16 April 2008

Isu peralihan kuasa - Mubarak mahu dilaksanakan segera

KUALA LUMPUR 15 April – Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Barisan Nasional (BN) mahu peralihan kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan dengan segera.
Pemangku Pengerusi Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang berkata, Mubarak telah menyarankan kepada Perdana Menteri bahawa peralihan kuasa ini dilakukan dengan sebaik mungkin.
‘‘Mubarak bagaimanapun menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukan bila peralihan kuasa tersebut dilakukan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Abdullah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Mubarak dan Majlis Veteran UMNO hari ini secara bersama mengadakan pertemuan tersebut selepas Perdana Menteri merasmikan Multaqa Imam- Imam Masjid Seluruh Negara yang dilangsungkan di tempat yang sama.
Ditanya mengenai Abdullah akan mengadakan perbincangan dengan Najib selepas pemilihan UMNO pada Disember ini, Abu Zahar berkata, Mubarak menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan tarikh peralihan kuasa berdasarkan kepada keadaan semasa.
Beliau berkata, Perdana Menteri memberikan maklum balas positif terhadap gesaan mengenai disegerakan peralihan kuasa.
‘‘Ini adalah pandangan ikhlas Mubarak dan saya harap dapat dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya,’’ katanya.
Mengenai hasrat Perdana Menteri untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO, beliau berkata, itu adalah hak Abdullah seperti hak ahli-ahli lain untuk bertanding didalam pemilihan parti pada Disember ini.
Beliau bagaimanapun menekankan pentingnya tindakan segera dan serta-merta perlu dilakukan untuk memulihkan keyakinan rakyat dan ahli-hali UMNO.
-- UM, 16/04/08.

Tiada ulasan: