8 April 2012

Beri peluang kepada Mustapa terajui Kelantan pada pilihan raya umum

KOTA BHARU 6 April - Rakyat Kelantan perlu memberi peluang kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menerajui negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Mustapa telah menunjukkan rekod yang cemerlang sepanjang perkhidmatannya dalam Kabinet dan mempunyai pengalaman amat luas dalam pelbagai bidang jika dibandingkan dengan pemimpin Pas.
Menurutnya, rekod yang dimiliki oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak dan ia boleh dijadikan ukuran terhadap keupayaannya untuk memimpin negeri ini.
"Sebagai contoh, pada tahun ini Mustapa telah mencatatkan rekod baharu dalam menarik pelabur luar datang ke negara kita. Ia memberi peluang kepada rakyat khususnya dari Kelantan untuk bekerja dan menambah pendapatan.
"Beliau juga pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta terkini untuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di semua kementerian ini beliau menunjukkan rekod yang cemerlang.
"Pengalaman-pengalaman ini tidak dimiliki oleh pemimpin Pas, kita tidak nafikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan) mahir dalam bidang agama, tetapi beliau tidak mempunyai pengalaman yang luas seperti Mustapa.
"Pengalaman yang dimiliki oleh Mustapa yang harus ada pada pemimpin untuk menguruskan Kelantan dengan lebih baik selepas tertinggal jauh daripada pembangunan," katanya selepas bersarapan pagi bersama media di RTM Kelantan di sini, hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, rakyat Kelantan perlu melakukan perubahan besar selepas lima penggal memberi peluang kepada Pas untuk meneraju negeri ini.
Katanya, tempoh 20 tahun adalah satu jangka masa yang panjang untuk sebuah kerajaan membuat perubahan kepada negerinya.
"Selalunya peluang hanya diberikan sekali sahaja tetapi rakyat negeri ini telah memberikan peluang sebanyak lima kali (penggal), itu sudah lebih daripada mencukupi untuk Pas membuktikan bahawa mereka boleh melakukan perubahan besar kepada negeri ini.
"Perubahan kecil telah berlaku tetapi ia tidak memberi sebarang impak yang besar, rakyat Kelantan masih terpaksa keluar ke negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN) untuk mencari rezeki," katanya.
Tambahnya, rakyat Kelantan yang berada di luar negeri ini juga perlu berlaku adil kerana mereka menikmati semua pembangunan yang dilaksanakan oleh BN.
"Kita yang tinggal dan bekerja di luar harus berlaku adil kerana kita sudah mendapat hasil daripada BN, jangan pula kita balik mengundi Pas kerana yang menderita adalah ahli keluarga kita yang tinggal di sini, mereka akan terus ketinggalan," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12

Tiada ulasan: