31 Julai 2008

Muqabalah: PAS tidak ikhlas

Belajarlah dari pengalaman! Sejarah telah membuktikan bahawa PAS tidak ikhlas dalam apa jua rundingan sama ada untuk menjaga kedaulatan agam Islam, jauh sekali untuk di ajak berbincang hal-hal berkaitan dengan untung nasib bangsa Melayu atau negara.
Dari cadangan muzakarah, PAS cadangkan mugabalah. UMNO akur jua apa juga nama yang hendak diberi asalkan ianya memberi kebaikan kepada bangsa Melayu.
Apabila PAS dihentam dan dikritik oleh rakan-rakan dalam PKR, nampaknya timbul macam-macam tuntutan yang boleh membawa kegagalan untuk merealisasikan rundingan yang dihebohkan sebelum ini.
Nasihat kepada kepimpinan UMNO, tidak payahlah membazirkan masa bagi mengadakan rundingan dengan PAS. Makin UMNO merendah diri nampaknya pemimpin PAS seolah-olah cuba mengambil kesempatan untuk memijak kepada.
Marilah kita berusaha membetulkan apa yang kurang dalam UMNO dan membina kembali kekuatan yang pernah kita miliki oleh UMNO. Insya'Allah perjuangan murni ini tetap menyebelahi kita.
Sudah 62 tahun kita melaksanakan tanggungjawab ini dengan cemerlang. Pilihanraya 2004 bukan ukuran bahawa kita sudah lemah.
Jangan jadikan muqabalah ciptaan PAS untuk kita terus berbalah-balah!. Cukuplah.
- Putera Lembah Utara

MB Perak buat tawaran balas kepada Tajol

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini membuat tawaran balas kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan semua 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang lain untuk menyertai kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.
Beliau berkata tawaran itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pas pusat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini menolak sebarang usaha mengadakan kerjasama dengan Umno dan BN untuk mewujudkan kerajaan campuran sama ada di peringkat pusat atau negeri.
“Saya ingin membuat tawaran itu setelah keputusan pusat menyatakan tidak menerima ataupun tidak mengiktiraf (kerjasama itu).
"Maka saya lebih cenderung hari ini membuat tawaran supaya Tajol Rosli dan rakan-rakan Yang Berhormat dia masuk ke dalam Pakatan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Jabatan Agama Islam Perak di sini hari ini.
Sebelum ini, Umno Perak menawarkan kepada Pas untuk bergabung bagi menubuhkan kerajaan negeri yang lebih kukuh malah Tajol Rosli sendiri pernah menjamin kerusi jawatan Menteri Besar Perak kekal di tangan Pas jika cadangan perkongsian kuasa itu direalisasikan.
Ditanya sama ada Pakatan Rakyat Perak mampu menerima semua 28 Adun BN, Mohammad Nizar berkata mereka boleh menyertai mana-mana komponen Pakatan Rakyat sama ada Pas atau Parti Keadilan Rakyat manakala wakil rakyat tunggal MCA Dr Mah Hang Soon boleh menganggotai DAP.
Sambil akur dengan keputusan pucuk pimpinan Pas pusat menolak segala bentuk kerjasama itu, beliau berkata Pas Perak tetap dengan pendirian untuk bersama dengan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.
Katanya semua 31 wakil rakyat Pakatan Rakyat telah berjanji untuk sama-sama mempertahankan kerajaan yang mendapat perkenan Sultan Perak.
— Bernama

Pas tolak sebarang kerjasama dengan BN

31/07/2008 3:28pm
KUALA LUMPUR 31 Julai – Pas menolak sebarang kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan campuran sama ada di peringkat Pusat ataupun negeri.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata, Pas bersedia menemui mana-mana pihak termasuk UMNO untuk mengadakan perbincangan demi kepentingan negara.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat Jawatankuasa Pas pusat di sini hari ini. – Utusan

Siasatan kes liwat Anwar Ibrahim selesai: Syed Hamid

31/07/2008 7:44pm
PUTRAJAYA 31 Julai — Siasatan kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Katanya, adalah menjadi prosedur pihak polis untuk menyerahkan kertas berikut kepada pejabat Peguam Negara sebaik sahaja proses siasatan selesai dilakukan.
“Saya difahamkan bahawa proses siasatan telah selesai, dan kertas itu telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara. Terpulang kepada pejabat Peguam Negara untuk menentukan bentuk dakwaan yang akan diambil,” katanya.
Bagaimanapun Syed Hamid berkata, beliau tidak diberitahu mengenai isi kandungan kertas siasatan tersebut.
“Saya bukan pihak yang bertanggungjawab dengan siasatan itu, bagaimana saya boleh tahu. Sebagai menteri, saya tidak campur tangan dalam siasatan,” katanya.
Mengulas ura-ura polis akan menahan Anwar hari ini, Syed Hamid berkata, semua pihak hendaklah membiarkan perkara tersebut berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Biarlah ia berlaku mengikut proses. Undang-undang kita menetapkan bahawa Anwar tidak bersalah sehingga beliau dibuktikan (bersalah). Tiada dakwaan setakat ini terhadapnya,” katanya.
- Bernama.

Wan Azizah lepas Parlimen Permatang Pauh

31/07/2008 3:44pm
KUALA LUMPUR 31 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beliau akan bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa hari ini.
Pengumuman dibuat pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di sini sebentar tadi. Dr. Wan Azizah merupakan Ahli Parlimen kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999 iaitu selepas selepas Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan setahun sebelum itu dan dihadapkan di mahkamah.
Kini Dr. Wan Azizah merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.
- The Star

Jangan sekat atau perkecil pandangan anggota cawangan, tegas Muhyiddin

31/07/2008 7:06pm
JOHOR BAHARU 31 Julai — Pemimpin UMNO tidak sepatutnya menyekat mana-mana anggota parti di peringkat cawangan daripada menyuarakan pandangan mereka mengenai pucuk pimpinan parti dan negara, kata Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, anggota parti di peringkat cawangan berhak mengikut Perlembagaan UMNO mengeluarkan pandangan tentang pucuk pimpinan parti dan pandangan tersebut tidak boleh diperkecilkan oleh mana-mana pihak.
“Mereka (anggota cawangan) rasa agak terlibat untuk menyuarakan hasrat atau perasaan tentang kepimpinan negara. Kita tidak boleh memperkecilkan pandangan ahli-ahli di bawah itu kerana mereka ahli parti dan di dalam Perlembagaan, mereka mempunyai hak untuk bersuara.”
“Kita mengamalkan demokrasi di dalam UMNO, jikalau mereka hendak bersuara kita tidak boleh menghalangnya, nanti mereka kata kita ini kuku besi,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis minum petang dengan anggota-anggota UMNO Johor di sini, hari ini.
Muhyiddin mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang meminta anggota-anggota cawangan berhenti daripada mencalonkan nama-nama pemimpin untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan beberapa pemimpin parti meminta cawangan menghentikan usul mencadangkan pemimpin sebagai calon pada pemilihan UMNO Disember ini.
Pencalonan pemimpin-pemimpin itu hanya dilakukan di peringkat Bahagian, kata mereka.
Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), walaupun calon-calon yang akan bertanding pada Perhimpunan Agung UMNO Disember ini akan ditentukan oleh UMNO Bahagian, tetapi pandangan daripada anggota cawangan tidak boleh diketepikan.
“Soal sama ada ia (pencalonan oleh anggota cawangan) itu akan di ambil berat oleh peringkat Bahagian atau nama-nama yang dicalon (oleh cawangan), itu adalah soal yang lain.”
“Mereka merasakan ada sesuatu yang luar biasa dan jika mereka hendak memberi pandangan, biarkanlah,” katanya.
Apa yang lebih penting kata Muhyiddin, adalah pandangan dan hasrat anggota parti di peringkat cawangan itu tidak diperkecil dan disekat.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin UMNO tidak seharusnya memperkecil-kecilkan anggota di peringkat cawangan kerana ramai di antara mereka merupakan pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan berpengetahuan tinggi.
“Saya juga merupakan anggota UMNO di peringkat cawangan, walaupun saya Naib Presiden UMNO,” katanya.
- Bernama

Perlu utamakan muqabalah

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
AHMAD Shabery Cheek menerima cenderahati daripada Mohd. Zainal Abidin Abdul Kadir (kiri) sambil diperhatikan oleh Chamil Wariya (tengah) dan Mirza Mohammad Taiyab pada penutupan bengkel media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 30 Julai - Pas perlu mengutamakan muqabalah berbanding meletakkan syarat tertentu seperti melaksanakan hukum hudud dan qisas jika mahu penggabungan UMNO dan Pas menjadi kenyataan.
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, rakyat mahukan sebuah negara yang maju dan penyatuan di kalangan Melayu, bukannya terus menyaksikan polemik politik sesama bangsa yang tidak berkesudahan.
Beliau turut mempersoalkan cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu pelaksanaan hukum hudud dan qisas menjadi satu daripada syarat jika kedua-dua parti ingin bergabung.
''Saya rasa (Nik Abdul Aziz) patut tanya DAP, adakah DAP sudah sedia untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas sebab itu Pas sedia bekerjasama dengan mereka selama ini?
''Saya nak tanya kenapa hanya dengan UMNO dikenakan syarat tetapi tidak dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), melainkan sudah ada persetujuan antara mereka secara rahsia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan penutupan Bengkel Media bagi Persidangan dan Pameran Pelancongan Islam Global anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia (NTCM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir di majlis itu ialah Presiden Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia Datuk Mohd. Zainal Abidin Abdul Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Chamil Wariya dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz di Kota Bharu, Kelantan yang mencadangkan pelaksanaan hukum hudud dan qisas jika mahu pergabungan antara Pas dan UMNO menjadi satu realiti.
Beliau menambah, muqabalah adalah landasan terbaik untuk umat Islam membincangkan sesuatu yang baik demi kebaikan rakyat dan masa depan orang Melayu.
Menurutnya, DAP mungkin sudah bersedia memenuhi Pas untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas sebelum bergabung di bawah Pakatan Rakyat sebagai memenuhi kehendak Pas itu.
Ditanya adakah UMNO sedia bergabung dengan Pas jika parti itu sanggup mengetepikan syarat dan sedia bermuqabalah tanpa mengenakan sebarang syarat, Ahmad Shabery berkata, cadangan tersebut disuarakan oleh Nik Abdul Aziz dan ia tidak mewakili keseluruhan suara Pas.
''Kita tidak anggap itu satu keputusan muktamad, saya serah pada pucuk pimpinan UMNO untuk teruskan sebarang usaha sebab kita fikir yang baik untuk orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.
''Kita tidak mahu Melayu berbalah dan akhirnya melahirkan ekstremis dalam Melayu yang hendak menunjukkan mereka lebih Melayu dan lebih Islamik sehingga timbul perpecahan dan serangan kepada bukan Melayu,'' katanya.
Menurut beliau, adalah lebih penting bagi Pas dan UMNO duduk berbincang daripada merangka sesuatu mengikut kehendak masing-masing kerana jika terlalu banyak berpolitik ia hanya menyulitkan keadaan.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata, industri pelancongan negara perlu dikukuhkan oleh rakyat sendiri kerana pelancong akan tertarik kepada budaya, keramahan, keindahan dan kebersihan sesebuah negara.
''Kejayaan industri ini bukan terletak pada kerajaan dan syarikat korporat semata-mata tetapi rakyat itu sendiri kerana mereka berupaya menarik kedatangan pelancong dari seluruh pelosok dunia," katanya.
- UM, 30/07/08.

30 Julai 2008

Dua cawangan Pemuda Pas buat laporan polis

KOTA BHARU 29 Julai - Dua cawangan Pemuda Pas Kelantan hari ini masing-masing membuat laporan polis mendakwa kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang mengajak Pas bergabung dengan UMNO bagi membentuk kerajaan sebagai berunsur rasuah politik.
Ketua Pemuda Pas cawangan Kubang Kerian Mohamad Nuri@Nuri Mat Yaacob dan Ketua Pemuda Pas cawangan Kota Bharu, Mohd. Baharuddin Mohd. Noor, masing-masing membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini pada kira-kira 2.30 petang.
Mereka diiringi kira-kira 15 anggota Pemuda Pas dari kedua-dua cawangan itu.
Tajol Rosli dalam kenyataannya semalam mengajak Pas bergabung membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh dengan wakil Pas akan terus memegang jawatan menteri besar dan keanggotaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mohamad Nuri berkata mereka membuat laporan itu bagi meminta polis menyiasat tawaran Tajol Rosli itu yang didakwanya berunsur rasuah.
"Ini satu budaya rasuah politik yang perlu dikekang kerana ia boleh menggugat kedudukan mana-mana pihak dan kami berpendirian untuk membuat laporan polis untuk mendapatkan siasatan lanjut berkenaan tawaran itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan Tajol Rosli itu sebagai tidak bijak dan tidak menghormati Pas.
"Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu yang seolah-olah tidak faham dan tidak menghormati Pas sekarang bersama dengan Pakatan Rakyat.
"Pas menghormati beliau (Tajol Rosli) dengan Barisan Nasional (BN)... kenapa mesti beliau buat begitu (menawarkan jawatan) untuk Pas meninggalkan Pakatan Rakyat," katanya di sini hari ini.
Mengulas berkenaan laporan polis yang dibuat oleh dua cawangan Pemuda Pas itu, Salahuddin berkata Pemuda Pas Perak juga akan mengambil langkah yang sama.
"Mereka juga akan buat laporan polis, mungkin petang ini atau esok," katanya.
- UM, 30/07/08.

Najib: Perlu bincang satu persatu

LUSAKA 29 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO dan Pas perlu berbincang tentang usaha memperkukuhkan ummah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membubarkan kedua-dua parti itu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau berpendapat adalah lebih baik kedua-dua parti itu mengambil langkah satu demi satu dalam mengukuhkan perpaduan orang Melayu.
“Kita tidak patut berlari sebelum boleh berjalan, apa yang patut kita buat adalah membincangkan permasalahan yang berkaitan dengan ummah,” katanya kepada para pemberita ketika ditemui di sini petang semalam.
Beliau yang berada di sini kerana menghadiri Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) 2008, berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar UMNO dan Pas dibubarkan dan bergerak dalam satu parti yang baru.
Nik Aziz berkata, langkah itu dapat menyatukan orang Melayu yang selama ini terbahagi kepada dua parti tersebut.
Najib berkata, kedua-dua parti itu perlu mencari kata sepakat dalam beberapa isu yang boleh menghubungkan perpaduan di kalangan umat Islam.
Selain itu katanya, mereka juga perlu berusaha untuk menguatkan perpaduan nasional antara kaum di negara ini yang selama ini telah dikenali mempunyai semangat toleransi yang tinggi.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri menegaskan, isu perpaduan Melayu dalam konteks muzakarah UMNO dan Pas itu bukan sahaja eksklusif untuk kaum tersebut tetapi juga tidak akan mengetepikan kaum lain.
Sementara itu, ketika ditanya tentang penglibatan beliau dalam program antarabangsa seperti dialog perkongsian pintar tersebut, Najib menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai keutamaan lain termasuk beberapa masalah dalaman yang perlu diberikan perhatian.
“Program ini biasanya dihadiri oleh Perdana Menteri bagaimanapun beliau kini memberi banyak tumpuan terhadap masalah domestik,” ujarnya.
Selain itu katanya, Perdana Menteri juga berasakan adalah penting untuk beliau membina hubungan di peringkat antarabangsa dengan menghadiri dialog seperti itu.
- UM, 30/07/08.

28 Julai 2008

DAP selar Pas - Kerana berunding dengan UMNO atas nama perpaduan Melayu

KUALA LUMPUR 27 Julai – Tanda perpecahan mula ketara dalam Pakatan Rakyat apabila DAP secara terbuka meminta pakatan itu mengkaji semula keanggotaan Pas.
“Pas ternyata mengundang keraguan tentang kredibilitinya dan berdasarkan perkembangan mutakhir, Pakatan Rakyat perlu menimbang secara serius sama ada Pas patut terus dibenarkan menganggotainya,” kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan berita baru-baru ini yang mengesahkan bahawa Pas dan UMNO, yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN), mengadakan rundingan bagi memelihara perpaduan Melayu di negara ini.
“Jaminan Presiden Pas (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat dan DAP) bahawa Pas tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini.
“Selepas pilihan raya umum pada 8 Mac, Pas mengadakan perbincangan dengan UMNO bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan tentang perkara itu,” katanya.
Beliau juga menyelar langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan UMNO ‘atas nama perpaduan Melayu’ dan menyifatkan langkah bersifat perkauman oleh Pas itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat itu yang dianggotai DAP, PKR dan Pas memerintah lima negeri – Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Perpecahan gabungan ini akan menyebabkan berlakunya perubahan kerajaan di negeri terbabit, kecuali di Kelantan di mana Pas mempunyai majoriti lima kerusi.
Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan agar UMNO dan Pas dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.
“Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan serius. Kenyataan Nik Aziz ini mengetepikan kenyataan Hadi Awang di Ipoh semalam bahawa Pas tidak akan bergabung dengan UMNO atau menyertai BN.
“Jelas sekali, kenyataan pemimpin Pas kebelakangan ini memberi persepsi bahawa mereka akan meninggalkan Pakatan Rakyat,” kata Karpal.
Bagaimanapun, kenyataan Karpal juga mengandungi kesilapan apabila beliau menyebut Nasharudin Mat Isa sebagai Setiausaha Agung Pas, sedangkan orang kuat Pas itu adalah timbalan presiden parti berkenaan.
“Minggu lepas, Setiausaha Agung (sebenarnya timbalan presiden) Pas, Nasharudin Mat Isa berkata orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan meliwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.
“Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan Pas secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (timbalan presiden).
“Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar Ibrahim yang sedang bergelut dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat.
“Pas tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan,” kata Karpal.
Beliau berkata, pilihan raya umum pada 8 Mac lepas memberi mandat kepada gabungan pembangkang untuk memerintah lima negeri dan mempamerkan dengan jelas bahawa rakyat mahukan sistem dua parti.
“Perkara paling penting, rakyat tidak mengundi mengikut kaum. Pas memilih untuk berusaha bagi menyatupadukan semua orang Melayu dan bukannya berusaha ke arah melaksanakan dasar bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia, sedangkan Pakatan Rakyat ditubuhkan bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia,” katanya.
– Bernama, 28/07/08.

27 Julai 2008

DAP mahu Pakatan kaji semula keanggotaan Pas

27/07/2008 9:27pm
KUALA LUMPUR 27 Julai — Tanda perpecahan mula ketara dalam Pakatan Rakyat apabila DAP secara terbuka meminta pakatan itu mengkaji semula keanggotaan PAS.
“PAS ternyata mengundang keraguan tentang kredibilitinya dan berdasarkan perkembangan mutakhir, Pakatan Rakyat perlu menimbang secara serius sama ada PAS patut terus dibenarkan menganggotainya,” kata Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh dalam kenyataan di sini hari ini.
Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan berita baru-baru ini yang mengesahkan bahawa PAS dan Umno, yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN), mengadakan rundingan bagi memelihara perpaduan Melayu di negara ini.
“Jaminan Presiden PAS (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat dan DAP) bahawa PAS tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini.
“Selepas pilihan raya umum pada 8 Mac, PAS mengadakan perbincangan dengan Umno bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan tentang perkara itu,” katanya.
- Bernama, 27/07/08.

24 Julai 2008

Rakyat Terengganu terkejut pembelian Mercedes

Oleh IRMAN HASHIM
KUALA TERENGGANU 22 Julai – Rata-rata rakyat Terengganu terkejut dengan tindakan kerajaan negeri membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar raya ini mendapati penduduk kesal dan tidak bersetuju dengan pembelian kereta berkenaan kerana menganggap ia satu pembaziran.
Seorang pekerja swasta, Badrul Hisham Ashari, 44, ketika ditemui berkata, ia merupakan pembaziran wang rakyat walaupun pembelian kereta Mercedes berkenaan tidak melibatkan wang royalti minyak.
‘‘Tidak kira pembelian kereta itu tidak menggunakan wang royalti minyak, rakyat yang menanggung kos pembelian kereta ersebut berdasarkan pembayaran pelbagai cukai yang dikenakan oleh kerajaan negeri.
‘‘Kerajaan negeri sepatutnya memikirkan secara mendalam sebelum membeli kereta mewah itu,’’ katanya.
Seorang peniaga restoran, Allen Ho, 36, pula berkata, pembelian kereta sebagai kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri sepatutnya mengikut kemampuan kewangan negeri.
‘‘Semua orang tahu Terengganu bukanlah negeri kaya tetapi apa tanggapan orang luar apabila melihat pemimpin-pemimpin negeri memakai kereta mewah seperti Mercedes ini,” ujarnya.
Seorang lagi pekerja swasta, Saiful Bahrin Abd. Ghani, 35, berkata, kerajaan negeri sepatutnya membeli kereta Proton Perdana V6 Executive baru yang harganya lebih murah.
‘‘Kerajaan negeri menyatakan hendak melakukan penjimatan jadi beli sahaja kereta Perdana V6 Executive kerana kereta baru tidak cepat rosak selain kosnya lebih rendah,” katanya.
Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, Razlan Aminuddin, 25, berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan kereta nasional sebagai kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri.
‘‘Kos penyelenggaraan tidak sepatutnya menjadi faktor pembelian kereta import kerana ia tidak dilakukan setiap bulan,’’ katanya.
Rakannya, Mohd. Fakeri Ali, 27, berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya membeli kereta mewah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
‘‘Jika pembelian itu tidak dilakukan, wang tersebut dapat digunakan untuk melaksanakan program bagi membantu rakyat,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, seorang peniaga pakaian, Sheikh Faisal MR-Sallah, 35, pula berkata, pembelian kereta Mercedes E200 perlu dilihat dari sudut yang berbeza.
‘‘Exco-Exco memerlukan sebuah kereta yang lasak dan tahan lama jadi kereta Mercedes ini amat sesuai dengan tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan ketika menemui rakyat,’’ katanya.- UM, 23/07/08.

Kabinet tidak benarkan Exco Terengganu dilarang guna Mercedes sebagai kenderaan rasmi

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HELMI MOHD FOAD
Ahmad Said menunjukkan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 1 Tahun 2008 berkaitan Tatacara Perolehan Kenderaan yang membenarkan pembelian Mercedes E200 Kompressor pada mesyuarat Exco kerajaan Terengganu yang diadakan di Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur, semalam.
– Gambar IZHAM JAAFAR
PUTRAJAYA 23 Julai – Kabinet tidak membenarkan kerajaan negeri Terengganu menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi baru Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri itu.
Menurut sumber, apabila isu pembelian 14 buah kereta Mercedes itu ditimbulkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Kabinet mahu kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengutamakan kereta nasional Proton Perdana V6 Executive sedia ada.
“Kabinet menolak keputusan kerajaan negeri untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive dengan Mercedes E200 Kompressor.
“Kalau dibenarkan, Jemaah Menteri khuatir langkah kerajaan negeri Terengganu itu akan diikuti negeri-negeri lain. Wakil rakyat tidak boleh menonjol-nonjolkan kemewahan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.
Sumber itu bagaimanapun berkata, Kabinet menyerahkan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk menentukan status pembelian kesemua 14 kereta Mercedes E200 Kompressor berkenaan.
“Kabinet tidak mengulas sama ada perlu kerajaan negeri jual balik kereta-kereta itu tetapi yang diputuskan ialah Kabinet mahukan kereta nasional kekal sebagai kenderaan rasmi pegawai kanan negeri itu,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini berkata, tiada keputusan baru dibuat oleh Kabinet mengenai pertukaran kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu mungkin salah faham mengenai maksud yang terkandung dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) berkaitan penggunaan kereta nasional.
“Memang ada Arahan Perbendaharaan yang membolehkan pembelian kenderaan yang dipasang dalam negara tetapi bagi anggota pentadbiran, ia khusus kepada kenderaan Proton Perdana Executive. Mungkin itu yang jadi salah faham,” katanya.
Beliau menambah: “Mereka mungkin tak baca, untuk anggota pentadbiran maknanya menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu pakai Proton Perdana, bukan terbuka kepada kenderaan yang dipasang di dalam negara.”
Shahrir berkata, kadang-kadang ada keperluan bagi kegunaan jabatan untuk menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Jadi, jika nak beli jip, tidak boleh beli jip yang diimport tetapi mesti jip yang dipasang sepenuhnya dalam negara,” ujarnya.
Menurut beliau, jika kereta keluaran Proton mempunyai masalah seperti mudah rosak yang memerlukan kos penyenggaraan yang tinggi seperti yang didakwa oleh kerajaan negeri Terengganu, ia sepatutnya dirujuk kepada Proton untuk membolehkan syarikat kereta nasional itu memperbaiki produk mereka.
Kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor dengan kos RM3.43 juta bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.
Langkah itu dipertahankan oleh Ahmad, Menteri Besar Terengganu, yang mendakwa kereta keluaran Proton amat rendah kualitinya dan ia dijadikan alasan pembelian tersebut.
Walaupun setiap satu kereta Mercedes tersebut dibeli pada harga RM245,000 yang dikatakan lebih murah daripada harga pasaran, namun banyak pihak mengecam kerajaan Terengganu yang membuat pembelian berkenaan kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan Pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.
- UM, 24/07/08.

SUK perjelas kos sebenar selenggara Perdana V6

KUALA TERENGGANU: Kos penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh selama lima tahun bermula 2004 hingga 2008 berjumlah RM131,449.83 bukannya RM235,123.08 seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong hari ini, berkata jumlah perbelanjaan menyelenggara kenderaan rasmi Idris yang sebelum ini dilaporkan bernilai RM235,000 adalah tidak benar. "Ini disebabkan kesilapan pengiraan yang tidak disengajakan oleh pegawai di bahagian pentadbiran," katanya.
- BH, 24/07/08.

Pas mahukan muqabalah

KOTA BHARU 23 Julai - Mesyuarat kepimpinan tertinggi Pas hari ini akan meneruskan pertemuan dengan UMNO jika keadaan memerlukan demi menjaga kepentingan Islam dan perpaduan rakyat terutama di negeri-negeri diperintah oleh pakatan pembangkang.
Bagaimanapun, mereka menegaskan pertemuan itu tidak akan terarah kepada usaha penggabungan dua parti Melayu tersebut yang menimbulkan salah faham kini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hadir dalam mesyuarat itu meminta istilah pertemuan itu ditukar kepada 'muqabalah' (bersemuka) yang lebih tepat maksudnya dan bukannya 'muzakarah' seperti yang dikatakan oleh media dan UMNO.
Beliau mengulangi pendiriannya sebelum ini iaitu tidak bersetuju dengan pendekatan muzakarah tetapi merestui muqabalah sama seperti yang dipersetujui oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama parti itu pada April lalu.
"Masalah muzakarah saya tutup fail, kenyataan saya yang membenarkan pertemuan atas nama individu dan kepentingan Islam adalah sama dan tidak bercanggah dengan Presiden dan Majlis Syura.
"Saya dan Presiden adalah bersependapat bahawa perjumpaan dengan UMNO sebelum ini bukan untuk membincangkan masalah pergabungan dan saya minta media serta pihak lain menukar muzakarah kepada muqabalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Harun Din; Abdul Hadi, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud dan timbalannya, Ahmad Awang.
Abdul Hadi yang menyambung kenyataan Nik Abdul Aziz berkata, salah faham penggunaan perkataan muzakarah berpunca daripada kalangan media yang tidak memahami penggunaan istilah bahasa Arab.
"Muzakarah lebih membawa maksud kepada perdebatan antara dua pihak manakala muqabalah ialah pertemuan antara dua pihak bagi membincangkan kepentingan Islam dan penduduk negara ini.
"Dalam muqabalah itu kita minta UMNO selesaikan isu yang kita bangkitkan dan langsung tiada isu untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN). Jadi semua pihak yang menyokong kita sebelum ini tidak perlu bimbang," katanya.
"Pas masih kekal dalam pakatan pembangkang dan menjadi kewajipan untuk mempertahankan kepentingan Islam dan memperjuangkan keadilan kepada seluruh penduduk," katanya menafikan wujud percanggahan antara beliau dan Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, Harun mendakwa bahawa muqabalah yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu sebenarnya dimulai oleh UMNO dan bukannya Pas.
"Buktinya ialah Abdullah yang membuat kenyataan itu malah kita langsung tidak membuat sebarang kenyataan mengenainya sebelum ini, ia secara tidak langsung mengakui kekuatan Pas walaupun tidak membuatnya secara terbuka. Kalau tidak, mustahil UMNO yang memulakannya," katanya.
- UM, 24/07/08.

16 Julai 2008

Anwar tidak kemukakan formula mapan turunkan harga minyak

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan formula menurunkan harga bahan api yang meyakinkan dan mapan pada debat khas mengenai "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak."
Walaupun beliau berhujah dengan petah dan menarik hati penonton terutama penyokongnya menerusi retoriknya, formula yang dibentangkan berjaya dipatahkan oleh lawannya Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan.
Ahmad Shabery lebih banyak mengemukakan fakta mempertahankan tindakan kerajaan menstruktur semula subsidi minyak berbanding Anwar yang memilih pendekatan populis yang mengambil hati penonton. Anwar berkata, harga bahan api boleh diturunkan 50 sen seliter sehari selepas sekiranya Pakatan Rakyat memerintah menerusi formula RM5 bilion digunakan bagi menampung penurunan harga minyak. Wang itu dapat diperoleh dengan penjimatan perbelanjaan kerajaan termasuk mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan, dan mengurangkan 'standby' kapasiti pengeluaran tenaga daripada 40 peratus kepada 20 peratus oleh pengeluar tenaga bebas (IPP).“
Dengan mengurangkan kapasiti itu saja kita telah mendapat RM2 bilion, jadi RM3 bilion lagi diperoleh melalui penjimatan dan mengatasi kebocoran,” katanya. Mematahkan hujah-hujah Anwar pada debat anjuran Agendadaily.com di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam tadi, Ahmad Shabery berkata cadangan Anwar itu sudah tidak lagi relevan berikutan harga minyak di pasaran dunia sekarang lebih mahal berbanding harga semasa formula itu di warkan-warkan sejak sebelum pilihan raya umum Mac lepas. Beliau menjelaskan pada masa itu harga bahan api adalah RM1.92 seliter bagi petrol dan RM1.58 seliter diesel.
Berikutan harga setong minyak di pasaran dunia mencecah lebih US$130 setong, kerajaan terpaksa menstruktur semula subsidi bahan api, menjadikan harga di pam petrol RM2.70 seliter dan diesel RM2.58 seliter. “
Kalau kerajaan mengekalkan harga minyak pada kadar yang lama, ini bermakna subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan ialah sebanyak RM50 bilion. “I
ni bermakna banyak program pembangunan, termasuk sekolah, jalan, Felda, soal orang di kampung tidak dapat dijalankan hanya untuk menampung cara hidup yang berterusan yang ada pada hari ini,” kata Ahmad Shabery.
Ahmad Shabery berkata kenaikan harga minyak adalah fenomena global yang berlaku di seluruh dunia akibat banyak faktor termasuk perang Iraq, kemungkinan Amerika Syarikat menyerang Iran dan peningkatan permintaan bahan api oleh China serta India.B
eliau berkata penyelesaian kepada masalah ini bukan dengan menambah subsidi secara konvensional tetapi memerlukan satu pendekatan baru menerusi penstrukturan subsidi bagi menjamin ia benar-benar disalur dan dinikmati oleh rakyat berpendapatan rendah.“
Kalau kita terus bagi subsidi, ada syarikat asing seperti Exxon-Mobil, Shell dan sebagainya yang turut mendapat faedah daripada wang rakyat,” katanya. Beliau berkata kebanyakan negara lain turut mengambil pendekatan yang sama seperti Malaysia. Ahmad Shabery yang turut membidas Anwar kerana mendakwa kenaikan harga minyak kerana pengurusan kerajaan yang tidak cekap, berkata malah Finland, Norway dan juga negara yang dilaporkan kurang mempunyai kes rasuah tidak memberikan subsidi minyak kepada rakyatnya. “
Mereka telah menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik dan Malaysia juga harus menuju ke arah itu,” katanya.“Kalau kita mengajar rakyat kita dengan harga yang murah walaupun pada hakikatnya harga minyak antarabangsa adalah tinggi, tahun 2015 (apakah) kita akan menjadi net importer? “
Mungkin beberapa tahun lagi kita tidak ada minyak lagi. Apakah subsidi begini akan diteruskan atau pada waktu itu baru hendak naik mendadak serta-merta daripada apa yang ada sekarang?tanya Ahmad Shabery kepada Anwar.
Anwar bagaimanapun mempertikaikan sumber minyak negara akan habis pada 2015 dan mendakwa kemungkinan telaga minyak baru ditemui kerana negara pernah menjangka kehabisan simpanan minyak pada 2005. Kata Anwar lagi Petronas juga giat menjalankan aktiviti mencarigali di luar negara. Ahmad Shabery berkata Malaysia memang negara pengeksport minyak tetapi bukannya pengeluar besar, oleh itu khazanah negara perlu diuruskan dengan cermat bagi kepentingan generasi akan datang. “
Daripada keuntungan Petronas itu, sebenarnya yang telah diberi pada kerajaan ialah sebanyak 91 peratus, apa lagi yang kita nak ambil dari Petronas,” katanya disambut dengan tepukan penonton. Ahmad Shabery, yang tidak luntur semangat menghadapi kepetahan Anwar berhujah menambah kata “Ingat Petronas kuat dan maju sekarang ini kerana siapa. Tidakkah kerana kerajaan Umno dan Barisan Nasional. “
Kehebatan yang dibuat oleh Petronas selama ini adalah dorongan yang diberikan kerajaan. Kita tidak bebankan Petronas, kita benarkan Petronas untuk menabur kembali (keuntungan),” katanya. Penonton yang terdiri daripada 50 orang daripada Pakatan Rakyat dan 50 daripada pihak kerajaan mengikuti debat itu dengan tertib tanpa membuat sebarang kekecohan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.
Begitu juga dengan ratusan penyokong kedua-dua belah pihak yang memberi sokongan moral di luar dewan.Rata-rata penonton yang ditemui berpuas hati dengan perjalanan debat itu yang mereka sifatkan sebagai menyuburkan amalan demokrasi di negara ini. “
Anwar mengambil pendekatan mencuri hati penonton menerusi retorik yang menyentuh emosi penonton tetapi kurang meyakinkan dari segi mengemukakan kaedah sedangkan Ahmad Shabery lebih banyak mengemukakan fakta kukuh dan munasabah, komen seorang penonton yang enggan namanya disebut.
Debat kira-kira sejam itu dikendalikan oleh pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Johan Jafaar.
- Bernama, 16/07/08.

Jawatan Presiden, Timbalan boleh dipertandingkan

Oleh ARSHAD KHAN
KUALA LUMPUR 15 Julai - Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh dipertandingkan pada pemilihan UMNO Disember ini kerana ia termaktub dalam perlembagaan parti itu, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar).
Beliau berkata, walaupun peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimuktamadkan, ia isu yang berbeza dengan pertandingan dalam parti.
Jelasnya, tidak boleh ada satu pihak yang cuba menghalang pihak lain daripada bertanding sebarang jawatan kerana ia bertentangan dengan perlembagaan parti.
"Sememangnya isu bertanding dan peralihan kuasa adalah dua isu yang berasingan, hak bertanding bukan hak individu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan walaupun selepas proses peralihan kuasa dalam parti itu dimuktamadkan.
Semalam, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan pandangan jawatan tertinggi parti perlu dipertandingkan sungguhpun jangka masa peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib sudah diumumkan.
Hishammuddin berkata, pihaknya akan terus menyokong proses peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib serta melakukan yang terbaik untuk memastikan ia mencapai matlamatnya.
- UM, 16/07/08.

15 Julai 2008

Anwar tak muncul

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Petah Wazzan Iskandar
bhnews@bharian.com.my
Polis timbang beberapa pilihan untuk ambil tindakan b>KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini dikatakan bersetuju memberi keterangan berhubung dakwaan liwat terhadapnya, tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam.Berikutan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, berkata polis menimbangkan tiga atau empat pilihan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Tanpa menghuraikan pilihan yang dimaksudkannya, beliau menegaskan polis akan bertindak berdasarkan lunas undang-undang.“Berilah kita masa. Kita perlu melengkapkan siasatan kerana ada dakwaan (terhadap Anwar),” katanya pada sidang media di sini semalam.Kelmarin, polis secara rasmi menghantar notis mengikut Seksyen 111 KAJ meminta Anwar hadir bagi merekodkan keterangannya mengikut Seksyen 112 KAJ berikutan laporan polis oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, mengenai kes itu pada 28 Jun lalu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
Mohd Bakri berkata, polis sebelum ini dimaklumkan bahawa Anwar akan memberi keterangan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen pada jam 2 petang.“Polis sudah memberinya peluang dan ruang untuk membolehkan kita merakamkan percakapannya mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah tetapi malangnya dia tidak datang. Apa boleh kita buat,” katanya.Ditanya sama ada polis akan menahan Anwar untuk membolehkan keterangannya diambil, beliau berkata tindakan itu termasuk dalam proses undang-undang. “Kita kena pergi selangkah lagi, kita kena lihatlah,” katanya.
Mengenai dakwaan kononnya polis mengganggu keluarga Anwar ketika cuba menyerahkan notis mengikut Seksyen 111 KAJ, beliau berkata itu hanya cakap dengar dan andaian semata-mata.Mohd Bakri berkata, beliau juga tidak menerima sebarang surat yang didakwa dihantar oleh peguam Anwar, Sankaran Nair berhubung keengganan Anwar hadir untuk memberi keterangan semalam.
Sankaran yang dihubungi mendakwa, notis itu diserahkan melalui pihak ketiga, bukannya terus kepada Anwar seperti dikehendaki undang-undang.“Notis itu ditinggalkan polis di pondok pengawal di rumah Anwar. Ketika notis itu cuba diserahkan, ahli keluarga Anwar enggan menerimanya kerana ia bukan atas nama mereka, manakala Anwar pula tiada di rumah.“Oleh itu, kami meminta satu lagi notis dihantar terus kepada Anwar dan saya sudah menghantar surat melalui faksimili kepada Bakri kira-kira jam 5.30 petang tadi (semalam),” katanya.
Sankaran berkata, perintah mahkamah melarangnya berada dalam kawasan lingkungan lima kilometer dari Parlimen semalam turut menjadi punca Anwar tidak hadir.
- BH, 15/07/08.

Pas ‘melukut di tepi gantang’ dalam pakatan

SHAH ALAM 14 Julai – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo berkata, Pas kemungkinan tidak lagi relevan pada masa depan sekiranya terus kekal dalam pakatan pembangkang di Selangor.
Beliau berkata, ini kerana peranan Pas Selangor seperti dipinggirkan oleh kerajaan negeri yang sebenarnya dikuasai DAP dan Parti keadilan Rakyat (PKR) dalam perkara tertentu.
Sebaliknya, kemasukan Pas dalam pakatan pembangkang tidak lebih hanya untuk mencukupkan bilangan kerusi majoriti bagi membentuk kerajaan negeri.
‘‘Pas di Selangor hari ini ibarat ‘melukut di tepi gantang’. Mungkin mereka (Pas) ingat dengan menyertai pakatan pembangkang, mereka berjaya mentadbir negeri ini, tetapi sebenarnya mereka dipinggirkan oleh DAP dan PKR,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, Pas terpaksa ‘melupakan’ prinsip perjuangan yang kononnya memperjuangkan Islam hanya kerana mahu kekal dalam pakatan pembangkang meskipun wujud rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin mahupun penyokong parti itu.
“Sebagai contoh, dalam kes konsert Mas Idayu dan Ella di Stadium Shah Alam serta persembahan sempena perhimpunan protes bantah kenaikan harga minyak di Kelana Jaya baru-baru ini, menggambarkan sikap Pas yang seolah-olah membenarkan perkara itu berlaku walaupun kedua-duanya (persembahan) mendapat bantahan mereka sendiri,’’ jelasnya.
Tambah Mohamad Khir, sekiranya Pas terus bersikap sedemikian, parti itu sebenarnya tidak selari dengan prinsip Islam dan kedudukan orang Melayu yang kononnya merupakan asas perjuangan mereka.
Malah, katanya, keadaan sedemikian menunjukkan seolah-olah sesetengah pemimpin Pas di Selangor menutup mulut dan mata mereka hanya kerana mahu mengekalkan jawatan dalam kerajaan negeri.
‘‘Keadaan seperti inilah akan menjadikan Pas tidak lagi relevan pada masa depan,’’ katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang ketika ditanya pendirian UMNO untuk bekerjasama dengan Pas sekiranya parti itu keluar daripada pakatanpembangkang berkata, pihaknya tidak ada masalah mengenai perkara itu.
Jelasnya, UMNO mempunyai pendirian terbuka dalam setiap perkara terutamanya dalam soal yang membabitkan agama Islam serta kepentingan orang Melayu.
‘‘Jika Pas mahu bekerjasama, kita sedia pertimbangkan sekiranya ia membabitkan kepentingan Islam dan orang Melayu.
‘‘Sungguhpun begitu, jika mereka mahu berbuat demikian (bekerjasama), mereka perlulah keluar daripada pakatan pembangkang terlebih dahulu, barulah kita boleh bincang,’’ ujarnya.
- UM, 15/07/08.

13 Julai 2008

Ada cerita menarik disebalik Qari dan Qariah ini...

MILIK PERAK: Qari dan qariah dari Perak Shamsul Arifin dan Sharifah Khasif diisytihar johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke 51 di Dewan Wawasan, Jitra.

Muhyiddin: Tempoh terlalu lama?

Pak Lah... kenapa nak tunggu sampai 2010. Lambat lagilah Pak Lah, perubahan dan pemulihan dalam UMNO mesti dibuat segera.

TOKYO 10 Julai - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.
"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya.
Oleh yang demikian, katanya, ada ahli UMNO yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.
"Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing," katanya.
Muhyiddin, yang kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama enam hari ke Jepun, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka.
Beliau berkata, sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti.
Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati.
"Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan… mereka ada aspirasi… mereka juga ada harapan," katanya.


- UM, 11/07/08.

9 Julai 2008

Pas anggap Protes gagal capai matlamat

SHAH ALAM 8 Julai – Pas Selangor menyifatkan Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun di Kelana Jaya, Ahad lalu, sebagai tidak relevan dan gagal mencapai matlamatnya.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, perhimpunan itu gagal selepas tindakan penganjur mengundang kumpulan muzik underground sehingga mencetuskan insiden aksi penyanyinya melondehkan seluar pada persembahannya.
Katanya, pihak penganjur seharusnya peka dengan budaya serta agama kerana tindakan penyanyi kumpulan Carburetor Dung, Alak jelas bertentangan dengan budaya dan agama yang diamalkan di negara ini.
Menurut beliau, insiden berkenaan juga dilihat tidak menjurus kepada matlamat sebenar perhimpunan itu diadakan bagi membantah kenaikan harga minyak yang dikatakan membebankan rakyat ketika ini.
‘‘Saya tidak nampak apa relevannya pihak penganjur mengundang kumpulan itu mengadakan persembahan sedemikian kerana ia jelas tidak sesuai dengan tujuan sebenar perhimpunan itu. Malah, ia juga dilihat seolah-olah satu pertunjukan hiburan.
‘‘Saya difahamkan juga, ketika perhimpunan itu, kira-kira 700 orang Unit Badan Amal Pas turut menarik diri sebagai urus setia dan saya tak salahkan mereka.
‘‘Tetapi saya fikir, jika itu (persembahan) merupakan tarikan orang ramai hadir ke perhimpunan tersebut, saya anggap ia tidak mencapai sasaran dan tidak berjaya,’’ jelas beliau yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, di sini hari ini.
- UM, 09/07/08.

Nik Aziz kecewa perhimpunan ‘seronok-seronok’

KOTA BHARU 8 Julai – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa dengan perjalanan perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun kelmarin yang bertukar menjadi majlis ‘seronok-seronok’.
Menurut Nik Abdul Aziz, beliau tidak terfikir program yang digerakkan oleh pakatan pembangkang bagi membantah kenaikan harga minyak turut diselitkan dengan persembahan muzik liar dan melampau itu.
“Saya kecewa betul, saya tak terfikir benda tu boleh berlaku, macam mana saya pun tak faham,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, beliau bersetuju dengan tindakan ahli Pas termasuk unit amalnya yang dikatakan bertindak keluar dari stadium kerana tidak menyenangi apa yang berlaku.
“Saya memang setuju, buat apa kita turut orang, turun dari rumah kita nak protes, tiba-tiba sampai di sana, orang lain buat cara bukan nak protes, tapi nak seronok-seronok, tak boleh,” katanya.
- UM, 09/07/08

3 Julai 2008

Selamat Tinggal Islam Hadhari, Selamat Datang Agenda IFC

Posted on Monday, June 16 @ 18:50:51 MYT
Torashah
Jika diimbas kembali di antara tuntutan-tuntutan Interfaith Commission (IFC) ada menyatakan bahawa "Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadah orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid-masjid."
Dan pada 9 Jun 2008 yang lepas, tuntutan IFC ini telah berjaya dan akan dilaksanakan di Negeri Selangor.
IFC adalah satu gerakan anti-Islam yang didalangi oleh beberapa pemimpin dalam Pakatan Rakyat antaranya adalah Sivarasa a/l Rasiah (Naib Presiden PKR), Tian Chua (Ketua Penerangan PKR), Ronnie Liu (Setiausaha Hal Ehwal Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan DAP Pusat , Elizabert Wong Keat Peng (Ketua Penerangan Wanita PKR) dan juga NGO-NGO yang lain.
Pada 9 Jun 2008, kerajaan campuran Pakatan Rakyat negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah membuat pengumuman untuk menghapuskan peraturan menghadkan rumah ibadat bukan Islam boleh dibina dengan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi di negeri itu.
Keputusan ini diumumkan oleh Dr. Xavier Jayakumar (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Naib Presiden PKR) bersama Ronnie Liu (Pengerusi Tetap Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Negeri, Exco DAP Pusat)
Xavier ketika mula-mula mengangkat sumpah Yang Berhormat di Selangor menjanjikan tapak yang lebih luas berbanding sekarang ini iaitu 0.4 hektar sahaja.
Xavier turut berjanji menambah peruntukan tahunan sejumlah RM3 juta kepada rumah ibadat bukan Islam. Bukankah perkara ini ada di dalam salah satu daripada tuntutan IFC?
Di Selangor jumlah penduduk Islam adalah lebih kurang 4 juta orang dengan jumlah masjidnya adalah sebanyak 380 buah. Manakala penduduk yang beragama Hindu ialah berjumlah 700,000 orang dengan jumlah kuilnya sebanyak 1,000 buah. Apakah pula pendirian orang Melayu dalam PAS dan PKR tentang perkara ini?
Biarpun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim seorang yang beragama Islam tetapi dia tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk menegur atau menghalang tindakan Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu. Sebaliknya keputusan yang diambil ditentukan oleh barisan Exco negeri itu sendiri.
Siapakah MB sebenarnya? Sama juga dengan kes beliau meluluskan ladang mega ternakan babi di Sepang, Selangor. Adakah jawatan Menteri Besar semata-mata sebagai "Pak Turut" dengan mengikuti segala kehendak DAP tanpa ada hak untuk mempertikaikannya?.
Mereka juga menuntut supaya keluasan sesuatu rumah ibadat bukan Islam hanya ditentukan oleh kerajaan negeri dengan melalui pihak berkuasa tempatan. Sebab itulah Ronnie Liu juga mencadangkan agar diadakan pilihanraya di peringkat PBT.
Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Penasihat kepada pakatan Pakatan Rakyat tidak dirujuk tentang cadangan Xavier ini? Kalau Anwar Ibrahim tahu sekalipun apakah Anwar akan menegur Xavier dan Ronnie Liu agar jangan berbuat sedemikian. Atau Anwar lebih percaya kepada Guan Eng berbanding Khalid Ibrahim?
Sama juga dengan sikap tidak ambil peduli Anwar Ibrahim ketika menghadiri satu jamuan makan malam sempena menyambut hari Krismas di sebuah restoran di Bandar Di Raja Kelang hujung tahun lalu.
Ketika Irene Fernandes mempertikaikan kenapa pihak Gereja Katolik tidak boleh menggunakan perkataan "Allah" dan bahasa Malaysia di dalam buletin dan bible mereka, Anwar Ibrahim sekadar berdiam diri sahaja.
Baru-baru ini dikhabarkan, Dr Dzulkefly (Ahli Parlimen Kuala Selangor) juga telah membaca ayat Al Quran di sebuah gereja di Selangor. Dr Dzulkefly menyatakan bahawa Islam memelihara hak semua orang tanpa mengira kaum.
Seorang lagi Exco dari pemimpin Pas, Datuk Dr Hassan Ali pula menyatakan Islam Hadhari diharamkan di Selangor.
Manakala Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semasa berucap di sebuah gereja di Shah Alam menyatakan bahawa masyarakat Kristian tidak perlu takut untuk menggunakan terjemahan "Allah" untuk merujuk kepada kalimah "God" dalam Kristian dan ajarannya.
Khalid juga berpendapat bahawa perkataan "Allah" hanya terjemahan kepada perkataan "God". Beliau juga mendakwa pihak gereja di Negara Arab juga menggunakan perkataan "Allah".
Apakah pula pendirian Hassan Ali, Dr Dzulkefly dan Khalid Samad sebagai mewakili Pas dengan keputusan Xavier ini? Adakah sekadar diam seribu bahasa.
Inilah padahnya membiarkan Pakatan Rakyat memerintah Selangor, selepas membuat kandang babi di Sepang, mereka membenarkan pula agenda IFC dilaksanakan di Selangor.
- pemudaumno online.

Anwar 'tukang lapor' Washington: Syed Hamid

Tindakan Penasihat PKR lapor perkembangan negara dikesali
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkhidmat sebagai 'tukang lapor' kepada Washington mengenai semua perkembangan yang berlaku dalam negara.
Beliau berkata, tindakan Anwar amat dikesali kerana melaporkan segala perkembangan dalam negara kepada Washington, termasuk dakwaan liwat membabitkannya. “
Kenapa Anwar meminta petunjuk negara asing dan bukan daripada rakyat negara ini. Saya fikir untuk menjadi pemimpin negara, beliau mesti bebas bertindak tanpa terikat dengan mana-mana pihak luar.“
Kenapa cepat gelabah memberitahu Washington begitu dan begini. Ini bukan soal politik, tapi soal undang-undang negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, semalam.Kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas Washington kerana cuba campur tangan dalam urusan negara dengan membuat kenyataan berunsur amaran berhubung dakwaan terbaru kes liwat membabitkan Anwar.
Perdana Menteri menegaskan, tindakan Washington yang mahu menentang sebarang siasatan atau pendakwaan terhadap Anwar atas alasan kononnya tuduhan itu bermotif politik adalah prejudis terhadap sistem perundangan negara ini. Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey, dipetik agensi berita AFP sebagai berkata, Washington akan menentang sebarang siasatan atau pendakwaan yang didorong oleh politik terhadap Anwar.
Syed Hamid berkata, sudah menjadi tabiat Washington untuk mencampuri urusan negara luar, terutama negara kecil supaya kehendak mereka diikuti.“Sekarang, kes baru pada peringkat siasatan dan belum ada sebarang dakwaan dilakukan, jadi kenapa mereka hendak campur tangan.
Di Amerika Syarikat juga banyak berlaku jenayah jadi tidak payahlah campur tangan,” katanya.
Beliau berkata, semua orang di negara ini tertakluk kepada undang-undang, termasuk ahli politik dan kenamaan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, turut tidak bersetuju dengan tindakan Washington yang cuba mencampuri urusan dalam negara, walaupun ia membabitkan Anwar.
Beliau berkata, segala masalah yang berlaku di negara ini biarlah diselesaikan oleh rakyat tempatan tanpa perlu campur tangan mana-mana negara asing.“Saya sebagai Ahli Parlimen bersama rakyat Malaysia tetap berpendapat masalah dalam negara tidak perlu kepada campur tangan negara asing,” katanya.
Salahuddin berkata, masyarakat dunia sudah melihat peranan Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan sehingga menyebabkan negara berkenaan mengalami kesengsaraan.Katanya, Amerika Syarikat hanya berminat mengaut kekayaan negara bagi kepentingan mereka.
Pengerusi DAP, Karpal Singh, mempunyai pandangan yang berlainan kerana berpendapat campur tangan Washington itu adalah kerana kes itu membabitkan politik, iaitu Anwar dan pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu.“Saya berasa Washington memang mengambil berat dengan apa yang berlaku selepas kejadian 1998 membabitkan Anwar kerana berpendapat ia mempunyai elemen politik, selain unsur konspirasi.“
Kerajaan tidak seharusnya lupa bahawa negara ini sedang dipantau oleh negara luar selepas apa yang berlaku kepada Anwar 10 tahun lalu. Begitu juga kes Altantuya... kerajaan Mongolia juga sedang melihat setiap pergerakan yang berlaku di negara ini,” katanya.

Taktik Anwar alih perhatian

Oleh ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR 2 Julai - Dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau menerima ugutan bunuh merupakan satu helah dan penipuan besar bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada kes liwatnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ugutan bunuh itu sengaja direka oleh Anwar sedangkan kerajaan mendapati tidak ada ancaman langsung ke atas keselamatan Anwar.
Beliau berkata, tindak-tanduk bekas timbalan perdana menteri itu tidak menghairankan terutama selepas Anwar sanggup berlindung di kediaman Duta Turki di sini baru-baru ini.
"Kita langsung tidak nampak ada ancaman terhadap Anwar.
"Kerana itulah beliau tidak berasa bimbang atau takut akan keselamatan dirinya apabila keluar meninggalkan premis kedutaan tersebut semalam," kata Hishammuddin kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar mengenai ancaman bunuh ke atas dirinya yang memaksanya berlindung di Kedutaan Turki selama 36 jam bermula Ahad lalu.
Hishammuddin menjelaskan, selepas keluar dari kedutaan berkenaan, Anwar langsung tidak kelihatan bimbang untuk muncul di hadapan lebih 10,000 penyokongnya ketika beliau berucap di Stadium Melawati, Shah Alam malam tadi.
"Tindak-tanduk Anwar sangat meragukan kerana gelagat yang ditunjukkan di Stadium Malawati itu tidak menampakkan beliau seperti orang yang menerima ugutan bunuh.
"Nampaknya Anwar bukan sahaja bebas untuk keluar tetapi boleh berhadapan dengan khalayak yang begitu ramai,'' ujarnya.
Sehubungan itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran menasihatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan sandiwara dan lakonan bekas timbalan perdana menteri itu.
Dalam perkembangan lain, beliau juga mempersoalkan tindakan PKR menyekat wartawan Utusan Malaysia daripada membuat liputan pada sidang akhbar Anwar di ibu pejabat parti itu di Tropicana dekat sini semalam.
"Tindakan itu langsung tidak mencerminkan perjuangan mereka yang kononnya memberi kebebasan bersuara dan bersedia mendengar pandangan pihak alternatif.
"Mereka sekadar mengaburi mata rakyat kononnya memberi keadilan kepada semua pihak termasuk media massa," katanya.
- UM, 3/7/08.

2 Julai 2008

Bersumpah Atas Kenyataan Orang Lain : Agenda Atau Masalah Psikologi?

Posted on Friday, June 27 @ 11:47:44 MYT
Kunta Kinte Malaysia
Jika sepuluh fakta hanya satu yang betul, ramai yang cepat lupa sembilan pembohongannya. Inilah modus operandi Raja Petra Kamaruddin. Beliau menjadi penglipurlara dan penulis hikayat yang mengadunkan fakta-fakta dengan fantasi dan ilusinya.
Sama ada ia disengajakan atau merupakan terbitan alam bawah sedarnya, hanya pakar psikologi sahaja boleh menilainya.
Cuma kali ini memang melucukan apabila beliau membuat pengakuan bersumpah bersandarkan cakap orang lain atau sumber-sumber tertentu.
Manusia jenis apakah yang bersumpah atas maklumat orang lain bukannya melalui pengalaman atau penglibatan beliau sendiri? Jika ia bersandarkan maklumat orang lain, ini bermakna beliau mempunyai saksi. Apa perlunya akuan bersumpah jika telah mempunyai saksi?
Atau akuan bersumpah ini sekadar smear campaign menentang Datuk Seri Najib sahaja tanpa saksi dan bukti.
Akuan bersumpah selalunya dibuat jika seseorang itu sendiri terlibat dan mempunyai jalan sukar untuk membawa saksi dan bukti kukuh mengesahkan penglibatan beliau. Ini amat berbeza dengan Raja Petra yang hanya membuat akuan bersumpah atas cakap-cakap gosip orang lain.
Jika pada tahun 1999, Raja Petra dan penyokong reformasi menolak pengakuan bersumpah Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad, tentulah kenyataan bersumpah Raja Petra ini lebih rendah dan marhaen taraf akuan bersumpahnya.
Ini kerana Raja Petra hanya mendengar cakap orang orang lain. Sebaliknya Abdul Murad membuat akuan bersumpah bersandarkan penglibatan langsung beliau dalam mengurus berpuluh juta ringgit wang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika raja Petra dulu menolak akuan berumpah Murad, apa perlu kita mempercayai akuan bersumpah raja Petra yang jauh lebih daif nasnya.
Dalam Pengakuan Bersumpah Raja Petra ini hanya ada watak-watak yang menjejak realiti tetapi fakta-faktanya hanyalah ilusi semata. Raja Petra menggabungkan watak-watak ini untuk menjadikan ia seolah-olah kisah benar.
Lihat sahaja apa yang dicari oleh para blogger ialah benarkah wujud watak-watak seperti Aziz dan Norhayati. Apabila wujud watak-watak ini mereka lantas mempercayai fakta yang dibawa oleh Raja Petra.
Kita pasti apabila dibawa cerita-cerita bahawa tulisan beliau tidak boleh dipercayai, beliau akan menulis mengungkit cerita-cerita dalam kelambu yang beliau tulis akhirnya menjadi kebenaran kemudiannya.
Memang benar ada cerita-cerita beliau yang tidak diketahui umum akhirnya menjadi kenyataan kemudiannya. Tapi banyak juga cerita-cerita beliau merapu dan tidak pernah menjadi kebenaran kemudiannya.
Akuan bersumpah Raja Petra tidak lebih daripada usaha beliau mengalih isu perpecahan Pakatan Rakyat hari ini dan juga menarik simpati orang ramai terhadap kes beliau memfitnah Polis kononnya mempunyai tempat melakukan pembunuhan "Killing field."
Selebihnya, dengan mengaitkan Sultan, Isteri TPM, Menantu PM dan pegawai tentera, maka beliau berharap kes beliau akan digugurkan bagi mengelak kesemua ini dipanggil menjadi saksi untuk Bicara dalam Bicara jika Mahkamah mengambil berat akuan bersumpah karut beliau itu.
Jika dilihat dari sudut psikologi, Raja Petra mungkin memerlukan perhatian yang lebih, justeru beliau cuba menjadikan kes perbicaraan beliau besar dan gah seperti mana perbicaraan anwar Ibrahim dahulu.
Bayangkan jika Sultan pun terpaksa datang ke Mahkamah untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Raja Petra tentulah beliau sendiri akan mengisytiharkan perbicaraan beliau sebagai Trial of the century.
Sama ada Raja Petra ada agenda atau masalah psikologi, hanya masa akan menentukan.
Namun buat masa ini cukuplah kita katakan kepada raja Petra, "Satu kebenaran tidak boleh menjadikan sembilan pembohongan lagi juga sebuah kebenaran."
- pemudaumno online.

Isu Seleweng Dana Makin Terbongkar : Tan Sri Khalid Mula Terperangkap

Posted on Tuesday, July 01 @ 19:31:04 MYT
Oleh Adnil Mohd

Shah Alam -- Walaupun baru mencapai 100 hari Pakatan Pembangkang menerajui Selangor pelbagai kepincangan satu persatu didedahkan.
Terbaru Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor tampil hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa pejabat Menteri Besar Selangor mengenai sumbangan sempena sambutan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Jika sebelum ini Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berdolak dalik dalam isu ini termasuk alasan kurang bernasib baik atau tidak sengaja namun laporan Ezam ini mendedahkan segalanya.
Ezam bukan membuat dakwaan membuta tuli sebaliknya laporan beliau beserta dokumen berkaitan dakwaan salah guna kuasa itu yang diserahkan kepada Pengarah BPR Selangor, Ja'afar Mahad.
Ini sekaligus menutup dakwaan atau tuduhan yang menyatakan Ezam berbohong semasa mendedahkan mengenai perkara itu sebelum ini.
Kata Ezam, "Saya lihat tuduhan bohong itu sebagai tuduhan yang serius dan mencabar kredibiliti saya, jadi sebab itu saya hadir hari ini.
"Saya nak tunjukkan letter head (kepala surat) surat ini yang jelas tunjukkan letter head pejabat Menteri Besar Selangor dan nombor faks yang masuk ke syarikat yang diminta memberi sumbangan ialah nombor faks pejabat Menteri Besar Selangor.
"Jadi ia jelas gunakan pejabat Menteri Besar Selangor untuk mendapat umbangan bagi parti dan individu yang bagi saya jelas berlaku salah guna kuasa," katanya.
Justeru cubaan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menutup isu ini apatah lagi dengan alasan “kurang bernasib baik atau tidak sengaja” jelas satu percubaan memutar belit.
Alasan yang diberikan Tan Sri Khalid juga nyata tidak masuk akal kerana setiap sumbangan kepada penganjur pasti dibuat melalui cek.
Jika permintaan sumbangan untuk akaun kerajaan negeri, mana mungkin sumbangan atas nama Parti Keadilan Rakyat?
Jelas sekali unsur jenayah pecah amanah atau Criminal Breach Trust (CBT) ini telah dirancang dengan baik sekali oleh kumpulan tertentu. Jika tidak bagaimanakah cek-cek tersebut dimasukkan ke dalam akaun PKR?
Perbuatan ini mula terbongkar apabila Ezam mendedahkan tindakan penganjur sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan campuran di negeri itu yang memasukkan wang sumbangan syarikat swasta bagi program itu ke dalam akaun PKR.
Tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang pengerusi penganjur sambutan itu, Datuk Dr Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor.
Yang nyata program sambutan 100 hari itu bukan program parti tetapi program kerajaan yang mengunakan dana kira-kira RM200,000 yang merupakan wang pembayar cukai.
- pemudaonline.

Rakyat Tidak Harus Terperangkap Teori Konspirasi Anwar

Wednesday, July 02 @ 11:07:59 MYT
Oleh Adnil Mohd
Kuala Lumpur -- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata rakyat tidak seharusnya terperangkap dengan teori konspirasi yang digembar-gemburkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat terbaru beliau.
Menurut beliau apa yang diwar-warkan oleh Penasihat PKR itu hanyalah bertujuan untuk mengembalikan pergolakan politik negara pada tahun 1998.
"Saya ingin mengingatkan Anwar bahawa suasana politik pada hari ini amat berbeza berbanding pada tahun 1998 untuk beliau menggunakan alasan keselamatan bagi meraih simpati penyokongnya", katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) seterusnya menambah apa yang dibangkitkan oleh Anwar berhubung soal keselamatan dirinya yang didakwa terancam adalah tidak munasabah sama sekali.
"Apa yang dibangkitkan Penasihat PKR mengenai soal keselamatan adalah tidak tidak berasas.
"Orang ramai perlu melihat ketelusan, kebebasan, keterbukaan dan toleransi yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jadi tuduhan Anwar tidak boleh diterima langsung.
"Sebelum ini beliau bebas ke mana-mana, tiada sekatan langsung dan keselamatannya terjamin. Tuduhan ini semata-mata bagi mencapai impiannya untuk menjadi Perdana Menteri sahaja", ujarnya.
Kata beliau lagi, pergerakan itu berharap siasatan berkaitan Anwar dilakukan segera dengan telus dan adil serta tanpa rasa takut dan tiadk menyebelahi mana-mana pihak.
"Orang ramai sudah tidak percaya dengan tuduhan bahawa suasana dalam negara begitu terancam seperti didakwa", katanya.
Berhubung dakwaan Anwar bahawa konspirasi menjatuhkannya berlaku kerana hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil dan terdapat beberapa wakil rakyat BN akan melompat kempakatan pembangkang, Hishammuddin menyifatkannya sebagai satu dakwaan yang tidak munasabah.
"Apa yang diperkatakan Anwar itu bukan perkara baru, jadi mengapa perkara ini dijadikan alasan", katanya.
- pemudaonline.

Anwar berdolak-dalik Ahli Parlimen BN lompat parti

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 1 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdolak-dalik mengenai hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil dan dakwaan kononnya empat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyertai pakatan pembangkang.
Ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penyokong PKR di Stadium Melawati di sini malam ini, Anwar berkata, pengumuman tersebut terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Penangguhan itu dibuatnya dengan alasan keadaan politik ketika ini tidak sesuai kerana beliau bimbang ada pihak tertentu akan menyekat peluangnya untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi berjanji akan membuat pengumuman berkenaan apabila sudah bersedia.
"Buat masa ini, saya akan tumpukan kepada isu-isu semasa seperti kenaikan harga minyak, makanan, ekonomi negara termasuk laporan polis yang mengaitkan saya dengan kes liwat.
"Biar keadaan ini reda dahulu... barulah kita akan buat pengumuman kerana saya tidak mahu nanti ada pihak yang cuba merancang untuk menghalang saya daripada berbuat demikian,'' katanya.
Anwar semalam mendakwa kes liwat terbaru yang dihadapinya diada-adakan bertujuan menghalang beliau untuk bertanding dalam pilihan raya kecil dan menyekat pengisytiharan yang akan dibuat minggu ini.
Menurutnya, ada pihak juga cuba menggagalkan rancangan beliau untuk membuat pengumuman rasmi minggu ini mengenai kemungkinan empat ahli Parlimen BN, termasuk dua dari UMNO, menyertai pakatan pembangkang.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan melawan habis-habisan tuduhan liwat ke atas yang terkandung dalam laporan polis yang dibuat pada 28 Jun lalu.
Mengenai laporan polis itu, Anwar berkata beliau enggan mengulas banyak kerana "ia adalah skrip lama yang diulang kembali."
Katanya, laporan polis itu dibuat untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu semasa.
Malah, beliau menyalahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang didakwanya terlibat untuk mengenakan beliau pada tahun 1998.
"Saya malas nak ulas banyak-banyak, sepuluh tahun tak ada cerita lain. Dulu usung tilam ke sana ke sini. Kali ini apa lagi mereka nak buat, saya tak tahulah.
"Saya ada bukti mengenai pembabitan kedua-dua individu ini,'' katanya.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut berkata, kenyataan Duta Turki ke Malaysia, Barlas Ozener bahawa beliau mendapat perlindungan kedutaan negara itu sebagai tetamu tidak diundang adalah satu kenyataan bodoh.
Beliau juga memberi amaran tidak akan bertolak ansur sekiranya ada pihak yang cuba memutarbelitkan kenyataan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengenai isu berkenaan.
Beliau percaya Wan Azizah memahami dirinya selain setia terhadap parti, tidak kasar dan tiada cita-cita politik yang tinggi selain mahu mempertahankan dirinya.
- UM, 2/7/08.

1 Julai 2008

Ezam: Jangan termakan cerita konspirasi Anwar

Oleh SUWARNI MOKHTARdan LUKMAN ISMAIL
KUALA LUMPUR 30 Jun – Orang ramai diminta tidak termakan dengan ‘cerita’ Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim konon wujud konspirasi untuk menjatuhkannya menggunakan laporan polis yang mendakwa beliau meliwat seorang pembantunya baru-baru ini.
Bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, adalah mustahil kerajaan sengaja mereka-reka atau membuat konspirasi seumpama itu untuk menjatuhkan Anwar.
“Secara logiknya, tiada siapa hendak buat konspirasi dengan menggunakan ‘modal’ yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.
Menurutnya, perbuatan Anwar mengaitkan nama beberapa pemimpin negara dan kerajaan dengan konspirasi serta menuduh mereka membuat dakwaan itu untuk menjatuhkannya juga bercanggah dengan ajaran Islam.
“Jika Anwar tidak suka dirinya dituduh tanpa bukti, dia juga tidak harus berbuat perkara yang sama.
“Kalau ada bukti, tunjukkan. Jangan tuduh sembarangan dan kemudian pergi bersembunyi. Kenapa?” ujar Mohamad Ezam merujuk kepada tindakan Anwar berlindung di kedutaan Turki di ibu negara sejak awal pagi semalam.
Ketika ditanya mengenai dakwaan kejadian liwat yang membabitkan Anwar dan pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Ezam memberitahu, apa yang berlaku “adalah antara Anwar, Mohd. Saiful dan Allah.”
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Anwar merupakan seorang yang pandai bermain sandiwara bagi menutup kelemahan peribadinya.
Beliau berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja bagi menutup kelemahan diri termasuk menggunakan kedutaan asing bagi meraih perhatian antarabangsa.
“Dia menggunakan alasan kononnya wujud konspirasi sekali lagi oleh kerajaan untuk menjatuhkannya sedangkan tuduhan itu tidak benar,” kata Mohd. Ali.
Beliau berkata tindakan Anwar menggunakan pelbagai pihak untuk bercakap bagi pihaknya dengan mendakwa kes itu sebagai konspirasi hanya memburukkan imej negara, kerajaan dan rakyat.
“Kalau beliau (Anwar) tidak bersalah, beliau patut berani hadapi pihak polis dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
- UM, 01/07/08.

Anwar keluar rumah duta

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di Kedutaan Turki, di sini, sejak awal pagi kelmarin kerana mendakwa berlindung daripada ancaman keselamatan, meninggalkan kawasan itu kira-kira jam 6.45 petang semalam.Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilihat keluar dari kediaman Duta Turki ke Malaysia, Barlas Ozener di Jalan Ampang Tengah, Ampang, dekat sini menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Anwar dilihat meninggalkan kediaman itu bersama isterinya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tiba untuk menjemputnya kira-kira 10 minit sebelum itu bersama beberapa anggota keluarga.Turut berada di situ sejurus sebelum Anwar keluar ialah peguamnya, Sankaran Nair dan beberapa pemimpin kanan PKR termasuk Naib Presiden, Azmin Ali serta sekumpulan penyokongnya.
Bercakap kepada media sejurus kenderaannya melepasi pintu utama kediaman berkenaan, Anwar berkata, beliau bersetuju meninggalkan premis itu selepas berpuas hati dengan jaminan keselamatan yang diberi kepadanya.Anwar berkata, jaminan itu diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim yang menyampaikannya kepada Ozener.“
Yang saya bimbangkan dan pertikaikan ialah tahap (jaminan) keselamatan polis kerana saya ada bukti (Ketua Polis Negara, Tan Sri) Musa Hassan dan (Peguam Negara, Tan Sri) Abdul Gani Patail terbabit dalam rancangan jahat serta mereka-reka fakta palsu dalam kes terdahulu.“Bagaimanapun, saya sekarang ambil keputusan keluar kerana mereka beri jaminan dan saya akan lihat apa yang akan berlaku,” katanya.
Anwar yang berterima kasih kepada Ozener kerana memberi layanan baik dan jaminan keselamatan sepanjang beliau berada di situ mendakwa, laporan terbaru kes liwat terhadapnya sebagai usaha kerajaan menggagalkan rancangannya bertanding pilihan raya kecil.“Ini yang menyebabkan mereka terpaksa bertindak (mengada-adakan laporan polis yang mendakwa beliau terbabit dalam kes liwat) untuk mengelaknya,” katanya.
Ditanya jika beliau sedia memberi kerja sama terhadap siasatan polis berhubung isu itu, Anwar berkata: “Saya akan beri kerjasama tetapi penyiasatan apa? penyiasatan yang berniat jahat, mereka cerita dan fakta bagi menjahanamkan karier politik saya,” katanya.
Jumaat lalu, seorang pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat aduan polis mendakwa diliwat Penasihat PKR itu di sebuah kondominium di Bukit Damansara dekat sini, Khamis lalu.Anwar bagaimanapun, menafikan laporan itu dan mendakwa ia adalah rekaan semata-mata serta menyifatkannya sebagai percubaan terdesak kerajaan untuk menyekat karier politiknya.
Anwar dikatakan pulang ke rumahnya di Bukit Segambut, di sini tetapi wartawan yang menunggu di situ tidak melihat beliau di sana. Media kemudian dimaklumkan beliau akan mengadakan sidang media di ibu pejabat PKR di Damansara tetapi juga tidak muncul di situ.
Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali yang berada di situ bagaimanapun mengumumkan sidang media Anwar dibatalkan dan beliau kini berada di lokasi yang selamat. Anwar dijangka mengadakan sidang medianya hari ini.
Sementara itu, Kedutaan Turki di sini dalam kenyataannya menjelaskan Anwar dibenarkan berada di kediaman dutanya atas dasar perikemanusiaan selepas mendakwa ingin mendapat perlindungan sementara hingga isu tertentu berhubung keselamatan dirinya ditangani.“Hasrat Anwar itu dipenuhi atas dasar perikemanusiaan,” katanya sambil menegaskan bahawa Anwar tidak pernah dijemput mendapatkan perlindungan di kedutaan berkenaan. Kelmarin Anwar mendakwa beliau dijemput Ozener berlindung di situ.
Sementara itu, Syed Hamid dalam sidang medianya di lobi Parlimen semalam, mempersoalkan tindakan Anwar mencari perlindungan di premis kedutaan asing kerana selama ini keselamatan Penasihat PKR itu atau keluarganya tidak pernah terancam.“Selama ini keselamatan Anwar tidak pernah terancam. Kita tidak pernah mengambil sebarang tindakan yang boleh membahayakan nyawanya... kenapa kita perlu melakukannya?,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kerajaan memberi jaminan akan memastikan keselamatan diri dan keluarga Anwar sepanjang mereka berada di negara ini serta bersedia menyiasat sepenuhnya dakwaan beliau menerima ancaman yang boleh membahayakan nyawa.
Syed Hamid juga berkata, tindakan Anwar yang memberi gambaran dirinya dalam bahaya serta cuba mengaitkan pihak berkuasa adalah tidak adil dan perbuatan tindakan berlindung di Kedutaan Turki itu perlu dirujuk kepada Kementerian Luar.
Terdahulu, Ozener dalam pertemuan dengan Rais di Putrajaya, memberitahu pihaknya memberi jaminan akan berusaha menyelesaikan secepat mungkin situasi membabitkan Anwar yang disifatkan sebagai menjadi ‘tetamunya’ sepanjang berada di kedutaan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Rais berkata, Ozener menyatakan pihaknya juga mahu Anwar meninggalkan Kedutaan Turki secepat mungkin.
Rais berkata, beliau menjelaskan kepada Ozener bahawa wujud laporan polis terhadap Anwar dan mengikut Kanun Acara Jenayah (CPC) sesiapa yang menghalang siasatan polis adalah dianggap menghalang proses keadilan.
Ditanya apakah tindakan pihak berkuasa untuk memastikan perkara sama tidak berulang, Rais yang secara berseloroh mengumpamakan insiden itu sebagai babak dalam filem Bollywood berkata, beliau percaya polis sudah mengambil langkah perlu.
Beliau berkata, Anwar tidak harus bimbang keselamatan dirinya kerana negara adalah selamat dan isteri serta anak beliau masih ke Parlimen untuk bersidang malah, tiada sebarang pertuduhan atau pendakwaan mahkamah dibuat terhadapnya melainkan satu laporan polis.“
Terpulang kepada beliau untuk memberitahu pihak berkuasa apa yang berlaku... beliau seorang yang bebas. Kenapa nak takut?... sebagai seorang yang berani, pandai berkata-kata dan panjang akal, beliau boleh menghadapi semua ini,” katanya.
- BH, 1 Jul 08.