KOTA BHARU 6 April - Rakyat Kelantan perlu memberi peluang kepada
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed untuk menerajui negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Mustapa telah
menunjukkan rekod yang cemerlang sepanjang perkhidmatannya dalam Kabinet
dan mempunyai pengalaman amat luas dalam pelbagai bidang jika
dibandingkan dengan pemimpin Pas.
Menurutnya, rekod yang dimiliki oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Kelantan itu tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak dan ia boleh
dijadikan ukuran terhadap keupayaannya untuk memimpin negeri ini.
"Sebagai contoh, pada tahun ini Mustapa telah mencatatkan rekod
baharu dalam menarik pelabur luar datang ke negara kita. Ia memberi
peluang kepada rakyat khususnya dari Kelantan untuk bekerja dan menambah
pendapatan.
"Beliau juga pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian
Pembangunan Usahawan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani serta terkini untuk Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di semua kementerian ini beliau
menunjukkan rekod yang cemerlang.
"Pengalaman-pengalaman ini tidak dimiliki oleh pemimpin Pas, kita
tidak nafikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan)
mahir dalam bidang agama, tetapi beliau tidak mempunyai pengalaman yang
luas seperti Mustapa.
"Pengalaman yang dimiliki oleh Mustapa yang harus ada pada pemimpin
untuk menguruskan Kelantan dengan lebih baik selepas tertinggal jauh
daripada pembangunan," katanya selepas bersarapan pagi bersama media di
RTM Kelantan di sini, hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata,
rakyat Kelantan perlu melakukan perubahan besar selepas lima penggal
memberi peluang kepada Pas untuk meneraju negeri ini.
Katanya, tempoh 20 tahun adalah satu jangka masa yang panjang untuk
sebuah kerajaan membuat perubahan kepada negerinya.
"Selalunya peluang hanya diberikan sekali sahaja tetapi rakyat negeri
ini telah memberikan peluang sebanyak lima kali (penggal), itu sudah
lebih daripada mencukupi untuk Pas membuktikan bahawa mereka boleh
melakukan perubahan besar kepada negeri ini.
"Perubahan kecil telah berlaku tetapi ia tidak memberi sebarang impak
yang besar, rakyat Kelantan masih terpaksa keluar ke negeri yang
diperintah Barisan Nasional (BN) untuk mencari rezeki," katanya.
Tambahnya, rakyat Kelantan yang berada di luar negeri ini juga perlu
berlaku adil kerana mereka menikmati semua pembangunan yang dilaksanakan
oleh BN.
"Kita yang tinggal dan bekerja di luar harus berlaku adil kerana kita
sudah mendapat hasil daripada BN, jangan pula kita balik mengundi Pas
kerana yang menderita adalah ahli keluarga kita yang tinggal di sini,
mereka akan terus ketinggalan," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan