Pages

5 Oktober 2010

Muhyiddin bidas sikap keterlaluan Azmin Ali

BH - 2010/10/05

Oleh Veena Rusli

Naib Presiden PKR patut hormati, doa kesejahteraan Dr M

KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, kerana dianggap keterlaluan dan tidak menghormati negarawan apabila menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerima rawatan di Melbourne, Australia sebagai pemimpin tersungkur di negara itu.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Azmin sepatutnya bersikap lebih berperikemanusiaan dan mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri itu seperti dilakukan sebahagian besar rakyat Malaysia.

"Dalam politik, kita mesti memiliki nilai moral dan akhlak manakala sebagai manusia, perlu ada rasa saling menghormati.

"Tun Dr Mahathir adalah negarawan ulung yang banyak berjasa kepada negara. Apa pun pandangan beliau terhadap sebarang perkara, kita sebagai rakyat mesti terus menghormati dan mendoakan kesejahteraannya semoga cepat sembuh supaya dapat kembali ke tanah air.

"Kenyataan (Azmin) itu jauh bercanggah dan tidak seharusnya timbul. Bagaimanapun, saya tak tahu kalau itulah nilai kepemimpinan yang ada dalam PKR," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Sedunia 2010 (WTC2010) di Magellan Sutera Harbour Resort di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen; Setiausaha Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), Talib Rifai dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dilaporkan membuat sindiran itu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Cabang Gombak kelmarin tanpa menamakan individu yang dirujuk sebagai `tersungkur di Melbourne'.

Beliau bagaimanapun mengakui kepada media sindiran berkenaan merujuk kepada Dr Mahathir berikutan kedegilan bekas Perdana Menteri itu bersekongkol dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwa memperjuangkan agenda perkauman sempit.

Dr Mahathir dimasukkan ke Hospital Epworth pada 2 Oktober lalu selepas mengalami jangkitan kuman di dada. Beliau yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, berada di Melbourne sejak 30 September bagi menghadiri undangan menyampaikan ucapan pada Seminar Pembangunan Manusia anjuran Kelab UMNO Australia Melbourne di University of Melbourne, Sabtu lalu.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan