20 September 2008

Rakyat tanggung beban perbuatan Anwar

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ketaksuban Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri membawa kesan negatif kepada ekonomi negara dan boleh mengakibatkan rakyat menderita.
Bendahari UMNO, Datuk Abdul Azim Mohamed Zabidi (gambar) berkata, kesannya sudah dirasai apabila pasaran saham Bursa Malaysia jatuh melebihi jangkaan setelah tidak lagi mampu menarik pelaburan portfolio asing (FPI).
Katanya, impak negatif itu akan menjadi lebih ketara dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi apabila FPI semakin berkurangan dan tiada pelaburan baru.
Syarikat multinasional pula, jelas beliau, bersikap berhati-hati dalam memutuskan untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini atau di Vietnam dan Indonesia.
Beliau yang juga Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata, paling menyedihkan ialah penarafan negara ini direndahkan menjadi setara dengan keadaan di negara jiran, Thailand.
‘‘Penarafan negara kita telah diturunkan kerana syarikat penarafan antarabangsa melihat keadaan politik negara kita tidak stabil.
‘‘Apabila penarafan ini diturunkan, jika negara mahu membuat pinjaman luar maka kadar faedah yang akan dikenakan adalah lebih tinggi,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Azim berkata, apabila negara dikenakan kadar faedah lebih tinggi maka kos tambahan perlu dibayar oleh rakyat.
Beliau memberi contoh, jika negara meminjam untuk membina lebuh raya dan dikenakan faedah tinggi, maka bayaran tol yang ditanggung oleh pengguna lebuh raya itu adalah lebih mahal.
‘‘Begitu juga dengan penurunan pasaran saham. Syarikat tidak akan mempunyai wang lebih untuk diberikan kepada pekerja sebagai bonus.
‘‘Jika pekerja tidak menerima bonus, kuranglah perbelanjaan mereka. Apabila perbelanjaan kurang, perniagaan tidak berkembang. Ini menimbulkan reaksi berangkai yang negatif,’’ ujarnya.
Katanya, namun, isu tol naik dan ekonomi lembap itu akan menjadi alasan kepada Anwar untuk menyalahkan kerajaan sedangkan punca sebenar ialah diri beliau sendiri.
Abdul Azim tidak menafikan ada faktor lain yang menyebabkan pasaran saham negara jatuh tetapi katanya, ia diburukkan oleh tindakan Anwar.
Katanya, apabila tindakan Anwar dilaporkan pula oleh media asing, ia menggambarkan seolah-olah suasana negara ini sudah kucar-kacir.
- Utusan, 20-09-08.

Tiada ulasan: