UM - 5/10/10
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Pelbagai pihak membidas sikap angkuh dan biadab Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang menggunakan istilah 'tersungkur' ketika merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Australia.
Tegas mereka, Azmin tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu terhadap orang yang sedang sakit, tambahan pula yang dihentam ialah seorang negarawan yang banyak berbakti kepada negara.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, sebagai rakyat beliau sangat tersinggung dengan kenyataan Azmin yang tidak sepatutnya dikeluarkan.
''Seharusnya kita berdoa agar Dr. Mahathir segera sembuh dan kembali ke tanah air dengan selamat.
''Kecelaruan politik Azmin telah menghalang dia daripada melihat bekas Perdana Menteri ini daripada kaca mata seorang manusia dan GPMS menuntut dia menarik balik kata-katanya itu," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan calon Timbalan Presiden PKR itu semalam yang mengakui individu yang dimaksudkan sebagai sedang 'tersungkur' dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak ialah Dr. Mahathir.
Malah, Azmin dengan angkuhnya berkata, perkataan 'tersungkur' itu langsung tidak kasar, sebaliknya amat sesuai dirujuk kepada Dr. Mahathir berikutan kedegilan beliau bersekongkol dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Jais berkata, GPMS sentiasa berdoa kepada Allah agar Dr. Mahathir segera sembuh dan diberikan minda cerdas seperti biasa untuk terus memberi nasihat yang bernas kepada rakyat terutama orang Melayu.
Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula menyifatkan kenyataan angkuh itu sebagai tidak mengenang jasa bekas Perdana Menteri itu.
''Dr. Mahathir ialah seorang negarawan yang memimpin negara ini selama 22 tahun dan telah banyak jasa yang ditaburnya termasuk ketika Azmin masih belum matang dalam arena politik.
''Bagi saya segala yang diucapkan oleh Azmin kebudak-budakan dan mendedahkan sikap sebenarnya yang hipokrit," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, pemimpin Melayu yang berbudi bahasa dan mempunyai pekerti mulia tidak akan sanggup mengeluarkan kata-kata cercaan terhadap orang yang sedang sakit apatah lagi bekas Perdana Menteri.
Tegasnya, sikap Azmin itu jelas menunjukkan beliau bukan seorang pemimpin politik yang berhemah sebaliknya di dalam kepalanya bersarang sifat dendam, hasad dengki dan pentingkan diri sendiri.
''Pemimpin politik Melayu yang bermoral tidak akan menyerang pemimpin lain yang uzur atau sakit, malah di dalam Islam digalakkan menziarahi mereka," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan