30 September 2010

Hantu-hantu perkauman

UM - 30/9/10

Isu perkauman yang masih menghantui masyarakat ketika ini menjadi topik utama artikel bertajuk ‘Pandang jelas, tetapkan pendirian’ tulisan editor eksekutif Sin Chew Jit Poh, Lin Ming Hua. Artikel itu tersiar di ruangan pendapat akhbar tersebut terbitan 28 September lalu.

Tulis Ming Hua, isu perkauman telah menyakitkan dan menyusahkan pemikiran orang ramai. Hantu-hantu perkauman sebaliknya menganggap ia sesuatu yang hebat kerana berjaya mencipta pelbagai isu. Semuanya akan terpisah melalui rasis dengan fakta-fakta yang tiada penghujungnya.

Sesuatu isu yang tidak dapat dihuraikan untuk menutup kebenaran, menjadi semakin pudar kerana salah tafsiran. Inilah yang menjadi adat dan resam dalam masyarakat sekarang.

Ming Hua menulis lagi, dalam masyarakat hari ini, ada pihak yang takut dan risaukan keamanan. Mereka lebih suka suasana yang tidak tenteram.

Hari ini mereka menuding jari mengatakan anda penumpang, esok mereka menyuruh pula anda supaya balik ke negeri asal.

Cuba fikirkan konsep rasis mereka. Dalam masa yang sama, mereka kata anda pula tidak tahu berterima kasih, tidak tahu kontrak sosial dan telah lupa siapa sebenarnya diri anda.

Tidak boleh dinafikan, baik konsep 1Malaysia atau Malaysian Malaysia, hakikatnya kita masih tidak dapat keluar daripada isu perkauman. Sedangkan Malaysia mempunyai tarikan yang begitu kuat kerana kita mempunyai pelbagai kaum.

Bukankah kekuatan negara kita bergantung kepada kepelbagaian kaum yang boleh menjana satu inovasi tinggi dalam pergaulan sesama kita?

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah pernah berkata, tidak kira bumiputera atau bukan bumiputera, semuanya suka memainkan isu perkauman. Kita tidak dapat menafikannya kerana ia adalah kenyataan.

Kita cuba mengelak daripada menuduh orang lain sebagai perkauman bagi membersihkan diri daripada dianggap fanatik. Pada masa sama, kita perlu lebih berhati- hati untuk ‘memuaskan hati tiang-tiang politik di belakang tirai’.

Sebenarnya bukan penjajah British sahaja yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. ‘‘Saya setuju dengan kata-kata seorang penyelidik dari Southern College Johor, Dr. Tan Chong Ho yang berkata, hari ini kumpulan kaum di Malaysia masih terasa diancam dan masih berasa syak wasangka antara kaum dalam fikiran mereka. Perasaan diancam itu adalah racun daripada politik ‘pecah dan perintah’,” tulis Ming Hua.

Tulisnya lagi, disebabkan kurangnya keyakinan dan kefahaman, kaum-kaum tertentu akan berdepan dengan kaum lain secara menunjukkan ego mereka. Ini disebabkan mereka berasa tersisih dan rendah diri. Sikap seperti ini boleh menjurus kepada perbuatan fanatik.

Walaupun hari ini kita berusaha untuk meningkatkan perpaduan dan saling menerima dan memahami antara satu sama lain, halangan dalam masyarakat tetap timbul. Jika ini memang caranya untuk kita meneruskan hidup, maka kita mesti mempertahankannya secara berterusan dan jangan sesekali mengabaikannya.

Pembangkang tawan Putrajaya?

Survival pakatan pembangkang dalam menerajui negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang dibincangkan oleh seorang penulis, Cheng Yi Hui menerusi artikelnya yang bertajuk ‘Bolehkah menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang?’

Artikel itu tersiar di dalam akhbar China Press terbitan 27 September lalu menerusi ruangan perbincangan umum.

Menurut Yu Hui, pakatan pembangkang ketika ini masih berseronok selepas pilihan raya umum lalu dan berhasrat lebih jauh untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

Bagi rakyat yang sudah matang dengan fenomena politik di rantau ini, mereka yakin sasaran pakatan pembangkang itu masih boleh dipertikaikan.

Sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menjadi pemimpin pembangkang, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijangkakan.

Sekiranya beliau dipenjara kerana kes liwat yang dihadapi ketika ini, pemimpin berwibawa mana pula yang akan menggantikan beliau menerajui pakatan pembangkang dan mengimbangi ketiga-tiga parti itu?

Tiga parti dalam pakatan pembangkang ketika ini mempunyai perselisihan besar yang masih terpendam. Pemilihan kepimpinan PKR dicemari kekecohan dan sudah timbul puak-puak serta perasaan syak-wasangka.

Dalam DAP pula, ada isu surat sokongan yang tidak dapat diperjelaskan. Pemimpin-pemimpin DAP yang selalunya membasmi gejala rasuah, tidak dapat menutup kecacatan mereka. Rakyat berasa hampa dan kecewa kerana parti itu tidak menunjukkan sikap lebih telus dan terbuka.

Pas pula kerana isu kerjasama dengan UMNO menyebabkan parti itu terjerumus ke jurang persengketaan. Rakyat dapat melihat perbalahan antara pemimpin Pas dan bagi orang bukan Islam, mereka kurang senang dan berasa curiga tentang masa depan serta hala tuju Pas.

Tulis Yi Hui, melihat kepada keadaan itu hasrat pakatan pembangkang untuk menawan Kerajaan Pusat agak tidak memberangsangkan.

‘‘Tetapi usah risau kerana jika kita ikhlas dan terus memperbaiki kelemahan yang ada, harapan itu sentiasa ada. Apa yang lebih penting ketika ini, kepimpinan ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang di empat buah negeri perlu bersungguh-sungguh. Benar-benar berkhidmat untuk rakyat, mempercepat agenda membasmi gejala rasuah dan tidak menyorok penjenayah rasuah kerana mata rakyat lebih halus dan melihatnya dengan jelas.

‘‘50 tahun tiada perubahan ditukar kepada lima tahun yang boleh berubah, bukankah itu adalah pilihan yang tidak menyusahkan,” tulis Yi Hui.

/hwa: utusan.com.my/

Agong lancar sambutan 50 tahun Bunga Raya Bunga Kebangsaan

Bernama - 2010/09/30

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abdin, hari ini berkenan melancarkan sambutan ulang tahun ke-50 Bunga Raya Bunga Kebangsaan di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay di sini.

Sempena sambutan itu, wang syiling khas dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara serta lagu tema Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan negara turut dilancarkan.

Turut hadir, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rais berkata, sambutan 50 tahun bunga raya sebagai bunga kebangsaan itu diharap dapat mendidik dan mendekatkan generasi muda terhadap satu daripada lambang kemegahan negara yang menjadi signifikan pemersatuan rakyat, inspirasi dalam membentuk identiti negara, kemuliaan dan kegemilangan negara.

Beliau berkata, ia juga diharap dapat menyedarkan golongan tertentu supaya terus menghargai kedudukan Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan.

"Dewasa ini status dan kepentingan Bunga Raya semakin terpinggir. Malah ramai di kalangan generasi muda dan lama yang tidak mengetahui sejarah dan kepentingan bunga raya sebagai bunga kebangsaan," katanya.

Rais berkata, bagi menyemarakkan sambutan itu, kerajaan-kerajaan negeri juga akan meneruskan sambutan meraikan Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan di negeri masing-masing.

Sebagai tanda penghargaan, beliau berkata, setiap negeri akan menerima cenderamata bahan-bahan promosi mengenai Bunga Raya, antaranya cakera padat lagu bunga raya, pin serta buku yang akan digunakan ketika sambutan di negeri berkenaan.

Menyorot kembali sejarah terpilihnya Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan, Rais berkata, ia diumumkan Perdana Menteri pertama negara Tunku Abdul Rahman pada 28 Julai 1960.

Katanya, bunga itu dipilih kerana warna merahnya yang melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta simbol keberanian, manakala lima kelopaknya dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi salah satu elemen perpaduan negara serta membentuk masyarakat yang adil dan saksama.

"Ia juga digunakan sebagai lambang kemegahan negara dengan menjadikannya simbol pada logo-logo, lencana, bendera, setem, medal polis dan turut diterjemahkan dalam wang kertas dan syiling Malaysia," kata Rais.

/hwa: bharian.com.my/

Apakah Melayu rasis?

BH - 30/9/10

Bersama Rejal Arbee

Keengganan guna bahasa kebangsaan pamer sikap tak patriotik

SUNGGUH menakjubkan dan sungguh mencemaskan. Inilah perasaan awal saya melihat perkembangan dewasa ini mengenai kedudukan orang Melayu. Kini sudah wujud semacam golongan yang terang-terangan mempersoal peruntukan Perlembagaan yang memberikan kedudukan istimewa kepada Melayu.

Yang menakjubkan pihak yang terang-terangan mahu hapuskan kedudukan istimewa itu, selain daripada mempersoalkan kedaulatan Sultan Melayu, malah agama Islam sebagai agama rasmi negara ini tidak pula dicap rasis?

Semua perkara ini sudah diterima semua yang mengakui diri sebagai rakyat negara ini sebagai suatu wadah kebangsaan guna memupuk keharmonian hidup dan perasaan kebangsaan menjelang pengisytiharan kemerdekaan lebih 53 tahun dulu.

Kiranya peruntukan ini sudah diterima sebagai kehendak dalam usaha memupuk perasaan kebangsaan dan keharmonian antara semua rakyatnya kenapa pula kini semua hal ini hendak diperlekehkan? Anehnya bila ada pertubuhan yang hendak pertahankan perkara yang sudah pun dipersetujui itu sebagai reaksi kepada pihak yang mempersoalkannya, pertubuhan itu pula dituduh sebagai rasis.

Puak yang terang-terangan mempersoalkan apa yang sudah diterima sejak sekian lama ini tidak pula dicap sebagai rasis. Sungguh menakjubkan dan amat mencemaskan.

Lebih mengaibkan malah amat mengharukan ialah pertubuhan, termasuk syarikat bukan Melayu yang berterusan memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu, iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini yang sudah pun diterima pakai dalam gugusan ini sejak berkurun lalu.

Ia juga diiktiraf sebagai bahasa perpaduan. Apakah mereka yang berterusan memperlekehkan penggunaannya tidak mahu wujud perpaduan dalam negara?

Dalam pada itu pertubuhan bukan Melayu berterusan memperjuangkan kedudukan mereka. Apakah apabila dengan megah tidak sedikit pun mengendahkan penggunaan bahasa Melayu misalnya, pun tidak mengapa?

Mereka ini termasuklah beberapa pertubuhan Cina seperti Suqui dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina lain berterusan mengabaikan kepentingan kebangsaan tidak pula dilabelkan sebagai rasis, jauh sekali hendak diheret minta penjelasan apakah negara ini mengamalkan pelbagai bahasa? Sejak bila pula bahasa Mandarin sudah menjadi bahasa negara ini dan tidak lagi bahasa sukuan?

Inilah dianya, apabila begitu melutut hendak mengambil hati orang hingga mereka ini memanjat kepala kita pun tidak mengapa?

Apa sebenarnya sudah terjadi di negara ini? Apakah ini maknanya 1Malaysia? Kenapakah hingga orang lain berani mengabaikan bahasa yang sudah diiktiraf sebagai bahasa penyatuan dan perpaduan diabaikan demikian pun tidak mengapa?
Jadi tidak menghairankan apabila ada NGO Cina mengancam hendak boikot program bancian penduduk hanya kerana menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris saja tanpa menggunakan Mandarin dalam risalahnya pun dilayan?

Sejak bila pula Mandarin sudah menjadi bahasa negara ini? Kenapa selepas sudah merdeka selama 53 tahun pun masih ada warganya yang begitu sombong tidak mahu menggunakan bahasa kebangsaan dan dilayan pula?

Sebenarnya mereka ini bukan saja tidak harus dilayan, tetapi tindakan sepatutnya sudah boleh diambil terhadap mereka kerana mahu mengabaikan suatu ketetapan yang diiktiraf sebagai satu cara memupuk perpaduan. Apakah pertubuhan ini dan ahli sehaluannya tidak mahu menghormati usaha mewujudkan perpaduan?

Apakah yang perlu dilakukan demi perpaduan negara? Kenapakah apabila ada orang yang begitu rakus mengakui diri sebagai rakyat negara ini, tetapi sedikit pun tidak mahu menerima ketetapan yang dipersetujukan sekian lama dulu, itu pun tidak mengapa?

Sepatutnya semua rakyat yang menganggap diri sebagai rakyat negara ini sudah melaksanakan kehendak ini. Semua rakyat yang cintakan perpaduan sepatutnya sudah boleh bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa ini. Termasuk pemimpin kerajaan, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan.

Tidak harus wujud pemimpin negara lebih-lebih lagi menteri yang jelas kelihatan merangkak-rangkak hendak bercakap bahasa Melayu. Kenapa demikian? Jika tidak fasih. Belajar! susah sangatkah?

Mulai sekarang semua acara nasional dan dianggap rasmi hendaklah dilakukan dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris seharusnya dikhaskan untuk acara bersifat antarabangsa saja. Sesiapa saja yang tidak menghormati bahasa Melayu jangan dilayan.

Demikian juga media elektronik kerajaan, malah media swasta juga termasuk stesen radio dan televisyen kecuali stesen bahasa sukuan tidak harus dibenar mewawancara rakyat negara ini dalam bahasa lain, selain bahasa kebangsaan. Jika mereka ini tidak sanggup bertutur bahasa Melayu jangan temuramah mereka. Habis cerita.

Sudah 53 tahun kita merdeka, apakah masih perlu orang yang tidak tahu bertutur atau faham bahasa kebangsaan masih hendak dilayan? Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah diberi kuasa penuh menghukum mereka yang tidak menghormati kedudukan begini.

Dalam pada itu, memandangkan pentingnya pengetahuan bertutur dan menulis bahasa Inggeris untuk kepentingan pasaran, semua lulusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sepatutnya sudah boleh bertutur dan faham bahasa Inggeris dengan baik apabila saja mereka lulus dan keluar untuk mencari pekerjaan.

Jika tidak kursus intensif untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan ini perlu dilaksanakan supaya mereka tidak gugup dan kaku hendak berbahasa Inggeris apabila ditemuduga untuk mendapatkan pekerjaan.

Sememangnya tidak dinafikan bahasa Inggeris penting dalam suasana pekerjaan, tetapi ini tidak bermakna bahasa Melayu pula mahu dipinggirkan. Inilah saja caranya untuk terus mendaulatkan bahasa Melayu, di samping memberikan penekanan terhadap bahasa Inggeris. Apa susah sangatkah hendak melaksanakan semua perkara ini?

Apakah orang Melayu rasis? Bukankah Melayu suatu suku etnik yang sungguh inklusif, iaitu sanggup menerima sesiapa saja sebagai Melayu asalkan memenuhi tiga syarat yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu bertutur bahasa Melayu secara lazim, mengikut adat resam Melayu dan beragama Islam. Soal etnik tidak timbul pun. Apakah ini pun rasis?

Penulis ialah Felo Kanan UKM

/hwa: bharian.com.my/

Ahli PKR kena pukul oleh Exco

AHLI Parti Keadilan Rakyat (PKR), S. Kottapan (kanan) menunjukkan bagaimana dia didakwa dipukul oleh ADUN Andalas, Dr. Xavier Jayakumar semasa sesi pemilihan peringkat bahagian PKR Kota Raja Ahad lalu, di Klang, 29 Sept. - Utusan/SAHARUDDIN ABDULLAH

Beret Merun

ANTARA aksi yang dipamerkan oleh pasukan 10 Briged Para pada majlis Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para di Dataran Parawood, Kem 8 Rejimen Renjer Diraja Para, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka, 29 Sept. - Utusan/ABDUL RAZAK LATIF

Pulang Wang Ehsan

SEKUMPULAN warga emas memulangkan wang ihsan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diragui sumbernya sambil diperhatikan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim Azhar Ibrahim (dua dari kanan) di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, 29 Sept. - Utusan/SAZALI CHE DIN

Forum CEO 2010

MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melayani peminatnya yang mahu mendapatkan tanda tangan selepas beliau menyampaikan ucaptama pada majlis penutup Forum CEO 2010, di Hotel Berjaya Square, Kuala Lumpur, 29 Sept. - Utusan/ASMARUDDIN JAMALUDDIN

Wang judi dipulangkan

UM - 30/9/10


SEKUMPULAN warga emas memulangkan wang ehsan dan bantuan fakir miskin yang diterima daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipercayai bersumberkan wang judi pada satu majlis di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. – utusan/Sazali Che Din


KEPALA BATAS 29 Sept. – Seramai 40 penerima bantuan program basmi kemiskinan serta wang ihsan sebanyak RM100 daripada kerajaan negeri hari ini bertindak memulangkan semula wang itu kerana ragu-ragu program tersebut dibiayai menggunakan dana perjudian.

Mereka yang terdiri daripada sekumpulan warga emas serta fakir miskin sekitar kawasan berkenaan memulangkan wang tersebut dalam satu majlis di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga di sini hari ini.

Secara simbolik, kumpulan tersebut beramai-ramai memasukkan wang ke dalam sebuah tabung yang akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri pakatan pembangkang dalam masa terdekat.

Pada satu ketika, suasana majlis bertukar hiba apabila beberapa warga emas yang ditemubual pihak media tiba-tiba sebak dan menitiskan air mata ketika meluahkan rasa kesal mengenai isu penggunaan wang perjudian bagi membiayai program berkenaan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim yang juga ADUN Penaga berkata, pihaknya menerima banyak panggilan daripada penerima bantuan terutamanya warga emas yang berasa ragu selepas isu tersebut didedahkan media massa.

‘‘Mereka kecewa apabila kerajaan negeri sendiri mengaku ada menerima wang sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan sehinggakan warga emas yang menerima wang ihsan RM100 baru-baru ini juga meragui sama ada wang itu datang daripada sumber yang sama.

‘‘Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak menghasut mereka (memulangkan wang), tapi bila ramai yang datang ke pusat khidmat hendak berbuat demikian, kita fikir lebih baik mereka berkumpul dan memulangkannya bersama-sama,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis itu.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan ADUN Bertam, Zabariah Wahab.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini mengesahkan bahawa kerajaan negeri menerima wang sebanyak RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bagi membiayai program membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.

Pengakuan itu dibuat beberapa hari selepas pendedahan sepucuk surat yang membuktikan kerajaan negeri menerima baki wang sebanyak RM500,000 daripada kelab berkenaan walaupun kerajaan negeri sebelum ini menafikan pernah menerima wang daripada mana-mana sumber perjudian.

Azhar memberitahu, pihaknya difahamkan ramai warga emas dan fakir miskin di kawasan lain termasuk Bukit Mertajam dan Balik Pulau turut berhasrat memulangkan wang bantuan berkenaan tidak lama lagi.

Beliau berkata, tindakan kumpulan terbabit memberi mesej cukup jelas kepada kerajaan negeri bahawa rakyat negeri ini terutamanya umat Islam tidak akan berkompromi dalam soal mempertahankan hak dan kesucian agama.

‘‘Tindakan kerajaan negeri yang satu ketika menafikan kemudian mengaku pula (menerima wang judi) membuatkan rakyat rasa terpedaya dan Guan Eng perlu tahu bahawa umat Islam lebih rela tidak dibantu daripada diberikan wang sumber perjudian,” tegasnya.

/hwa: utusan.com.my/

Sejuta bakat, profesional 'lari' ke luar negara

UM - 30/9/10

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Penghijrahan hampir satu juta bakat termasuk separuh daripadanya adalah profesional tempatan ke luar negara perlu dipandang serius kerana ia boleh menjejaskan usaha untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020.

Kira-kira 300,000 rakyat Malaysia telah berhijrah ke luar negara dalam tempoh 18 bulan sejak Januari 2008 berbanding 140,000 pada tahun sebelumnya.

Difahamkan kebanyakan mereka berhijrah ke Amerika Syarikat, Eropah terutamanya United Kingdom dan Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Bhd., Tengku Datuk Zafrul Aziz berkata, penghijrahan itu menyebabkan sektor-sektor ekonomi negara terutama dalam industri kewangan sukar mendapat bakat-bakat yang diperlukan.

Menurutnya, meskipun banyak alasan yang diberikan sebagai penyebab penghijrahan itu tetapi satu faktor utama yang perlu diberi perhatian adalah tawaran gaji yang lebih lumayan.

Beliau berkata, profesional lepasan universiti dalam industri kewangan di Malaysia secara puratanya ditawarkan gaji permulaan sebanyak AS$750 (RM2,250) sedangkan di Indonesia golongan berkenaan boleh meraih AS$850 (RM2,618) dan Singapura AS$1,200 (RM3,696) sebulan.

''Jika perkara ini tidak diatasi segera, bagaimana kita boleh bersaing dengan negara-negara serantau ini?'' katanya pada sesi perbincangan di Forum CEO 2010 di sini hari ini.

Beliau turut membangkitkan kemerosotan prestasi universiti tempatan di kalangan universiti dunia.

''Universiti Malaya kini di tempat ke-42 berbanding 39 sebelum ini, begitu juga dengan Universiti Kebangsaan Malaysia di kedudukan ke-55 daripada 51.

''Sedangkan Singapura di tempat ketiga dan Amerika Syarikat di kalangan tempat lima terbaik. Jika begini bagaimana graduan kita mahu bersaing, setidak-tidaknya dengan Singapura, Indonesia dan Thailand,'' tambahnya.

Tengku Zafrul berkata, negara juga perlu mengkaji dan melihat semula mengapa negara ini semakin hilang daya saing dan ketelusan.

Buktinya, kata beliau, pada tahun 2008/09, Malaysia berada pada kedudukan ke-21 dalam aspek tersebut dan prestasi terus merosot di tangga ke-24 pada 2009/10, sedangkan negara pesaing terdekat, Singapura terus selesa di tempat keenam.

Selain itu, beberapa masalah lain perlu diberi perhatian termasuk masalah birokrasi dan fokus menangani perlakuan terlebih peranan serta tidak menggunakan sepenuhnya sistem berdasarkan merit.

/hwa: utusan.com.my/

'Kami rasa cukup terhina'

UM - 30/9/10

KEPALA BATAS 29 Sept. - ''Kami rasa cukup terhina. Kalau tahu, satu sen pun kami tak nak."

Itu antara luahan sekumpulan warga emas dan fakir miskin yang bertindak memulangkan semula wang hasil pemberian kerajaan negeri kerana ragu-ragu ia bersumberkan dana perjudian.

Rata-rata mereka yang ditemui menyatakan rasa marah dan kesal berikutan pengakuan kerajaan negeri menerima dana sebanyak RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bagi membiayai program membasmi kemiskinan di negeri ini.

Menurut mereka, walaupun kerajaan negeri menegaskan wang perjudian yang diterima sudah diasing-asingkan termasuk bagi bantuan wang ihsan RM100 kepada warga emas, ia tidak mampu menghilangkan rasa keraguan berhubung sumber sebenar wang bantuan itu.

Imam Masjid Pulau Mertajam, Saidin Chik, 72, berkata, dia sangat terkejut berikutan pengakuan kerajaan negeri itu kerana sebelum ini menyangka bantuan tersebut diagihkan atas dasar keikhlasan membantu warga emas sepertinya.

''Selepas mengetahui perkara ini, saya tertanya-tanya sama ada orang tua seperti saya ini terlalu hina untuk diberikan wang bersumberkan judi.

''Kalau pun diasing-asingkan dana perjudian itu, tidak mengapalah kerana saya mahu pulangkan juga kerana hanya dengan cara itu saja saya berasa lega. Tidak mengapalah, saya boleh mendapat duit dengan cara halal," katanya.

Saidin merupakan antara 40 warga emas dan fakir miskin yang memulangkan semula wang bantuan kerajaan negeri pada satu majlis di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga di sini hari ini.

Bagi Rosnani Mohd. Rashid, 54, pula, dia berhasrat memulangkan wang tersebut sebaik sahaja mengetahui bantuan membasmi kemiskinan yang disalurkan kerajaan negeri menggunakan dana daripada kelab berkenaan.

Menurutnya, dia berasa sangat sedih kerana tidak dapat memulangkan wang berkenaan bersama-sama arwah suaminya, Osman Mahmud, 62, yang meninggal dunia beberapa hari selepas menerima bantuan berkenaan pada Jun lalu.

''Mak cik yakin, kalau arwah suami masih ada, dia adalah antara yang terawal bersama-sama memulangkan wang ini. Kami rasa cukup terhina, cukuplah sekali ini," katanya dengan nada teresak-esak.

Warga emas, Md. Saad Mat Jaafar, 70, pula berkata, dia berasa amat lega selepas memulangkan duit berkenaan kerana tidak sanggup bersubahat untuk menerima bantuan yang diragui sumbernya.

''Ketika mula-mula mendapat wang ini, saya sangat seronok dan rasa begitu dihargai. Tetapi selepas diberitahu oleh anak saya mengenai perkara ini, saya rasa lebih baik pulangkan wang itu kerana tidak mahu bersubahat," jelasnya.

Bagi Che Embun Mohamad, 60, dia rela untuk hidup susah daripada menerima wang yang tidak diketahui sumbernya lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan perjudian.

''Janganlah anggap orang susah akan terima saja wang bantuan tanpa diketahui asal-usul sumbernya. Kalau halal kita bersyukur tetapi kalau sumber judi, tidak mengapalah kerana saya masih ada anak-anak yang boleh memberi makan untuk hidup," ujarnya sebak.

/hwa: utusan.com.my/

Siasat paderi hina Islam di bawah Kanun Keseksaan

Bernama - 30/9/10

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Majlis Peguam menggesa pihak berkuasa menyiasat segera kes seorang paderi yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, jika siasatan terhadap kes tersebut dilengah-lengahkan, ia bakal menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan umat Islam.

Jelas beliau, pendakwaan di mahkamah juga perlu disegerakan sekiranya terbukti paderi terbabit bersalah agar semua berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan pihak berkuasa.

‘‘Dalam kes tersebut, Majlis Peguam berpendapat bahawa penggunaan Akta Hasutan adalah tidak relevan kerana akta berkenaan dilihat tidak objektif.

‘‘Justeru, tindakan harus dilakukan dengan mengguna pakai peruntukan Kanun Keseksaan Seksyen 298 iaitu mengeluarkan perkataan dengan sengaja untuk mengguris hati orang dalam sesuatu agama.

‘‘Seksyen 298A iaitu menyebabkan rasa tidak damai, perpecahan dan rasa tidak senang hati, prejudis kerana alasan agama juga boleh dikenakan. Kedua-dua seksyen itu lebih spesifik berbanding Akta Hasutan. Oleh itu, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan dengan segera,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memberitahu, pihak polis telah diarah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat tindakan paderi berkenaan yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam.

Beliau berkata, ceramah yang dimuat naik ke dalam lama web YouTube itu merupakan satu tindakan biadab dan boleh menggugat keharmonian negara.

Hishamuddin yang berang dengan perbuatan itu seterusnya meminta PDRM merujuk kepada pejabat Peguam Negara bagi merangka tindakan yang boleh diambil terhadap paderi terbabit.

Akhbar baru-baru ini melaporkan pendedahan Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen mengenai tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah ketika menyampaikan ceramah di sebuah gereja di Kuching.

Mengulas lanjut, Ragunath berkata, dalam dakwaan membabitkan paderi itu, kes 12 individu yang didakwa membawa dan memijak kepala lembu serta menyertai perhimpunan haram membantah pembinaan sebuah kuil di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 28 Ogos tahun lalu boleh dijadikan rujukan.

Dalam kes berkenaan, jelasnya, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau kemudiannya menyelar tindakan paderi itu yang dilihat tidak wajar dilakukan dalam keharmonian yang dikecapi di negara ini.

‘‘Niat dia (paderi) pun tidak baik. Perkara sebegini, mengutuk agama orang lain, tidak seharusnya berlaku di Malaysia,’’ tambahnya.

/hwa: utusan.com.my/

Ringgit di paras tertinggi

UM - 30/9/10

KUALA LUMPUR 29 Sept - Ringgit Malaysia melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh 13 tahun hari ini dan mungkin mencatatkan paras baharu menjelang pada akhir tahun berdasarkan potensi kemasukan modal yang lebih besar, kata ahli ekonomi.

Ini adalah selari dengan langkah Bank Negara Malaysia meliberalisasikan akaun modal, kata mereka.Pada 5 petang, ringgit ditutup pada 3.0835/0855 kepada dolar berbanding 3.0930/0955 pada Isnin.

"Peningkatan ringgit baru-baru ini sebahagian besarnya berikutan perbezaan unjuran pertumbuhan antara Malaysia dan US," kata ahli ekonomi RAM Holdings Bhd, Jason Fong kepada Bernama hari ini.

Ini disebabkan penyiaran data US yang agak lemah, terutama dalam jualan rumah baharu serta pemilikan harta isi rumah.

Ia susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 2.3406/3426 berbanding 2.3369/3400 semalam, susut berbanding yen kepada 3.6865/6905 daripada 3.6708/6755 sebelumnya.

Ringgit turun kepada 4.1895/1948 berbanding euro daripada 4.1436/1469 semalam. Ia bagaimanapun meningkat berbanding pound British kepada 4.8770/8836 berbanding 4.8912/8953 sebelumnya.

/hwa: utusan.com.my/

Wawasan 2020 tidak mampu dicapai - Tun M

UM - 30/0/10

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Wawasan 2020 tidak mungkin dapat dicapai tepat pada masanya jika kerajaan tidak mengubah landasan ekonomi negara, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, jika Malaysia tetap mahu bergelar negara maju pada tahun 2020, beberapa strategi perlu dilaksanakan.

"Status negara maju boleh dicapai oleh Malaysia tetapi bukan pada tahun 2020, mungkin lewat dari tarikh itu.

"Bagaimanapun, Malaysia masih mampu mengejar impian itu jika kerajaan sanggup untuk melaksanakan beberapa perubahan penting, antaranya mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI)," katanya semasa menyampaikan ucapan penutup di Forum CEO 2010 di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang juga pengasas kepada Wawasan 2020 berkata, FDI tidak lagi relevan buat masa ini kerana pelabur asing hanya menyumbang 10 peratus kepada perolehan negara di samping meningkatkan aliran keluar wang dari negara ini.

"Malaysia tidak akan maju jika terus bergantung kepada FDI.

"Pelabur asing hanya mementingkan keuntungan, jadi mereka memilih negara lain yang lebih murah, kita tidak akan mampu bersaing walaupun semakin banyak sektor diliberalisasikan," tambahnya.

Menurut beliau, Malaysia memperkenalkan FDI bagi mengatasi masalah pengangguran pada waktu itu tetapi pada hari ini ia membawa lebih banyak implikasi negatif terhadap negara.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan untuk memberi fokus kepada pelaburan langsung domestik (DDI)

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi negara hanya akan berlaku dari dalam.

Dengan itu, kerajaan perlu melakukan audit dan kaji selidik mengenai syarikat-syarikat tempatan yang berdaya saing bagi memastikan mereka mendapat peluang yang sewajarnya.

"Ada satu syarikat pembuat kapal tempatan yang mengeksport kapal ke seluruh dunia termasuk Norway tetapi tidak pernah menerima tempahan dari negaranya sendiri, kerajaan patut melihat kepada kes-kes sebegini," katanya.

Tambah Dr. Mahathir, selain menggalakkan DDI, pertumbuhan ekonomi negara juga patut kekal pada kadar 7 hingga 8 peratus bagi memastikan status negara maju dapat dicapai dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.

Bagaimanapun, ketika sesi soal jawab diadakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bangun bagi menegaskan bahawa kerajaan ketika ini sedang dalam melaksanakan perubahan kepada landskap ekonomi dengan memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) berkata, kerajaan ketika ini sedar tentang kepentingan DDI dan buktinya 73 peratus daripada 141 pelaburan yang dianalisis di makmal PEMANDU adalah pelaburan tempatan.

"Kerajaan sangat selektif terhadap FDI, hanya pelaburan yang berkualiti sahaja akan diterima," katanya.

Berbeza pendapat dengan Dr. Mahathir, walaupun mengakui bekas Perdana Menteri itu adalah idolanya, Idris sangat optimis Wawasan 2020 dapat dicapai tepat pada masanya bersandarkan kepada pelbagai pelan transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Mengulas kenyataan Idris, Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan kerajaan patut memberi lebih banyak peluang kepada pelabur dan usahawan tempatan berpotensi untuk mengembangkan perniagaan sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menggalakkan DDI.

/hwa: utusan.com.my/

BNM dipuji pakar ekonomi luar

UM - 30/9/10


Robert SUBBARAMAN

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Pakar ekonomi antarabangsa dari Nomura International (Hong Kong) Ltd. (Nomura) memuji Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mengambil langkah yang dianggap sebagai bijak dalam menangani krisis kewangan dunia.

BNM merupakan bank pusat yang pertama di Asia bertindak menaikkan kadar faedah dalam proses memulihkan ekonomi.

Pengarah Urusan dan Ketua Penganalisis Ekonomi Asia (tidak termasuk Jepun) Nomura, Robert Subbaraman berkata, pada tahun ini sahaja, BNM telah mengambil tindakan yang lebih ke hadapan dengan menaikkan tiga kali kadar faedah.

Katanya, BNM juga dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali lagi mulai suku pertama tahun depan bagi memastikan tidak berlaku ketidakseimbangan dalam sistem kewangan.

''Saya fikir BNM melakukan tugas yang menakjubkan dan menonjolkan kebebasannya (bertindak) selain memainkan peranan penting di Asia,'' katanya dalam satu perbincangan meja bulat tentang potensi pasaran Asia kecuali Jepun bersama media di sini hari ini.

Nomura mempunyai lebih 30 pakar ekonomi di seluruh dunia dan mempunyai lebih 20 profesional dalam bidang ekonomi di Asia.

Subbaraman meramalkan mata wang ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, Nomura meramalkan nilai ringgit terus mengukuh berbanding sedolar AS pada kadar 3.00 pada tahun depan dan 2.80 pada akhir 2012.

''Jadi, Malaysia perlu sentiasa memastikan pasarannya kompetitif berikutan mata wang ringgit yang terus mengukuh,'' kata beliau, sambil menambah, Malaysia perlu membentuk persekitaran perniagaan yang menarik untuk pelabur-pelabur asing.

Selain menawarkan persekitaran menarik, beliau berkata, negara ini boleh meningkatkan pertumbuhan melalui pendidikan, sumber manusia dan kemudahan infrastruktur awam yang merupakan elemen penting untuk menarik pelaburan syarikat multinasional (MNC).

Di samping itu, jelas beliau, Malaysia perlu meliberalisasi lagi pasaran modalnya.

Kata Subbaraman, dalam meliberalisasi pasaran modal, syarikat-syarikat kecil juga berpeluang mendapatkan pembiayaan dengan mudah dan membangunkan perniagaan masing-masing.

/hwa: utusan.com.my/

PKR tetap salahkan 'pihak luar' tanpa dedah bukt

UM - 30/9/10

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus mempertahankan dakwaan bahawa 'pihak luar' telah menyebabkan berlakunya kekecohan sewaktu pemilihan peringkat cabang parti itu, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun sekadar mengatakan dakwaan tersebut adalah berasas tanpa mahu mendedahkan sebarang bukti mengenai identiti 'pihak luar' yang dimaksudkan itu.

"Ini kerana modus operandi kekacauan di cabang-cabang berkenaan adalah sama. Jadi komen kita berasas, itu alasan yang kukuh.

"Namun mengenai identiti kumpulan yang dimaksudkan itu, awak kena tanya Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR) sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Nik Nazmi diminta mengulas cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mahukan Saifuddin mendedahkan identiti kumpulan didakwa sebagai anasir luar yang menimbulkan kekacauan dalam beberapa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Ahad lalu.

Dalam beberapa mesyuarat Ahad lalu, kekecohan antaranya berlaku di cabang Kapar, Klang, Petaling Jaya Selatan dan Subang sehingga menyaksikan pertembungan di antara beberapa kumpulan dalam PKR sehingga menyaksikan insiden kerusi dibaling serta kertas undi bertaburan.

Pada satu sidang akhbar kelmarin, Saifuddin tampil memberikan alasan kejadian itu merupakan usaha anasir luar yang sengaja mahu memporakperandakan perjalanan pemilihan parti tersebut.

Dalam pada itu, Saifuddin dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada akhbar ini memberitahu, satu sidang akhbar khas akan diadakan minggu depan bagi menjelaskan dakwaannya.

/hwa: utusan.com.my/

Exco Selangor nafi tumbuk Kottapan

UM - 30/9/10

SHAH ALAM 29 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar menafikan dakwaan kononnya dia telah menumbuk pencabarnya, S. Kottapan pada pemilihan ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja di Bukit Naga di sini Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri itu berkata, dakwaan Kottapan tersebut adalah fitnah dan hanya mahu memburukkan imejnya.

Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis untuk mempertahankan dirinya dan menafikan kejadian tersebut telah dibuat di sebuah balai di Damansara, Petaling Jaya dekat sini Ahad lalu.

Xavier yang menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan samseng berkata, beliau juga tahu tentang satu laporan polis yang dibuat oleh Kottapan berhubung insiden tersebut.

“Saya menafikan telah menumbuk Kottapan tetapi semasa kejadian, saya ada menghalang seorang individu yang cuba mengoyakkan kertas undi di dalam dewan.

“Ketika itu berlaku kekecohan dan ada ramai yang datang dan berlaku tarik-menarik. Tetapi keadaan itu berjaya dikawal dalam beberapa minit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan yang mengatakan dia menumbuk Kottapan pada pemilihan peringkat cabang PKR Kota Raja Ahad lalu.

Dakwa Xavier, beliau menghalang cubaan mengoyak kertas itu atas kapasitinya sebagai Ketua Cabang.

Tambahnya, hasil tindakannya itu berjaya menyelamatkan 20 kotak undi dan kesemuanya telah dihantar ke pusat pengundian di Damansara untuk dikira.

Xavier memberitahu, beliau gembira apabila keputusan pemilihan yang diumumkan hari ini memihak kepadanya.

“Saya menang dengan majoriti yang besar. Keputusan keseluruhan saya mendapat 919 undi, sementara Kottapan 151 undi dan seorang lagi calon iaitu M. Telaiembalam pula hanya mendapat 144 undi,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Kottapan dakwa Xavier upah gengster

UM - 30/9/10


S. KOTTAPAN menunjukkan bagaimana beliau dipukul sambil diperhatikan dua anaknya, Kavendran (kiri) dan Yukenthiran (kanan) yang turut cedera di sebuah hospital di Klang, semalam.


KLANG 29 Sept. - Ahli perniagaan, S. Kottapan tetap mempertahankan dakwaannya yang beliau ditumbuk dan ditendang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja, Ahad lalu.

Kottapan berkata, kejadian itu memang berlaku kerana Xavier berang dengan tindakannya mengoyakkan sehelai kertas undi sebagai membantah sesi pemilihan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Bukit Naga di sini.

Beliau yang mencabar Xavier untuk jawatan Ketua Cabang PKR Kota Raja mendakwa, sekumpulan samseng dipercayai diupah oleh wakil rakyat itu telah memukul dan mencederakannya semasa kekecohan selepas peristiwa mengoyakkan kertas undi itu berlaku.

Dakwanya, kumpulan samseng itu turut mencederakan dua anaknya, Kavendran, 20, dan Yukenthiran, 13, serta beberapa ahli PKR Cabang Kota Raja yang cuba membantunya semasa dipukul.

''Semasa sesi mengundi berjalan, saya dan beberapa rakan nampak berlaku beberapa perkara yang tidak kena dilakukan oleh wakil Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang nyata memihak kepada Xavier.

''Selesai sesi pengundian, saya pergi ke hadapan dewan untuk menghentikan pengagihan kertas undi dan mengoyakkan sehelai kertas undi sebagai tanda membantah dan meminta sesi pemilihan hari itu dibatalkan.

''Tiba-tiba Xavier meluru ke arah saya dan menumbuk muka saya di bahagian rahang kanan sebelum menendang beberapa kali dan apabila saya keluar dari dewan, sekumpulan samseng pula menyerang dengan topi keledar dan kerusi," katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini hari ini.

Turut bersama beliau ialah tiga anaknya iaitu Reymadan, 25, Kavendran, dan Yukenthiran serta beberapa ahli PKR Kota Raja.

Ujarnya, kecederaan itu menyebabkan dia dan anak-anaknya serta beberapa ahli PKR yang cedera termasuk peguam, V. Ayasamy, 40, menerima rawatan di hospital.

Menurut Kottapan, beliau telah pun membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Seksyen 15 Shah Alam dekat sini.

Beliau dengan itu meminta Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR mengadakan semula sesi pemilihan Cabang Kota Raja agar pengundian dapat dilakukan dengan adil.

Beliau juga mahu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pucuk pimpinan PKR menyiasat kejadian yang berlaku dan jika terbukti Xavier bersalah, pemimpin itu perlu dikenakan tindakan.

Kottapan juga tidak mahu keluarganya dan mereka yang secara terang-terangan tidak menyokong Xavier hidup dalam ketakutan kerana bimbang dipukul dan diapa-apakan.

Dakwanya, sehari selepas kejadian itu, anak sulungnya, Reymadan pula telah dipukul oleh samseng sehingga terpaksa dirawat di hospital.

''Jangan ada pemimpin yang hanya tahu mengata orang itu dan ini tetapi diri sendiri pun tidak betul dan menggunakan samseng untuk menang pemilihan.

''Pemimpin seperti ini tidak diperlukan dan hanya akan menjatuhkan imej parti," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Pas terdesak pertahan Galas

UM - 30/9/10

KOTA BHARU 29 Sept. – Cadangan Pas supaya UMNO tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menunjukkan sikap tidak ikhlas parti tersebut dalam soal mewujudkan perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Dali Hussin berkata, cadangan tersebut juga sebenarnya membuktikan Pas terdesak untuk mengekalkan kerusi tersebut tanpa mahu mendapat tentangan daripada UMNO.

Beliau turut mempersoalkan kenapa baru sekarang Pas menunjukkan sokongan kepada perpaduan sedangkan cadangan itu yang sebelum ini dikemukakan oleh pemimpin mereka sendiri telah ditolak mentah-mentah.

“Apabila jatuh soal hak dan kawasan, maka mereka pun gunalah tema perpaduan ini dan minta kita jangan bertanding kononnya sebagai tanda menyokong perpaduan.

“Sedangkan dulu kita mahu bersatu dalam soal yang melangkaui batas politik terutama agama dan bangsa tetapi ditolak mentah-mentah oleh mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dali mengulas cadangan Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyarankan UMNO menjadikan pilihan raya kecil itu untuk membuktikan keikhlasannya menyatukan orang Melayu sebagaimana didakwa sebelum ini.

/hwa: utusan.com.my/

Ku Li dilantik Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional di Galas

UM - 30/9/10

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang bersidang hari ini bagi membincangkan persiapan parti menghadapi pilihan raya tersebut.

‘‘Dengan persetujuan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya telah menghubungi Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu untuk memberitahu beliau mengenai keputusan parti tersebut.

‘‘Beliau bersetuju dengan keputusan berkenaan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO turut memutuskan bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed dilantik sebagai Timbalan Pengarah pilihan raya berkenaan dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

‘‘Saya yakin dengan kepimpinan Ku Li yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi dihormati oleh pengundi-pengundi di Galas.

‘‘BN yakin peluang kita untuk meraih kemenangan adalah lebih cerah,’’ jelas beliau.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berjanji akan membalas kepercayaan pucuk pimpinan parti dengan membantu calon BN merampas semula kerusi DUN Galas.

Menurut beliau, UMNO bahagian itu tidak mempunyai sebarang masalah dan bersedia mengatur persiapan menghadapi pilihan raya di kerusi yang pernah menjadi kubu BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, pihaknya yakin untuk merampas semula kerusi tersebut kerana ia sememangnya milik BN yang hanya tewas sekali kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Pelantikan ini merupakan satu penghormatan kepada saya dan kita akan menyusun strategi terbaik untuk mengambil semula kerusi ini.

‘‘Pas hanya sekali menang di DUN Galas iaitu pada pilihan raya umum lepas disebabkan gelombang yang melanda seluruh negara,” katanya yang kini berada di London ketika dihubungi Utusan Malaysia .

Ini merupakan kali pertama Ketua UMNO Bahagian diberikan tugas sebagai pengarah jentera bagi sepanjang siri pilihan raya kecil yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang mempunyai tiga kawasan DUN. Dua lagi kawasan ialah Paloh dan Nenggiri yang dikuasai oleh BN.

/hwa: utusan.com.my/

29 September 2010

Perhimpunan Agung PBB 2010

DATUK Seri Najib Razak disambut Naib Pengerusi Majlis Hubungan Luar Negara, Maurice R Greenberg berikutan ketibaan perdana menteri di pusat itu, hari ini. Beliau ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (belakang, kiri) dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Jamaluddin Jarjis (belakang, kanan). - Foto BERNAMA - Sep 29, 2010 12:15 pm

BN pilih anak tempatan terbaik

BH - 29/9/10

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my


Calon dari UMNO dijangka diberi kepercayaan rebut kerusi DUN Galas

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan memilih calon tempatan yang terbaik untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, kelmarin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon terbabit akan dipilih dari UMNO Bahagian Gua Musang yang akan diputuskan kepemimpinan parti apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan berlaku kekosongan kerusi, sekali gus mengisytiharkan pilihan raya kecil di DUN itu.

Timbalan Perdana Menteri juga percaya Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan membantu bersama Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu.

“Kita ada rekod dulu yang pernah kita menang dan juga pernah kita kalah (pada pilihan raya DUN Galas). Jadi peluang kita (untuk menang) adalah 50:50.

“Apa pun seperti biasa, kita tidak akan mengambil mudah dan perkara ini tentulah akan dihadapi dengan tentangan hebat daripada PAS. Namun biasalah... dalam sistem demokrasi, kita akan bertanding atas semangat demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucaptama pada Forum International Herald Tribune bertajuk ‘Permulaan Dekad Baru: Pelaburan Alternatif di Asia’ di sini, semalam.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Che Hashim memenangi kerusi DUN Galas yang terletak dalam Parlimen Gua Musang, dengan majoriti 646 undi selepas menewaskan penyandang dari BN, Mohamad Saufi Deraman.

Muhyiddin turut mengucapkan takziah dan melahirkan rasa dukacita bagi pihak UMNO kepada keluarga Chek Hashim, serta memohon semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

“Sebagaimana biasa, apabila diumumkan oleh SPR (bahawa) berlaku kekosongan di kawasan (DUN) Galas nanti, maka kita akan mengambil langkah yang wajar dan sepatutnya untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.

“Malah, selepas kita dimaklumkan perkara ini semalam (kelmarin), kita sudah mengambil perhatian. Insya-Allah, jika ada berlaku kekosongan dan pilihan raya kecil diumumkan SPR, kita akan meletakkan calon terbaik,” katanya.

/hwa: bharian.com.my/

New Delhi 2010

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim (tengah) bergambar bersama para atlet dan kontinjen Malaysia yang akan menyertai temasya Sukan Komanwel di New Delhi, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 28 Sept. Temasya itu bermula 3 hingga 14 Oktober. - Utusan/ZAKI AMIRUDDIN

Pelabur antarabangsa dipelawa

Bernama - 29/9/10


Najib Tun Razak menandatangani buku lawatan semasa melawat Bursa Saham New York, semalam. Turut sama Duncan Niederauer (kanan) dan Anifah Aman.

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pelabur antarabangsa mengambil bahagian dalam Program Transformasi Ekonomi Malaysia yang menawarkan peluang pelaburan perniagaan yang luas menerusi beratus-ratus projek.

Dalam membuat gesaan itu, Najib berkata inisiatif khusus menerusi ETP membabitkan tujuh projek "yang sudah dikenal pasti dan sedia untuk dilaksanakan serta-merta."

Tujuh projek itu dengan pelaburan bernilai RM114.7 bilion, akan dimulakan sebelum akhir tahun.

"Banyak lagi dalam perancangan. Kami mempunyai 131 inisiatif spesifik yang akan menjadi projek ketara, yang akan diumumkan, dan pelabur akan dipelawa untuk menyertainya," kata Najib dalam temu bual pada program bisnes Closing Bell Excess CNBC di New York pada petang Isnin.

Closing Bell Excess merupakan program perniagaan yang ditonton ramai di seluruh dunia yang menemu bual pemimpin, ahli ekonomi terkemuka dan penggerak pasaran.

Najib yang juga Menteri Kewangan, turut memberi jaminan kepada pelabur bahawa terdapat mekanisma berkesan untuk memastikan pelaksanaan projek bagi merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menerusi pelaburan bernilai AS$1.4 trilion yang diperlukan untuk memacu ETP, Najib berkata, kerajaan sedang "mengenal pasti usaha untuk menghidupkan semula peranan swasta supaya menjadi sektor dominan."

Kerajaan juga sedang mengkaji kira-kira lapan inisiatif reformasi strategik yang akan memacu program transformasi, yang akhirnya akan mewujudkan 3.3 juta pekerjaan di Malaysia dalam usaha untuk menjadi negara maju.

Najib yang kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu berkata, Malaysia juga mengambil kira pelaburan yang susut tahun lepas dan realiti dalam pasaran, dengan saingan sengit untuk mendapatkan pelaburan dolar.

"Apa yang perlu kita lakukan ialah menjadi lebih kompetitif di peringkat global (dan untuk itu), kami telah meliberalisasikan 27 subsektor untuk menarik pelabur antarabangsa.

"Kami sedang mengkaji lebih banyak inisiatif reformasi, selain mengkaji untuk mewujudkan pelan khusus yang akan menarik pasaran.

"Saya rasakan pasaran sudahpun teruja terhadap rancangan itu, oleh itu kami yakin sasaran itu boleh dicapai," kata Najib.

Mengenai ekonomi, Najib berkata, fundamentalnya memihak untuk memacu pertumbuhan.

Angkanya sangat menarik, katanya merujuk peningkatan superlatif 10.1 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini, diikuti pertumbuhan 8.5 peratus pada suku kedua.

"Kami mengunjurkan prestasi yang lebih baik tahun ini... pastinya kira-kira enam peratus," katanya.

Perdana Menteri turut menyuarakan keyakinan beliau terhadap kestabilan kewangan Malaysia yang diperkukuh oleh bank dan institusi kewangan, dengan sistem perbankan yang sangat cair dan aktiviti pinjaman yang sangat kukuh.

Sumbangan lain termasuk keyakinan kukuh pengguna, permintaan domestik yang tinggi selain persekitaran luaran dan kedudukan kukuh Malaysia sebagai rakan dagang yang meletakkan negara pada kedudukan yang baik dan menyumbang terhadap asas ekonomi makronya.

Selain sikap skeptik sesetengah pihak, Najib menegaskan Malaysia sangat fokus untuk menjadi negara maju berdasarkan "satu kriteria yang boleh diukur iaitu KDNK perkapita."

"Tidak guna bercakap mengenai terma umum, lebih baik sasaran kita lebih spesifik. Ya, kami mahu berkembang, kami mahu meningkatkan KDNK perkapita daripada kira-kira AS$7,000 kepada lebih AS$15,000.

"Ia merupakan perjalanan ke arah transformasi besar-besaran," katanya.

Mengenai projek berkaitan infrastruktur, seperti pembangunan tenaga nuklear dan kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura yang dibincangkan akan membuka lebih banyak peluang, Najib menjelaskan bahawa beberapa projek terbabit bukan untuk dilaksanakan serta-merta dan akan dirancang untuk perlaksanaan dalam tempoh empat lima tahun akan datang.

Bagaimanapun, ia membolehkan pelabur merancang ke hadapan kerana sudah ada arah tuju yang jelas, kata Najib.

Mengenai pandangan bahawa perbicaraan kes liwat membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjejaskan reputasi negara, Najib berkata, ia bukan membicarakan mengenai politik.

"Ia membabitkan seorang individu terhadap individu yang lain," katanya.

"Dan, ada undang-undang di Malaysia dan badan kehakiman adalah bebas, oleh itu orang ramai perlu menerima hakikatnya," kata Najib.

/hwa: utusan.com.my/

Siasat klip video paderi hina Islam serta-merta

UM - 29/9/10

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarah membuat siasatan serta-merta berhubung klip video dalam laman web YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau telah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi tersebut dalam klip video itu.

''Kita akan buat siasatan segera di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan saya sendiri akan pastikan supaya kes ini dibawa ke perhatian pihak berkuasa secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Isu dan Cabaran Dalam Memulihara Arkib Audiovisual di Rantau Tropika di sini hari ini.

Menurut Rais, isu itu merupakan hal yang serius dan kementerian akan mengambil tindakan tidak kira di mana ia dipancarkan sama ad a menerusi laman web YouTube atau Yahoo asalkan ia disiarkan kepada pendengar dan pemerhati Internet di negara ini.

Dalam perkembangan lain Rais berkata, beliau telah berhubung dengan pihak penguat kuasa supaya semua laporan dan siasatan SKMM yang telah dikemukakan kepada mereka mendapat perhatian segera.

/hwa: utusan.com.my/

Bukti PKR tidak layak memerintah negara

UM - 29/9/10

MELAKA 28 Sept. - Kekecohan yang berlaku pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan parti itu tidak layak untuk menerajui kepimpinan negara.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jika pakatan pembangkang diberi mandat oleh rakyat Malaysia untuk memerintah, sudah pasti negara akan menjadi huru-hara dan kelam kabut.

Menurutnya, jika dalam PKR wujud kroni yang menentukan siapa pemimpin yang diperlukan untuk mengemudi parti dan keadaan itu tidak mustahil berlaku jika mereka memerintah negara.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, PKR bukanlah parti yang mengamalkan demokrasi seperti UMNO dan situasi itu menjadi punca kekecohan pada mesyuarat tahunan cabang parti itu yang berlaku baru-baru ini.

''Pemilihan dalam PKR mengikut kroni dan ia bergantung kepada orang yang dikehendaki atas arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Situasi itu menyebabkan orang bawahan parti ini tidak suka dengan cara menentukan siapa yang layak duduk di jawatan tertinggi dalam parti itu.

''Penentangan ini melambangkan situasi sebenar yang wujud dalam PKR yang tidak demokrasi jika dalam pemilihan menjadi kecoh bagaimanapun pula jika mereka memerintah negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke tapak pembinaan kolam anjing laut di Pulau Melaka di sini hari ini.

Sehubungan itu Mohd. Ali berkata, segala kepincangan yang berlaku dalam parti itu adalah berpunca daripada sikap kroni dan tidak wujud amalan demokrasi seperti yang dilaung-laungkan ketika penubuhan awal parti itu.

''Jika dalam pentadbiran parti pun berlaku kecoh dan tidak mungkin PKR boleh memerintah negara seperti mana yang diamalkan oleh UMNO dan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN)," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam PKR dan menilai masa depan negara jika masih berharap parti itu untuk memerintah.

/hwa: utusan.com.my/

Risiko besar jika PKR memerintah negara

UM - 29/9/10

PUTRAJAYA 28 Sept. - Ramai percaya PKR yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meminda Perlembagaan Persekutuan dan negeri seandainya parti itu dan sekutunya dalam pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum akan datang.

Sambil secara sinis menyifatkan PKR memang berselera besar 'nak jadi kerajaan' dan sedia berbuat apa sahaja asalkan Anwar 'boleh jadi PM', Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) bagaimanapun mengingatkan semua pihak bahawa PKR sebenarnya langsung tidak pernah memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama.

Beliau menarik perhatian bahawa imej PKR sebagai sebuah parti kasar dari segi bahasa dan perbuatan sudah tertanam kuat dalam persepsi masyarakat Malaysia.

Malah, katanya, keadaan huru-hara dalam parti itu sekarang menokok lagi kepada imej buruk tersebut.

"Imej parti dinasti keluarga Anwar juga amat jelas. PKR memuja individu melalui dasar sosialis moden mereka. Demikian juga kerja memburukkan negara sendiri bukan perkara baru.

"Memburukkan negara sendiri di negara orang mencerminkan sahsiah keji dan lemah. Anwar fikir dia saja yang hebat manakala orang lain termasuk negara sendiri dianggap buruk," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais mengulas tindak tanduk Anwar yang memburuk-burukkan negara di Indonesia yang antaranya menyalahkan kerajaan sedia ada dan UMNO sebagai cuba menjejaskan hubungan Indonesia-Malaysia.

Ketua Pembangkang itu juga menyatakan kekecewaan terhadap media di Malaysia yang didakwanya bersikap berat sebelah dalam penerbitan berita mengenai Indonesia.

Anwar membangkitkan perkara itu ketika berucap pada majlis 'Reformasi Politik dan Demokrasi' di Malaysia, Menuju Persahabatan Setara Indonesia-Malaysia di Hotel Four Seasons di Setiabudi, Jakarta Selatan kelmarin.

Rais berkata, pendirian Anwar yang memburuk-burukkan Malaysia sedemikian rupa bukan sahaja akan menghancurkan negara tetapi juga melupuskan imejnya sebagai pemimpin ikhlas dan berpotensi.

"PKR bersedia menenggelamkan kepentingan Melayu dan bumiputera asalkan belaan sosialisnya berjalan dan Anwar jadi PM.

"Parti yang mengutamakan individu tak kekal," kata Rais.

/hwa: utusan.com.my/

Pembohongan besar Anwar

UM - 29/9/10

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh media negara ini bersikap berat sebelah dalam menyiarkan berita mengenai Indonesia ketika berada di Jakarta kelmarin jelas membuktikan pembohongan besar yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha yang cuba dilakukan oleh Penasihat PKR itu hanyalah semata-mata untuk mempengaruhi rakyat Indonesia demi kepentingan politiknya .

Beliau berkata, selama ini media di Malaysia amat bertanggungjawab dalam menyiarkan berita-berita mengenai Indonesia khususnya melibatkan soal hubungan republik itu dengan negara ini tanpa ada usaha untuk mensensasikan apa jua isu berbanding media di negara terbabit.

‘‘Saya percaya media di Malaysia amat bertanggungjawab. Media Malaysia tidak menggembar-gemburkan hal seperti ini berbanding apa yang digembar- gemburkan oleh pihak Indonesia.

‘‘Sebagai rakyat Malaysia Anwar Ibrahim janganlah mengkhianati negara kita dengan membuat pembohongan yang besar hanya kerana mahu menarik sokongan rakyat Indonesia.

‘‘Beliau juga mengaku memperjuangkan nasib pekerja Indonesia di Malaysia dengan membawa isu tersebut ke Parlimen. Semuanya ini juga pembohongan besar, dosa besar dan dosa kering yang dibuat di sana,’’ katanya di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas dakwaan Anwar bahawa media di Malaysia bersikap berat sebelah dalam penerbitan berita mengenai Indonesia.

/hwa: utusan.com.my/

Saifuddin dicabar dedah identiti

UM - 29/9/10

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution mendedahkan identiti kumpulan yang didakwa menjadi anasir luar yang menimbulkan kekecohan di dalam pemilihan peringkat cabang parti itu, Ahad lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk menyokong dakwaannya Saifuddin perlu mengemukakan bukti mengenai kumpulan terlibat sama ada mereka merupakan ejen Barisan Nasional (BN) atau ejen luar negara.

Bagaimanapun beliau yakin dakwaan Saifuddin itu tidak berasas dan tidak perlu dilayan.

‘‘Dakwaan yang tidak berasas ini tidak harus kita layan tetapi saya tetap mahu mencabar Saifuddin supaya memberikan bukti. Beritahu siapa dan dari parti mana mereka ini.

‘‘Sama ada orang luar yang mereka maksudkan ialah kita atau orang dari luar negara, saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan. Oleh itu saya cabar dia kemukakan bukti,’’ katanya selepas menghadiri Forum Pelaburan Asia 2010 di sini hari ini.

/hwa: utusan.com.my/

Anwar tidak disenangi ahli parti

UM - 29/9/10

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Kekecohan yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah berpunca daripada ahli parti itu yang tidak berpuas hati dengan pakatan Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Azmin Ali.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, ia bukan membabitkan orang luar seperti yang didakwa Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menyifatkan Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang sebagai seorang yang pengecut kerana menyalahkan pihak luar berhubung masalah dalaman yang berlaku dalam parti itu.

"Saya cabar Saifuddin supaya segera tampil mengemukakan bukti dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan kerana mendakwa mempunyai rakaman video mengenai kekecohan yang berlaku.

"Saya yakin beliau (Saifuddin) tidak akan melakukannya kerana ini hanyalah taktik basi PKR yang mahu mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan yang wujud dalam kepimpinan parti itu sekarang," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin semalam bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) telah mengenal pasti beberapa individu melalui rakaman video dan gambar yang didakwa terbabit dalam perbuatan vandalisme.

Menurut Saifuddin, melalui rakaman itu disahkan bahawa individu yang dikenal pasti terlibat dalam kekecohan itu bukan ahli PKR selain mendakwa wujud elemen provokasi bertujuan mencemarkan imej parti tersebut.

Proses pemilihan peringkat cabang PKR mengalami kekecohan apabila terdapat pertelingkahan antara pemimpin dan ahli parti itu di tujuh cabang melibatkan Klang, Kapar, Petaling Jaya Selatan dan Kuala Langat di Selangor selain Jerai dan Merbok di Kedah dan Kuala Nerus, Terengganu.

Anuar seterusnya melontarkan pertanyaan kepada Saifuddin adakah beliau terlibat dalam adegan 'lakonan' Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin yang skripnya diatur oleh Anwar apabila cuba mengalih isu mengenai ketidakpuasan hati ahli PKR terhadap kepimpinan parti yang diterajui Anwar-Azmin.

"Di Terengganu, Datuk Zaid Ibrahim langsung tidak mendapat pencalonan bagi jawatan timbalan presiden sedangkan Wan Azizah (yang dikatakan gandingan Zaid) memperoleh pencalonan dari semua cabang.

"Sebaliknya, Azmin mendapat pencalonan penuh di Terengganu bagi mengisi jawatan timbalan presiden manakala Nurul Izzah mendapat pencalonan di hampir semua cabang untuk jawatan naib presiden," katanya.

Beliau juga mempersoalkan adakah kenyataan Saifuddin itu bertujuan menutup pekung sentimen anti Anwar-Azmin dalam PKR serta memanipulasi simpati penyokong Zaid melalui 'watak baik' yang dilakonkan oleh Wan Azizah.

"Ini adalah bukti sandiwara 3A (Anwar, Azmin, Azizah) dalam proses mereka untuk terus mendominasi kepimpinan PKR," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Takiyuddin cadang UMNO tidak letak calon demi perpaduan Melayu

UM - 29/9/10

KOTA BHARU 28 Sept. - Pas mencadangkan supaya UMNO tidak meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, atas nama perpaduan orang Melayu.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, UMNO seharusnya menjadikan pilihan raya kecil DUN Galas untuk membuktikan keikhlasannya menyatukan orang Melayu sebagaimana didakwa sebelum ini.

Beliau berkata, jika UMNO boleh mengambil tindakan untuk tidak bertanding di kawasan DUN Penanti, Pulau Pinang atas pelbagai alasan, maka tindakan sama boleh dibuat di DUN Galas yang menjadi 'medan' persaingan antara dua parti Melayu itu.

Pada masa sama katanya, tindakan mengelak pertandingan dalam pilihan raya boleh menjimatkan wang dan masa yang diketahui umum menuntut perbelanjaan besar.

"Kalau nak betul-betul hasrat perpaduan, apa salahnya untuk pilihan raya kecil ini (UMNO tidak bertanding), untuk pilihan raya umum kita bincang semula, ini untuk menunjukkan keikhlasan dan 'solidariti' (perpaduan) antara dua parti Melayu ni, (UMNO) sepatutnya kompromi bagi kepada Pas.

"Lagipun, kalau BN menang, ia tidak banyak berubah kerusi dari 45 semua kerusi (jika menang) hanya menjadi tujuh kerusi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran 'Tortura' di Muzium Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persiapan Pas menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas selepas kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima semalam.

Takiyuddin yang juga Exco kerajaan negeri, bagaimanapun menafikan cadangannya itu membuktikan kelemahan Pas walaupun mengakui persaingan untuk mendapatkan kerusi DUN berkenaan sengit dan kedua-dua pihak berpeluang untuk memenangi kerusi tersebut.

"Cadangan ini bukan bermakna kita lemah, kalau perlu lawan kita lawan, lagipun ini kerusi Pas, tetapi jika tidak berlawan alangkah baiknya," katanya.

Mengulas cadangan Takiyuddin itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mat Yusoff Abd. Ghani ketika dihubungi berkata, cadangan tersebut menunjukkan Pas tersepit dan takut kehilangan kerusi berkenaan yang mungkin berjaya dirampas semula oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Selain itu katanya, Pas juga berkemungkinan bimbang kelemahan-kelemahan mereka di Gua Musang didedahkan oleh UMNO sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

"Perpaduan dan pilihan raya dua perkara berbeza. Pilihan raya ada pertandingan kerana dengan adanya pertandingan itu kita akan mendapat suara majoriti yang diperlukan untuk membuat keputusan bukan sahaja melibatkan perpaduan tetapi banyak perkara lain berkepentingan rakyat," katanya.

Mengenai peluang UMNO dan BN pada pilihan raya kecil yang akan diadakan kelak, Mat Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri berkata, DUN Galas milik BN yang terlepas kepada Pas pada pilihan raya umum lalu.

"Jadi, kita nak balik dan insya-Allah BN akan menang," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Pas akui berdepan cabaran besar

UM - 29/9/10

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Pas mengakui bakal berdepan cabaran besar untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil kawasan itu kelak.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Pas menyedari hakikat itu kerana kawasan berkenaan terletak di bawah Parlimen Gua Musang yang diwakili Ketua UMNO bahagian tersebut, Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain itu katanya, cabaran turut dirasakan kerana dua lagi DUN yang terletak di bawah Parlimen tersebut iaitu Nenggiri dan Paloh turut dikuasai oleh UMNO.

“Saya tidak memandang rendah dan meremehkan kekuatan lawan kerana majoriti yang dimenangi penyandang sebelum ini cuma 646 undi.

“Kita tidak mahu cakap besar, tetapi apa yang penting Pas sentiasa berada dalam keadaan cukup kuat untuk mempertahankan kerusi itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut hari ini.

Salahuddin bagaimanapun tetap yakin bahawa Pas berkemampuan untuk mempertahankan kerusi itu di sebalik cabaran besar yang bakal dihadapi.

“Saya yakin dan percaya kerusi itu tetap dapat dipertahankan kerana Pas bukan sahaja telah membuat persiapan untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil malah turut bersedia berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Pada 3 Oktober ini akan berlangsung mesyuarat Pas Pusat dan pastinya persediaan parti untuk mengekalkan kerusi di Galas akan turut dibincangkan. Pastinya kita akan menyediakan yang terbaik,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

BN sedia hadapi tentangan Pas di Galas

UM - 29/9/10

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Barisan Nasional (BN) sedia berdepan tentangan Pas bagi merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas ekoran kematian wakil rakyat parti itu, Chek Hashim Sulaima, 46, semalam.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN dan UMNO akan membuat persiapan rapi antaranya memastikan calon BN pada pilihan raya kecil itu merupakan pemimpin tempatan dan disenangi rakyat.

Beliau percaya pada pilihan raya kecil DUN Galas kelak, Pas sedaya upaya cuba mempertahankan kerusi tersebut daripada jatuh ke tangan BN.

“Oleh itu kita jangan sesekali mengambil mudah tentang keupayaan Pas kerana mereka pasti akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kerusi Galas terus dikuasai parti itu.

/hwa: utusan.com.my/

Pilihan raya kecil Galas Oktober?

UM - 29/9/10

PUTRAJAYA 28 Sept. – Pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober serta Perhimpunan Agung UMNO dari 19 hingga 23 Oktober ini akan diambil kira oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, seperti mana penetapan tarikh Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai tahun lalu, SPR ketika itu mempertimbangkan kesibukan Pas mengendalikan Muktamar Tahunan parti berkenaan beberapa hari sebelum ia berlangsung.

“Ini untuk memastikan wujud kesaksamaan kepada parti-parti yang bertanding untuk buat persiapan.

“Malah bukan itu sahaja, kita juga mempertimbangkan penetapan suatu tarikh berkenaan agar tidak bertindih dengan acara-acara yang besar seperti Hari Keputeraan sultan atau perayaan lain.

“Jadi, SPR mempunyai masa sehingga 7 Oktober ini untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian DUN Galas. Sehingga petang ini, SPR belum menerima surat daripada Speaker DUN Kelantan memaklumkan kekosongan kerusi DUN Galas,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kerusi Galas kosong setelah penyandangnya dari Pas, Che Hashim Sulaima, 46, yang menghidap barah paru-paru meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur petang semalam.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi.

/hwa: utusan.com.my/