Pages

5 Oktober 2010

Kepimpinan UMNO Kedah akan dikembalikan

UM - 5/10/10

ALOR SETAR 4 Okt. - Teraju kepimpinan UMNO negeri akan dikembalikan kepada pemimpin tempatan pada masa yang sesuai dan selepas mendapat kebenaran pucuk kepimpinan parti, kata Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, belum tiba masanya proses itu dilakukan dan beliau akan terus memastikan kehadirannya di negeri ini dapat membantu memantap serta mengukuhkan lagi kepimpinan parti berkenaan.

"Belum sampai masanya, kalau sudah sampai kita serahkan. Kita akan bincang dengan pucuk kepimpinan parti.

"Saya tahu kehadiran saya di sini bersifat sementara sahaja, bukannya kekal. Kehadiran saya di sini untuk membantu rakan-rakan yang banyak membantu saya selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN)/UMNO negeri di pekarangan Bangunan Tunku di sini hari ini.

Mohd. Shafie ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah akan diserahkan kepada pemimpin tempatan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, pucuk kepimpinan UMNO memutuskan lima buah negeri iaitu Kedah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang diketuai pemimpin tertinggi parti itu.

Langkah itu menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui UMNO Selangor dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Wilayah Persekutuan) manakala tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu); Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Pulau Pinang) serta Mohd. Shafie mengetuai negeri ini.

Mohd. Shafie menambah, beliau mendapati kepimpinan UMNO dan parti-parti komponen BN di negeri ini semakin mantap, selain hubungan sesama mereka bertambah erat hasil daripada program-program yang digerakkan khususnya di peringkat bahagian masing-masing.

Malah, katanya, beliau melihat semangat kerjasama melalui menerusi gerak kerja yang meningkat di kalangan ahli UMNO dan juga parti-parti komponen BN negeri.

"Saya berani katakan selaku Naib Presiden UMNO yang banyak menjelajah ke negeri-negeri, boleh dikatakan kerjasama semua parti komponen BN di Kedah agak mantap.

"Tetapi ini perlu kita terjemahkan dalam memenangi pilihan raya umum akan datang," kata beliau.

Ditanya mengenai perkembangan UMNO Bahagian Sungai Petani yang pentadbirannya diletakkan di bawah urusan Badan Perhubungan UMNO negeri selepas berlaku kekecohan pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu Julai lalu, Mohd. Shafie berkata, ia masih di bawah pengawasan Timbalan Pengerusi, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah

Menurut beliau, UMNO Kedah sentiasa mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bagi memantau situasi dan perkembangan di bahagian tersebut.

"Kita akan kembalikan pentadbiran apabila masalah yang timbul itu dapat dipulihkan sepenuhnya," kata beliau.

Mengenai keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sebanyak 27 peratus mulai Jumaat lepas, beliau berkata, tiada banyak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang diterajui Pas selepas mengambil alih tampuk pentadbiran di Kedah, sebaliknya bertindak menaikkan tarif air pula.

Katanya, walaupun kenaikan tarif air diluluskan oleh Kerajaan Pusat namun ia masih berada di bawah jagaan kerajaan negeri dan mereka perlu memastikan perkhidmatan air yang diberikan mesti yang terbaik.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan