Hishammuddin Tun Hussein, Dr.
Zambry Abdul Kadir, Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Khairy Jamaluddin
menyertai lebih 10,000 orang belia berhimpun pada pelancaran Himpunan
BN Pilihan Orang Muda di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, di Ipoh,
semalam.
IPOH 14 April - Pekarangan kediaman Menteri Besar Perak di sini
bergema dengan laungan 'Barisan Nasional (BN) pilihan orang muda'
apabila lebih 10,000 orang dari seluruh Perak berhimpun menyatakan
sokongan kepada parti itu.
Himpunan BN Pilihan Orang Muda itu yang pertama kali diadakan bukan
hanya disertai kalangan ahli parti komponen BN, malah golongan mahasiswa
dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.
Pada majlis yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein itu, mereka yang memakai kemeja T berwarna biru
dan merah jambu memenuhi pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Perak.
Turut serta, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir;
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin; Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah
Abdul Rashid Shirlin; Ketua Pemuda BN negeri, Khairul Azwan Harun dan
Ketua Pergerakan Puteri negeri, Salbiah Mohamed.
Hishamuddin dalam ucapan perasmiannya, berkata, kehadiran begitu
ramai golongan muda pada majlis itu sekaligus menangkis dakwaan
pembangkang kononnya BN tidak mendapat sokongan golongan muda.
Menurut beliau, pelbagai pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan
termasuk Program Transformasi Politik (PTP) terbukti berjaya menarik
golongan muda untuk bersama berjuang dengan BN.
"Ada pihak kata BN tidak mendapat sokongan orang muda dan masa depan
BN tiada bersama dengan golongan muda tetapi kehadiran ramai golongan
muda hari ini membuktikan golongan muda akan tetap bersama dengan BN,"
katanya.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan dalam beberapa
pilihan raya kecil bermula dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan
Pinang menunjukkan generasi muda telah kembali menyokong BN selepas
Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.
Katanya, disebabkan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
kini terdesak untuk mendapat sokongan orang muda sehingga sanggup
berjanji menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) serta tol, menurunkan harga minyak dan memberikan air
percuma kepada rakyat.
"PRU-13 merupakan taruhan masa depan negara kita. Kalau kita hendak
selamatkan negara kita daripada pemimpin seperti Anwar, Lim Kit Siang
dan Karpal Singh, anak-anak muda perlu bangkit menyatakan sokongan dan
iltizam untuk menyokong BN," katanya.
Beliau juga memberitahu, program Himpunan BN Pilihan Orang Muda akan
dibuat di semua negeri selepas ini dengan sasaran sekurang-kurangnya
kehadiran 10,000 bagi setiap negeri dan 100,000 orang pada program
kemuncak di Selangor.
"Selepas jelajah satu Malaysia, kita harap tidak kurang 200,000 anak muda akan sokong BN," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 15/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan