1 November 2008

MT arah perayu undi pulang

Oleh Rohani Ibrahim dan Arshad Khan
Abdullah Ahmad Badawi memberi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di PWTC, semalam. Turut hadir Najib Tun Razak.- Gambar ASWAD YAHYA
*****

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini memberi amaran kepada ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan UMNO yang berada di hotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau dan dikenakan tindakan.
Amaran berkenaan merupakan salah satu daripada empat garis panduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengawal sebarang penyelewengan sepanjang tempoh berkempen menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac depan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, terdapat laporan mengatakan ramai ejen, pengurus kempen dan perayu undi berada di hotel-hotel di Kuala Lumpur dan juga di negeri-negeri untuk berkempen.
''Kempen ini dilakukan secara langsung atau tidak langsung bagi pihak calon untuk mendorong seseorang ahli supaya jangan mengundi calon lain yang bertanding,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Selain amaran berkenaan, Abdullah turut melarang penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen.
''Saya ingin menasihatkan calon agar menghentikan penggunaan jentera kerajaan secara langsung atau tidak langsung bagi tujuan meraih undi bagi pihaknya sendiri.
''Kumpulan tertentu juga dinasihatkan agar menghentikan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk fitnah dan tohmahan yang tidak betul terhadap seseorang calon,'' katanya.
Tambah Abdullah, ahli-ahli UMNO yang menerima SMS dinasihatkan tidak terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan berniat jahat yang boleh menghancurkan perpaduan parti.
Dalam pada itu, katanya, calon-calon yang bertanding sebagai ahli MT juga akan dibenarkan bertemu ahli parti di negeri-negeri.
''Ibu pejabat akan mengatur pertemuan itu di setiap negeri. Siapa juga yang menjadi calon untuk jawatan dalam MT boleh pergi ke majlis-majlis berkenaan dan ambil kesempatan untuk bertemu ahli," katanya.
- UM, 01/11/08.

Tiada ulasan: