Pages

4 September 2010

BENDERA halau warga kita di Jalan Diponegoro

BH - 2010/09/04


GERAKAN Ganyang Malaysia secara besar-besaran yang dirancang Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) termasuk mengadakan tunjuk perasaan di luar pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, di sini tidak berlaku semalam.

BENDERA hanya mengadakan demonstrasi dan gerakan menghalau rakyat Malaysia di Jalan Diponegoro iaitu di pejabat operasi mereka, namun dapat dikawal Polis Republik Indonesia (POLRI).

Tinjauan Berita Harian selepas solat Jumaat mendapati, pintu masuk ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia juga lengang tanpa tanda-tanda kehadiran kumpulan penunjuk perasaan, manakala hanya dua anggota polis berkawal di luar pintu masuk kedutaan

Pada masa sama, berlaku demonstrasi aman di hadapan pejabat Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) oleh kumpulan penunjuk perasaan yang mahu konflik di Palestin ditamatkan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuningan, Timoer Padoko, berkata ia mungkin disebabkan segelintir penunjuk perasaan mahu pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

"Besar kemungkinan ada ahli kumpulan penunjuk perasaan yang mahu pulang ke kampung awal untuk menyambut lebaran. Mungkin kumpulan ini mengadakan demonstrasi dalam isu berbeza di tempat lain," katanya.

Kelmarin, BENDERA bertegas mahu mengadakan gerakan Ganyang Malaysia secara ekstrem dan besar-besaran sehingga pemerintah Indonesia mengambil tindakan tegas menangani isu hubungan serta kedaulatan antara negara itu dan Malaysia.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan