MM - 17/10/10
KUALA KANGSAR 16 Okt. – Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mendakwa wujud aktiviti pemindahan pengundi yang dilakukan oleh pihak pembangkang terutamanya di kawasan ‘kebal’ mereka di negeri ini.
Beliau yang enggan mengulas lanjut dan sebaliknya menyerahkan kepada media untuk memeriksa kesahihan itu berkata, pemindahan pengundi tersebut berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat yang kini disandang Barisan Nasional (BN) di bawah salah seorang exco kanan kerajaan negeri, Datuk Hamidah Osman.
“Di Sungai Rapat, macam mana boleh terdapat penambahan pengundi di sana dan siapa punya kerja?
“Anda boleh periksa kawasan-kawasan pembangkang yang sudah pastinya ‘selamat’ dan bagaimana pemindahan pengundi itu berlaku membabitkan kawasan-kawasan Parlimen yang bersempadan dengannya seperti Gopeng dan Batu Gajah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Komuniti Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin, Manong di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Negeri, Datuk Ramly Zahari merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong.
Terdahulu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa, beliau telah menerima banyak rungutan daripada sebilangan pengundi di bawah DUN miliknya iaitu di Pasir Panjang terutamanya di Felcra Lekir yang dikatakan telah dipindahkan ke DUN Sitiawan milik Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan