1 November 2008

Saya ada hak gugurkan Exco - Ahmad

KUALA TERENGGANU 31 Okt. - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, beliau berhak untuk melantik atau menggugurkan mana-mana ahli Exco kerajaan negeri di bawah pimpinannya.
Menurutnya, tindakan tersebut tiada kena-mengena dengan kehendak ahli-ahli UMNO yang mahukan Exco tertentu untuk menjadi ketua UMNO bahagian.
"Saya Menteri Besar, saya ada hak terhadap Exco saya. Hak UMNO bahagian ialah melantik ketua bahagian, hak saya lantik Exco. Ia dua keadaan berbeza," ujarnya selepas perasmian Pertunjukan Kuda Kebangsaan 2008 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad yang memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Marang diminta meletak jawatan berikutan 'kedegilan' beliau mengingkari nasihat supaya tidak menentang ketua bahagian sedia ada pada pemilihan bahagian itu, 25 Oktober lepas.
Yahya Khatib menewaskan, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia dengan kelebihan 198 undi.
Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, beliau telah mengarahkan semua Exco kerajaan negeri supaya tidak bertanding jawatan ketua bahagian sebelum mesyuarat cawangan bermula.
Jelasnya, arahan tersebut bagi membolehkan setiap Exco kerajaan negeri memberikan tumpuan terhadap jawatan masing-masing dalam kerajaan negeri.
"Biar orang lain memegang jawatan sebagai ketua bahagian kecuali dia memang sudah menjadi ketua bahagian... arahan saya jelas," tegasnya.
Ketika ditanya punca Yahya Khatib akan digugurkan, Ahmad berkata, beliau akan menjelaskan perkara tersebut semasa mengumumkan senarai baru barisan kepimpinan negeri itu nanti.
Mengenai kehendak akar umbi di UMNO Bahagian Marang yang memilih Yahya Khatib beliau berkata: "Kehendak saya pun dia kena ikut."
Ahmad menjelaskan, istilah pemecatan Exco kerajaan negeri sebenarnya tidak timbul sebaliknya beliau menyifatkan apa yang bakal berlaku adalah perubahan dalam senarai barisan kepimpinan negeri itu.
"Ada Exco yang digugur, ada yang dibawa masuk," ujarnya.
Beliau memberitahu, rombakan barisan Exco kerajaan negeri itu akan dilakukan pertengahan bulan depan selepas selesai Kejohanan Kuda Lasak Dunia (WEC) FEI 2008 di Lembah Bidong, Setiu dari 6 hingga 9 November ini.
- UM, 01/11/08.

1 ulasan:

demimaruah berkata...

Kalau nak gugur, gugurlah nangka! Wah Mat Said dah mengamuk bila orang kuat dia tewas kat Marang. Bila 'giant killer' tumbang, nampaknya 'The King Arthur' muncul menuntut bela.