30 April 2008

Perak lantik imam ahli Pas

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
Kerajaan negeri lakukan pelantikan tanpa rundingan, tidak ikut prosedur

SITIAWAN: Tidak sampai dua bulan memegang tampuk kuasa, kerajaan Pakatan Rakyat sudah menunjukkan taring dengan melantik imam dan pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid (JKKM) tanpa rundingan pada peringkat akar umbi serta tidak mengikut prosedur.Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, berkata 675 imam, pengerusi dan ahli JKKM di masjid dan surau seluruh Lumut serta Beruas yang dilantik pada 2004 kini keliru kerana kerajaan negeri melantik imam dan pengerusi dari kalangan ahli Pas.
Katanya, pelantikan semua imam dan Pengerusi serta Ahli JKKM sedia ada dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) dan sah sehingga Oktober lalu, tetapi Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) mengeluarkan surat mengarahkan mereka terus bertugas sehingga surat lantikan 2007 hingga 2009 dikeluarkan tidak lama lagi.Beliau berkata, pada akhir tahun lalu Pengarah Jaip, Datuk Jamry Sury menyerahkan senarai baru imam dan pengerusi serta ahli JKKM kepada Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Islam Perak untuk pengesahan.“
Majlis itu belum mengesahkan senarai baru untuk melantik semula imam dan pengerusi serta ahli JKKM ini kerana belum bermesyuarat tetapi, kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar daripada Pas, mempunyai senarai mereka sendiri.“
Mengikut prosedur biasa, selepas senarai imam, pengerusi dan ahli JKKM dipilih penduduk kariah, nama mereka diserahkan kepada penghulu dan kemudian kepada Orang Besar Jajahan untuk dimajukan Jaip dan Majlis Agama Islam dan Adat-istiadat Melayu Islam Perak untuk pengesahan.“
Pelantikan daripada kalangan ahli Pas ini juga tidak menghormati Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah selaku Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Islam Perak," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Zambry yang juga Bekas Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi berkata, tindakan kerajaan negeri itu akan memecah-belahkan masyarakat di akar umbi kerana ada dua kumpulan imam dan pengerusi JKKM di 45 masjid atau surau di Lumut serta Beruas.
Katanya, tindakan Pakatan Rakyat itu jelas tidak menghormati titah Raja Nazrin ketika menyampaikan titah sembah setia sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, kira-kira 10 hari lalu.
Antara lain, Zambry berkata, Raja Nazrin bertitah, baginda akan memastikan institusi agama di bawah bidang kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah seperti masjid, surau dan institusi pendidikan Islam akan dijadikan alat penyatuan masyarakat.
BH, 30/04/08.

29 April 2008

Pengarah Jaip diarah bertukar oleh Menteri Besar Perak

SITIAWAN: Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury hari ini diarah bertukar dalam tempoh 24 jam oleh kerajaan campuran negeri Perak kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.
Beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dikatakan diminta keluar dari pejabatnya oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pagi tadi.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengesahkan perkara itu berkata, Jamry dihubungi menerusi telefon oleh Mohammad Nizar untuk berbuat demikian tanpa diberi peluang menjelaskan apa-apa bagi membela dirinya.

Tidak pula diberitahu ke pejabat mana Jamry ditukarkan. Sementara itu, Jamry ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan memaklumkan bahawa beliau akan mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah petang ini, di Istana Kinta di Ipoh.“

Setakat ini saya diminta supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara itu. Kemungkinan saya akan mengeluarkan kenyataan mengenainya selepas mengadap Sultan petang ini, katanya. —

--Bernama.

UMNO Terengganu fail tiga petisyen

Oleh IRMAN HASHIM
KUALA TERENGGANU 28 April – UMNO Terengganu memfailkan tiga petisyen di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung salah laku penyokong dan aktivis parti Pas semasa Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
Tiga petisyen tersebut yang dikemukakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rosol Wahid melibatkan salah laku penyokong pembangkang itu di kawasan Parlimen Marang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan DUN Manir.
Rosol melalui panel peguam, Tetuan Ahmad Shahabudin & Co. menyerahkan ketiga-tiga petisyen berkenaan di Pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed kira-kira pukul 2.30 petang.
Dalam petisyen melibatkan Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga wakil rakyat kedua-dua kerusi itu dinamakan sebagai defendan pertama manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pegawai pengurusan pilihan raya Parlimen Marang, Rahman Che Ali sebagai defendan kedua dan ketiga.
Bagi petisyen melibatkan DUN Manir, UMNO Terengganu menamakan ADUN kawasan itu, Datuk Harun Taib sebagai defendan pertama manakala SPR dan pegawai pengurusan pilihan raya Parlimen Hulu Terengganu, Rozali Salleh sebagai defendan kedua dan ketiga.
Pada sidang akhbar di Pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri selepas itu, Rosol berkata, melalui petisyen-petisyen berkenaan, UMNO Terengganu mahu sesuatu dilakukan terhadap salah laku para penyokong dan aktivis Pas semasa pilihan raya umum lalu.
Menurutnya, antara salah laku berkenaan adalah menghalang pengundi membuang undi, merampas kad pengenalan pengundi dan menakutkan pengundi daripada keluar mengundi.
‘‘Kami mempunyai dokumen dan bukti kukuh berhubung salah laku penyokong dan aktivis Pas itu malah saksi-saksi kejadian juga bersedia memberi keterangan di mahkamah,” ujarnya.
Beliau berkata, petisyen itu perlu kerana tindakan para penyokong dan aktivis Pas itu menyalahi amalan demokrasi di negara ini.
Semalam, UMNO Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini bagi memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan semula dibuat ke atas 127 undi pos bagi kerusi DUN Ladang yang ditolak oleh SPR pada hari pengundian.
-- UM, 29/04/08.

28 April 2008

Perdana Menteri Mahu Semua Pihak Hentikan Polemik Keris

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahukah semua pihak tidak lagi mengembar-gemburkan kesediaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta maaf berhubung tindakannya menghunus keris tiga tahun lalu, sebagai polemik politik.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai ikhlas dan berani, Perdana Menteri berkata kesediaan Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno memohon maaf kerana menghunus keris dan mencium keris "Panca Warisan" itu pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2005, adalah tindakan yang sebaik-baiknya supaya ia tidak menjadi isu lagi.
Abdullah berkata Hishammuddin berbuat demikian atas kehendaknya sendiri dan tidak mendapat sebarang nasihat sama ada daripada beliau sebagai Presiden Umno atau timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya boleh kata di sini bahawa itu langkah yang berani kerana dia memahami nanti banyak juga orang Melayu yang rasa marah kepada dia kenapa begini (minta maaf).
"Tapi sekurang-kurangnya dalam tindakan yang diambil itu, dia dapat beri fahaman kepada bukan Melayu tentang fungsi dan (kedudukan) keris itu dalam masyarakat Melayu yang tak dapat dipisahkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno selama dua jam bermula pukul 5 petang di Menara Dato Onn di sini hari ini.A
bdullah mengulas mengenai tindakan Hishammuddin memohon maaf berhubung isu keris itu kepada orang Melayu dan bukan Melayu pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pemuda BN Jumaat lepas, yang terus menerima reaksi daripada pelbagai pihak.
Perdana Menteri juga meminta semua pihak tidak menyifatkan tindakan meminta maaf Hishammuddin itu sebagai mempunyai agenda tertentu kerana keris sememangnya sudah lama wujud dalam kehidupan orang Melayu.
"Saya juga tak suka perkara ini digembar-gemburkan dan jangan pula jadi isu politik (kerana) ia tiada kena mengena," kata Abdullah yang menyifatkan tindakan itu sebagai kesediaan Umno untuk melakukan pembetulan dalam konteks permuafakatan Barisan Nasional (BN).
Ketika ditanya mengenai Ketuanan Melayu yang dikatakan makin terhakis selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas, Perdana Menteri berkata perkara itu ada disentuh dalam mesyuarat MT hari ini.
Abdullah berkata Ketuanan Melayu perlu dilihat sebagai keupayaan memperkasakan kedudukan orang Melayu selaku pribumi untuk maju dan berjaya tanpa mengambil kepentingan atau memaksa kaum lain.
"Apa yang penting di negara Malaysia ini, orang Melayu yang sememangnya adalah penduduk asli perlu memperkasakan diri supaya dapat maju dan berjaya. Itu penting.
"Kalau tidak maju dan tidak berjaya maka bukanlah tuan. Itulah tempatnya, jadi kuli lah, takkan nak hidup jadi kuli, takkan nak hidup jadi orang tiada peranan dalam pembangunan," katanya.
Beliau berkata Umno juga tidak boleh lupa bahawa kekuatan BN adalah berasaskan kepada muafakat dan kerjasama dengan parti komponen lain dengan Umno menunjangi kekuatan itu.
"Kita bukanlah nak jadi bangsa yang nak 'dominate' orang lain tetapi kita mahu jadi sebuah parti walaupun mewakili orang Melayu tetapi sedia bekerjasama demi masa depan bangsa Malaysia dan kemajuan rakyat Malaysia. Dan dalam kemajuan ini orang Melayu terus maju bersama," katanya.
Abdullah berkata walaupun orang Melayu sudah maju, Umno perlu meningkatkan usahanya untuk memperkasakan kedudukan kaum pribumi itu setanding dengan kaum lain di negara ini.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, Hishammuddin menyifatkan kenyataan Abdullah berhubung isu keris itu sebagai langkah ke hadapan, sejajar dengan kehendak rakyat yang mahu perubahan.
Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan memohon maaf itu dan bersedia menerima sebarang risiko.
"Apabila membuat sesuatu keputusan saya ambil kira semua aspek, takkanlah saya tak fikir kedudukan politik saya sendiri. Tetapi dengan ikhlas saya sanggup korbankan karier politik saya sendiri demi parti," katanya.
Hishammuddin berkata beliau tidak menerima sebarang tekanan dari mana-mana pihak dan menjelaskan beliau berbuat demikian supaya isu keris itu tidak lagi dimanipulasi oleh sesiapa lagi pada masa akan datang.
Ketika ditanya adakah beliau akan menghunus keris Panca Warisan pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno akan datang, Hishammuddin berkata, "itu pertimbangan yang akan dibawa kepada Pemuda Umno".
-- BERNAMA, 27/04/08.

PM Mahu Umno Bahagian Henti Adakan Mesyuarat Tergempar

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kesemua Umno Bahagian diminta menghentikan tindakan mengadakan mesyuarat tergempar untuk mendesak peralihan kuasa dalam parti dilaksanakan sebelum Disember ini.
Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, adalah lebih baik tindakan itu tidak dilakukan kerana pucuk pimpinan sudahpun memahami kehendak dan pandangan akar umbi terhadap kerajaan.
"Apa yang rakyat mahu ialah supaya kita tumpukan kepada hal berkaitan kepentingan rakyat dengan tenaga yang ada pada kita.
"Rakyat sokong kita sebab kita ada program-program yang akan kita laksanakan, kalau kita tidak laksanakan, parti kuat macam mana pun rakyat tidak akan terima, jadi janji kita kepada rakyat mesti ditunaikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di sini, hari ini.
Abdullah berkata masalah dalaman parti tidak boleh melekakan tanggungjawab kepada rakyat.
"Proses demokrasi dalam parti tetap akan berjalan semasa pemilihan (Umno) Disember ini, pada masa itu kita undilah, kita tidak perlu gembar-gemburkan, tidak perlu.
"Sebenarnya kita kenal semua dan semua orang tahu apa mereka buat, apa kemampuan mereka, apa kebolehan mereka, apa salah mereka, apa yang tidak elok dengan mereka. Bila tiba masanya kita buat mesyuarat dan masa itulah kita tentukanlah apa yang patut ditentukan," katanya.
Abdullah berkata, jika tindakan itu dilakukan bertujuan menghantar mesej tertentu kepada beliau berhubung peralihan kuasa, ia tidak perlu kerana telah banyak kenyataan mengenai perkara itu disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan.
Setakat ini tiga bahagian Umno iaitu Bahagian Cheras, Gua Musang, Kelantan dan Batu Pahat, Johor telah mengadakan mesyuarat tergempar meminta proses peralihan kuasa dipercepatkan bagi membolehkan pemulihan Umno dilaksanakan segera.
Ketika diminta mengulas mengenai jumlah undi yang diterima Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Abdullah berkata ia satu perkembangan yang baik kerana ini menunjukkan pelantikan Wan Junaidi turut disokong anggota Parlimen pembangkang.
Wan Junaidi yang juga anggota parlimen Santubong dipilih sebagai timbalan speaker melalui undi bersurat setelah mendapat 157 undi, iaitu melebihi jumlah anggota parlimen BN dalam Dewan Rakyat, yang berjumlah 140 anggota.
-- BERNAMA, 27/04/08.

Abdullah Diminta Percepatkan Proses Peralihan Kuasa

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah diminta mempercepatkan proses peralihan kuasa pada Perhimpunan Agung Umno Disember ini bagi membolehkan pemulihan dalam Umno dilakukan.
Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee ketika membuat gesaan ini berkata Abdullah telah menamakan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai pengganti dan sehubungan itu adalah wajar proses itu disegerakan."Bila dah announced, kena la ada tarikh. Banyak yang Najib kena perbetulkan.
"To be fair dengan Najib...paling sesuai ialah semasa Perhimpunan Agung Umno Disember ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Khas Perwakilan (EGM) Umno Bahagian Cheras di sini hari Ahad.
Syed Ali berkata beliau menyokong resolusi Umno Bahagian Batu Pahat dalam EGMnya malam tadi yang meminta Abdullah menyegerakan proses peralihan kuasa. Umno Batu Pahat mahu peralihan kuasa itu dibuat sebelum Disember ini.EGM Umno Cheras hari ini meluluskan resolusi 15 perkara. Resolusi itu bagaimanapun tidak menyentuh soal peralihan kuasa oleh Abdullah kepada Najib.
Resolusi itu antara lainya mahu Perdana Menteri diberi ruang meneruskan agenda parti dan pentadbiran negara dan tidak perlu meletakkan jawatan ekoran kegagalan mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.
Bagaimanapun, Abdullah diminta bertanggungjawab terhadap prestasi terburuk Barisan Nasional (BN) keseluruhannya termasuk di Pulau Pinang yang telah ditawan parti DAP, PKR dan PAS.Umno Bahagian Cheras turut meminta Pengerusi Badan Perhubungan Umno/BN Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique bertanggungjawab atas kekalahan BN yang memalukan di Wilayah Persekutuan dan mengesyorkan supaya Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengambilalih jawatan itu.
Syed Ali berkata berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kehendak anggota peringkat akar umbi di bahagiannya yang menolak kepimpinan Zulhasnan.
Katanya beliau tidak mempunyai kepentingan menganjurkan EGM itu tetapi ia perlu diadakan untuk mendengar suara anggota di peringkat akar umbi.
Resolusi lain yang diluluskan pada EGM itu ialah meminta sistem kuota dalam pencalonan untuk pemilihan parti dimansuhkan agar Umno dilihat benar-benar demokratik dan keputusannya lebih dihormati.Dalam satu lagi resolusinya Umno Cheras kecewa dan kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Senator Datuk Zaid Ibrahim yang mahukan kerajaan BN memohon maaf secara terbuka berhubung isu pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas 20 tahun lepas.
Ia turut meminta supaya satu Perhimpunan Agung Khas diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Abdullah dan barisan kepimpinan Majlis Tertinggi mendengar secara jelas dan terbuka apa juga kritikan, saranan dan cadangan anggota parti di peringkat akar umbi.
Umno Cheras juga menyarankan supaya wakil perhubungan negeri yang berucap pada Perhimpunan Agung Umno diberi kebebasan menyampaikan mesej serta suara rakyat di peringkat akar umbi dan bukannya membaca teks ucapan yang telah ditapis dan diperhalusi di peringkat jawatankuasa badan perhubungan negeri.
-- BERNAMA, 27 April, 2008 20:20 PM

Kembali ke matlamat asal UMNO - Shahrir

Oleh KAMIL MASLIH
JOHOR BAHRU 27 April - Perpecahan akibat perebutan jawatan dalam UMNO boleh dielakkan sekiranya semua pihak dalam parti itu kembali kepada matlamat asal memperjuangkan kepentingan masyarakat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, perebutan jawatan hanya akan membawa tanggapan bahawa UMNO merupakan parti politik yang terlalu eksklusif sehingga merenggangkan hubungan dengan masyarakat.
"Kalau kita tidak terlalu eksklusif sebagai parti politik dan tidak melihat kepada jawatan dalam parti tetapi melihat kembali kedudukan asal dan tujuan asal kita sebagai parti politik yang membela kepentingan orang ramai, ini akan mengekalkan sokongan rakyat kepada UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pergerakan Belia Malaysia (YMM) daerah Johor Bahru di sini hari ini.
Menurut Shahrir, Barisan Nasional (BN) perlu menggerakkan rancangan pembangunan kerana BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk memelihara kesejahteraan rakyat.
"Ini masa untuk kita bekerja. Kita mempunyai tanggungjawab sebagai kerajaan yang baru mendapat mandat daripada pengundi, kita patut melaksanakan apa yang dijanjikan pada pilihan raya lepas," tegasnya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO pada Disember ini, Shahrir berkata, beliau masih belum lagi memikirkan mengenainya.
Katanya, beliau berpendapat perkara tersebut tidak perlu terlalu diutamakan memandangkan tanggungjawabnya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu didahulukan.
Mengenai cadangan supaya jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO negeri dipertandingkan di kalangan ketua-ketua bahagian, Shahrir berkata, hak bersuara dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut adalah lebih penting daripada jawatan itu.
-- UM, 28/04/08.

27 April 2008

Ahmad sedia terajui UMNO Terengganu

KUALA TERENGGANU 26 April - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bersedia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu jika dilantik ke jawatan itu oleh pucuk pimpinan parti.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu, beliau tidak akan menolak jika ditawarkan jawatan tersebut berdasarkan kedudukannya kini sebagai Menteri Besar Terengganu.
Ini kerana, jelasnya, pada kebiasaannya Menteri Besar akan memegang jawatan tertinggi UMNO di sesebuah negeri bagi memudahkan urusan pentadbiran dan parti, bagaimanapun terpulang kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukannya.
''Secara tradisinya, Menteri Besar akan memegang jawatan nombor satu dalam parti di sesebuah negeri. Biasanya begitulah dan saya tidak akan menolak jika ditawarkan (jawatan)," ujarnya yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Terengganu Equestrian and Country Club (TECC) di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Kebajikan Perkasa Alam (YKPA), Datuk Hamzah Mohamad.
Jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu kini disandang oleh bekas Menteri Besar yang juga ADUN Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh.
Mengenai pemilihan parti di peringkat bahagian tidak lama lagi jelasnya, UMNO mengamalkan demokrasi dan semua pihak bebas bertanding untuk merebut jawatan itu.
Bagaimanapun, menurutnya, jika pertandingan itu boleh membawa masalah kepada parti, maka lebih elok pihak terlibat berkompromi bagi mengelakkan ia daripada berlaku.
''Bila bertanding nanti ada yang tidak sanggup menerima kekalahan manakala yang menang pula beranggapan dia telah menang semua. Kalau bertanding membawa masalah kepada parti, lebih baik elakkan," ujarnya.
Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat pembiakan kuda di Terengganu Endurance International Park (TEIP) di Lembah Bidong, Setiu tidak lama lagi.
Tanpa menyebut jumlah peruntukan yang disediakan, beliau berkata, tujuan pusat berkenaan diwujudkan ialah bagi meningkatkan lagi aktiviti sukan berkuda yang semakin popular di kalangan rakyat negeri itu.
''Kita akan mengadakan lawatan ke luar negara bagi meninjau pusat-pusat pembiakan kuda sebelum pusat seumpama itu dibuka di negeri ini," ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah berkata pada masa ini, seramai 60 pelajar Sekolah Elit Lembah Bidong dan beberapa sekolah sekitar Kuala Terengganu sedang menjalani latihan di bawah Riding in School Program dan Pony Club dengan kerjasama Majlis Ekuin Malaysia (MEM) di TER.

25 April 2008

Ahmad Said akan jumpa PM bincang royalti minyak

KEMAMAN 25 April – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan isu royalti minyak Terengganu dalam tempoh dua minggu lagi.
Ahmad berkata, beliau sedang mencari tarikh yang sesuai untuk mengadakan pertemuan tersebut yang dijangka diadakan pada pertengahan bulan depan.
"Kita akan cuba yang terbaik berhubung isu royalti minyak ini.
"Insya-Allah, dalam tempoh dua minggu lagi, saya sedang menetapkan tarikh dengan Perdana Menteri untuk berunding dengan lebih lanjut. Saudara-saudari tunggu sajalah,'' katanya ketika ditemui selepas program gotong-royong di kawasan Masjid Telok Kalong yang diadakan sempena Kembara Polis Komuniti dan Rakan Cop di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung isu royalti minyak petroleum kepada Terengganu.
Ahmad pada awal minggu ini meminta kerajaan negeri menyerahkan kembali wang royalti minyak yang diuruskan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini kepada kerajaan negeri.
Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Polis, Datuk Ayub Yaakob.
Ahmad berkata, isu berkenaan akan diselesaikan dengan cara terbaik dan rakyat Terengganu perlu menunggu untuk menyaksikan penyelesaiannya.
"Rakyat berdoalah untuk menyaksikan penyelesaian isu ini,'' katanya.
Ditanya maklum balas yang diterima daripada rakyat terhadap tindakan kerajaan negeri tersebut, Ahmad berkata, "Para wartawan lebih maklum mengenai reaksi rakyat.''
- Utusan, 25/04/08.

Anwar dilanda sindrom ‘gila kuasa’


Anwar Ibrahim... bukan sekadar gila kuasa tetapi telah bersekongkol dengan semua musuh kepada bangsa Melayu dan Islam. Politik Melayu bukan pentas joget.
KOTA KINABALU 24 April – Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini seolah-olah dilanda sindrom ‘gila kuasa’ kerana sanggup melakukan pelbagai provokasi bagi tujuan melemahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Anwar sepatutnya sedar dan akur bahawa pakatan pembangkang kalah dan tidak berjaya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum yang lalu.
Menurut beliau, Anwar dengan angkuh menjaja nama ahli-ahli Parlimen BN kononnya akan berpaling tadah menyokong pakatan pembangkang, sedangkan hakikatnya rakyat telah membuat pilihan dan memberi mandat kepada BN untuk memerintah.
‘‘Kita lihat Anwar sekarang seperti ‘orang gila’ kuasa kerana dia buat kenyataan tanpa fakta kononnya Ahli Parlimen BN sertai dia. Ini semua gimik politik dan provokasi.
“Sebetulnya, bila parti dia kalah, dia mahu cuba dengan cara lain untuk memerintah. Beginilah keadaan orang ‘gila kuasa’ sehingga lupa budaya berpolitik, dia akan mencari helah dan apa juga jalan untuk melemahkan kerajaan yang dipilih rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam bahawa pakatan pembangkang dijangka dapat menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baru sebelum sambutan Hari Malaysia iaitu pada 16 September ini.
Anwar antara lain berkata, pakatan pembangkang telah mempunyai sebilangan Ahli Parlimen BN yang akan berpaling tadah tetapi tidak mahu tergesa-gesa membuat pengumuman secara terbuka.
Bung Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, Ahli Parlimen BN di negeri ini adalah mereka yang mempunyai maruah, dan sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat, tidak mungkin akan melompat parti dengan begitu mudah.

-- UM, 25/04/08.

23 April 2008

Dewan Pemuda PAS Sokong MB Terengganu Mohon Dikembalikan Royalti Minyak

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Dewan Pemuda PAS pusat menyokong penuh permintaan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said supaya royalti minyak dikembalikan kepada kerajaan negeri itu untuk membolehkannya melaksanakan pembangunan secara lebih tersusun.
Ketuanya Salahuddin Ayub berkata pergerakan itu berpendapat langkah itu harus diberi perhatian jika kerajaan mahu meningkatkan integriti pentadbiran.
"Dewan Pemuda PAS menolak pendekatan pusat menubuhkan Dana Khas Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan wang ihsan melalui program pembangunan ke Terengganu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari Selasa.
Ahad lepas, Ahmad dilaporkan meminta kerajaan persekutuan menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak, melalui dana itu atau DKKP, kepada kerajaan negeri.
Ahmad berkata royalti minyak sebanyak lima peratus yang ditarik balik semasa PAS memerintah Terengganu pada tahun 2000 dan digantikan dengan DKKP, perlu diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan untuk rakyat di Terengganu.
-- BERNAMA, 23/04/08.

22 April 2008

Wang Ehsan Banyak Bantu Rakyat Terengganu, Kata Abdullah

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemberian wang ehsan sebagai ganti pembayaran royalti minyak daripada kerajaan pusat kepada Terengganu telah membawa kebaikan kepada rakyat negeri itu.
Perdana Menteri berkata pemberian itu yang dibuat menerusi satu langkah yang diputuskan sebelum ini sebenarnya membantu rakyat Terengganu mencapai kejayaan.
"Ada satu kaedah yang telah kita buat dengan kewujudan wang ehsan ini, dan ini sebenarnya membantu rakyat negeri Terengganu selama ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama pada Dialog Integriti Asean 2008 di sini hari ini.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar hari ini yang menyebut Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said meminta kerajaan pusat mengembalikan pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri itu.
Ahmad berkata penyerahan semula hak pengurusan royalti minyak sebanyak lima peratus itu akan membolehkan kerajaan negeri merancang sendiri projek yang sesuai dengan keperluan rakyat setempat.
-- BERNAMA, 22/04/08.

Ahmad Said Minta Kerajaan Pusat Serah Kembali Royalti Minyak

KUALA TERENGGANU, 20 April (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said meminta Kerajaan Persekutuan supaya menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak atau yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata sudah tiba masanya wang royalti minyak sebanyak lima peratus, yang ditarik balik semasa PAS memerintah Terengganu pada tahun 2000 dan kemudiannya digantikan dengan DKKP, diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dijalankan untuk rakyat di negeri ini.
"Kita berharap bahawa kalau boleh Kerajaan Pusat kembalikan royalti itu, kita cakap terus teranglah...tidak boleh selindung lagi. Kita mengharapkan duit (royalti) dapat kepada kita," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.Selepas PAS mengambil alih pemerintahan di Terengganu apabila memenangi pilihan raya umum 1999, Kementerian Kewangan pada 5 Sept 2000 mengumumkan menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ehsan yang disalurkan terus kepada rakyat menerusi projek pembangunan, dan tidak lagi disalurkan melalui kerajaan negeri.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, sejak DKKP diperkenalkan semua projek yang menggunakan dana itu disalurkan terus kepada kementerian yang melaksanakannya tanpa merujuk kepada kerajaan negeri menyebabkan banyak projek yang dilaksanakan gagal memberi impak kerana tidak mengambil kira keperluan rakyat
."Ada projek yang kita rancang... kita akui. Tetapi ada projek yang kita tidak rancang. Tiba-tiba sahaja kita dengar ada projek yang kita dapat.
Buat jalan dalam hutan dengan kos hingga RM50 juta hingga RM60 juta. Kita hanya mengetahui tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah seperti tanah ditarik balik dan sebagainya."Ini yang menjadi masalah... sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ehsan. Mereka menggunakan wang kita, jadi apabila kementerian yang buat ia adalah berasaskan kepentingan kementerian semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu.
"Ini menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri. Saya cakap terus terang ada sesetengah projek yang saya sendiri secara peribadi tidak berpuas hati kerana dengan kos yang tinggi, tidak memberi keutamaan kepada rakyat sebaliknya orang lain tentukan bukan kita, sedangkan kita tuan rumah," katanya.
Ahmad berkata jika Kerajaan Pusat menyerahkan kembali hak pengurusan DKKP, ia akan memudahkan kerajaan Terengganu membuat perancangan tentang projek pembangunan yang hendak dilaksanakan berbanding keadaan sekarang yang memerlukan permohonan dikemukakan terlebih dahulu.
Katanya kerajaan negeri mempunyai keutamaan sendiri dalam menentukan projek yang harus dilaksanakan terlebih dahulu dan jika wang itu ada pada kerajaan negeri, bajet dan perancangan akan menjadi lebih mudah.
-- BERNAMA, 22/04/08.

'Saya bukan penakut, tidak mahu pecah belahkan parti'

Oleh HATA WAHARI
KUALA LUMPUR 21 April - Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) menegaskan, beliau bukan takut untuk bersuara dalam isu-isu politik, sebaliknya berpegang kepada prinsip penyerahan kuasa secara tersusun serta terhormat demi kepentingan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Perdana Menteri berkata, kepentingan UMNO tidak boleh terjejas dan sejarah membuktikan bahawa peralihan kuasa dalam parti itu berlaku dengan tersusun dan baik.
"Ia bukan masalah Mr. Yes Man, tak berani atau takut sebab saya berpegang kepada prinsip bahawa cara yang terbaik ialah penyerahan kuasa secara tersusun dan terhormat.
"Itulah yang akan memberi makna dan menentukan kepentingan parti tidak terjejas dan tidak berpecah-belah," kata Timbalan Presiden UMNO itu.
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak seharusnya dilantik sebagai Perdana Menteri kerana 'tidak berani' mendedahkan sebab sebenar kekalahan BN di beberapa negeri dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak dan Surat Hasrat sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2008) di sini hari ini, Najib berkata, UMNO mempunyai tradisi peralihan kuasa yang lancar.
Menurut beliau, sejarah UMNO memperlihatkan penyerahan kuasa dilakukan dengan tersusun.
"Sudah ada tradisi dan cara baik yang diamalkan dalam parti.
"Pada hemat saya itulah cara terbaik dan kaedah untuk kita melakukan perubahan kepada kepimpinan negara seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Presiden parti," katanya.
Najib percaya peluang perlu diberikan agar peralihan kuasa tersebut berjalan dengan cara yang terhormat memandangkan segala keputusan politik dalam jangka masa terdekat akan memberikan kesan kepada UMNO.
"UMNO dan BN berada dalam keadaan yang lemah selepas pilihan raya umum, ia tidak sekuat dulu dan kita memerlukan masa untuk memulihkan kekuatan UMNO,'' katanya.
Perbalahan dan pergeseran dalaman, ujar Najib, jika berlaku pasti akan membentuk dua atau tiga puak dalam parti yang akan melemahkan UMNO dan BN secara langsung.
Ketika ditanya sama ada UMNO kini dilanda keretakan, beliau menyangkal dakwaan tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan ia akan terjadi jika wujud pergeseran kuasa dan kepimpinan.
"Saya tidak kata wujud perpecahan tapi jika ada krisis kepimpinan, ia akan mengulangi (krisis) tahun 1987 dan krisis (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Persoalannya, apakah BN dan UMNO mampu melalui senario seumpama itu lagi?" kata Najib.
-- UM, 22/04/08.

21 April 2008

Kuasa Baru Era Demokrasi Digital

Posted on Monday, March 24 @ 10:52:58 MYT
Dr Novandri Hasan Basri
Pilihanraya Umum tahun 2008 telah menyaksikan kebangkitan satu era baru yang semakin signifikan hari ini iaitu era demokrasi digital. SMS dan media digital internet seperti e-mel, blog dan halaman web dilihat sebagai satu kuasa baru yang sangat efektif serta dapat menyuarakan pandangan rakyat dengan lebih cepat dan terbuka.
Di dalam media-media cetak hari ini berusaha keras untuk memastikan kerelevanan mereka jika dibandingkan dengan kepantasan dan betapa mudahnya menggunakan SMS dan saluran internet, parti BN juga perlu mencari jalan untuk bersaing di dalam alam maya ini.
Realitinya, informasi yang diterima adalah yang terkini dan mampu menghasilkan ledakan perubahan fikiran para pembacanya.
Malah, respons kepada segala persoalan yang diutarakan pula begitu cepat tanpa perlu melalui protokol-protokol ketat dan berlapis-lapis seperti yang sedia ada. Konsep ini telah pun digunakan di negara-negara maju dengan jayanya
Sebagai contohnya, pengunjung web Yahoo.com boleh mendapat informasi terkini mengenai aktiviti-aktiviti calon-calon Presiden Amerika, Hillary Clinton dan Obama yang telah dijalankan hanya 15 minit yang lalu!
Maksudnya, kita tidak perlu lagi menunggu pada esok harinya untuk membaca isu-isu tersebut di dalam media-media cetak.
Inilah yang dinamakan kemajuan, hasil daripada pelaburan wang rakyat yang berjumlah berbilion-bilion ringgit ke arah mewujudkan generasi yang lebih berpelajaran dan intelek.
Ianya telah menghasilkan rakyat yang lebih berilmu dan kritis. Dalam masa yang sama, kita juga terdedah kepada pelbagai bentuk ideologi politik, samada dari dalam mahu pun luar negeri.
Kemunculan era digital di dalam proses memajukan fikiran dan ilmu rakyat ini dipandang sebagai pemangkin kepada kewujudan koridor baru tanpa sempadan dan tanpa sekatan.
Pokoknya, para pemimpin BN perlu akui bahawa internet dan bahan-bahan di dalamnya kini merupakan salah satu daripada santapan utama kerangka pemikiran dan persepsi golongan yang celik IT dan golongan muda hari ini.
Memang benar bahawa golongan muda hari ini kurang berpengalaman, sama juga seperti golongan-golongan muda tahun 60-an atau pun 70-an.
Akan tetapi mereka itu secara realitifnya lebih berpelajaran dan hidup di dalam era yang lebih moden.
Golongan muda ini juga merupakan golongan yang aktif mempersoalkan pelbagai bentuk isu serta sangat bertenaga untuk mencari jawapan kepada semua persoalan yang terlintas di benak fikiran mereka.
Keinginan untuk mengetahui ini menjadi lebih mudah dengan kewujudan internet dan sms, yang sememangnya sangat diminati oleh golongan muda ini.
Ledakan informasi tanpa sempadan ini menjadi satu masaalah apabila parti BN tidak seiring atau pun lambat menggunapakai kemajuan tersebut.
Realitinya, parti BN tidak mempunyai sebarang saluran maklumat yang signifikan dan terkini di alam maya ini.
Malah presentation dan intipati web-web BN terasa kaku dan tiada komunikasi dua-hala yang mampu menarik hati atau pun menjawab dengan pantas kepada persoalan-persoalan rakyat terutamanya golongan muda.
Disebabkan itu, golongan-golongan tersebut akan mencari maklumat-maklumat yang dikehendaki daripada sumber-sumber lain di dalam internet.
Sumber-sumber itu pula biasanya lebih bercorak anti-kerajaan, tidak tepat dan diolah sedemikian rupa hingga berjaya merubah persepsi golongan itu tentang kerajaan yang sedia ada.
Golongan muda ini pula berkemungkinan besar merantau jauh daripada kampung masing-masing dan bekerja di bandar-bandar besar di mana jaringan informasi internet dan sms adalah yang terpadat dan sangat aktif.
Dan apabila mereka balik bercuti dan sebagai seseorang yang berpelajaran, segala informasi yang mereka terima itu akan menjadi bahan bualan serta mampu mempengaruhi keluarga mereka di kampung halaman masing-masing.
Mungkin yang menimbulkan sedikit masaalah ialah kepakaran di dalam bidang komputer dan IT ini turut dimonopoli oleh generasi muda tersebut.
Dan jika sekali imbas kita akan lihat bahawa berlaku jurang umur yang ketara di antara golongan muda ini jika dibandingkan, sebagai contohnya, barisan kabinet kerajaan negeri dan juga Persekutuan Malaysia.
Untuk pengetahuan para pembaca, purata umur menteri-menteri di Malaysia ialah 55 tahun.
Persoalannya,
- Apakah pemimpin-pemimpin yang sedia ada mahu mendapat pandangan ilmiah daripada generasi yang lebih muda usianya?
- Apakah pemimpin-pemimpin itu juga bersedia untuk diajar mendalami satu ilmu asas yang tidak wujud semasa mereka di peringkat persekolahan dahulu?
Di dalam konteks prestasi parti BN yang tidak memberangsangkan semasa pilihanraya umum yang lepas, pemimpin-pemimpin BN tidak mempunyai alternatif lain.
Mereka mesti bersedia untuk belajar dan diajar agar frekuensi serta kerangka pemikiran mereka dapat memahami citarasa golongan-golongan tersebut.
Baru-baru ini, seorang pemimpin kerajaan baru di Pulau Pinang telah mengorak langkah untuk mendekati golongan muda dan pengguna-pengguna internet yang lain dengan menjawab soalan-soalan yang ditujukan kepada beliau melalui saluran internet.
Mode operandi ini dirasakan sangat efektif untuk mendekati generasi era digital ini kerana ianya mudah, tranparens, direct dan jawapan kepada setiap persoalan itu juga cepat diterima.
Pokoknya, parti BN perlu juga bersikap terbuka dan lebih agresif untuk mengeksploitasikan keberkesanan sms dan internet.
Realitinya, minda rakyat serta kemajuan sains dan teknologi akan terus berkembang pesat dan parti BN akan terus gagal jika tidak seiring dengan kemajuan tersebut.
Akhir sekali, kita perlu sedar bahawa golongan yang paling rugi bukanlah mereka yang telah melakukan kesilapan tetapi golongan yang tidak mahu belajar dari kesilapan mereka sendiri, malah terus mengulangi kesilapan tersebut.
-- pemudaumno online.

Nik Aziz sokong ladang ternakan babi di Selangor

Pak Nik Aziz... makan nasi lauk apatu? (gambar)
PASIR PUTEH: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong cadangan kerajaan Selangor untuk meluluskan ladang ternakan babi secara komersial asalkan ia tidak mencemarkan alam sekitar.

Katanya, tiada sebab mana-mana pihak menghalang cadangan itu sekiranya syarikat yang mengusahakan ladang berkenaan dapat memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kita sokong asalkan ia tidak akan mencemarkan alam sekitar dan penduduk bukan Islam juga berhak dalam soal menternak babi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas langkah kerajaan Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) meluluskan cadangan itu kepada sebuah syarikat untuk menternak babi di Sepang.
Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas, berkata kerajaan Kelantan bagaimanapun tidak akan membenarkan mana-mana pihak membuka ladang ternakan babi secara komersil di negeri itu. “Cukuplah ladang yang sedia ada (yang diternak oleh bukan Islam) di belakang rumah.” katanya. - Bernama.

Pembangkang berpecah di Selangor?

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
PELABUHAN KLANG 20 April - Rakyat Selangor diseru supaya bersatu dan bersedia menghadapi kemungkinan perpecahan dalam pakatan pembangkang yang diwakili oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP yang ketika ini memerintah negeri ini.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Noh Omar berkata, pakatan ketiga-tiga parti berkenaan terlalu 'rapuh' dan tidak berada pada landasan atau matlamat yang sama untuk menerajui negeri itu.
Katanya, keadaan sedemikian jelas dilihat pada pilihan raya umum lalu dengan penggunaan simbol masing-masing dan bukannya berpegang kepada satu simbol seperti Barisan Nasional (BN).
Malah, tiada satu parti pun termasuk BN sendiri berjaya mendapatkan kemenangan majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri yang memerlukan 29 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Menurutnya, Selangor kini diperintah sebuah kerajaan yang lemah kerana tiga parti itu sebenarnya, mempunyai ideologi berbeza dan hanya bergabung untuk membentuk kerajaan negeri semata-mata.
"Kita tahu Pas yang bercakap tentang negara Islam tetapi DAP sudah beri amaran kepada Pas jangan lagi cakap mengenai perkara itu.
''PKR pula terdiri daripada pelbagai kaum dan kita tidak tahu bagaimana mereka akan membela antara satu dengan lain termasuklah menjaga kepentingan orang Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis kesyukuran bersama persatuan penduduk dan persatuan teksi di Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Noh yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menambah, sekiranya satu parti dalam pembangkang itu keluar daripada pakatan mereka, kerajaan Selangor yang ditadbir mereka akan runtuh.
''Kalau Pas keluar daripada pakatan, mereka akan tinggal 28 kerusi saja kerana PKR hanya mempunyai 15 kerusi manakala DAP hanya 13 kerusi.
"Sekiranya DAP keluar, lagi hancur kerajaan negeri kerana mereka akan hanya tinggal 23 kerusi, lagilah mereka tidak boleh memerintah," jelasnya.
Beliau turut menyeru setiap ahli UMNO supaya kembali dan menghayati semangat generasi terdahulu yang ditunjukkan pada tahun 1946 yang sentiasa bersatu walaupun pada ketika itu masyarakat Melayu berada dalam serba kemiskinan, tiada kemajuan dan buta huruf.
Katanya, semangat perpaduan sedemikian perlu diterapkan kepada generasi hari ini kerana ia terbukti telah membawa perubahan kepada orang Melayu dahulu menentang penjajahan.
"Semangat sedemikian perlu ada pada setiap ahli UMNO dan orang Melayu pada masa ini kerana tanpa ahli yang bersatu padu, tiada siapa pun yang boleh menjadi pemimpin atau bangsa yang hebat,'' ujarnya.
Katanya, sekiranya pemimpin datang dari langit sekali pun, tetapi jika ahli tidak bersatu padu, pemimpin dan keseluruhan masyarakat tidak akan berjaya.
-- UM, 21/04/08.

UMNO mesti kembali jadi 'parti kampung'

KEPALA BATAS 20 April - UMNO mesti mengikis imej 'parti eksekutif' yang mula dikaitkan dengan parti itu, sebaliknya kembali menjadi 'parti kampung' dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat bagi meraih semula sokongan setiap lapisan rakyat.
Selain itu, pemimpin UMNO perlu menghayati semula semangat keperwiraan iaitu dengan lantang dan bersungguh-sungguh dalam mendekati serta menyelesaikan setiap masalah rakyat agar mereka menjadi pemimpin yang lebih dihormati.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh berkata, sudah ada kecenderungan dalam kalangan rakyat yang mengaitkan UMNO dengan tempat meraih kuasa dan kekayaan, sehingga parti itu semakin jauh daripada masyarakat.
"Ini realiti yang perlu kita akui, sudah ada persepsi-persepsi begini yang mengaitkan UMNO dengan kemegahan, keangkuhan dan kekayaan. Ini bukan imej UMNO yang sebenar. Dalam keadaan kita gah tampil dengan gaya mewah, masalah dan rintihan orang di bawah pula tidak selesai-selesai. Semua ini rakyat lihat dan menilai, inilah yang akan buat orang berjauh hati dengan UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah isu-isu semasa anjuran Biro Latihan UMNO Bahagian Kepala Batas di Wisma UMNO di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Hashim berkata, 'parti kampung' bukan bermaksud UMNO perlu mundur semula ke belakang tetapi mengukuhkan pendekatan yang lebih mesra rakyat dengan sering turun padang dalam menyelami masalah masyarakat.
Para pemimpin juga, katanya, hendaklah merapatkan jurang antara mereka dengan orang bawahan dan sentiasa bersedia untuk meluangkan masa bertemu dengan rakyat.
"Janganlah ada orang kata hendak jumpa pemimpin pun susah, selalu sangat sibuk, pemimpin kena sedar bahawa mereka adalah tempat rakyat untuk mengadu dan bergantung harap, jadi (hubungan) itu perlu dijaga," jelasnya.
-- UM, 21/04/08.

Ahli UMNO berhak tentukan kedudukan PM

PUTRAJAYA 20 April - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, beliau ti dak pernah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan meskipun sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan tentang perlunya perubahan dalam kepimpinan parti itu.
Beliau bagaimanapun menegaskan, ahli UMNO mempunyai hak untuk menentukan kedudukan Perdana Menteri kerana Abdullah dipilih menduduki jawatan itu berdasarkan keputusan ahli-ahli UMNO yang memilihnya untuk menjadi Presiden parti.
"Soal Perdana Menteri dipilih oleh rakyat, mengikut pandangan saya yang tidak cerdik, itu adalah tidak tepat.
"Abdullah sebenarnya dipilih oleh ahli UMNO yang memilih beliau sebagai Presiden parti dan mengikut konvensyen, sebagai Pengerusi BN beliau dipilih sebagai Perdana Menteri.
"Usah didebatkan soal ini kerana apapun Abdullah datang dari UMNO dan kepada UMNO ia (kedudukannya) harus kembali," kata Muhyiddin ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mempersoal kan hak UMNO untuk menafikan kemahuan rakyat yang inginkan Ab- dullah menjadi Perdana Menteri seperti yang di tunjukkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Mohamed Nazri membidas segelintir pemimpin UMNO termasuk yang bertaraf menteri kerana tidak putus-putus menyarankan Abdullah berundur dan menyifatkan mereka sebagai 'kurang cerdik'.
Sebelum ini, Abdullah yang akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini berkata, peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dilakukan apabila parti berada dalam keadaan baik supaya proses itu berjalan lancar.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdaga ngan Antarabangsa dan Industri berkata, pandangannya mengenai isu peralihan kuasa dalam wawan cara dan kenyataan kepada media sebelum ini lahir daripada rasa cinta dan sayang kepada UMNO serta bangsa Melayu.
-- UM, 21/04/08.

20 April 2008

Penuhi janji pilihan raya - Sultan Azlan Shah

Oleh ABDUL RAZAK DIN
KUALA KANGSAR 19 April – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini meminta kerajaan campuran negeri ini yang baru supaya memenuhi segala janji- janji mereka semasa kempen pilihan raya yang lalu.
Baginda mahu segala yang dikata dikotakan dan seluruh tenaga serta fikiran dijuruskan untuk memajukan negeri.
Menurut baginda, masa berkempen sudah berakhir dan kini adalah masa untuk bekerja.
‘‘Berkempen dan bekerja sangat berbeza. Segala janji hendaklah dipenuhi dan segala kata perlu dikota,” titah baginda sempena Istiadat Menyambut Hari Ulang Tahun Keputeraan Paduka Seri Sultan Perak Ke-80 di Istana Iskandariah di sini hari ini.
- Utusan, 19/04/2008 8:42pm

UMNO Perlu Segera Tawan Ruang Siber, Fahami Selera Pengundi Muda

Oleh: Wadisu77
Dunia Internet merupakan satu sumber maklumat yang tiada sempadan. Rakyat hari ini lebih banyak menghabiskan banyak masa di depan komputer untuk mengikuti perkembangan negara dan dunia. Sumber ini merupakan tarikan utama di mana media elektronik (TV & Radio) telah menjadi pilihan kedua.
Sewajarnya hal ini tidak harus dipandang remeh kerana para intelektual menggunakan saluran ini untuk mencari maklumat dan berforum.
Golongan intelektual ini pula akan mengkhabarkan apa-apa berita kepada golongan yang buta Internet. Secara tidak lansung maklumat disalurkan pula melalui lisan.
Perbincangan hari ini banyak berlandaskan keputusan Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU12) dan sifat kekurangan pada kerajaan yang memerintah.
Ini merupakan nukilan daripada perasaan keseluruhan rakyat amnya dan masyarakat Melayu khususnya.
Setiap hari apa yang dibangkitkan adalah sikap tidak berpuas hati terhadap pembelaan kerajaan kepada masyarakat Melayu. Hanya segelintir yang mendapat manfaat daripada semua yang dirancangkan oleh kerajaan.
Banyak kepincangan yang berlaku terhadap perlaksanaan dasar dan agenda kerajaan.
Semua pelaksanaan ini hanya dikawal oleh sesetengah individu yang berkepentingan dalam kerajaan. Inilah apa yang rata-rata diperkatakan oleh rakyat apabila penulis mendengar bicara rakyat.
Apakah benar ini semua berlaku? Kebenaran inilah yang telah diforumkan di blog-blog. Ini akan menyebabkan Kerajaan BN diserang tanpa disedari kerana ini adalah sumber maklumat nombor satu negara.
Kerajaan harus kembali ke asas perjuangan dengan mengenepikan agenda yang berbentuk peribadi.
Ramai pengundi muda cenderung ke arah pembankang dan mereka ini adalah pengundi yang akan menentukan jatuh bangun kerajaan dalam pilihanraya yang akan datang. Ini kerana jumlah mereka semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Oleh yang demikian kerajaan harus lebih terbuka dalam media elektronik seperti televisyen dan radio sekiranya mahu menarik golongan ini.
Muhasabah diri dan mesra rakyat harus ditunjukkan kepada masyarakat dan praktikkan ia sebagai budaya dalam kepimpinan.
Pegundi muda tidak lagi memandang tinggi pada mereka yang kaya, berharta, berjawatan tinggi atau ugutan.
Ini kerana mereka ini berfikiran intelektual dan mampu bertindak secara senyap atau agresif dengan ikhlas tanpa perasaan takut. Itulah hasil PRU12, secara senyap-senyap golongan ini melakukan perang saraf untuk parti pembangkang sehingga berjaya menawan lima negeri.
Apa yang dilakukan oleh mereka adalah penuh keikhlasan disebabkan perasaan tertindas yang mereka hadapi.
Jentera inilah yang diperlukan oleh BN khususnya UMNO sendiri. Banyak kepincangan telah berlaku dalam kebajikan kepada pekerja parti kerajaan dalam PRU12 sehingga mereka ini merasa tertipu dengan pemimpin mereka di semua peringkat.
Oleh itu semua kepincangan yang berlaku di peringkat cawangan, bahagian dan negeri telah membawa padah kepada BN dan UMNO pada PRU12. Telah hilang sifat amanah, kejujuran, kemesraan dan ketelusan pada pemimpin hingga menyebabkan UMNO dilihat sebagai parti berkepentingan sendiri oleh rakyat.
Seharusnya kerajaan bertindak cepat menjalankan agenda mendekati rakyat dan mendengar suara akar umbi untuk menarik kembali semua rakyat bernaung di bawah BN.
Kesilapan UMNO harus diperbetulkan secepat mungkin agar rakyat khususnya orang Melayu akan berpadu di bawah payung parti keramat ini.
Ingatilah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu demi agama, bangsa dan negara.
Agenda perubahan perlu dilakukan secepat mungkin tanpa berlengah-lengah kerana semua ini akan dinilai oleh rakyat keseluruhannya.
-- pemudaumno online, 1 April 08.

Kisah Lima Babi Panggang Teresa Dan Akhbar Yahudi Pro Anwar

Oleh: Amir Razlan Ramadhan
Kisah gambar lima ekor babi panggang dalam laman web Ahli Parlimen Seputeh dan ADUN Kinrara, Selangor, Teresa Kok dan keghairahan akhbar Israel Jerusalem Post meramalkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia mungkin tidak sepanas filem dokumentari “Fitna” terbitan Geert Wilder yang menghina Islam.
Filem “Fitna” sememangnya tidak dinafikan secara terang memfitnah dan mencemar nama baik Islam serta memutarbelitkan ayat-ayat al-Quran sebagai menganjur keganasan.
Umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia bangkit mengecam penerbitan filem tersebut. Filem “Fitna” ternyata satu lagi buah tangan berterusan produk barat yang tidak henti-henti melakukan provokasi terhadap umat Islam.
Bila ini berlaku pelbagai bentuk tentangan dilakukan oleh umat Islam seperti demonstrasi, boikot produk, protes dan bermacam lagi tindakan. Namun yang pasti apa jua tindakan yang dilakukan seperti tidak mendatang sedikit pun kudis kepada pihak-pihak berkenaan.
Percayalah perbuatan seperti filem “Fitna” ini akan muncul lagi pada masa akan datang.
Berlainan cerita filem “Fitna”, kisah gambar lima ekor babi dalam laman web pemimpin DAP dan keghairahan akhbar Israel “Jerusalem Post” meramal kepimpinan negara seperti tidak diendahkan masyarakat Islam di negara ini khususnya pemimpin dan penyokong parti yang mendakwa menegak perjuangan Islam, Pas.
Hakikatnya penyiaran gambar lima ekor ‘babi panggang’ dalam laman web Ahli Parlimen Seputeh dan ADUN Kinrara, Selangor, Teresa Kok telah membawa kepada pengakuan Teresa sendiri bahawa mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 2 April 2008 telah meluluskan peruntukan RM100 juta bagi tujuan pembinaan ladang ternakan babi moden.
Beliau yang mempersoalkan kenapa isu penyiaran gambar itu menjadi kontroversi melahirkan rasa gembiranya dengan keputusan kerajaan negeri itu memberitahu projek ini menjadi contoh kepada kerajaan negeri lainnya.
Malah Teresa sendiri turut mengakui Exco yang bertanggungjawab dalam bidang pertanian ialah Yaakob Sapari dari PKR merupakan pakar dalam bidang pertanian moden.
Teresa juga melahirkan kehairanannya kenapa masyarakat terlalu sensitif dengan babi sedangkan katanya, beliau pernah melihat babi berkeliaran di kampung-kampung Melayu di Tumpat, Kelantan.
Beliau juga berbangga dengan kelulusan kerajaan negeri Selangor itu dan mendakwa babi juga ciptaan Tuhan.
Tidak dapat tidak boleh dikatkan tindakan meletakkan lima ekor babi panggang seolah-olah menggambarkan kejayaan pembangkang menguasai lima negeri. Dan itulah simbol kebanggaan buat DAP untuk rakyat di negara ini khususnya pengundi mereka.
Namun, sehingga artikel ini ditulis, gambar tersebut telah diubah suai.
Jika sebelum ini gambar lima ekor babi panggang, kini laman web berkenaan hanya hanya memaparkan Teresa bersama pengundi sedang berpegang tangan.
Meskipun tidak ada lagi gambar 'babi panggang' itu tetapi ekor babi itu masih kelihatan.
Selain cerita gambar babi panggang, orang Melayu juga sepatutnya sensetif dan berfikir sejenak berkenaan tindak tanduk akhbar Israel Jerusalem Post meramalkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Ajaib dan sungguh menghairankan selain menumpukan tugas menghalalkan keganasan rejim Yahudi memusnahkan umat Islam, tiba-tiba Malaysia menjadi tumpuan akhbar Yahudi ini.
Adakah akhbar Yahudi ini ikhlas dan cukup prihatin dengan Malaysia. Ini kerana daripada beribu-ribu akhbar di dunia, akhbar Yahudi saja yang membuat ramalan?
Mengapa daripada sekian banyak pemimpin di dunia, hanya Anwar yang menarik minatnya?
Apakah kelebihan Anwar ini di mata akhbar Yahudi? Penulis tertarik dengan beberapa persoalan yang dilemparkan salam satu rencana di dalam satu artikel di akhbar arus perdana (Utusan Malaysia).
Dalam artikel itu penulisnya, M. Hanafiah A. Samad mempersoalkan Israel sendiri tahu Malaysia adalah salah satu negara Islam yang lantang menentang keras pencerobohan dan penindasan yang dilakukannya ke atas negara dan penduduk Palestin.
Apakah dengan membuat ramalan itu sebagai satu daripada cara Yahudi memanipulasi keadaan untuk kepentingannya?
Penulis itu berkata rakyat Malaysia ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku? Apakah ada udang di sebalik batu dan berharap PKR atau Datuk Seri Anwar sendiri menyatakan pendiriannya.
Mungkin mereka akan mengatakan itu adalah kebebasan akhbar. Walaupun alasan itu betul tetapi dalam masa yang sama ia tidak semestinya mengorbankan prinsip.
Sememangnya Orang Melayu yang beragama Islam mesti berwaspada dan hendaklah selalu mengingatkan diri betapa bahayanya mainan Yahudi terhadap umat Islam.
Kata penulis itu lagi Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah negara super power di dunia boleh tunduk kepada Israel, inikan pula sebuah negara kecil seperti Malaysia tidak mustahil boleh tertiarap di kaki Israel.
Yahudi menguasai politik AS bukan baru. Kesemua presidennya mengikut telunjuk Israel. Mereka yang tidak mengikut kemahuan Israel tidak akan dapat bertahan lama sebagai Presiden AS.
Setakat ini, penyokong mahu pun pemimpin parti yang menggelar diri mereka memperjuangkan Islam masih lagi membisu berkenaan gambar babi panggang dan keghairahan akhbar Yahudi tersebut.
Sedangkan dalam isu filem “Fitna” mereka begitu pantas dan berkobar-kobar memberikan reaksi serta melakukan tindakan.
Apakah bagi Pas kalau ada untung politik baru bertindak dan menikus bila sesuatu isu itu terpalit ke muka sendiri. Persoalan ini hanya Pas, pemimpin dan penyokong mereka sahaja ada jawapannya.
-- pemudaumno online, April 07.

Bersatulah orang Melayu

Oleh: ZULKIFLEE BAKAR
“Umat Islam hari ini bukan umat yang kuat, baik di dunia begitu juga di negara ini. Umat Islam tidak boleh berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil hingga akhirnya menjadi umat yang lebih lemah. Umat Islam jangan terlalu taksub berselisih hingga ke peringkat ‘berkerat rotan, berpatah arang’. Umat Islam haruslah arif lagi bijaksana memastikan antara permata dan kaca.’’
Demikianlah titah Raja Muda Perak, Raja Dr.Nazrin Shah di Ipoh, semalam. Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan orang Melayu di negara ini mendengar suara dari istana yang melahirkan kegusaran mengenai perpaduan orang Melayu.
Hakikatnya, sukar untuk diperkatakan apakah mesej-mesej dari istana ini benar-benar dihayati oleh pemimpin- pemimpin Melayu atau tidak, tetapi apa yang pasti sehingga ke hari ini, usaha untuk menyatukan orang Melayu masih menemui jalan buntu.
Apa yang malang walaupun pilihan raya umum lalu membuktikan cengkaman politik Melayu semakin rapuh berikutan perpecahan akibat perbezaan ideologi politik, namun orang Melayu masih belum sedar.
Majlis Perhimpunan Perpaduan Melayu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, berakhir begitu sahaja tanpa sedikit pun menyedarkan pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk mencari jalan bagi membolehkan mereka berada dalam satu kapal yang sama.
Sebaliknya, kita terus mendengar suara sumbang dan ia termasuklah komentar-komentar dalam blog yang seolah-olah tidak mahu melihat perpaduan Melayu itu menjadi kenyataan. Kesudahan usaha menyatukan orang Melayu masih lagi belum nampak jalan penyelesaian.
Suatu ketika, harapan agak terbuka apabila tiga pemimpin politik muda iaitu Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria bercakap dalam nada yang sama iaitu bersetuju untuk bermuafakat dalam mempertahankan hak dan membincangkan hala tuju orang Melayu.
Terbuka
Tetapi malangnya, suara-suara muda ini tidak disambut oleh pemimpin-pemimpin yang lebih senior. Malahan ada sesetengah pemimpin berkenaan beranggapan sekarang bukannya masa untuk membincangkan ketuanan Melayu. Ini jelas apabila Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa membayangkan parti itu tidak berminat untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO mengenai ketuanan Melayu.
Alasan Husam ialah isu ketuanan Melayu tidak perlu diperbesarkan memandangkan masih banyak di negeri dipimpin oleh orang Melayu dan Perdana Menteri pun orang Melayu.
Mungkin Husam mempunyai alasan tetapi, soal yang diperbincangkan bukan sekadar orang Melayu menjadi menteri besar atau Perdana Menteri tetapi lebih daripada itu ialah menyatukan orang Melayu di bawah satu payung.
Kalaulah dengan membenarkan Pas mengendalikan perbincangan mengenai perpaduan Melayu boleh mendorong Pas ke meja rundingan, kita fikir UMNO sudah tentulah tidak ada masalah.
Apa yang penting bukan siapa yang mengendalikan majlis tetapi lebih utama hasil perbincangan berkenaan.
Kita harus berfikiran terbuka dalam soal ini dan tidak menganggap pilihan raya umum lalu seolah-olah meletakkan mana-mana parti terdesak untuk bercakap soal perpaduan Melayu.
Sebaliknya, anggaplah keputusan pilihan raya umum sebagai hikmah daripada Allah untuk menyedarkan orang Melayu bahawa mereka sudah teruk berpecah belah.
Jika sebelum ini, perpecahan orang Melayu hanya berkisar kepada UMNO dan Pas sahaja tetapi kini ia sudah melibatkan satu lagi kelompok iaitu PKR.
Ia bermakna orang Melayu terpecah kepada tiga puak terbesar, namun seandainya keangkuhan PKR tidak boleh diruntuhkan bagi menyatukan orang Melayu tumpuan harus diberikan kepada UMNO dan Pas.
Ini kerana sejak dulu lagi, pelbagai usaha dilakukan bagi menyatukan orang Melayu dalam kedua-dua parti berkenaan.
Bagi pemimpin UMNO, mereka mungkin tiada masalah dan sentiasa bersedia dengan lapang dada untuk mengadakan pertemuan tetapi bagaimana dengan Pas.
Ramai yakin pemimpin-pemimpin Pas juga mempunyai semangat yang tinggi untuk menyatukan orang Melayu tetapi kadangkala ‘ketaksuban’ kepada pegangan ideologi politik menjadi penghalang.
Bagaimanapun kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini bahawa parti itu bersedia berbincang dengan UMNO mengenai soal muafakat Melayu telah menunjukkan bahawa masih ada cahaya di hujung terowong.
Mungkin ramai tertanya-tanya kenapakah perpaduan Melayu dikaitkan dengan UMNO dan Pas sahaja, bagaimana dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu lain.
Sebenarnya, kalau kita mahu menyatukan orang Melayu, faktor paling utama ialah meletakkan pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas di satu meja rundingan.
Apabila ini berlaku sudah pastilah laluan lain untuk menyatukan orang Melayu akan menjadi mudah.
Kita sentiasa percaya dalam sebuah negara demokrasi, adalah menjadi hak kepada mana-mana juga individu untuk menyokong mana-mana parti tetapi mereka juga harus memikirkan kepentingan bangsa dan agama mereka.
Kalau orang Melayu terus taksub dengan pegangan politik masing-masing sehingga sanggup menolak salam perpaduan Melayu kerana bimbang hilang sokongan politik daripada parti kaum lain, ia sudah tentulah sesuatu yang mendukacitakan.
Ideologi
Perpaduan Melayu bukanlah kita meminggirkan mana-mana kaum, sebaliknya ia juga adalah demi faedah seluruh rakyat Malaysia.
Orang Melayu adalah kaum majoriti, oleh itu jika mereka bersatu padu dan tidak berpecah belah sudah pasti ia akan memberi kebaikan kepada semua pihak.
Tetapi kalau orang Melayu bergaduh sesama sendiri dan melakukan tindakan seperti demonstrasi jalanan semata-mata kerana ideologi politik, ia sudah tentulah akan menggugat kehidupan kaum lain.
Oleh itu, kaum lain tidak perlu merasa gundah-gulana apabila orang Melayu bersatu, sebaliknya mereka perlu berterima kasih.
Apa yang penting semua pemimpin Melayu terutama Pas dan PKR haruslah ikhlas. Mereka harus bersedia berunding dengan UMNO dan mengatur langkah bagi memastikan hak serta ketuanan Melayu terus terpelihara.
Janganlah mana-mana pihak merasa angkuh oleh kerana menang besar dalam pilihan raya, mereka tidak perlu lagi bercakap soal perpaduan Melayu.
Ingatlah pesan Raja Dr. Nazrin Shah, “masyarakat Islam akan rugi jika terus bertelagah dan berselisih hingga akhirnya, yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu’’ kerana Islam menyeru kepada perpaduan dan amat menekan aspek perdamaian.’’
Semoga titah ini akan memberi kesedaran kepada kita semua.
-- MM, 20/04/08.

Cabaran politik persepsi

DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN, Ketua Pemuda UMNO.
MUKADIMAHSELAMA sebulan setengah selepas pilihan raya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein banyak menghabiskan masa untuk berfikir. Di dalam mindanya, terpancul satu demi satu penyebab yang memungkinkan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Malahan dalam tempoh itu juga walaupun beliau menganggap adalah sesuatu yang wajar jika kekecewaan, kemarahan dan kekeliruan dizahirkan selepas keputusan sedemikian, namun dirinya juga bertanya sampai bilakah keadaan ini harus dibiarkan? Apakah ia perlu diteruskan? atau ia harus dihentikan bagi mengelakkan BN dan UMNO khususnya di peringkat Pemuda terus bermuram durja.
Oleh itu Hishammuddin mengambil langkah meminta semua ahli Pemuda UMNO dan BN menghentikan tuduh-menuduh, tuding-menuding dan salah-menyalah. ‘‘Kita harus melihat ke depan,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HASSAN MOHD. NOOR dan ZULKIFLEE BAKAR, di Hotel Istana, pada Jumaat lalu.
Selain mahu Pemuda UMNO dan BN melihat ke depan bagi merancang agenda untuk bangkit semula menawan hati rakyat, beliau juga gelisah memikirkan wujudnya apa yang disebut politik persepsi dan politik menakut-nakutkan. Tanpa mahu terlibat dalam sindrom penafian bahawa BN dan UMNO juga ada kelemahan, kewujudan kaedah politik seumpama itu harus ditangani dengan berhemah oleh kedua-dua pihak.
MINGGUAN: Selepas 10 tahun memimpin Pemuda UMNO, bagaimanakah Datuk Seri melihat pencapaian pergerakan itu?
HISHAMMUDDIN: Bagi saya, Pergerakan Pemuda UMNO tetap menjadi sayap yang penting dan relevan. Ini kerana biarpun ada sayap-sayap Pemuda bagi parti-parti politik yang lain seperti Pas, Keadilan dan DAP, namun tumpuan tetap diberikan kepada Pemuda UMNO.
Malahan walaupun dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 menyaksikan Barisan Nasional (BN) tidak mencapai keputusan yang agak cemerlang, namun orang ramai tetap memberi perhatian kepada kepimpinan Pemuda. Ini membuktikan bahawa Pemuda masih diiktiraf sebagai sayap yang bermakna kepada parti dan negara.
Saya mengambil alih kepimpinan Pemuda pada 1999 yang pada masa itu dalam perpecahan. Ketika itu timbul kebimbangan apakah Pemuda masih relevan memandangkan apa sahaja yang tidak betul semuanya dilemparkan kepada Pemuda. Tetapi Alhamdulillah selepas 10 tahun memimpin pergerakan itu, saya lihat Pemuda sudah pun dipulihkan dan ditempatkan dalam kedudukan yang masih dihargai.
Bagaimanapun keputusan pilihan raya yang lalu membawa bersama cabaran dan ujian baru kepada UMNO dan BN. Berikutan itu Pemuda juga tidak terkecuali daripada ujian ini yang menuntut sebuah perubahan. Maknanya Pemuda haruslah menyesuaikan perjuangannya dan melakukan satu gerakan yang mungkin dapat memenuhi kehendak generasi muda sekarang.
Atas sebab itulah, selepas 10 tahun, saya berpendapat sudah tiba masanya saya memberi peluang kepada muka baru. Ini harapan saya dan saya doakan perwakilan nanti dapat memilih pemimpin yang berwibawa bagi membawa Pemuda ke tahap berkenaan dan sentiasa relevan kepada rakyat khususnya generasi muda.
Selepas perubahan bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pada 2004, ramai berpendapat Datuk Seri tidak mempunyai ‘cengkaman’ ke atas pergerakan itu, sebaliknya ia lebih dikuasai oleh individu-individu tertentu, apa pandangan Datuk Seri?
HISHAMMUDDIN: Pilihan raya umum lalu telah membuka satu lembaran baru dalam landskap politik negara. Selain kita mengakui bahawa ada kelemahan-kelemahan dalam UMNO dan BN yang perlu diperbaiki, fenomena politik negara kini dipengaruhi oleh politik persepsi dan politik ‘menakut-nakutkan’. Berikutan itu berlakulah gejala tidak sihat dalam berpolitik seperti pembunuhan karaktor dan serangan peribadi ke atas pemimpin-pemimpin kita. Malangnya dengan kemudahan teknologi maklumat (IT), akhirnya sesuatu perkara seperti tuduhan atau dakwaan yang tidak tahu kesahihannya disebarkan dan berjaya mempengaruhi orang ramai. Ini budaya baru yang bagi saya sudah wujud dan menjadi realiti.
Bagaimanapun dalam soal persepsi bahawa ada kuasa-kuasa tertentu menguasai kepimpinan Pemuda, sama ada ia betul atau tidak, akhirnya ia akan ditentukan oleh suara ramai. Kalau dalam pilihan raya umum, suara itu ialah rakyat dan kalau dalam UMNO, mereka ialah perwakilan. Merekalah yang akan membuktikan sama ada persepsi itu satu realiti atau tidak.
Contohnya, sebelum ini timbul persepsi bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikuasai, dikongkong dan di bawah telunjuk kerajaan. Tetapi apabila dalam pilihan raya umum lalu, rakyat menggunakan hak dengan memberi kemenangan kepada pembangkang di lima buah negeri, ia membuktikan persepsi berkenaan tidak betul. Jadi sekarang kita dilanda fenomena politik persepsi, pembunuhan karektor dan politik menakut-nakutkan. Perbuatan serong ini dimudahkan lagi dengan kemudahan teknologi seperti Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Saya sendiri terasa bahangnya, apabila menjelang hari pengundian bertebaran SMS yang memberitahu, bahawa saya membuat kenyataan, UMNO tidak memerlukan undi orang Cina dan India. Ini pembohongan dan fitnah yang nyata. Tetapi ia mewujudkan persepsi di kalangan orang ramai. Mereka yang tidak mengenali saya, akan menganggap SMS itu betul. Adalah tidak munasabah untuk saya mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana di Parlimen saya sendiri iaitu Sembrong, saya memerlukan sokongan pengundi Cina dan India sebanyak 47 peratus.
Tetapi malangnya, pilihan raya umum lalu politik persepsi inilah yang hampir menumbangkan BN, oleh itu bagaimana hendak menanganinya?
HISHAMMUDDIN: Saya tidak mahu bila bercakap soal politik persepsi, kita (BN dan UMNO) dianggap masih dikuasai sindrom penafian. Saya harus mengakui sememangnya ada kelemahan dalam UMNO dan BN tetapi ia diburukkan lagi dengan kewujudan politik persepsi dan politik ‘menakut-nakutkan’ orang ramai terhadap pemimpin parti berkenaan. Ini termasuklah dalam isu saya menghunus keris.
Oleh itu, saya ingin tegaskan bahawa kita tidak berada dalam sindrom penafian tetapi apa yang saya hendak katakan mengenai politik persepsi ini, ia adalah sesuatu yang realiti, contohnya penyalahgunaan SMS. Ia fenomena baru, tetapi ini tidak ada bezanya dengan keadaan yang suatu ketika dulu terpaksa dilalui oleh pemimpin- pemimpin UMNO dan BN, iaitu serangan yang dilakukan melalui surat layang, surat khabar ‘nyamuk’ dan majalah-majalah.
Walaupun apa yang disebarkan ada sesetengahnya menggunakan perkara yang benar, separuh benar dan fitnah semata-mata tetapi UMNO dan BN terpaksa menanganinya. Kini politik persepsi itu menggunakan pula SMS dan blog-blog bagi mempengaruhi rakyat.
Namun saya percaya akhirnya kita akan dapat menangani politik persepsi ini, jika kita mendengar rintihan mereka dan sentiasa konsisten dalam perjuangan. Justeru, dalam berhadapan dengan situasi ini, pemimpin dan ahli UMNO dan BN harus menanganinya dengan berhemah dan tidak melatah. Mungkin 10 tahun lagi, kaedah lain pula wujud bagi menimbulkan persepsi dan ketika itu sama ada UMNO mampu bertahan atau tidak, ia terserah kepada ahi-ahli.
Ramai berpendapat kegagalan BN menangani serangan melalui blog-blog turut menjadi punca kekalahan kali ini?
HISHAMMUDDIN: Saya bersetuju tetapi ini tidak bermakna kita harus mengikut rentak mereka. Kita hanya perlu menjawab tuduhan yang tidak benar kerana orang ramai harus diberi pemahaman bahawa dalam perkembangan teknologi sekarang, apa-apapun boleh dilakukan termasuklah mengubah suai gambar-gambar pemimpin bagi mewujudkan politik menakut-nakutkan ini.
Atas sebab itulah ketika menghadiri mesyuarat UNESCO di Paris, baru-baru ini, saya tegaskan, ketika kita bercakap soal globalisasi dan menguasai ICT, kita tidak mahu identiti negara-negara kecil seperti bahasa dan agamanya terhakis serta dikuasai kuasa-kuasa besar.
Contohnya, dalam kes filem Fitna perbuatan itu dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang di Belanda yang ingin popular melalui Internet dan dia menggunakan Islam bagi meraih populariti. Akibatnya ia membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Ertinya, fenomena politik menggunakan ICT ini berlaku di seluruh dunia dan kita harus mengkaji bagaimana hendak mempertahankan agama, identiti dan bahasa kita dalam berhadapan dengannya.
Bagaimana dengan pandangan bahawa generasi muda tidak menyokong BN?
HISHAMMUDDIN: Saya yakin jika UMNO dan BN mampu menyesuaikan diri, generasi muda pasti akan mengembalikan sokongan mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Tetapi saya tidak mahu melihat hanya generasi muda menjadi faktor kekalahan kepada BN. Kita harus faham apabila berlaku kekalahan dalam pilihan raya, pelbagai perasaan dilahirkan termasuk dakwaan generasi muda tidak menyokong BN.
Namun untuk menjadi pemimpin, kita harus melihat dalam skop lebih luas. Kalau hendak tumpukan kepada generasi muda, bagaimana pula dengan guru-guru yang tidak berpuas hati dengan kita? Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan, golongan dewasa dan kaum lain?
Kenapa kita bercakap soal pengundi muda Melayu menolak UMNO? Bagaimana dengan pengundi-pengundi Cina dan India? Apakah peranan parti-parti komponen BN dalam menanganinya? Atas sebab itulah, saya tidak mahu melihat punca masalah kekalahan BN berkisar kepada kelemahan Pemuda UMNO sahaja dalam menangani generasi muda.
Berikutan pencapaian BN dan UMNO dalam pilihan raya lalu, bagaimana semangat Pemuda sekarang.
HISHAMMUDDIN: Semangat Pergerakan Pemuda kini berada pada tahap untuk ahli-ahlinya berfikir mencari kepimpinan yang membawa cara baru.
Saya sudah melakukan yang terbaik untuk meletakkan Pemuda dalam keadaan mereka boleh menganjakkan Pemuda ke tahap dan semangat mengikut senario politik negara yang kini semakin mencabar.
Kini giliran pemimpin baru memimpin Pemuda bagi menghadapi cabaran-cabaran semasa. Kita harus laluinya keputusan pilihan raya umum lalu dengan berhemah dan sama sekali tidak boleh lalai lagi. Ini kerana apa yang dibincangkan hari ini (berhubung faktor kekalahan) sudah diperkatakan selepas pilihan raya umum 1999.
Ia berkaitan dengan isu keangkuhan, rasuah, kebendaan dan meminggirkan golongan tertentu. Ketika itu, kita membuat saranan pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO turun ke bawah mendengar rintihan orang ramai dan kita laksanakan program Pemuda masuk kampung dan sebagainya. Tetapi pada 2004, mungkin kerana kemenangan yang dicapai, kita lalai termasuk saya sendiri dan Pemuda. Akibatnya kali ini kita ‘dihukum’ .
Apa yang penting sekarang Pemuda harus melakukan penyesuaian, perubahan dan transformasi bagi menghadapi cabaran masa kini.
Berdasarkan keadaan itu Datuk Seri benar-benar berasa puas hati kerana berjaya menanam semangat seumpama itu ketika memimpin Pemuda ?
HISHAMMUDDIN: Tugas saya sebagai pemimpin harus terus membina semangat mereka. Tetapi sekarang mereka sendiri perlu menunjukkan semangat dan daya kepimpinan.
Sebab itulah, saya mengumumkan tidak mahu menawarkan diri menjadi Ketua Pemuda lagi. Ini bagi membolehkan mereka yang layak dan berhasrat bertanding turun ke bawah bertemu bukan sahaja ahli-ahli Pemuda UMNO tetapi BN untuk memaparkan visi dan misi serta ke arah mana mereka hendak membawa Pemuda dalam arena politik tanah air.
Ahli-ahli kita sekarang bukannya bodoh, mereka juga cerdik seperti rakyat Malaysia yang lain.
Oleh itu calon kepimpinan Pemuda perlu membentangkan kepada ahli-ahli bagaimana beliau hendak membawa pergerakan itu menghadapi cabaran.
Tidakkah Datuk Seri bimbang, pemilihan boleh mencetuskan perpecahan?
HISHAMMUDDIN: Jangan ada mana-mana pihak tergamak bercakaran sesama sendiri dan tidak berdisiplin. Kita harus ingat bercakaran berebut-rebut jawatan inilah yang menyebabkan orang muak kepada BN dan UMNO.
Selama sebulan setengah sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan, saya bermuhasabah dan ketika bertemu dengan Pemuda UMNO Kedah dan Pulau Pinang, saya bertanya kepada mereka, bersetuju atau tidak, kita terus tuduh-menuduh sedangkan sekarang adalah masa untuk memperbaiki keadaan dan bangkit semula dalam perjuangan.
Sebab itulah saya membuat kenyataan meminta supaya isu peralihan kepimpinan dihentikan dan kenyataan itu adalah hasil luahan Pemuda negeri-negeri berkenaan.
Sekarang sudah timbul kesedaran bahawa tuduh-menuduh yang berlanjutan hampir sebulan setengah tidak menguntungkan sama ada UMNO mahupun BN. Malahan ahli-ahli kita sendiri beranggapan cukuplah kita melakukan perbuatan berkenaan kerana ia bukan sahaja merugikan parti tetapi lebih penting merugikan bangsa.
Kita berpendirian begitu kerana percaya BN masih lagi gandingan parti-parti komponen yang sudah teruji persefahaman mereka dalam apa juga situasi. Kalau UMNO tidak menunjukkan kepimpinan yang baik dan BN pula tidak melakukan muhasabah, percayalah bukan sahaja orang yang protes kita tidak akan kembali malahan kita mungkin akan hilang lebih banyak sokongan pada pilihan raya akan datang.
Saya bimbang kalau dalam pemilihan kali ini, ahli-ahli UMNO masih tidak insaf dengan berebut-rebut jawatan dengan mengamalkan politik wang dan tuduh-menuduh, ini akan mewujudkan persepsi tidak baik di kalangan orang ramai berhubung keadaan parti itu.
Apakah betul ahli-ahli UMNO boleh insaf?
HISHAMMUDDIN: Kalau tidak boleh insaf berikutan keputusan pilihan raya kali ini, saya tidak tahulah apa yang lagi perlu kita lakukan. Sebenarnya, apa yang terjadi bagi saya adalah satu hikmah. Ini anugerah daripada Allah S.W.T bagi menyedar dan menginsafkan kita. Hakikatnya, Tuhan masih sayangkan kita kerana bagi negara-negara lain, UMNO dan BN masih lagi diberikan mandat. Oleh itu kenapa anggap diri kita seolah-olah sudah kalah? Kalau benar, ini tsunami politik, kenapa ia tidak berlaku sehingga ke Sabah dan Sarawak? Kenapa kita masih lagi relevan dan berkuasa?
Kita tidak boleh selamanya meletakkan dalam minda bahawa kita dalam keadaan tertekan dan kalah. Kita mesti ada perimbangan tetapi jangan ada sindrom penafian. Kita juga tidak boleh mempunyai minda seolah-olah tidak boleh keluar daripada keadaan sekarang kerana saya yakin parti boleh menyesuaikan diri.
Kalau kita benar-benar melakukan perubahan, InsyaAllah dalam pilihan raya akan datang rakyat akan menilai dan kembali memilih BN dan UMNO. Apa yang penting kita harus membuktikan, bahawa pengalaman dan keputusan kali ini benar-benar menyedarkan dan menginsafkan kita. Sebenarnya, perkara yang mungkin tidak dapat kita lakukan, Tuhan sudah lakukan untuk kita. Kalau itupun masih juga tidak mahu sedar, tidak tahulah saya, apa yang hendak buat lagi.
Jangan menuding jari
Selepas pilihan raya umum lalu bagaimanakah semangat ahli-ahli komponen BN terutamanya Pemuda?
HISHAMMUDDIN: Kita sentiasa yakin dengan apa yang dilakukan. Atas sebab itu ada majlis Pemukiman (Retreat) Ahli-ahli Parlimen BN di Hotel Istana (Jumaat dan Sabtu). Kita berkumpul supaya kita dapat sepakat dalam Parlimen. Ini memandangkan pakatan pembangkang melakukan pelbagai tafsiran berhubung kedudukan kerajaan BN. Oleh itu BN harus mempunyai semangat juang yang kental dan memastikan apa yang diimpikan oleh pembangkang tidak menjadi kenyataan. Kalau satu demi satu ramalan pembangkang tidak menjadi kenyataan, ia akan menjejaskan kredibiliti mereka.
Apa yang penting ialah kita harus terus bergabung dan berusaha untuk melakukan perubahan serta memperbaiki kelemahan. Kita perlu mendengar rintihan orang ramai kerana itulah pengajaran yang kita dapat dalam pilihan raya baru-baru ini. Hikmahnya, keputusan berkenaan akan membuka ruang kepada kita untuk membantu rakyat di peringkat akar umbi.
Satu kelebihan kita dalam BN ialah setiap kali berhadapan dengan ujian ini, kita akan bersatu dan kekuatan kesatuan itulah akhirnya mengizinkan kita bangkit semula dengan wajah yang kuat, lebih matang dan lebih stabil.
Bagaimana dengan sikap sesetengah pemimpin kanan BN yang secara terbuka menyalahkah kepimpinan parti?
HISHAMMUDDIN: Mereka yang melakukan tindakan itu harus sedar, suatu hari nanti ia akan tempias kepada mereka kembali, jangan angkuh, jangan berada dalam sindrom penafian dan apa yang diluahkan sekarang ramai tidak akan lupa. Oleh itu saya minta kepada pemimpin berkenaan lakukanlah muhasabah diri sebelum menyatakan itu dan ini.
Sebenarnya, dua hari selepas pilihan raya, saya bersama-sama kepimpinan Pemuda BN duduk bersama bagi membincangkan soal pilihan raya ini. Hubungan kami begitu erat , bila kita senang kita senang bersama, bila kita susah kita susah bersama.
Sebab itulah sampai hari ini kita masih membincangkan bagaimana corak untuk membawa BN khususnya Pemuda dalam konteks politik sekarang.
Jadi pemimpin BN lain yang turut melakukan penafian dan menuding jari kepada UMNO, mereka juga akan menerima padahnya. Ini kerana dalam konteks politik sekarang bukan sahaja ada orang Melayu sendiri akan menidakkan mereka sebagai pemimpin malahan kaum mereka sendiri juga akan bertindak demikian.
Ini kerana dalam realiti sekarang, bila orang sudah marah dengan cara kita memimpin dan berpolitik, ia merentasi batasan kaum dan agama. Jadi saya hendak mengingatkan mereka bahawa di sini memerlukan satu kekuatan dalam diri sendiri dan keyakinan bahawa masa depan kita bersama banyak bergantung kepada persefahaman,keikhlasan dan kejujuran semua pihak dalam BN.
Kita dalam UMNO dan Pemuda BN hendak melihat ke depan, kalau ada pemimpin lain dalam BN tidak mahu berbuat demikian dan terus berada dalam sindrom penafian, nasib dialah.

17 April 2008

Muhyiddin tiada niat menentang Abdullah, Najib

SUBANG JAYA 16 April - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak berniat menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun dilihat lantang bersuara selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.
Katanya, dalam senario politik yang meruncing, beliau terpaksa menyatakan kebenaran untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu.
"Tiada motif politik, niat saya ikhlas dan bukan tujuan saya untuk bertanding lawan Presiden, Pak Lah atau bertanding lawan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib, itu bukan niat saya.
"Niat saya adalah untuk menjalankan sesuatu yang penting sebagaimana disebutkan dalam pertemuan tadi, itu paling mustahak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan antara Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang diketuai Najib dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor di sini hari ini.
Pertemuan tertutup yang melibatkan kira-kira 1,000 pemimpin UMNO Selangor turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Bendahari UMNO, Datuk Azim Zabidi.
Muhyiddin sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa perubahan perlu dilakukan segera terhadap pucuk pimpinan parti jika tidak mahu UMNO hilang pengaruh atau kuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin turut menafikan andaian sesetengah pihak bahawa sikap lantang itu tidak menggambarkan keperibadian sebenar beliau.
Katanya, itu adalah sikap beliau yang pernah ditunjukkan melalui penglibatannya dalam menangani krisis perlembagaan dan krisis perpecahan UMNO pada tahun 1988.
"Itu adalah saya, apabila berlaku krisis perlembagaan, sewaktu krisis perpecahan UMNO tahun 1988, saya ke depan.
"Saya melihat apabila diperlukan, dalam keadaan yang kritikal supaya Melayu tidak terjerumus masuk gaung sampai tak bangun lagi, saya perlu bercakap," tegasnya.
Muhyiddin tiada niat menentang Abdullah, Najib.

16 April 2008

Peranan masjid perlu dipelbagai: Abdullah

Oleh Azman Zakaria
Institusi diminta anjur kegiatan pikat generasi mudaKUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu supaya institusi masjid sentiasa diimarahkan dan dijadikan tempat yang selesa serta minat dikunjungi semua anggota masyarakat, termasuk generasi muda.
Perdana Menteri berkata, keutamaan harus diberikan supaya masjid bukan hanya menjadi tempat untuk mengerjakan ibadat, sebaliknya juga menganjurkan pelbagai kegiatan lain yang ada hubung kait dengan agama dan pada masa sama menjaga kesuciannya.“
Saya juga mahu masjid menjadi tempat memberi ketenteraman kepada semua yang mengunjunginya, oleh itu banyak yang perlu diusahakan supaya fungsi masjid menjadi lebih baik pada masa depan.“
Masjid juga tidak harus menjadi tarikan hanya kepada orang tua saja... kita tidak mahu masjid menjadi tempat yang dijauhi generasi muda, katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Multaqa Imam-Imam Masjid Seluruh Negara di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, semalam. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, imam dan khatib juga tidak harus membaca khutbah yang boleh menimbulkan masalah atau mewujudkan ketidakselesaan kepada jemaah.“
Kadang-kadang apabila membaca khutbah yang tidak disediakan Jabatan Agama, peluang itu digunakan untuk menyampaikan khutbah yang boleh menyebabkan orang berasa tidak selesa.“
Makmum tidak khusyuk mendengar dan lahir rasa tidak senang. Ini terutama apabila ada hubung kait dengan politik dan tuduhan. Saya tak kata di merata tempat, tetapi ia memang berlaku di tempat tertentu. “
Kita mahu masjid tempat semua orang datang, tak kira ideologi politik... sebabnya masjid tempat yang tenang serta tempat ahli kariah bertemu, katanya.
Abdullah berkata, khutbah yang disediakan Jabatan Agama biasanya mengandungi isu semasa yang wajar dimaklumkan kepada masyarakat umum, tetapi imam atau khatib boleh membaca khutbah lain jika ada isu yang lebih penting dan relevan dengan kariah setempat.
Beliau berkata, penekanan harus diberi bahawa masjid bukan hanya tempat untuk mengerjakan ibadat semata-mata, sebaliknya digunakan juga bagi menganjurkan kegiatan seperti aktiviti berdakwah dan menganjurkan kelas agama.
Katanya, aspek penyelenggaraan juga perlu diberi perhatian pihak pengurusan masjid bagi memastikan persekitarannya sentiasa terpelihara kerana tarikan ke masjid bermula apabila ia selesa dan indah dengan persekitaran menarik.“
Saya juga mahu masjid menjadi tempat memberi ketenteraman kepada yang mengunjunginya. Banyak perlu diusahakan supaya fungsi masjid menjadi lebih baik, masjid juga tidak harus menjadi tarikan hanya kepada orang tua, katanya.
Selain itu, Abdullah turut meminta kalangan imam supaya sentiasa menjaga personaliti dengan menjadi pemimpin masyarakat yang dihormati, disayangi, mudah didekati, adil serta sentiasa berhemah tinggi.
Imam mesti mudah dan senang didekati dan bukan ditakuti kariah kerana mereka adalah tempat mendapatkan nasihat bila berlaku masalah,” katanya.
-- BH, 16/04/08.

Isu peralihan kuasa - Mubarak mahu dilaksanakan segera

KUALA LUMPUR 15 April – Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Barisan Nasional (BN) mahu peralihan kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan dengan segera.
Pemangku Pengerusi Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang berkata, Mubarak telah menyarankan kepada Perdana Menteri bahawa peralihan kuasa ini dilakukan dengan sebaik mungkin.
‘‘Mubarak bagaimanapun menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukan bila peralihan kuasa tersebut dilakukan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Abdullah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Mubarak dan Majlis Veteran UMNO hari ini secara bersama mengadakan pertemuan tersebut selepas Perdana Menteri merasmikan Multaqa Imam- Imam Masjid Seluruh Negara yang dilangsungkan di tempat yang sama.
Ditanya mengenai Abdullah akan mengadakan perbincangan dengan Najib selepas pemilihan UMNO pada Disember ini, Abu Zahar berkata, Mubarak menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan tarikh peralihan kuasa berdasarkan kepada keadaan semasa.
Beliau berkata, Perdana Menteri memberikan maklum balas positif terhadap gesaan mengenai disegerakan peralihan kuasa.
‘‘Ini adalah pandangan ikhlas Mubarak dan saya harap dapat dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya,’’ katanya.
Mengenai hasrat Perdana Menteri untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO, beliau berkata, itu adalah hak Abdullah seperti hak ahli-ahli lain untuk bertanding didalam pemilihan parti pada Disember ini.
Beliau bagaimanapun menekankan pentingnya tindakan segera dan serta-merta perlu dilakukan untuk memulihkan keyakinan rakyat dan ahli-hali UMNO.
-- UM, 16/04/08.

‘Jangan tunggu sampai nasi jadi bubur’

KUALA LUMPUR 15 April – Peralihan kuasa di antara Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu berlaku pada masa yang tepat dan jangan menunggu sampai ke tahap ‘nasi sudah menjadi bubur’.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, pada masa yang sama pergerakan itu mahu proses peralihan antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku dengan tertib dan berhemah bagi memastikan parti tidak berpecah belah.
Beliau turut menegaskan, dalam melaksanakan peralihan kuasa itu, perlu dipastikan tidak berlaku perkara yang akan menyebabkan UMNO lebih lemah daripada yang sepatutnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Presiden dan Timbalan Presiden berbincang secara mendalam dari hati ke hati supaya proses peralihan kuasa berlaku pada masa yang tepat.
“Janganlah pula peralihan kuasa ini dijalankan sehingga keadaan seperti ‘nasi sudah menjadi bubur’.
“Peralihan itu hendaklah dilaksanakan pada masa yang sesuai pada pandangan mereka berdua, juga sesuai daripada kaca mata Datuk Najib sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Abdullah semalam, bahawa beliau akan berunding dengan timbalannya berkaitan hal-hal peralihan kuasa.
Rafidah berharap ahli-ahli parti tidak memaksa Najib mengambil alih kerajaan dengan segera tanpa memberi peluang kepada Abdullah membetulkan keadaan dan menstabilkan parti.
Bagaimanapun katanya, sekiranya dibiarkan terlalu banyak komen dan teka-teki berhubung peralihan kuasa itu, maka parti tidak akan stabil.
Justeru, tegas Rafidah, kestabilan parti hendaklah dijamin sebelum peralihan kuasa dibuat.
“Wanita juga mahu peralihan kuasa difokuskan kepada Presiden sahaja kerana apabila ia berlaku, maka ada Presiden baru. Sudah tentu akan ada Perdana Menteri yang baru.
“Terpulanglah kepada Perdana Menteri baru ini untuk melantik sesiapa yang beliau fikir layak menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Rafidah berkata, adalah tidak wajar bagi ahli-ahli parti untuk menunjukkan kepada Perdana Menteri baru tentang siapa yang patut menjadi Timbalan beliau.
Kata beliau, ia adalah hak penuh Perdana Menteri untuk memutuskannya.
“Selagi ada Presiden parti (Abdullah), kita beri sokongan sepenuhnya. Kita tidak mahu UMNO kucar-kacir,” katanya.
Menjawab soalan bagaimana peralihan kuasa boleh dibuat secara berhemah, Rafidah berkata, ia dibuat bukan berdasarkan desakan atau tekanan daripada mana-mana pihak.
Ketika ditanya kemungkinan peralihan itu berlaku dalam keadaan yang tidak aman, beliau berkata, sebab itulah Abdullah dan Najib perlu berbincang secara bijaksana dari hati ke hati untuk memilih tarikh yang tepat.
“Hanya mereka berdua yang tahu bila masa yang sesuai dan tepat,’’ katanya.
Rafidah juga berkata, ahli-ahli UMNO dari peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi tidak boleh lepas tangan dalam memikul tanggungjawab kekalahan parti itu pada pilihan raya umum lalu.
Katanya, hasil post-mortem yang dijalankan oleh Wanita UMNO telah mengenal pasti pelbagai faktor yang menjadi punca kekalahan dan ia perlu ditanggung oleh semua ahli parti.
Bagaimanapun, katanya, apa yang penting ialah memulih dan merawat parti untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
“Kita jangan bincangkan kelemahan parti di luar kerana tiada hasil yang baik daripadanya. Pihak yang bertepuk tangan tentunya pembangkang dan penentang kita,” jelasnya.
-- UM, 16/04/08.

15 April 2008

MB Selangor dan Wan Azizah antara individu akan dipanggil polis berhubung Black 14

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil semua individu yang terbabit dalam perhimpunan Black 14, malam tadi, termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Ismail akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Samah Mat, berkata mereka akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
"Mereka akan disiasat kerana menganjurkan perhimpunan haram," katanya di sini, pagi ini.