30 Julai 2008

Najib: Perlu bincang satu persatu

LUSAKA 29 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO dan Pas perlu berbincang tentang usaha memperkukuhkan ummah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membubarkan kedua-dua parti itu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau berpendapat adalah lebih baik kedua-dua parti itu mengambil langkah satu demi satu dalam mengukuhkan perpaduan orang Melayu.
“Kita tidak patut berlari sebelum boleh berjalan, apa yang patut kita buat adalah membincangkan permasalahan yang berkaitan dengan ummah,” katanya kepada para pemberita ketika ditemui di sini petang semalam.
Beliau yang berada di sini kerana menghadiri Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) 2008, berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar UMNO dan Pas dibubarkan dan bergerak dalam satu parti yang baru.
Nik Aziz berkata, langkah itu dapat menyatukan orang Melayu yang selama ini terbahagi kepada dua parti tersebut.
Najib berkata, kedua-dua parti itu perlu mencari kata sepakat dalam beberapa isu yang boleh menghubungkan perpaduan di kalangan umat Islam.
Selain itu katanya, mereka juga perlu berusaha untuk menguatkan perpaduan nasional antara kaum di negara ini yang selama ini telah dikenali mempunyai semangat toleransi yang tinggi.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri menegaskan, isu perpaduan Melayu dalam konteks muzakarah UMNO dan Pas itu bukan sahaja eksklusif untuk kaum tersebut tetapi juga tidak akan mengetepikan kaum lain.
Sementara itu, ketika ditanya tentang penglibatan beliau dalam program antarabangsa seperti dialog perkongsian pintar tersebut, Najib menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai keutamaan lain termasuk beberapa masalah dalaman yang perlu diberikan perhatian.
“Program ini biasanya dihadiri oleh Perdana Menteri bagaimanapun beliau kini memberi banyak tumpuan terhadap masalah domestik,” ujarnya.
Selain itu katanya, Perdana Menteri juga berasakan adalah penting untuk beliau membina hubungan di peringkat antarabangsa dengan menghadiri dialog seperti itu.
- UM, 30/07/08.

Tiada ulasan: