17 April 2008

Muhyiddin tiada niat menentang Abdullah, Najib

SUBANG JAYA 16 April - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak berniat menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun dilihat lantang bersuara selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.
Katanya, dalam senario politik yang meruncing, beliau terpaksa menyatakan kebenaran untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu.
"Tiada motif politik, niat saya ikhlas dan bukan tujuan saya untuk bertanding lawan Presiden, Pak Lah atau bertanding lawan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib, itu bukan niat saya.
"Niat saya adalah untuk menjalankan sesuatu yang penting sebagaimana disebutkan dalam pertemuan tadi, itu paling mustahak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan antara Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang diketuai Najib dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor di sini hari ini.
Pertemuan tertutup yang melibatkan kira-kira 1,000 pemimpin UMNO Selangor turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Bendahari UMNO, Datuk Azim Zabidi.
Muhyiddin sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa perubahan perlu dilakukan segera terhadap pucuk pimpinan parti jika tidak mahu UMNO hilang pengaruh atau kuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin turut menafikan andaian sesetengah pihak bahawa sikap lantang itu tidak menggambarkan keperibadian sebenar beliau.
Katanya, itu adalah sikap beliau yang pernah ditunjukkan melalui penglibatannya dalam menangani krisis perlembagaan dan krisis perpecahan UMNO pada tahun 1988.
"Itu adalah saya, apabila berlaku krisis perlembagaan, sewaktu krisis perpecahan UMNO tahun 1988, saya ke depan.
"Saya melihat apabila diperlukan, dalam keadaan yang kritikal supaya Melayu tidak terjerumus masuk gaung sampai tak bangun lagi, saya perlu bercakap," tegasnya.
Muhyiddin tiada niat menentang Abdullah, Najib.

Tiada ulasan: