29 September 2008

Sesiapa sahaja berhak bertanding - Muhyiddin

Oleh NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sesiapa sahaja yang merasakan mereka mempunyai kelayakan dan ingin terus memberi khidmat kepada UMNO berhak untuk menawarkan diri bertanding pada pemilihan tertinggi parti, Mac depan.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan prinsip demokrasi dalam parti, sesiapa sahaja boleh bertanding jika berlaku kekosongan jawatan termasuk peringkat tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan naib-naib presiden.
''Tidak kisah mereka yang akan bertanding hendak dipanggil apa. Jika layak, ia tidak menjadi apa-apa masalah dan bagi saya memang tentu ada (pertandingan).
''Tetapi eloklah kita tunggu dulu apa yang hendak diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama ada mempertahankan atau tidak jawatannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sinar Ramadan anjuran Yayasan Pendidikan Cheras di sini malam ini.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam bahawa calon-calon 'kuda hitam' atau nama-nama yang tidak disangka akan muncul menawarkan diri untuk merebut jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan akan datang.
Menurut Ahmad Shabery, kemunculan calon sedemikian akan bergantung kepada keputusan Abdullah sama ada mahu mempertahankan jawatannya atau tidak.
Muhyiddin berkata, individu yang bakal menawarkan diri itu harus meletakkan hasrat untuk membantu kepimpinan bagi mengukuhkan parti yang kini semua orang tahu berada dalam keadaan agak lemah.
''Bagaimana kita hendak memulihkan keyakinan ahli dan masyarakat serta membantu memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) serta memastikan pengundi terus memberi sokongan sampai pilihan raya akan datang," ujarnya.
Mengenai kenyataan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam bahawa beliau akan bertanding jawatan Presiden walaupun terpaksa melawan Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin berkata, itu adalah hak bekas Naib Presiden UMNO itu dan semua pihak harus menghormatinya.
''Terserah kepada ahli dan perwakilan di bahagian, sama ada hendak mencalonkan beliau atau tidak," katanya.
Ditanya dakwaan Tengku Razaleigh bahawa penangguhan pemilihan dan Perhimpunan Agung UMNO kepada Mac tahun depan telah melanggar perlembagaan parti, Muhyiddin berkata, ia adalah tidak benar.
''Mengikut perlembagaan, kuasa tertinggi ialah MT selain daripada Perhimpunan Agung. MT juga berhak untuk menetapkan tarikh mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung. Jadi saya tidak nampak macam mana dia kata melanggar perlembagaan.
''Kita juga sudah semak dengan penasihat undang-undang parti dan mendapati Mac itu adalah waktu yang terakhir tempoh 18 bulan yang dibenarkan untuk ditangguhkan perhimpunan,'' jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Shafie pula berkata, mengikut tradisi, MT mempunyai hak untuk menangguh atau melewatkan sedikit Perhimpunan Agung.
''Sebelum ini, MT pernah menangguhkan perhimpunan kerana pilihan raya umum bagi mengelak berlaku perpecahan di peringkat akar umbi.
''Kali ini asasnya ialah untuk mempermudah dan mempercepatkan peralihan kuasa yang lebih singkat daripada tempoh 2010,'' katanya.
- Utusan, 29-09-08.

Habuan seks: Zul Hassan dipecat

Zul Hassan
IPOH 28 Sept. – Kerajaan negeri Perak hari ini memecat serta merta Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan (gambar) yang mengaku menerima habuan seks wanita warga China berhubung skandal rasuah membabitkan projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar berkata, arahan melucutkan jawatan Zul yang juga seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikeluarkan pada Jumaat lalu.
‘‘Ini adalah keputusan kerajaan negeri setelah dia mengaku mendapat habuan seks wanita China menerusi seorang individu yang dikenali sebagai Mohamad Imran Abdullah pada 14 Ogos di Batu Feringgi, Pulau Pinang.
‘‘Di samping itu individu yang menawarkan habuan seks itu akan didakwa secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Persatuan India Muslim Perak di sini hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) menyiasat mengikut akta dan enakmen sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil ke atas mereka.
‘‘Kita juga akan mengesyorkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menerima ataupun menawarkan habuan seks dan rasuah.
‘‘Mereka tidak lagi layak untuk menjadi ahli majlis di bawah kerajaan pakatan pembangkang dan kita mahu dia meletakkan jawatan secepat mungkin,” ujar beliau.
Mohammad Nizar berkata, tindakan itu juga merupakan amaran untuk semua ahli majlis yang membuat kesalahan sedemikian dengan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk bertindak.
Bertentangan‘‘Jika mereka sanggup melakukan perbuatan yang bertentangan dengan adat kesopanan dan kesusilaan, mereka tidak lagi layak untuk mewakili kerajaan pakatan pembangkang dalam mana-mana jawatan sama ada majlis bandaran atau majlis daerah di Perak,” tegas beliau.
Pada 24 Ogos lalu, Zul didakwa menerima rasuah berbentuk habuan seks setelah mengadakan pertemuan dengan pegawai JAIP di sini.
Ditanya sama ada dia turut melakukan hubungan seks, Zul berkata: ‘‘Tidak mengaku tidak boleh, dia (BPR) ada gambar.”
Bagaimanapun, katanya, dakwaan BPR bahawa dia dan rakannya meminta perempuan China daripada Mohamad Imran adalah tidak benar.
‘‘Kita tak minta, tak cari, Mohamad Imran yang hantar. Serupa juga kalau orang bagi sedekah, awak tak terima ke sedekah itu?’’ ujar Zul.
Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Perak hari ini mendesak kerajaan negeri itu memecat kedua-dua Exco yang kini menghadapi dakwaan di mahkamah berhubung skandal rasuah membabitkan sebuah projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar di sini.
Ketua Pemuda UMNO, Zainol Fadzi Paharudin berkata, kedua-dua mereka perlu diambil tindakan seperti yang dilakukan terhadap Zul Hassan.
Katanya, jika kedua-dua Exco berkenaan tidak dipecat ia bertentangan dengan prinsip perjuangan kerajaan pakatan pembangkang itu.
‘‘Kenapa ada perbezaan dalam siasatan membabitkan dua Exco berkenaan setelah Zul Hassan dipecat hari ini,” katanya di sini hari ini.
- Utusan, 29-09-08

27 September 2008

Jangan Bermain Api!

Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok menunjukkan nota ugutan dan contoh bom petrol yang dilontar di kediaman ibu bapanya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, selepas mengadakan sidang media mengenai insiden itu di sini, hari ini. Turut kelihatan ayahnya Kok Kim Tong, 74, dan ibunya Cecilia Pong, 71. Bagaimanapun kejadian kira-kira jam 2.55 pagi tadi tidak mencederakan penghuni rumah itu kerana bom petrol itu tidak meletup. - Foto Bernama

26 September 2008

Khairy Juga Disabotaj Supaya Ahli Umno Tidak Bertemunya

KOTA BAHARU, 25 Sept (Bernama) -- Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut tidak terlepas daripada dirinya disabotaj oleh pihak tertentu yang menyekat anggota parti bertemu dengannya.
Anggota Parlimen Rembau itu, yang menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO, berkata beliau mempunyai bukti di setengah tempat pada majlis yang dihadirinya wujudnya pihak meminta anggota Umno tidak pergi ke majlis berkenaan.
"Saya ada bukti ada yang cuba menyekat anggota Umno daripada mengenali pemimpin mereka. Bagi saya semua anggota parti berhak untuk mengenali pemimpin mereka dan mendekati saya jadi tidak perlu adanya sekatan begini," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan pemberian wang zakat kepada anak yatim dan warga emas di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh di sini, Khamis.
Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO meminta tindakan menyekat anggota parti bertemu dengan pemimpin atau calon-calon dihentikan dengan segera.
Jawatan Ketua Pemuda setakat ini akan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Mukhriz, Khairy, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin, Anggota Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo; dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.
-- BERNAMA, 26-09-08.

25 September 2008

Samakan habuan seks dengan sedekah: Zul Hassan disaran bertaubat

25/09/2008 6:22pm
IPOH 25 Sept. — Anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, yang menyamakan habuan seks dengan sedekah setelah mendakwa dirinya diperangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) melakukan perbuatan itu dengan seorang wanita dari China, disaran supaya bertaubat.
Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, yang terkejut dan kesal dengan kenyataan itu berkata, sebagai orang Islam, Zul seharusnya faham dan sedar ungkapan yang digunakan itu secara terang telah memalukan umat Islam.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau juga meminta ulama khususnya daripada Pas memberikan nasihat dan mentarbiyyah Zul.
“Janganlah pula selepas ini ulama-ulama Pas mencari dalil dan alasan untuk menutup perkara berkenaan,” katanya.
Zul, seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk meminta jabatan itu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap orang tertentu yang kononnya telah memfitnah, menghina dan menganiaya beliau kerana mendakwa dia terlibat dalam skandal seks membabitkan wanita dari China itu.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria sebelum ini berkata bahawa kenyataan Zul itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama selain merupakan satu tindakan yang cukup bodoh jika kenyataan itu bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.
- BERNAMA, 25-09-08.

Perlu minta maaf kepada kerajaan

MELAKA 24 Sept. - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok didesak agar meminta maaf kepada kerajaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina dengan mengatakan beliau dijamu 'sama seperti makanan anjing' ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), baru-baru ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kenyataan beliau yang dibuat pada 19 September itu jelas sekali satu kenyataan biadap bertujuan menjejaskan nama baik kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).
''Pihak pusat tahanan ISA (Kementerian Dalam Negeri) juga patut mengemukakan saman malu ke atas Teresa atas kenyataan yang biadap ini.
''Alasan bahawa beliau dalam keadaan letih ketika membuat kenyataan itu juga tidak boleh diterima. Teresa Kok tidak boleh lepas begitu sahaja," katanya yang juga Ketua Menteri Melaka di sini hari ini.
Mohd. Ali berkata, pakatan pembangkang juga sepatutnya mengambil tindakan memecat Teresa sebagai ahli jika parti itu benar-benar bertanggungjawab memandangkan kenyataan tersebut telah menjejaskan nama baik negara.
Pada 19 September lalu, Teresa mendakwa kononnya beliau dijamu 'sama seperti makanan anjing' sewaktu dalam lokap ISA.
Bagaimanapun, beliau menyalahkan Utusan Malaysia kerana memutarbelitkan kenyataan tersebut sedangkan ia turut disiarkan oleh TV3 dan Malaysiakini.
- Utusan, 25-09-08.

20 September 2008

Mara kaji semula peranan, fungsi

20/09/2008 6:44pm
BESUT 20 Sept. — Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengkaji semula peranan dan mengubahsuai program yang pernah dijalankan agensi itu dalam usaha menjadikannya sebuah organisasi yang cemerlang dan terbilang pada masa depan.
Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata Mara memerlukan perubahan agar sesuai dengan keadaan semasa jika organisasi itu ingin lebih maju dan berdaya saing.
“Satu penyelidikan dan pemantauan terperinci perlu dilakukan agar peranan Mara pada masa akan datang selaras dengan input baru yang ada di dunia ini.
“Bagi tujuan itu, pengurusan Mara akan mencari formula baru untuk meningkatkan organisasi ini melalui seminar-seminar yang akan diadakan selepas Hari Raya ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada pesakit di Hospital Daerah Besut di sini hari ini.
Idris berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah mencari satu pendekatan baru agar usahawan yang dibangunkan Mara lebih berdaya saing dan maju serta mampu menjadi usahawan contoh kepada masyarakat.
Mara juga akan mengkaji semula sistem perkhidmatan pengangkutan kendalian agensi itu untuk memastikannya tidak berada di takuk lama dan sebarang kekurangan akan diperbaiki dengan segera, katanya.
— BERNAMA.

Rakyat tanggung beban perbuatan Anwar

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ketaksuban Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri membawa kesan negatif kepada ekonomi negara dan boleh mengakibatkan rakyat menderita.
Bendahari UMNO, Datuk Abdul Azim Mohamed Zabidi (gambar) berkata, kesannya sudah dirasai apabila pasaran saham Bursa Malaysia jatuh melebihi jangkaan setelah tidak lagi mampu menarik pelaburan portfolio asing (FPI).
Katanya, impak negatif itu akan menjadi lebih ketara dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi apabila FPI semakin berkurangan dan tiada pelaburan baru.
Syarikat multinasional pula, jelas beliau, bersikap berhati-hati dalam memutuskan untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini atau di Vietnam dan Indonesia.
Beliau yang juga Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata, paling menyedihkan ialah penarafan negara ini direndahkan menjadi setara dengan keadaan di negara jiran, Thailand.
‘‘Penarafan negara kita telah diturunkan kerana syarikat penarafan antarabangsa melihat keadaan politik negara kita tidak stabil.
‘‘Apabila penarafan ini diturunkan, jika negara mahu membuat pinjaman luar maka kadar faedah yang akan dikenakan adalah lebih tinggi,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Azim berkata, apabila negara dikenakan kadar faedah lebih tinggi maka kos tambahan perlu dibayar oleh rakyat.
Beliau memberi contoh, jika negara meminjam untuk membina lebuh raya dan dikenakan faedah tinggi, maka bayaran tol yang ditanggung oleh pengguna lebuh raya itu adalah lebih mahal.
‘‘Begitu juga dengan penurunan pasaran saham. Syarikat tidak akan mempunyai wang lebih untuk diberikan kepada pekerja sebagai bonus.
‘‘Jika pekerja tidak menerima bonus, kuranglah perbelanjaan mereka. Apabila perbelanjaan kurang, perniagaan tidak berkembang. Ini menimbulkan reaksi berangkai yang negatif,’’ ujarnya.
Katanya, namun, isu tol naik dan ekonomi lembap itu akan menjadi alasan kepada Anwar untuk menyalahkan kerajaan sedangkan punca sebenar ialah diri beliau sendiri.
Abdul Azim tidak menafikan ada faktor lain yang menyebabkan pasaran saham negara jatuh tetapi katanya, ia diburukkan oleh tindakan Anwar.
Katanya, apabila tindakan Anwar dilaporkan pula oleh media asing, ia menggambarkan seolah-olah suasana negara ini sudah kucar-kacir.
- Utusan, 20-09-08.

Amerika perguna Anwar

Oleh ZULKIFLI JALIL
PUTRAJAYA 19 Sept. – Wisma Putra memperoleh maklumat bahawa ada pihak tertentu dari Amerika Syarikat (AS) mempergunakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkotak-katikkan dan menghuru-harakan Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya dimaklumkan ada rancangan daripada pihak tertentu di AS untuk memastikan Anwar menjadi pemimpin hadapan bagi memudahkan kepentingan negara itu ‘masuk’ ke Malaysia.
Dalam satu strategi penjelasan untuk menangkis tohmahan pihak asing yang menyokong Anwar, Rais berkata, Wisma Putra akan menganjurkan satu seminar yang disertai duta-duta Malaysia yang bertugas di AS, Eropah dan Amerika Selatan di Washington pada 23 September ini.
“Apa sebabnya pihak tertentu di AS begitu taksub nak masuk ke negara ini, bukan kerana sayangkan Anwar, tetapi hendak melihat Malaysia gagal dalam banyak hal.
“Mereka (AS) tak sentuh Thailand, (politik) negara itu lagi teruk (berbanding Malaysia), tapi mereka lebih cenderung kepada Anwar supaya menjadi orang suruhan ketuanya (AS). Dari sudut itu, kita (duta-duta Malaysia) kena tangkis,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rais akan berlepas ke New York esok untuk mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan berada di sana dari 27 September hingga 1 Oktober untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Rais berkata, seminar yang akan dipengerusinya itu nanti akan menyediakan duta-duta berkenaan fakta lengkap mengenai sistem perundangan dan kedudukan ekonomi Malaysia termasuk penjelasan tentang Bajet 2009.
“Pihak tertentu di AS ‘kenakan’ kita dan kita harus berkebolehan mengetahui fakta-fakta terbaru tentang perundangan, ekonomi serta soal-soal politik tanah air,” ujar beliau.
Rais menambah: “Fakta-fakta itu kita sediakan kerana kita tidak mahu duta-duta Malaysia membuat penjelasan melulu.”
Beliau juga berkata, keyakinan tinggi Anwar menguar-uarkan pembentukan ‘kerajaan baru’ sejak beberapa bulan lalu mencetuskan keraguan di kalangan banyak pihak tentang siapa di belakang Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Walaupun akhirnya terbukti apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan pada 16 September lalu, namun Anwar masih terus mencanangkan impiannya itu dengan menuntut satu sidang khas Parlimen diadakan pada 23 September ini.
Alasan yang diberikan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meminta sidang khas itu diadakan adalah bagi membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun Abdullah tidak melayan permintaan itu.
- Utusan, 20-09-08.

16 September 2008

23 fakir maut rebut wang zakat RM16

Oleh Sopha Sulaiman
KERANA RM16... Salah seorang wanita yang selamat terbaring di tengah-tengah mayat fakir miskin dan mereka yang cedera dalam kejadian berasak-asak merebut wang zakat bernilai 40,000 rupiah (RM16) di Pasuruan, Jawa Timur. Dalam kejadian itu, sebanyak 23 orang terbunuh dan ramai yang lain cedera dalam rempuhan apabila kira-kira 5,000 fakir miskin berebut-rebut untuk menerima bantuan zakat daripada seorang peniaga di Pasuruan, semalam.


JAKARTA 15 Sept. – Seramai 23 orang fakir miskin mati, manakala lapan yang lain berada dalam keadaan kritikal akibat sesak nafas kerana terhimpit semasa berasak-asak untuk mendapatkan wang zakat daripada seorang ahli peniagaan di Purworejo, Pasuruan, Jawa Timur, 800 kilometer ke timur Jakarta, hari ini.
Kebanyakan mangsa adalah wanita.
Kejadian itu berlaku tengah hari ini semasa lebih 5,000 penduduk sekitar Pasuruan berbaris di halaman rumah ahli perniagaan itu untuk mendapatkan wang zakat bernilai 40,000 rupiah (RM16).
Ketua Polis daerah, Harry Sitompul berkata, pengagihan wang zakat itu merupakan acara tradisi oleh keluarga kaya itu, sempena bulan Ramadan.
Penduduk miskin itu dilaporkan mengunjungi rumah peniaga berkenaan yang menjalankan perniagaan jual beli kenderaan sejak pukul 4 pagi, setelah mendapat khabar tentang pemberian wang zakat berkenaan.
“Setakat ini 23 telah mati dan polis masih menyiasat,” kata jurucakap Hospital Soedarsno.
Ramai yang cedera dan pengsan akibat dihimpit dan dipijak ketika berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan zakat tersebut.
Polis telah menahan ahli perniagaan itu untuk siasatan kerana gagal mengawal orang ramai semasa hendak memberikan zakat tersebut.
Dalam kejadian lain, enam remaja mati lemas setelah terperangkap di dalam danau berlumpur di Pamulang, dekat Jakarta, pagi semalam.
Remaja itu terdiri daripada anak-anak polis yang nekad terjun ke dalam danau setelah sepasukan polis datang untuk menyuraikan pergaduhan dua kumpulan remaja berkenaan.
– Utusan, 16-09-08.

13 September 2008

Tiga ditahan ISA

Oleh RAMLI ABDUL KARIM, UMAVATHI RAMAYAH dan TAN MING WAI
Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok (atas kiri), pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di kenakan tahanan ISA. Bawah: Tan Hoon Cheng (tengah) dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, malam tadi.
KUALA LUMPUR 12 Sept. – Tiga orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga tengah malam ini dalam satu operasi polis ke atas beberapa individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.
Mereka ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan.
Mengikut peruntukan itu, mereka boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan sebelum Menteri Dalam Negeri membuat keputusan sama ada penahanan itu perlu dilanjutkan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan ketiga-tiga mereka.
Menurut Ismail, penahanan di bawah ISA itu dibuat “untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan bagi membendung sebarang tindakan yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum dan persengketaan agama.”
Difahamkan, beberapa orang lagi akan ditahan di bawah akta yang sama dalam masa terdekat.
Teresa, 44, ditahan oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kereta peronda ketika Ahli Parlimen Seputeh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kinrara itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di ibu negara pukul 11.20 malam ini.
Penahanan ahli politik yang masih bujang itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan arahan melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid dan surau.
Wakil rakyat DAP itu dilaporkan turut cuba menghapuskan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan di ibu negara dan mencadangkannya digantikan dengan tulisan Cina serta Tamil.
Sebelum itu, pada pukul 8.40 malam, polis menahan Hoon Cheng mengikut akta yang sama di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Wartawan wanita itu yang dilihat menangis kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Mertajam untuk disoal siasat sebelum diiringi oleh pegawai polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Penahanan tersebut dipercayai ada kaitan dengan laporan wartawan itu dalam akhbar Sin Chew Daily yang memetik kenyataan kontroversi Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini yang mendakwa orang Cina Malaysia adalah pendatang di negara ini.
Hoon Cheng, 33, yang masih belum berkahwin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan telah berkhidmat dengan Sin Chew Daily sejak sembilan tahun lalu.
Dalam kes Hoon Cheng, laporan beliau itu menimbulkan kontroversi di seluruh negara yang akhirnya menyebabkan Ahmad digantung keahlian UMNO selama tiga tahun dalam satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO Rabu lalu.
Hari ini, akhbar Sin Chew Daily diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri berhubung isu yang sama. Tiga hari lalu, akhbar itu mempertahankan sepenuhnya Hoon Cheng.
Dua buah lagi akhbar, The Sun dan Suara Keadilan terbitan Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga diberi surat tunjuk sebab berhubung isu berasingan.
Terdahulu, pada pukul 1.10 petang ini, Raja Petra, 58, ditahan oleh sepasukan 10 anggota polis di rumahnya di Bukit Rahman Putra Sungai Buloh, Selangor.
Raja Petra ditahan di bawah ISA selepas polis berpuas hati bahawa beliau menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui laman web Malaysia Today.
Sepasukan polis yang diketuai oleh Asisten Supritendan Mohd. Yusof Chem turut merampas 15 keping cakera padat dipercayai mengandungi ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 16 naskhah buku.
Mereka dilihat meninggalkan rumah pengendali blog itu kira-kira pukul 1.50 petang.
Ismail dalam kenyataannya berhubung kes Raja Petra berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerusi pemantauannya berpuas hati bahawa pengendali laman blog itu telah melakukan tindakan-tindakan yang mencetuskan kegelisahan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Tangkapan ini terpaksa dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan beliau,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, polis menahan Raja Petra dan dua yang lain kerana tindakan-tindakan mereka yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Dalam kes Raja Petra, katanya, pengendali blog itu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyebabkan pertelingkahan dan permusuhan agama di negara ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Raja Petra sebelum ini pernah diberi teguran dan amaran oleh polis beberapa kali namun beliau langsung tidak menghiraukan teguran tersebut.
“Selepas melakukan pemantauan terhadap segala aktiviti beliau sejak kebelakangan ini, polis terpaksa menahan pengendali blog terbabit,” katanya.
Pada 5 Ogos lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama tiga lagi agensi Islam membuat laporan polis ke atas Raja Petra ekoran beberapa artikel dan komentar pembaca dalam blog itu yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah ketika ditemui di rumahnya memberitahu, penahanan Raja Petra memang sesuatu yang dijangkakan.
“Tapi saya langsung tidak menyangka dia (Raja Petra) akan ditahan di bawah ISA,” ujarnya.
Raja Petra sebelum ini pernah ditahan ISA pada 11 April 2001 kerana terbabit dalam gerakan reformasi menyokong Anwar Ibrahim. Ketika itu beliau merupakan web master laman FreeAnwar.com.
Beliau juga dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berkaitan Akta Hasutan.
- Utusan, 13-09-08.

11 September 2008

Dua AJK UMNO Hulu Terengganu Dakwa Dipecat Ketua Bahagian Tanpa Sebab

KUALA TERENGGANU, 10 Sept (Bernama)-- Dua anggota jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Terengganu mendakwa mereka dipecat oleh ketua bahagian itu Datuk Tengku Putera Tengku Awang tanpa alasan kukuh.Mohd Pauzi Yusof dan Jalaluddin Ismail berkata mereka menerima surat pemecatan bertarikh 4 Sept beberapa hari lepas yang ditandatangani oleh Tengku Putera.
"Pemecatan kami dirujuk mengikut Fasal 15.12.1 Perlembagaan UMNO," kata Mohd Puzi kepada pemberita di sini hari ini.Mohd Pauzi, yang memegang jawatan tersebut sejak 2000, berkata walaupun beliau dan Jalaluddin telah dilantik untuk menyandang jawatan tersebut dan ketua bahagian berkuasa untuk mengambil tindakan itu tetapi alasan pemecatan masih perlu diberikan.
Beliau mendakwa pemecatan itu berkemungkinan disebabkan oleh tindakan mereka mencadangkan calon lain untuk bertanding sebagai Ketua Bahagian dalam mesyuarat UMNO cawangan baru-baru ini.
Katanya tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan dalam keadaan politik pada masa kini kerana ia boleh memecah perpaduan ahli parti.Selain Mohd Fauzi dan Jaluluddin, setiausaha Umno bahagian itu, Baharudin Bilaldiah, turut dipercayai dipecat daripada jawatannya itu.
Ketika dihubungi, Baharudin sekadar mengesahkannya tanpa mengulas lanjut.
-- BERNAMA,

7 September 2008

Khalid dakwa lawat mangsa ribut buang masa

KLANG 6 Sept. – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan tindakannya tidak turun padang untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di sini dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai membuang masa dan membazir wang.
Menurutnya, walaupun pakatan pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara berkebajikan, ia tidak bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan kesusahan seperti bencana alam.
"Saya ada wakil rakyat dan Exco yang mengendalikan bantuan untuk mangsa dan saya sentiasa berhubung dengan mereka. Jadi, tidak perlu saya turun padang kerana ia membazirkan masa saya.
"Jika saya datang melawat, saya terpaksa membawa bersama 15 hingga 20 orang saya dan ini akan melibatkan kos kewangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bencana kepada mangsa ribut di sini hari ini.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke lokasi bencana alam itu sejak ia melanda Isnin lalu.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, lebih 1,000 keluarga dari beberapa kampung seperti Kampung Sungai Udang serta Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulai dan Kampung Rantau Panjang di Kapar menjadi mangsa.
Kerajaan Pusat melalui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah memberikan bantuan kilat berupa wang dan barangan keperluan sejurus kejadian berlaku.
Turut menghulurkan bantuan segera adalah Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) dengan sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membeli atap rumah yang rosak.
Abdul Khalid menambah, perbuatan segelintir pihak dan individu yang memberikan bantuan dengan menemui sendiri mangsa merupakan gimik politik yang bertujuan mahu menarik perhatian rakyat.
Jelasnya, perbuatan turun padang tidak akan memberi sebarang kesan terhadap moral mangsa ribut dan menganggap ia sebagai konsep yang tidak boleh diterima sama sekali.
"Orang yang berada dalam kecemasan bukan mahu sokongan moral, dia mahukan pertolongan.
"Namun, sesetengah ahli politik suka 'bergaya' dengan cara begini tetapi saya bukan orang seperti mereka," tegasnya.
- Utusan, 07-09-08.

4 September 2008

MT perlu bertindak segera

Oleh ZULKIFLI JALIL
Gambar
- Datuk Seri Dr. Rais Yatim
PUTRAJAYA 3 Sept. - Majlis Tertinggi (MT) UMNO digesa melakukan 'sesuatu yang drastik' bagi membendung kejutan-kejutan di luar budaya parti itu yang semakin membimbangkan dan dikhuatiri petanda 'keranapan' parti pejuang kemerdekaan negara itu.
Ahli MT, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau terpanggil mengeluarkan gesaan itu kerana ahli UMNO kini tidak lagi menampilkan sifat budaya keMelayuan apabila banyak peristiwa tidak diingini berlaku semasa dan menjelang pemilihan tertinggi parti.
Antara yang cukup membimbangkan, kata beliau, ialah penggunaan wang yang berleluasa dan keterlaluan untuk melobi pencalonan, rasuah melibatkan tangkapan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pergaduhan besar sesama ahli hanya kerana mengejar jawatan.
''Bukan itu sahaja, ada ahli UMNO juga melakukan kejutan vandalisme, kalau ada poster parti lawan...ia dipotong.
''Di Segamat pula, ahli UMNO bergaduh hingga patah kerusi semasa mesyuarat cawangan. Pemilihan parti lebih sengit daripada pilihan raya. Ini berlaku di kebanyakan tempat di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.
''Yang jelas ialah pengawasan UMNO di peringkat negeri tidak mampu... Jadi, lekas-lekaslah MT ambil tindakan agar semangat silaturrahim ini segera dipulihkan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Rais merujuk kebimbangannya itu terhadap beberapa insiden melibatkan ahli UMNO yang dipercayai ada kaitan dengan usaha mengejar jawatan dan melobi pencalonan pada pemilihan parti.
Terbaru di Kota Bharu hari ini, Ketua UMNO Cawangan Limau Manis, Datuk Azaha Abdul Rani, cedera parah disimbah asid oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di pekarangan rumahnya di Kampung Chekok, Panji, dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Azaha, 48, yang mengalami lecur di muka dan badan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan stabil.
Semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Noor Awang, 47, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merasuah Ketua Cawangan UMNO Taman Zaiton Indah, Sikamat Rezwat Shahril Zainal Ariffin supaya mencalonkannya untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban.
Semalam juga menyaksikan kejadian pembunuhan Timbalan Ketua UMNO cawangan Bukit Merah, Taib Ali, 61, yang mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di hadapan sekolah anaknya di Jalan Gunung Semanggol-Bukit Merah.
Bagaimanapun polis masih menyiasat motif pembunuhan itu.
Beberapa insiden pertelingkahan termasuk kejadian membaling kerusi dan penggunaan wang juga dilaporkan berlaku semasa mesyuarat cawangan baru-baru ini.
Banyak pihak percaya ia akan menjadi semakin hangat menjelang pemilihan peringkat bahagian bulan depan dan pusat Disember ini.
- Utusan, 04-09-08