PUTRAJAYA 15 April – Barisan Nasional (BN) akan mula menghantar
surat kepada pemimpin parti komponennya esok, meminta supaya mereka
menghantar senarai nama calon untuk bertanding pada pilihan raya umum
ke-13.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata,
perkara itu diarahkan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, Datuk Seri
Najib Tun Razak, dan mereka diberi masa dua minggu untuk mengemukakan
senarai calon masing-masing.
”...esok saya akan tulis kepada semua pemimpin parti komponen seperti
yang diarah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini hari ini.
Katanya beliau juga difahamkan ada parti komponen yang tidak mahu
lagi bertanding di kawasan yang diperuntukkan kepada mereka sebelum ini,
sebaliknya menyarankan kawasan tersebut lebih sesuai ditandingi parti
komponen lain.
Bagaimanapun perkara itu belum dapat disahkan, katanya.
Mengenai senarai calon UMNO, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung
parti itu berkata, saringan peringkat pertama telah selesai dan
senarainya akan dihantar kepada presiden parti tidak lama lagi.
Presiden parti yang juga pengerusi BN, kemudiannya akan mewujudkan
jawatankuasa sendiri bagi menyaring lagi semua nama calon yang
diterimanya, termasuk senarai calon dari parti-parti komponen lain, bagi
memilih calon yang paling sesuai untuk bertanding, katanya.
Merujuk kepada nama yang dicadangkan UMNO bahagian, Tengku Adnan
berkata, semua bahagian diminta mengesyorkan tiga nama, namun ada yang
menghantar lebih daripada tiga, ada yang hanya menghantar satu nama, dan
ada yang minta dikekalkan muka lama.
Beliau berkata ada juga bahagian yang mengesyorkan nama calon yang
berada di luar bahagian berkenaan selain pemimpin pertubuhan bukan
kerajaan yang dirasakan mampu membawa kemenangan di kawasan mereka pada
pilihan raya nanti.
"Ini menunjukkan bahawa mereka faham dengan apa yang yang disebutkan oleh presiden parti yang berkehendakkan calon winnable pada pilihan raya nanti,” katanya. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 15/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan