16 April 2008

Peranan masjid perlu dipelbagai: Abdullah

Oleh Azman Zakaria
Institusi diminta anjur kegiatan pikat generasi mudaKUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu supaya institusi masjid sentiasa diimarahkan dan dijadikan tempat yang selesa serta minat dikunjungi semua anggota masyarakat, termasuk generasi muda.
Perdana Menteri berkata, keutamaan harus diberikan supaya masjid bukan hanya menjadi tempat untuk mengerjakan ibadat, sebaliknya juga menganjurkan pelbagai kegiatan lain yang ada hubung kait dengan agama dan pada masa sama menjaga kesuciannya.“
Saya juga mahu masjid menjadi tempat memberi ketenteraman kepada semua yang mengunjunginya, oleh itu banyak yang perlu diusahakan supaya fungsi masjid menjadi lebih baik pada masa depan.“
Masjid juga tidak harus menjadi tarikan hanya kepada orang tua saja... kita tidak mahu masjid menjadi tempat yang dijauhi generasi muda, katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Multaqa Imam-Imam Masjid Seluruh Negara di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, semalam. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, imam dan khatib juga tidak harus membaca khutbah yang boleh menimbulkan masalah atau mewujudkan ketidakselesaan kepada jemaah.“
Kadang-kadang apabila membaca khutbah yang tidak disediakan Jabatan Agama, peluang itu digunakan untuk menyampaikan khutbah yang boleh menyebabkan orang berasa tidak selesa.“
Makmum tidak khusyuk mendengar dan lahir rasa tidak senang. Ini terutama apabila ada hubung kait dengan politik dan tuduhan. Saya tak kata di merata tempat, tetapi ia memang berlaku di tempat tertentu. “
Kita mahu masjid tempat semua orang datang, tak kira ideologi politik... sebabnya masjid tempat yang tenang serta tempat ahli kariah bertemu, katanya.
Abdullah berkata, khutbah yang disediakan Jabatan Agama biasanya mengandungi isu semasa yang wajar dimaklumkan kepada masyarakat umum, tetapi imam atau khatib boleh membaca khutbah lain jika ada isu yang lebih penting dan relevan dengan kariah setempat.
Beliau berkata, penekanan harus diberi bahawa masjid bukan hanya tempat untuk mengerjakan ibadat semata-mata, sebaliknya digunakan juga bagi menganjurkan kegiatan seperti aktiviti berdakwah dan menganjurkan kelas agama.
Katanya, aspek penyelenggaraan juga perlu diberi perhatian pihak pengurusan masjid bagi memastikan persekitarannya sentiasa terpelihara kerana tarikan ke masjid bermula apabila ia selesa dan indah dengan persekitaran menarik.“
Saya juga mahu masjid menjadi tempat memberi ketenteraman kepada yang mengunjunginya. Banyak perlu diusahakan supaya fungsi masjid menjadi lebih baik, masjid juga tidak harus menjadi tarikan hanya kepada orang tua, katanya.
Selain itu, Abdullah turut meminta kalangan imam supaya sentiasa menjaga personaliti dengan menjadi pemimpin masyarakat yang dihormati, disayangi, mudah didekati, adil serta sentiasa berhemah tinggi.
Imam mesti mudah dan senang didekati dan bukan ditakuti kariah kerana mereka adalah tempat mendapatkan nasihat bila berlaku masalah,” katanya.
-- BH, 16/04/08.

Tiada ulasan: