Oleh MD. AZRIN ROSLY
KUALA LUMPUR 12 April - Amaran Ketua Menteri
Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada 84 buah sekolah jenis kebangsaan Cina
(SJKC) di negeri itu supaya berhenti melanggan akhbar arus perdana
berbahasa Melayu merupakan satu perbuatan rasis yang menghalang
perpaduan rakyat.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah
berkata, amaran tersebut akan membawa kesan buruk kepada rakyat
keseluruhan terutamanya dari segi perkauman dan cintai bahasa
kebangsaan.
"Bagi saya, amaran ini merupakan bentuk rasis dan hasutan secara
halus bagi membenci bahasa Melayu, sedangkan ia adalah bahasa kebangsaan
negara.
"Tidak sepatutnya Guan Eng berbuat sedemikian yang hanya akan
membentuk generasi muda di SJKC membenci bahasa Melayu dan secara tidak
langsung kepada orang Melayu," katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas amaran Guan Eng supaya berhenti melanggan akhbar arus
perdana berbahasa Melayu.
Pada 7 April lepas, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan
Cheng Guan yang mendedahkan amaran Guan Eng itu ketika berucap
menyampaikan bantuan kepada SJKC di Pulau Pinang.
Tambah Azwanddin, kebebasan dan demokrasi yang dilaung-laung oleh
pemimpin pembangkang itu juga hanya untuk kepentingan mereka sendiri dan
bukan untuk keseluruhan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah
Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman
memberi amaran kepada Guan Eng agar tidak membuat sebarang tindakan yang
boleh menyebabkan kemarahan orang Melayu.
"Kita duduk dalam sebuah masyarakat majmuk, berbilang kaum dan agama
yang mana bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan negara serta menjadi
penghubung dan penyatuan kepada semua.
"Soal langgan akhbar arus perdana bahasa Melayu adalah hak mana-mana
pihak. Mereka sendiri dapat menilai," tegasnya.
/HWA: utusan.com.my | 12/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan