk bantuan yang sesuai disalurkan kepada mangsa banjir, selain mengenal pasti kawasan bencana bagi memudahkan usaha menempatkan pasukan perubatan.

Banjir yang melanda Pakistan itu adalah bencana alam paling teruk di negara itu dengan lebih enam juta orang kehilangan tempat tinggal dan mengorbankan kira-kira 1,600 orang, selain mengakibatkan kemusnahan berbilion dolar kepada rumah, infrastruktur dan sektor pertanian.

Abdul Azeez berkata, kumpulan itu turut membawa 53 Jalur Gemilang sempena 53 tahun kemerdekaan negara yang akan dipacak di semua tempat yang dikunjungi mereka.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan