29 November 2008

Al-Fatihah

Al-FATIHAH... kepada Allahyarham Dato' Haji Razali Ismail - Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Semoga Allah SWT mencucuri Rahmat kepada Rohnya. Takziah kepada keluarga Allahyarham. Amin.

Pemergian Razali satu kerugian: PM

KUALA LUMPUR: Kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail adalah satu kerugian kepada Umno dan kementerian berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata Razali adalah seorang yang berbakat dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik.Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berpengalaman luas dan anggota Parlimen yang berkaliber.
Katanya sebagai Timbalan Menteri, Razali juga arif dengan dasar kementerian yang dipimpinnya itu."Beliau telah menunjukkan satu prestasi yang baik sebagai seorang Timbalan Menteri, mampu memahami dasar-dasar kerajaan dengan baik.
"Saya memang pun sentiasa menaruh harapan yang satu hari dia akan jadi Menteri Pelajaran. Tapi apa boleh buat, Tuhan telah mentakdirkan dia meninggal dunia," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis makan malam Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia yang ke-29 di sini, hari ini.
Abdullah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.Katanya beliau terkejut apabila dimaklumkan dengan berita berkenaan.
"Saya terkejut apabila mendengar berita itu. Saya tidak pernah tahu bahawa beliau mempunyai apa-apa penyakit ataupun penyakit jantung," katanya.
Razali, 59, yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dekat sini kira-kira 6.30 petang, ketika sedang bermain badminton di institut itu.Razali meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.
- Bernama

Tugas terakhir Razali

GENTING HIGHLANDS 28 Nov. – Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Allahyarham tiba-tiba rebah ketika bermain badminton bersama beberapa kakitangan IAB di pusat rekreasi institut tersebut.
Razali, 59, yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berada di institut itu bagi menghadiri mesyuarat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan mengambil kesempatan bermain badminton di luar acara rasminya itu.
Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Bentong (HB) untuk pemeriksaan dan bedah siasat kira-kira pukul 9.30 malam ini.
Bersama mengiringi jenazah ialah isterinya, Datin Noraini Lob Yusoff, 51, dan dua daripada lima anak Allahyarham, Asrul Shah, 27 dan Muhammad Nurazli, 30.
Tiga anaknya yang lain ialah Khairul Amar, 23, Khairul Anuar, 21, dan Khairul Ariff Razali, 15. Turut berada di IAB membantu menguruskan jenazah ialah Men teri Pelajaran, Datuk Seri Hisham muddin Tun Hussein serta para pegawai Kementerian Pelajaran dan IAB. Setiausaha Kerajaan Negeri Te rengganu, Datuk Mokhtar Nong turut berada di samping jenazah di IAB dan HB.
Hishammuddin dalam reaksi nya sangat sedih dengan pemergi an mengejut Allahyarham. “Pemergian beliau kehilangan besar kepada saya, Kementerian Pelajaran serta negara,” katanya.
Selepas urusan bedah siasat di HB malam ini, jenazah Allahyar ham akan dibawa ke rumahnya di Batu Burok, Terengganu untuk di kebumikan.
Difahamkan, permainan bad minton adalah sukan kegemaran Allahyarham selain beliau juga memegang tali pinggang hitam da lam seni mempertahankan diri judo.
Razali pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) se lama 10 hari, tiga bulan lalu. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, beliau mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 32,562 undi mengalahkan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu (31,562) dan calon bebas seorang wanita berusia 89 tahun, Maimun Yusof (685).
Razali sebelum ini merupakan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PT PTN).

19 November 2008

Polemik Wanita selesai jika ikut pelan Presiden

PUTRAJAYA 18 Nov. - Polemik pelan peralihan kepimpinan Wanita UMNO hanya boleh selesai jika sayap kanan parti itu memberi takrifan yang tepat dan ikhlas bahawa pelan peralihan kuasa Presiden adalah satu proses parti yang harus dicontohi.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengakui realitinya tidak akan ada kesamarataan dari segi keinginan dan sikap seseorang yang menawarkan diri bertanding termasuk menyelitkan sentimen peribadi dalam aspek itu.
Namun, katanya, jika semua yang terlibat dalam polemik itu bersandarkan perjuangan yang ikhlas untuk faedah ahli Wanita akar umbi, jalan penyelesaian untuk keluar dari masalah itu masih tetap ada.
''Kita ahli UMNO selalu memberi takrifan apabila Presiden sudah berkorban untuk mempercepatkan peralihan kepimpinan, maka proses inilah yang harus diikuti baik oleh Pemuda, Wanita dan Puteri.
''Mungkin kepada (Tan Sri) Rafidah (Aziz), kita boleh bertanya kalau (pelan peralihan kepimpinan Wanita) dilanjutkan ke bulan Jun 2009, apa faedah yang boleh diterangkan sedangkan Presiden UMNO sendiri sanggup berkorban mempercepatkan peralihan dari Jun 2010 kepada Mac tahun depan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Polemik pelan peralihan kepimpinan Wanita UMNO hangat diperkatakan apabila mesyuarat Exco yang dipengerusikan Rafidah baru-baru ini tidak berganjak daripada pendirian untuk mengekalkan pelan asal yang dijadualkan pada Jun tahun depan.
Meskipun banyak cadangan supaya ia dipercepatkan tiga bulan lebih awal bagi membolehkan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menerajui sayap kanan itu dalam mandat yang penuh namun jalan penyelesaiannya tetap menemui jalan buntu.
Dalam aspek ini, Rais berkata, jalan penyelesaian terbaik ketika ini adalah merealisasikan pertemuan empat mata antara Rafidah dan Shahrizat.
''Kalau usaha rundingan ini juga tidak selesai dan tidak ada titik persetujuan, maka jalan keluar terakhir adalah pertandingan," katanya.
- Utusan, 19/11/08.

14 November 2008

Penerbangan Haji Pertama Dari Terengganu Selamat Sampai

Khamid, 13 November 2008- Pernerbangan pertama Jemaah Haji dari Pantai Timur yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu selamat tiba di Lapangan Terbang Jeddah jam 3.57 petang waktu Jeddah.
Menurut SMS oleh Kapten Dato' Haji Nawawi anak Terengganu yang menerbangkan sendiri penerbangan sulung ini memaklumkan kepada YB. Dato' Seri Idris Jusoh, bakal-bakal haji dari Terengganu, Kelantan dan Pahang dalam keadaan baik dan ceria.
Beliau melahirkan rasa bangga dapat berkhidmat untuk negeri sendiri dalam penerbangan bersejarah membawa bakal haji pertama dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
- hwa

Besut muncul daerah terbaik UPSR di Terengganu

BESUT 13 Nov. - Sebanyak 615 daripada 3,723 calon dari 52 sekolah rendah di daerah ini berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini yang diumumkan hari ini.
Pencapaian itu membolehkan Besut muncul sebagai daerah terbaik di negeri ini dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud terus unggul sebagai sekolah terbaik di daerah ini.
Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Tuan Yusof Tuan Sulaiman berkata, seramai 72 daripada 175 murid SK Tengku Mahmud berjaya memperoleh 5A diikuti Sekolah Kebangsaan Kampung Raja dengan 56 daripada 134 muridnya memperolehi 5A.
Menurutnya, 13 calon SK Tok Motong pula memperolehi 5A diikuti Sekolah Kebangsaan Pengkalan Nyireh dengan 34 daripada 132 muridnya memperoleh 5A.
''Sekolah lain yang mencatatkan 5A ialah SK Pusat Jerteh (32 orang), SK Tengku Mahmud II (27 0rang) dan SK Kampung Baharu (23 orang)," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, anak kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Besut yang belajar di tiga buah sekolah turut tersenarai dalam bilangan murid yang memperolehi keputusan 5A.
Mereka ialah anak kepada bekas Menteri Besar yang juga ADUN Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh iaitu Umi Kalthum yang belajar di SK Tengku Mahmud serta anak ADUN Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof iaitu Amir Hakim yang belajar di SK Tengku Mahmud II.
Seorang lagi ialah anak ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad iaitu Fatin Noraina yang belajar di SK Darau.
Idris turut menyampaikan slip keputusan peperiksaan UPSR dalam satu majlis di SK Tengku Mahmud anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
- Utusan, 14/11/08.

13 November 2008

Rakyat boleh nilai tindakan kasar MB Perak terhadap jurugambar

KOTA BAHARU: Tindakan kasar Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya semalam membuktikan sikap sebenar pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan ini akan dinilai rakyat negeri itu, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Tunjuklah kepimpinan contoh yang mereka laungkan sebelum ini. Sebelum ini amat mudah tuduh kita apabila mereka tidak menjadi kerajaan tetapi bila perintah negeri, lain pula jadinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Gang di sini hari ini.
Mohammad Nizar dilaporkan bertindak sedemikian selepas jurugambar, Mohd Najib Mohd Nor, 28, merakamkan gambarnya menerima surat tuntutan maaf daripada seorang peguam.
Mohammad Nizar juga dilaporkan mengherdik Mohd Najib dan memanggil jurugambar itu dengan panggilan “woi” bagi meminta diserahkan kad memori kameranya.
Hishammuddin berkata sikap sedemikian tidak akan diterima rakyat dan Pakatan Rakyat akan ditolak pada pilihan raya umum akan datang.
-Bernama, 13/11/08.

6 November 2008

Henti guris Melayu

Oleh Abdul Razak Din
BERSATU... Seramai 2,000 orang Melayu membaca ikrar taat setia semasa Majlis Penyerahan Memorandum oleh Gabungan Melayu Perak kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak, semalam.
*****
KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.
Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di sini hari ini, baginda menegaskan, apa yang penting pada masa ini ialah menjaga kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan.
Titah baginda, ini bermakna, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.
‘‘Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kepincangan di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan.
‘‘Oleh itu, dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.
‘‘Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu,” titah baginda.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak; Raja Jaafar Raja Muda Musa serta ahli-ahli Dewan Negara Perak.
Memorandum itu disampaikan oleh Presiden Gabungan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.
Kira-kira 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan, ahli persatuan silat dan persatuan dari seluruh Perak dan Kuala Lumpur menyertai perarakan aman yang bermula dari Masjid Ubudiah ke Istana Iskandariah di sini bagi menyerahkan memorandum itu.
Memorandum berkenaan mengandungi hasrat dan perasaan orang Melayu yang menjunjung kasih kenyataan khas Majlis Raja-Raja ke-215 pada 16 Oktober lalu.
Sultan Azlan bertitah, kebimbangan orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkannya ke dalam Perlembagaan Merdeka (Perlembagaan Persekutuan).
Titah baginda, ia termasuk klausa- klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.
Baginda menjelaskan, sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh raja- raja serta bidang kuasa raja merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu mendapat perkenan raja-raja.
Dalam hubungan ini titah baginda, institusi raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping memberikan keadilan kepada warga keseluruhannya.
‘‘Institusi raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian. Raja-raja memahami bahawa perlembagaan merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.
‘‘Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan.
‘‘Negara yang aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah,” titah baginda.
Sultan Perak bertitah, orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.
Titah baginda, untuk itu orang Melayu memerlukan jaminan dan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai pribumi tidak terancam.
‘‘Persekutuan Tanah Melayu masih wujud dalam undang-undang kita atau dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu dan nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.
‘‘Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia,” tegas baginda.
- Utusan, 06/11/08.

1 November 2008

Enam Jahanam

Politik zaman Mat Said... Saya Menteri Besar, saya ada hak terhadap Exco saya. Hak UMNO bahagian ialah melantik ketua bahagian, hak saya lantik Exco.
Lepas ini siapa pula?

Saya ada hak gugurkan Exco - Ahmad

KUALA TERENGGANU 31 Okt. - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, beliau berhak untuk melantik atau menggugurkan mana-mana ahli Exco kerajaan negeri di bawah pimpinannya.
Menurutnya, tindakan tersebut tiada kena-mengena dengan kehendak ahli-ahli UMNO yang mahukan Exco tertentu untuk menjadi ketua UMNO bahagian.
"Saya Menteri Besar, saya ada hak terhadap Exco saya. Hak UMNO bahagian ialah melantik ketua bahagian, hak saya lantik Exco. Ia dua keadaan berbeza," ujarnya selepas perasmian Pertunjukan Kuda Kebangsaan 2008 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad yang memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Marang diminta meletak jawatan berikutan 'kedegilan' beliau mengingkari nasihat supaya tidak menentang ketua bahagian sedia ada pada pemilihan bahagian itu, 25 Oktober lepas.
Yahya Khatib menewaskan, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia dengan kelebihan 198 undi.
Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, beliau telah mengarahkan semua Exco kerajaan negeri supaya tidak bertanding jawatan ketua bahagian sebelum mesyuarat cawangan bermula.
Jelasnya, arahan tersebut bagi membolehkan setiap Exco kerajaan negeri memberikan tumpuan terhadap jawatan masing-masing dalam kerajaan negeri.
"Biar orang lain memegang jawatan sebagai ketua bahagian kecuali dia memang sudah menjadi ketua bahagian... arahan saya jelas," tegasnya.
Ketika ditanya punca Yahya Khatib akan digugurkan, Ahmad berkata, beliau akan menjelaskan perkara tersebut semasa mengumumkan senarai baru barisan kepimpinan negeri itu nanti.
Mengenai kehendak akar umbi di UMNO Bahagian Marang yang memilih Yahya Khatib beliau berkata: "Kehendak saya pun dia kena ikut."
Ahmad menjelaskan, istilah pemecatan Exco kerajaan negeri sebenarnya tidak timbul sebaliknya beliau menyifatkan apa yang bakal berlaku adalah perubahan dalam senarai barisan kepimpinan negeri itu.
"Ada Exco yang digugur, ada yang dibawa masuk," ujarnya.
Beliau memberitahu, rombakan barisan Exco kerajaan negeri itu akan dilakukan pertengahan bulan depan selepas selesai Kejohanan Kuda Lasak Dunia (WEC) FEI 2008 di Lembah Bidong, Setiu dari 6 hingga 9 November ini.
- UM, 01/11/08.

MT arah perayu undi pulang

Oleh Rohani Ibrahim dan Arshad Khan
Abdullah Ahmad Badawi memberi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di PWTC, semalam. Turut hadir Najib Tun Razak.- Gambar ASWAD YAHYA
*****

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini memberi amaran kepada ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan UMNO yang berada di hotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau dan dikenakan tindakan.
Amaran berkenaan merupakan salah satu daripada empat garis panduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengawal sebarang penyelewengan sepanjang tempoh berkempen menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac depan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, terdapat laporan mengatakan ramai ejen, pengurus kempen dan perayu undi berada di hotel-hotel di Kuala Lumpur dan juga di negeri-negeri untuk berkempen.
''Kempen ini dilakukan secara langsung atau tidak langsung bagi pihak calon untuk mendorong seseorang ahli supaya jangan mengundi calon lain yang bertanding,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Selain amaran berkenaan, Abdullah turut melarang penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen.
''Saya ingin menasihatkan calon agar menghentikan penggunaan jentera kerajaan secara langsung atau tidak langsung bagi tujuan meraih undi bagi pihaknya sendiri.
''Kumpulan tertentu juga dinasihatkan agar menghentikan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk fitnah dan tohmahan yang tidak betul terhadap seseorang calon,'' katanya.
Tambah Abdullah, ahli-ahli UMNO yang menerima SMS dinasihatkan tidak terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan berniat jahat yang boleh menghancurkan perpaduan parti.
Dalam pada itu, katanya, calon-calon yang bertanding sebagai ahli MT juga akan dibenarkan bertemu ahli parti di negeri-negeri.
''Ibu pejabat akan mengatur pertemuan itu di setiap negeri. Siapa juga yang menjadi calon untuk jawatan dalam MT boleh pergi ke majlis-majlis berkenaan dan ambil kesempatan untuk bertemu ahli," katanya.
- UM, 01/11/08.