20 September 2008

Mara kaji semula peranan, fungsi

20/09/2008 6:44pm
BESUT 20 Sept. — Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengkaji semula peranan dan mengubahsuai program yang pernah dijalankan agensi itu dalam usaha menjadikannya sebuah organisasi yang cemerlang dan terbilang pada masa depan.
Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata Mara memerlukan perubahan agar sesuai dengan keadaan semasa jika organisasi itu ingin lebih maju dan berdaya saing.
“Satu penyelidikan dan pemantauan terperinci perlu dilakukan agar peranan Mara pada masa akan datang selaras dengan input baru yang ada di dunia ini.
“Bagi tujuan itu, pengurusan Mara akan mencari formula baru untuk meningkatkan organisasi ini melalui seminar-seminar yang akan diadakan selepas Hari Raya ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada pesakit di Hospital Daerah Besut di sini hari ini.
Idris berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah mencari satu pendekatan baru agar usahawan yang dibangunkan Mara lebih berdaya saing dan maju serta mampu menjadi usahawan contoh kepada masyarakat.
Mara juga akan mengkaji semula sistem perkhidmatan pengangkutan kendalian agensi itu untuk memastikannya tidak berada di takuk lama dan sebarang kekurangan akan diperbaiki dengan segera, katanya.
— BERNAMA.

Tiada ulasan: