Pages

4 September 2010

3 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

UM - 4/9/10

BESUT 3 Sept. - Ketika Hari Raya Aidilfitri makin hampir, tiga keluarga termasuk seorang ibu tunggal di Kampung Balik Bukit dekat sini diselubungi kesedihan apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi itu, semua peralatan rumah, pakaian dan lain-lain persediaan menyambut Aidilfitri di samping wang tunai untuk dibelanjakan tidak dapat diselamatkan.

Seorang mangsa, Mohd. Zani Jusoh, 34, berkata, ketika kejadian dia baru saja tertidur di ruang tamu sebelum dikejutkan setelah terasa bahang dari arah bilik tidur isteri dan anak sulungnya, Nurul Syafikah, 4.

Dalam keadaan kelam kabut itu, katanya, dia segera mengejutkan isterinya, Mariam Ali, 30, manakala anaknya terus dibawa keluar menerusi pintu depan rumah itu.

Mohd. Zani yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata, semua persiapan raya termasuk pakaian anak dan isteri yang dibeli sebelum ini serta wang simpanan RM300 musnah dalam kejadian itu.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh bersama enam anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Seorang lagi mangsa, Zainora Azliani Mohd. Zawawi, 23, berkata, dia dan suami, Fauzi Ibrahim, 30, serta anak sulung mereka, Farah Alzia, 16 bulan, tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan jeritan jiran di sebelah rumahnya.

Katanya, dengan pantas dia dan suami mengambil anak mereka dan keluar untuk menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari api sudah menyambar rumah mereka.

"Semua peralatan rumah dan wang tunai sebanyak RM200 yang disimpan untuk keperluan harian kami gagal diselamatkan kerana api marak begitu cepat," ujarnya.

Ibu tunggal, Roslina Abdullah, 59, pula berkata, dia terdengar bunyi bising di luar rumah sebelum menyedari kediaman mereka terbakar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) sempat menziarahi keluarga malang itu sambil menyampaikan sumbangan peribadi.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan