29 September 2010

Bukti PKR tidak layak memerintah negara

UM - 29/9/10

MELAKA 28 Sept. - Kekecohan yang berlaku pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan parti itu tidak layak untuk menerajui kepimpinan negara.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jika pakatan pembangkang diberi mandat oleh rakyat Malaysia untuk memerintah, sudah pasti negara akan menjadi huru-hara dan kelam kabut.

Menurutnya, jika dalam PKR wujud kroni yang menentukan siapa pemimpin yang diperlukan untuk mengemudi parti dan keadaan itu tidak mustahil berlaku jika mereka memerintah negara.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, PKR bukanlah parti yang mengamalkan demokrasi seperti UMNO dan situasi itu menjadi punca kekecohan pada mesyuarat tahunan cabang parti itu yang berlaku baru-baru ini.

''Pemilihan dalam PKR mengikut kroni dan ia bergantung kepada orang yang dikehendaki atas arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Situasi itu menyebabkan orang bawahan parti ini tidak suka dengan cara menentukan siapa yang layak duduk di jawatan tertinggi dalam parti itu.

''Penentangan ini melambangkan situasi sebenar yang wujud dalam PKR yang tidak demokrasi jika dalam pemilihan menjadi kecoh bagaimanapun pula jika mereka memerintah negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke tapak pembinaan kolam anjing laut di Pulau Melaka di sini hari ini.

Sehubungan itu Mohd. Ali berkata, segala kepincangan yang berlaku dalam parti itu adalah berpunca daripada sikap kroni dan tidak wujud amalan demokrasi seperti yang dilaung-laungkan ketika penubuhan awal parti itu.

''Jika dalam pentadbiran parti pun berlaku kecoh dan tidak mungkin PKR boleh memerintah negara seperti mana yang diamalkan oleh UMNO dan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN)," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam PKR dan menilai masa depan negara jika masih berharap parti itu untuk memerintah.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: