31 Disember 2008

PMR: Dapat A semua subjek -1,706 pelajar di Terengganu

KUALA TERENGGANU 30 Dis. – Sebanyak 1,706 atau 7.17 peratus daripada 23,805 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di negeri ini memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Pengarah Pelajaran negeri, Arifin Embong berkata, jumlah calon yang mendapat gred A menunjukkan peningkatan membanggakan berbanding 1,320 calon mendapat A tahun lepas.
‘‘Ini menunjukkan sistem pengajaran di negeri ini baik dan berjaya melahirkan semakin ramai murid cemerlang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau memberitahu, jumlah calon yang mencatatkan kelulusan minimum bagi semua mata pelajaran yang diambil tahun ini meningkat sebanyak 62.29 peratus iaitu 14,851 calon.
‘‘Jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu seramai 13,551 atau 61.45 peratus,” katanya.
- Utusan, 31/12/08.

Undi Pas-DAP dapat pahala?

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
KUALA TERENGGANU 30 Dis. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong DAP sedangkan ia secara terang-terangan menentang Islam.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, jika Menteri Besar Kelantan itu boleh mengeluarkan 'fatwa' sesiapa mengundi Pas mendapat pahala daripada Allah, maka beliau perlu menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong parti bukan Islam.
Beliau menegaskan, jika orang Melayu menolak Barisan Nasional (BN) berdasarkan 'fatwa' itu, bagaimana pula kedudukan orang Melayu di negeri lain yang menyokong DAP dan parti bukan Islam lain.
Jelasnya, Nik Abdul Aziz perlu berbuat demikian bagi mengelakkan kekeliruan kerana selagi penjelasan itu tidak dibuat, maka 'fatwa' beliau mengenai dosa dan pahala terbukti semata-mata bertujuan untuk memancing undi.
''Saya fikir kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak mungkin boleh mempengaruhi pengundi Melayu di sini kerana mereka semua tentunya berniat baik, mengundi BN kerana inginkan kebaikan dan kesejahteraan.
''Apakah mengundi BN mendapat dosa? Beliau harus buat penjelasan berhubung Melayu yang menyokong DAP," katanya selepas menziarahi penghuni Rumah Pangsa Seri Kolam di sini hari ini.
Beliau yang juga calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang mendakwa mana-mana pengundi yang mengundi Pas akan mendapat pahala daripada Allah.
Wan Ahmad Farid mempersoalkan adakah berdosa jika masyarakat Melayu mengundi BN yang sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk kebaikan dan kesejahteraan umat.
''Apakah mereka yang menyokong kerajaan BN yang ternyata banyak melaksanakan pembangunan, sekolah, masjid dan kemudahan lain itu berdosa hukumnya," ujarnya.
Menurutnya, beliau tidak hairan dengan 'fatwa' berkenaan kerana pemimpin Pas sering mengeluarkan fatwa menjelang pilihan raya.
''Yang anehnya fatwa menghukum hanya dikeluarkan kepada Melayu di Kuala Terengganu tetapi di negeri lain tidak," katanya.

27 Disember 2008

Pas: Laksana hudud bukan utama

KOTA BHARU 26 Dis. - Dewan Ulama Pas menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini bukan menjadi keutamaan parti tersebut sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan.
Ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata, perkara utama yang harus ditekankan jika pakatan pembangkang memerintah ialah keamanan dan keadilan kepada rakyat di negara ini.
Beliau berkata, hudud dan qisas sukar untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana masih ramai yang tidak memahami kebaikan hukum tersebut.
"Apa yang penting kita hendak mencari keamanan dan keadilan dahulu, selepas itu kita akan memberikan penerangan kepada semua pihak agar mereka dapat menerimanya. Ini hukum Allah bukan hukum yang direka oleh Pas.
"Pun begitu ia tidak lari daripada dasar perjuangan Pas sendiri. Apabila pakatan memerintah tidak jadi masalah untuk dilaksanakan cuma perlu sedikit masa saja lagi supaya semua dapat memahaminya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian parti itu dalam melaksanakan hudud dan qisas di negara jika pakatan pembangkang memerintah.
Sebelum ini, ketika Wacana Transformasi Politik Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menegaskan Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang dapat memerintah.
Bagaimanapun pendirian beliau mula goyah apabila mendapat tentangan daripada rakan pakatannya, DAP yang tidak dapat menerima pelaksanaan hukum tersebut.
Mohamed merupakan salah seorang daripada panel yang merangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan sewaktu parti itu mengambil alih pemerintahan negeri ini pada tahun 1990.
Bekas Exco Kerajaan Pas Kelantan itu berkata, dasar parti itu tetap diperjuangkan cuma ia memerlukan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya.
"Kita pernah memberikan penerangan kepada DAP berhubung isu ini, tetapi yang faham hanya mereka yang datang, yang tidak datang tetap tidak faham.
"Insya-Allah selepas ini Dewan Ulama akan mengadakan kempen besar-besaran untuk memberikan penerangan mengenai hudud dan ia tambah mudah sebab kita menguasai lima negeri," katanya.
Katanya, parti itu akan terus memberikan penerangan tentang kebaikan hukum hudud dan qisas sehingga semua pihak dapat menerimanya walaupun ia terpaksa mengambil sedikit masa.
"Kita akui memang hudud dan qisas tidak dapat dilaksanakan serta merta sekiranya dapat memerintah negara ini," katanya.
- Utusan, 27/12/08.

26 Disember 2008

Isu hudud, qisas: Khairy bidas Husam

TEMERLOH 25 Dis. - Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berhubung pendirian yang tidak konsisten dalam melaksanakan hudud dan qisas jika pakatan pembangkang memerintah.
Menurut Khairy, ketika berdialog di hadapan lebih 3,000 penyokong Pas di Balai Islam Lundang, Kota Bharu Sabtu lalu, Husam menjelaskan parti itu tetap akan menegakkan pemerintahan Islam tanpa apa-apa syarat termasuk melaksanakan hukum hudud.
Namun katanya, pendirian Naib Presiden Pas itu berubah apabila mendapat bantahan keras daripada rakan dalam pakatan pembangkang yang menolak sebarang bentuk pemerintahan Islam di negara ini.
''Nada Husam mula berubah di mana beliau mendakwa Pas hanya akan melaksanakan pemerintahan Islam termasuk hukum hudud setelah mendapat persetujuan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
''Saya tidak faham pendirian sebenar Husam dan Pas yang mudah berubah semata-mata untuk menjaga hati dan terdesak dengan bantahan yang diterima daripada pakatan pembangkang,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pemuda UMNO Bahagian Temerloh di sini hari ini.
Menurut Khairy, percanggahan pendapat yang serius dalam pakatan pembangkang berkaitan isu itu membuktikan gabungan mereka amat rapuh kerana berlainan prinsip dan ideologi.
''Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membantah keras cadangan itu dan menyatakan bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum Mac lalu,'' katanya.
Pada sesi dialog itu Husam menegaskan bahawa Pas akan melaksanakan hudud dan qisas jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan di negara ini.
Namun selepas dikritik oleh DAP yang menentang hasrat Pas itu, Husam kemudian mengatakan hudud dan qisas akan dilaksanakan dengan persetujuan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.
Khairy dalam pada itu berkata, Pas sejak dulu lagi gemar mengeksploitasi isu-isu agama seperti pelaksanaan hukum hudud dan qisas sebagai slogan politik untuk menarik sokongan rakyat terutama menjelang pilihan raya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pemuda UMNO tetap akan menentang sebarang usaha kerajaan untuk menswastakan Institut Jantung Negara (IJN) seperti yang dinyatakan syarikat konglomerat Sime Darby menerusi pemilikan saham sebanyak 51 peratus.
Beliau berpendapat, penswastaan IJN hanya akan menyusahkan rakyat berpendapatan rendah dan kakitangan kerajaan yang terpaksa berbelanja besar jika mendapat rawatan di IJN.
''Bantahan pelbagai lapisan rakyat seperti orang kampung, tokoh pendidik, aktivis masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuktikan mereka menolak untuk menswastakan IJN,'' katanya.
Khairy menambah, IJN yang telah mencipta rekod perkhidmatan terbaik dan diiktiraf dunia perlu mengekalkan khidmat sosial perubatan jantung kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Mengenai persiapan menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, beliau menjelaskan, Pergerakan Pemuda UMNO sudah bersedia menggerakkan jentera menjelang penamaan calon pada 6 Januari hingga hari mengundi pada 17 Januari depan.
''Barisan Nasional (BN) berpotensi besar mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kerana calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh amat berwibawa dan dikenali oleh masyarakat di kawasan itu,'' katanya.
- Utusan, 26/12/08.

25 Disember 2008

Pemimpin BN sifatkan pemilihan tepat

Wan Ahmad Farid... diperkenalkan oleh Timbalan Presiden UMNO - Datuk Seri Najid.
*****
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyifatkan pemilihan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari nanti sebagai keputusan tepat.
Menurut mereka, Wan Ahmad Farid mempunyai ketokohan sebagai seorang pemimpin di peringkat tempatan mahu pun nasional yang menjadi perkara penting untuk menyaingi bakal calon pakatan pembangkang.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, secara peribadi, beliau memang merasakan bahawa Wan Ahmad Farid adalah calon paling sesuai bagi mewakili BN.
Katanya, ini memandangkan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu mempunyai rekod kerja yang cemerlang termasuk dalam menjalankan tugasnya sebagai anggota kerajaan.
''Beliau bukan sahaja faham masalah tempatan tetapi turut mempunyai kewibawaan untuk diketengahkan di peringkat Pusat.
''Jadi, Wan Ahmad Farid akan dapat membawa pembaharuan untuk kawasan Kuala Terengganu dan seterusnya memberi sumbangan bermakna kepada negara juga,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan menyifatkan pemilihan Wan Ahmad Farid sebagai keputusan yang cukup baik dalam memastikan kejayaan BN mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Katanya, dengan reputasi beliau yang sangat baik khususnya sepanjang perkhidmatan dalam kerajaan, pengundi Kuala Terengganu pastinya boleh membuat penilaian terbaik.
''Saya rasa pengundi Kuala Terengganu mampu membuat keputusan bijaksana. Saya percaya beliau mampu menjadi wakil mereka,'' jelasnya.
Ahli Jawatan Kuasa Pusat Parti Gerakan, Senator A. Kohillan Pillay pula mengakui Wan Ahmad Farid sebagai calon terbaik di kalangan nama-nama yang disebut-sebut sebelum ini.
''Rekodnya sebagai timbalan menteri jelas membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjaya melaksanakan tugas dengan baik sekali.
''Malah, kita tengok stail kerja beliau juga cukup menyenangkan semua pihak. Jadi, saya percaya peluang BN amat cerah,'' ujarnya.
- Utusan, 21/12/08.

Wan Ahmad Farid ikrar bawa kemenangan selesa

KUALA TERENGGANU 20 Dis. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh (gambar) berikrar akan memastikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 17 Januari ini.
Wan Ahmad Farid yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, beliau akan membalas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan BN di atas pemilihannya sebagai calon parti itu dengan kemenangan majoriti luar biasa.
''Insya-Allah dengan bantuan rakan-rakan daripada seluruh parti komponen BN, saya yakin kita akan menang dengan selesa dalam pilihan raya kecil ini malah mencapai majoriti luar biasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman Calon P036 Kuala Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediaman rasmi Menteri Besar, Sri Iman di Batu Burok di sini hari ini.
Wan Ahmad Farid yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu melahirkan rasa terkejut dengan pemilihannya itu kerana tidak pernah dimaklumkan atau diberi petunjuk oleh kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO dan BN berkenaan.
''Antara Sabtu lepas sehingga hari ini, adalah minggu paling lama dalam hidup saya. Dua hari lalu, saya menghantar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke lapangan terbang untuk lawatan kerja ke Iran dan saya dimaklumkan Najib akan mengumumkan nama calon yang diputuskan oleh mereka berdua.
''Bagaimanapun, Najib tidak memaklumkan saya berhubung keputusan tersebut sehinggalah beliau mengumumkan nama calon hari ini," katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua pucuk pimpinan kerana memberikan kepercayaan kepadanya.
''Saya juga ingin mengucap terima kasih di atas keyakinan yang diberikan oleh 103 UMNO cawangan Kuala Terengganu, pemimpin-pemimpin sayap UMNO dan parti komponen BN," katanya.
Wan Ahmad Farid berkata, inilah masanya untuk UMNO dan BN mengetepikan kepentingan diri serta menunjukkan parti itu akan tetap bersama rakyat mentadbir negara ke arah kemajuan dan kecemerlangan.
- Utusan, 21/12/08.

Wan Ahmad Farid impi sambung legasi Razali Ismail

Oleh Syarifah Hunaini Syed Ismail
KUALA TERENGGANU 21 Dis. – Bagi calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, beliau mempunyai tugas berat menyambung legasi yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Razali Ismail.
Usaha gigih terutama dalam memajukan bidang pendidikan di Terengganu yang dilakukan bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu memerlukan kesinambungan oleh pengganti yang benar-benar ingin merubah masa depan penduduk di situ.
“Allahyarham telah meninggalkan nama baik di Kuala Terengganu, dengan memberi penekanan bagi memajukan modal insan di Kuala Terengganu. Cintanya kepada bidang pendidikan amat mendalam.
“Pantang bagi beliau sekiranya ada anak-anak di sini yang gagal masuk universiti kerana tidak ada wang. Allahyarham sering cakap kepada saya, hidupnya didedikasikan kepada bidang pendidikan,” katanya di sini.
- Utusan, 22/12/08.

'Hudud slogan politik Pas'

Oleh HERMAN HAMID
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pas hanya menjadikan hukum hudud sebagai slogan politik dan membangkitkan isu itu ketika timbulnya keperluan politik.
Menurutnya, ini dapat dilihat apabila pada pilihan raya umum Mac lalu, Pas hanya mengetengahkan konsep negara kebajikan tetapi dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang majoritinya pengundi Melayu, mereka membangkitkan semula isu hudud.
''Masa pilihan raya lalu guna negara kebajikan, tak main isu hudud sedangkan sebelum ini dia yang main isu hudud.
''Tapi nampaknya sekarang (menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu) pemimpinnya sebut pula pasal nak laksanakan hudud.
''Sekarang persoalannya ialah kredibiliti. Mereka jadikan ini (hudud) sebagai soal politik, disebut-sebut sebagai slogan politik sahaja tetapi tidak ada apa yang dilakukan oleh mereka (melaksanakan hudud),'' katanya.
Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Dialog Bersama Ulama dan Umara di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang menegaskan bahawa pakatan pembangkang akan tetap melaksanakan hukum hudud sekiranya berpeluang memerintah di peringkat Pusat.
Ketika bercakap pada Wacana Transformasi Politik Negara di Kota Bharu semalam, Husam berkata, Pas tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini, termasuk melaksanakan hukum itu.
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri menambah, cerita Pas hendak melaksanakan hukum hudud sebenarnya bukanlah suatu perkara baru di kalangan pemimpin parti itu.
''Itu Pas, cerita dah lama. Bukan perkara baru. Masa (memerintah) di Kelantan pun dia tak buat juga (hudud), masa di Terengganu dulu pun sama, dia tak buat.
''Cuma tiap-tiap kali timbul pilihan raya macam sekarang, dia jadikanlah isu,'' kata beliau.
- Utusan, 23/12/08.

Gimik politik raih undi pilihan raya kecil

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kenyataan Pas berhubung pelaksanaan hukum hudud jika pembangkang memerintah hanya gimik politik untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan.
Beberapa pemimpin UMNO berpendapat, isu hudud adalah isu lama yang jelas menunjukkan niat Pas hanya bermotifkan politik dan bukannya memperjuangkan agama seperti yang dicanangkan selama ini.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Pas itu adalah strategi mereka untuk memancing pengundi di Kuala Terengganu yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu dan Islam.
''Setelah lima penggal memerintah Kelantan, namun tiada satu hukuman hudud dilaksanakan di negeri tersebut menunjukkan Pas telah menipu rakyat sejak sekian lama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa baru-baru ini yang menegaskan bahawa pakatan pembangkang akan tetap melaksanakan hukum hudud sekiranya berpeluang memerintah di peringkat Pusat.
Husam berkata demikian ketika membalas cabaran Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mencabar Naib Presiden Pas itu supaya menyatakan pendirian mengenai hudud jika pembangkang membentuk kerajaan pada satu sesi debat di Kota Bharu Sabtu lalu.
Namun begitu, DAP menafikannya dan menyatakan hudud tidak termasuk dalam manifesto pakatan pembangkang.
''Pas seharusnya menghormati dan menerima pandangan yang dikemukakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dalam pelaksanaan hukum untuk dijadikan panduan hukum agama Islam sejak sekian lama," kata Muhyiddin.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, slogan Pas 'Bangun Bersama Islam' adalah tidak relevan dengan tindakan mereka terutama selepas menang dalam pilihan raya lepas.
''Jika benar Pas ingin bangun bersama Islam, kenapa tidak mempraktikkan hukum hudud terutama di lima buah negeri yang dikuasai pakatan pembangkang," kata beliau.
Menurut Mohd. Ali, contoh yang paling mudah dalam melihat ketelusan Pas ini ialah semasa pengakuan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjalinkan hubungan seks dengan bukan muhrim di Perak beberapa bulan lepas.
''Kenapa Pas mendiamkan diri tanpa mengambil apa-apa tindakan khususnya melaksanakan hukum hudud ke atas individu tersebut yang secara terang mengaku berzina, apatah lagi Menteri Besar Perak adalah orang Pas sendiri," katanya.
Malah, menurut beliau, tindakan DAP membidas keras niat Pas untuk melaksanakan hukum hudud, jelas menunjukkan tiada kesepakatan di kalangan anggota pakatan pembangkang yang nyata mempunyai perbezaan ideologi.
''Pembohongan yang nyata daripada Pas kepada rakyat khususnya di Kuala Terengganu, kerana cita-cita Pas itu tidak akan terlaksana selagi tidak mendapat restu daripada seluruh anggota pakatan pembangkang," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar meminta Pas bangun daripada tidur yang lena kerana ada sebahagian sekutunya dalam pakatan pembangkang secara terang-terangan menentang ideologi hukum hudud tersebut.
''Kita hairan bagaimana pemimpin Pas boleh merelakan parti mereka dieksploitasi untuk melemahkan perpaduan umat Islam di negara kita sendiri," katanya.
Menurut Syed Hamid, selepas pilihan raya umum yang lepas, Pas tidak pernah menimbulkan isu hudud ini sehingga sekarang hanya selepas pengumuman pilihan raya kecil di Kuala Terengganu.
''Ini jelas menunjukkan perjuangan pemimpin Pas dilihat lebih kepada kepentingan politik, tidak ikhlas dan tidak mempunyai pendirian dalam menjadikan Islam sebagai tunjang perjuangan parti tersebut.
''Orang ramai khususnya orang Melayu dan umat Islam perlu menyedari akan hakikat ini dan sudah sampai masanya untuk kita mencari kesepakatan dalam menilai tindakan dan kewajaran janji-janji parti tersebut," katanya.
- Utusan, 24/12/08.

Pas politikkan hukum hudud

Oleh HERMAN HAMID
KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pas dicabar supaya membentangkan rang undang-undang hudud di negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang sekiranya benar parti itu komited dalam melaksanakan hukum tersebut.
Beberapa pemimpin UMNO ketika memberikan pendapat mereka berkata, jika Pas gagal membentangkannya khususnya di negeri Perak yang wakil parti itu menjadi Menteri Besar, ia membuktikan parti berkenaan hanya menggunakan isu agama untuk tujuan politik.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, soal hudud jelas sengaja dibangkitkan kembali atas keperluan Pas untuk berhadapan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu kerana pengundinya majoriti orang Melayu.
Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya kawasan itu tidak ramai pengundi Melayu, Pas bukan sahaja sunyi sepi dalam isu hudud, malah sanggup pula menyokong calon DAP yang terang-terang tidak mahu menerima dasar mereka.
''Ini menandakan bahawa pakatan pembangkang ada masalah. Kalau pengundi faham dilema yang ada, saya percaya mereka tidak akan mengundi pembangkang kerana mereka tidak konsisten.
''Cara mereka, kalau di kawasan Melayu cakap lain di kawasan Cina cakap lain,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa baru-baru ini menegaskan bahawa pakatan pembangkang akan tetap melaksanakan hukum hudud sekiranya berpeluang memerintah di peringkat Pusat.
Kenyataan Husam itu dikritik hebat oleh sekutu Pas dalam pakatan pembangkang khususnya DAP yang menolak keras perkara tersebut dan menyifatkan hudud tiada dalam manifesto pakatan pembangkang.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Noh Omar berkata, kredibiliti Pas dalam menegakkan hukum hudud jelas boleh dipersoalkan kerana mereka tidak konsisten mengenai perkara itu.
Menurutnya, parti itu hanya mempolitikkan hukum Allah kerana bercakap mengenainya apabila ada keperluan.
Beliau menambah, jika dilihat di negeri Selangor dan Perak yang pembangkang berkuasa, soal hudud langsung tidak menjadi agenda mereka.
''Bila nak pilihan raya kecil (Kuala Terengganu) yang majoriti kawasan Melayu, mulalah nyanyi lagu lama (hudud), tetapi bila tanya di Selangor atau Perak, dia kata matlamat untuk negeri kebajikan.
''Sebenarnya, macam mana Pas nak tegakkan hudud, kalau di Pulau Pinang pasal program tarian i-Dance itu pun mereka diminta tidak bersuara, ini kan pula hudud.
''Sebab itu, DAP cakap macam-macam pasal hudud, tetapi Exco agama pakatan pembangkang yang terdiri daripada orang Pas, senyap saja. Kalau betul mereka pejuang hudud, saya cabar Exco agama mereka letak jawatan,'' tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Razali Ibrahim berkata, kenyataan terbaru Husam itu sebenarnya membenarkan dakwaan selama ini bahawa Pas menggunakan agama untuk tujuan politik.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor berkata, ini dapat dilihat bagaimana masa pilihan raya umum lalu, isu hudud tidak kedengaran, tetapi untuk Kuala Terengganu ia dibuka semula kerana mereka tahu orang Islam amat sensitif dengan soal agama.
''Jadi, ini bukan cara berpolitik yang bertanggungjawab. Sebab itu, saya amat dukacita dengan cara ini yang menggunakan agama sebagai alat bagi mencapai kemenangan.
''Dari dulu lagi orang bercakap pasal ini, tetapi sekarang nampak lebih jelas kerana tiba-tiba sahaja ia dibangkitkan, tetapi lepas berakhir pilihan raya kecil ini, saya yakin hudud akan kembali senyap,'' jelasnya.
- Utusan, 24/12/08.

Pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu bukan medan berkempen

24/12/2008 4:02pm
TEHERAN 24 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kepada semua calon yang bertanding pada pemilihan UMNO Mac depan jangan menjadikan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sebagai medan untuk berkempen bagi jawatan dalam parti.
Perdana Menteri menyatakan demikian pada sidang akhbar kepada wartawan Malaysia selepas selepas mengakhiri lawatan rasmi empat hari ke Iran.
Beliau pulang ke tanah air hari ini dan dijangka tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini, pukul 11.50 malam ini. - Utusan

22 Disember 2008

Protes I-Dance: DAP kutuk Pas

PULAU PINANG 21 Dis. - Pemuda DAP mengutuk tindakan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang yang mengadakan demonstrasi pada Jumaat lepas sebagai membantah penganjuran pertandingan tarian jalanan 'I-Dance' di negeri ini.
Ketuanya, Loke Siew Fook berkata, tindakan Pemuda Pas itu tidak rasional kerana tarian adalah sebahagian daripada aktiviti riadah yang sihat.
"Saya kesal dengan tindakan itu kerana ia datang dari parti komponen Pakatan Rakyat, tarian adalah sebagai satu bentuk sukan. Harap Pas Pulau Pinang dapat bezakan antara kegiatan sukan dengan kegiatan maksiat," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jumaat lepas, lebih 200 anggota Pemuda Pas negeri mengadakan demonstrasi di pekarangan Masjid Permatang Janggus dekat sini dengan membawa pelbagai sepanduk mengkritik kepimpinan kerajaan negeri yang menyokong penganjuran pertandingan tarian jalanan I-Dance.
Mereka mendesak kerajaan negeri membatalkan penganjuran pertandingan itu atau meneruskannya tanpa penglibatan remaja Islam.
Difahamkan, I-Dance anjuran Danzity Production mendapat sokongan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Belia dan Sukan yang bertujuan memperomodi gaya hidup sihat selain mengisi masa lapang remaja.
Pusingan awal pertandingan itu telah diadakan di New World Park, Georgetown semalam manakala pusingan akhir di Queensbay Mall pada 27 Dis ini.
- Utusan, 22/12/08.

20 Disember 2008

Pegawai negeri suarakan bantahan di kain rentang

Oleh Baharom Bakarbhkt@bharian.com.my
Rombakan besar-besaran 1 Januari cetus rasa tak puas hati
KUALA TERENGGANU: Rombakan besar-besaran pegawai tadbir kerajaan negeri berkuat kuasa 1 Januari ini kurang disenangi dan mendapat bantahan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri berdasarkan sepanduk yang dipasang di beberapa tempat sekitar bandar raya termasuk di hadapan Wisma Darul Iman, semalam.
Perasaan tidak puas hati kerana pertukaran 61 pegawai tertinggi itu diterjemahan pihak tertentu menerusi pemasangan sepanduk yang tertera dengan pelbagai perkataan menghentam kepemimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Antara perkataan ditulis pada kain sepanduk berkenaan ialah ‘Rombakan Besar-besaran TCS Kerajaan negeri, 1 Januari 2009. Siapa sebenarnya mentadbir Terengganu sekarang?, Mat Said (Menteri Besar) atau Wan Ahmad Wan Muda (merujuk kepada Setiausaha sulit kanan Menteri Besar) atau sepupunya, Wan Lutfi (Wan Mohamad Lotfi Wan Ismail) ataupun Husin Botak (Husain Embong, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri).
Perkataan lain yang ditulis pada kain rentang itu ialah ‘Satu kezaliman, pegawai senior diberi jawatan junior dan pegawai junior diberi sebaliknya, suatu penghinaan terhadap TCS, umpama tikus membaiki labu, Mat Said (Ahmad) menghancurkan Terengganu dan tolak BN (Barisan Nasional) serta doa orang teraniaya.
Seorang pegawai kerajaan yang terbabit dengan pertukaran dan enggan namanya disiarkan berkata, sebagai seorang kakitangan awam, tidak sepatutnya bantahan melalui sepanduk itu dipasang di sekitar bandar raya ini.
Katanya, sebagai seorang pegawai dan kakitangan awam, kerja untuk rakyat hendaklah diutamakan walaupun di mana saja diarahkan bertugas.
"Walaupun turut terkilan kerana kita juga turut terbabit dengan pertukaran itu, tetapi selepas memikirkan peranan berkhidmat untuk rakyat, kita sebagai pegawai dan kakitangan awam perlu akur.
"Kita tidak tahu siapa pasang sepanduk itu, tetapi berkemungkinan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan sempena pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan.
"Jika diteliti tulisan pada sepanduk itu, kita akui ada kebenarannya kerana sebahagian daripada yang terbabit dalam rombakan pertukaran itu adalah pegawai senior tetapi diberi jawatan yang lebih junior," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kain sepanduk bantahan itu dipasang di tiga kawasan sekitar bandar raya iaitu berhampiran Perpustakaan Awam negeri, simpang empat lampu isyarat Kuala Ibai dan di hadapan Wisma Darul Iman, tetapi sudah dibuang tengah hari semalam.
- BH, 20/12/08.

19 Disember 2008

Perlu adil, bijak semasa tulis blog: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan blog untuk memperlekehkan orang lain tetapi perlu bijak dan adil semasa menulis.
Beliau berkata oleh kerana penulisan dalam blog tidak boleh ditapis, jika digunakan dengan tidak bertanggungjawab, ia boleh menyinggung perasaan orang.
“Blog memberikan anda peluang untuk menyatakan sesuatu dengan menggunakan perkataan anda sendiri dan anda dapat memperbaikinya dari semasa ke semasa apabila anda berulang kali menulis, anda akan lebih mahir.
“Pada pandangan saya, menulis blog dalam Internet adalah satu peluang untuk orang belajar bagaimana untuk menulis,” katanya.
Dr Mahathir menandatangani buku terbaru beliau yang dihasilkan berdasarkan blog beliau bertajuk ’Chedet.com - Blogging to Unblock” dan biografi bergambar bertajuk “Mahathir Mohamad: An Illustrated Biography” di sini hari ini.
Beliau menandatangani kira-kira 100 buku berkenaan pada majlis itu.Hampir 9,000 naskhah ’Chedet.com - Blogging to Unblock’ dicetak setakat ini dengan dua cetakan baru, sejak dilancarkan pada 17 September. Buku itu berharga RM25 senaskhah.Chedet.com - Blogging to Unblock, antara lain menyentuh mengenai badan kehakiman dan pentadbiran kerajaan sekarang dan ruangan coretan.
Ditanya sama ada media elektronik akan mengatasi media cetak daripada segi kepentingan, Dr Mahathir berkata ia bergantung kepada kemahiran menulis seseorang dan isi kandungannya.
“Jika anda tulis perkara yang karut dan tiada asas, tiada siapa yang mahu membacanya,” katanya.
Mengenai memoir beliau, bekas perdana memberitahu hadirin pada majlis itu yang beliau telah cuba menyiapkannya sejak enam tahun lalu, tetapi setiap kali beliau fikir ia telah siap, beliau berasa tidak puas hati dan berterusan membuat pembetulan.“Jurutaip saya sudah berasa amat letih sekarang ni.
Jadi, jujurnya saya tidak tahu bila ia akan keluar,” katanya.
- Bernama, 18/12/08

16 Disember 2008

Terengganu terima royalti RM6.218b dalam tempoh 8 tahun

14/12/2008 6:54pm
KUALA TERENGANU 14 Dis. — Kerajaan Terengganu menerima wang royalti minyak secara langsung daripada kerajaan Pusat sejak 2000, berjumlah RM6.218 bilion, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.
Beliau berkata jumlah itu, termasuk RM408.6 juta yang dibayar pada majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan di sini, semalam.
“(Bagaimanapun), pada masa ini, kerajaan Terengganu sedang menunggu senarai penuh perbelanjaan digunakan oleh kerajaan Pusat, yang melibatkan wang royalti minyak itu,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) yang ingin tahu jumlah wang royalti minyak yang diterima kerajaan Terengganu dari 2000 hingga 2008, pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12, di sini hari ini.
Ahmad berkata setakat ini, Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain.
Beliau berkata RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain.
“Jumlah keseluruhan wang yang digunakan ini adalah sebanyak RM1.5 bilion.
Wang ini akan dituntut kembali kerana beberapa senarai lain yang kita kehendaki masih belum disahkan oleh Kementerian Kewangan.
“Insya-Allah, setelah kita mendapat senarai lengkap ini, rundingan terakhir dengan kerajaan Pusat untuk menuntut kembali hak kita, iaitu baki yang ada dapat dilaksanakan,” katanya.
Ahmad berkata kerajaan Pusat telah bersetuju menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dan rundingan untuk menyelesaikan beberapa perkara masih dijalankan.
“Sebab itu, sehingga kini kita belum menarik balik saman kerajaan Terengganu terhadap kerajaan Pusat,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Harun Taib (PAS-Manir), yang ingin tahu kenapa wang royalti itu disimpan kerajaan Pusat.
Saman terhadap kerajaan Pusat berhubung isu wang royalti tersebut difailkan di mahkamah oleh PAS pada 2000 ketika memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.
— BERNAMA, 14/12/08.

Terengganu tubuh TIA jana ekonomi mapan

Oleh Azman Zakariaazmanz@bharian.com.my
Langkah jamin pembangunan negeri secara berterusanKUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu akan menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion untuk menjana pertumbuhan ekonomi mapan serta menjamin pembangunan negeri secara berterusan.
Penubuhan TIA itu juga dibuat sebagai sebahagian usaha untuk memastikan pendapatan negeri berkenaan mencukupi untuk menjana pembangunan bagi generasi akan datang terutama apabila negeri itu kehabisan sumber minyak dan gas.Menurut sumber, cadangan mewujudkan TIA yang diilhamkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat baru-baru ini, diluluskan sebulat suara oleh mesyuarat Exco negeri, kelmarin.
TIA akan beroperasi sebagai satu ‘dana kekayaan’ (sovereign wealth fund) bagi Terengganu bertujuan mengurus pelaburan negeri bagi menghasilkan pulangan jangka panjang dari segi ekonomi kepada rakyat negeri itu dan Malaysia amnya.
Sumber itu berkata, dana RM10 bilion itu akan diperoleh daripada pasaran kewangan tempatan dan luar negara dengan cadangan supaya Kerajaan Pusat menye-diakan jaminan sebanyak RM5 bilion serta memberi status bebas cukai kepada TIA.“
Permohonan bagi jaminan kerajaan sebanyak RM5 bilion dan taraf bebas cukai masih dipertimbangkan Kerajaan Pusat. Dana itu akan dijamin bersandarkan kepada sebahagian daripada pendapatan minyak masa depan Terengganu, katanya. Terengganu mempunyai 1.1 juta penduduk dengan tahap miskin tegar antara tertinggi di Malaysia, iaitu 6.5 peratus.
Sumber itu berkata, sebagai langkah mencapai pembangunan lestari jangka panjang, TIA juga akan terus melabur modal, simpanan dan keuntungannya untuk menjana kadar pertumbuhan yang tinggi manakala dividen akan diumumkan kepada kerajaan negeri. Pengurusan serta pelaburan sumber kewangan TIA akan dilaksanakan pada peringkat tempatan dan antarabangsa untuk memastikan pendapatan berterusan untuk jangka panjang bagi Terengganu serta memberi faedah khususnya, generasi akan datang.
Untuk itu, katanya, kerajaan negeri akan mengkhususkan sebahagian besar daripada royalti minyak dan gas kepada TIA untuk pembangunan ekonomi jangka panjang Terengganu.
Menurut sumber itu, Seri Paduka akan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat TIA, yang akan turut dianggotai Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said manakala barisan Lembaga Pengarahnya akan mengambil kira tokoh dengan kelulusan bersesuaian, personaliti di kalangan profesional, mempu-nyai integriti tinggi serta pengalaman pada peringkat antarabangsa.
- BH

Elaun JKKK dikaji

KUALA TERENGGANU 15 Dis. - Kerajaan negeri akan mengkaji cadangan untuk menaikkan kadar elaun bulanan pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini sejajar dengan keperluan semasa.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan membuat kajian terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.
''Kita akan lihat keadaan semasa sebelum membuat keputusan," katanya semasa menjawab soalan tambahan Muhamad Ramli Nuh (BN-Tepuh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Menurut Ahmad, pada masa ini terdapat 981 JKKK di negeri ini yang masih aktif.
Katanya, sebanyak 295 JKKK adalah di daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (116), Marang (99), Besut (174), Kemaman (119), Dungun (98) dan Setiu (90).
- Utusan, 16/12/08.

Bush dibaling kasut

DIAIBKAN... (Gambar besar) Muntadar Al-Zeidi bangun secara tiba-tiba dari tempat duduk bahagian pemberita dengan memegang kasut di tangan kanannya ketika Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri Al-Maliki mengadakan sidang akhbar bersama di Baghdad, semalam manakala gambar di bawah (dari kiri ke kanan) dia melontar kasut ke arah Bush sambil melaungkan “Ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing! Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq.” Bush mengelak kasut yang dilontar dan berselindung di sebalik rostum ketika Muntadar mencapai satu lagi kasutnya sebelum melontar ke arah Bush sambil diperhatikan oleh Nuri Al-Maliki yang tergamam. – AP
*****
BAGHDAD 15 Dis. – Seorang wartawan Iraq membaling sepasang kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq, semalam.
Insiden itu menonjolkan kebencian mendalam yang terus dirasai di negara ini terhadap Bush yang mengakui perang di Iraq masih belum dimenangi.
Wartawan berkenaan, Muntazer al-Zaidi bangun sewaktu Bush mengadakan sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik seraya menjerit dalam bahasa Arab, “ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” lalu membaling kasut yang dipakainya.
“Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq,” jerit Muntazer, wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq berpangkalan di Kaherah.
-Utusan, 16/12/08.

14 Disember 2008

Exco Perak salahkan kerajaan Pusat



Perdana V6 VS Camry
*****
IPOH: Ahli Exco Kanan Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini menyalahkan kerajaan pusat sebagai penyebab kerajaan negeri Perak terpaksa membayar harga tinggi bagi pembelian 16 kereta Toyota Camry 2.4 untuk Exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya.
Beliau berkata keengganan kerajaan pusat memberikan pelepasan cukai menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar harga RM167,000 untuk sebuah Toyota Camry berbanding harga sebenar hanya RM97,000 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi.
Sambil menegaskan peruntukan untuk membeli kereta baru itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang lepas, Ngeh berkata keputusan pembelian itu adalah untuk mengelakkan wang rakyat dibazirkan bagi membayar kos penyelenggaraan tinggi kereta rasmi sedia ada.
"Adalah lebih menjimatkan menyenggara kereta-kereta Toyota Camry daripada kumpulan Proton Perdana V6. Kami mahu menjimatkan wang dengan membeli kereta baru oleh kerana kos senggara tidak begitu tinggi," katanya kepada pemberita selepas konvensyen DAP Perak di sini.
Pada Jumaat lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kerajaan negeri akan mengeluarkan RM2.7 juta bagi membeli kereta baru itu, dan menyatakan menyenggara Proton Perdana melibatkan kos tinggi.
Pengumuman Menteri Besar itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir yang menyifatkan kerajaan negeri tidak menepati janji untuk berbelanja secara berhemah.
- Bernama, 14/12/08.

Fokus Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu

Najib umum calon Barisan Nasional minggu depan

KUALA TERENGGANU 13 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu minggu depan.
Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan tanggungjawab untuk mengumumkan calon pada pilihan raya kecil itu kepada beliau.
"Saya sudah diberikan mandat untuk mengumumkan nama calon berkenaan namun saya tidak mahu menyebut soal calon kerana agenda hari ini ialah mengenai jentera pilihan raya.
"Saya mungkin mengumumkan nama calon BN minggu depan," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Pemukiman UMNO Terengganu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya P036 Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri dijangka menghadiri satu majlis di sini pada minggu depan.
Najib berharap semua peringkat ahli UMNO dan BN terus memberi sokongan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN.
"Sesiapa saja yang akan jadi calon tak penting tapi yang penting beliau mempunyai sikap dan sifat yang disenangi pengundi seperti merendah diri, tidak sombong dan mesra rakyat," ujarnya.
Beliau menambah, pengundi adalah perkara yang paling penting dan harus diberi keutamaan melebihi perkara-perkara lain dalam pilihan raya umum atau kecil.
"Kita mesti faham dalam masa pilihan raya yang lebih penting bukanlah jentera UMNO, ketua cawangan dan ahli jawatankuasa cawangan, tetapi pengundi yang paling penting kerana mereka adalah 'raja' semasa pilihan raya," jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, kesemua peringkat ahli UMNO juga perlu mempunyai keinginan dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menang dalam pilihan raya kecil itu dan bukan sekadar meluahkannya melalui kata-kata.
"Semua mahu menang, siapa hendak kalah tetapi kadang-kadang kita luahkan saja UMNO akan menang atau saya nak menang tetapi amalan, perbuatan dan tingkah laku kita tak mencerminkan orang yang nak menang pilihan raya," katanya.
-Utusan, 14/12/08.

Keluarlah Kayveas...

Dipersilakan dengan tanpa rasa hormat...
*****
Tindakan Presiden PPP, M. Kayveas menggugut untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) jika kerajaan tidak meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri , sudah keterlaluan.
Ia bukan kali pertama Kayveas berbuat demikian. Beliau pernah mengancam meninggalkan BN jika PPP tidak diberi kuota menteri dan kerusi Parlimen tertentu.
Beliau juga diketahui kerap membidas dasar kerajaan antaranya berkaitan isu Hindraf dan perkhidmatan awam. Sebab itu, Awang lega dengan reaksi Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi bahawa PPP bebas keluar BN.
Awang menghitung hari untuk melihat PPP keluar dan anehnya sampai hari ini, parti itu masih mahu kekal. Ternyata Kayveas tidak berlaku adil kepada BN. Setelah apa yang dilakukan, beliau masih mahu menjadi anggota komponen. Tindak- tanduknya tidak boleh dibiarkan lagi kerana ia akan terus menjadi duri dalam daging.
Selama ini pun, ramai melihat prestasi PPP di bawah Kayveas tidak menyerlah malah kini menjadi liabiliti kepada BN.
Menurut Penasihat PPP, S.I Rajah, Kayveas sepatutnya meletakkan jawatan kerana prestasi hambar sepanjang 15 tahun mengetuai PPP. Kayveas juga tewas teruk di kerusi Parlimen Taiping dan sepatutnya mengambil tanggungjawab dengan berundur.
Sentimen orang ramai juga negatif terhadap Kayveas. Berdasarkan bancian Utusan Online, hampir 70 peratus responden berpendapat Kayveas tidak wajar kekal dalam BN. Pada Awang, sudah sampai masanya BN perlu lebih tegas. Singkirkan saja PPP. Atau jika BN tidak cukup keberanian kerana mahu mengambil kira pelbagai faktor termasuk persiapan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, jangan beri kerusi pilihan raya umum akan datang kepada parti kecil itu yang tidak tahu diuntung.
- Utusan, 14/12/08.

10 Disember 2008

UMNO Kuala Terengganu serah nama calon kepada UMNO Perhubungan

10/12/2008 7:00pm
KUALA TERENGGANU 10 Dis. — Badan Perhubungan UMNO negeri akan bermesyuarat malam esok untuk membincangkan senarai calon yang difikirkan layak untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, nama calon terbabit telah diputuskan pada mesyuarat khas tertutup anggota jawatankuasa UMNO bahagian itu malam semalam yang turut dihadiri pemimpin semua sayap parti Pemuda, Wanita dan Puteri.
Ditanya sama ada calon terbabit merupakan pilihan UMNO cawangan, beliau berkata “bukan semua cawangan... tetapi ikut perlembagaan parti bahagian diminta cadangkan nama calon kepada perhubungan dan bahagian telah buat ketetapan.
Ketetapan itu akan saya panjangkan kepada perhubungan untuk buat pertimbangan secepat mungkin.”
Beliau juga enggan mendedahkan senarai nama calon yang dipilih dan jumlah nama yang dikemukakan dengan alasan tidak mahu mendahului Badan Perhubungan UMNO negeri yang dijangka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara itu esok.
Katanya, UMNO bahagian akan mencadangkan kepada UMNO perhubungan negeri supaya mengumumkan nama calon lebih awal untuk mengelakkan spekulasi di kalangan media dan sekali gus akan memudahkan jentera parti menumpukan perhatian menghadapi pilihan raya kecil itu.
- Bernama, 10/12/08.

6 Disember 2008

KT, Permatang Pauh berbeza

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
Najib Tun Razak, Hishamuddin Tun Hussein, Ahmad Said (dua dari kiri) pada majlis tahlil di rumah Allahyarham Razali Ismail di Kuala Terengganu, semalam.
*****
KUALA TERENGGANU 5 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, situasi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan adalah berbeza dengan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sebelum ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Permatang Pauh melibatkan perebutan kerusi yang dipertahankan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Kuala Terengganu melibatkan kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).
‘‘Ia berbeza... suasana berbeza dan keadaannya pun berbeza dan ini merupakan negeri yang ditadbir oleh BN.
- Utusan, 6/12/08.

Pas akui sukar tadbir Selangor bersama PKR, DAP

Oleh Zabry Mohamad
SHAH ALAM 5 Dis. – Pas hari ini membuat kenyataan berterus terang apabila mengakui sukar untuk memperjuangkan serta mempertahankan hak orang Islam dan Melayu di Selangor disebabkan perbezaan ideologi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali turut mengakui kadang-kala terpaksa melupakan matlamat perjuangan utama parti itu menegakkan syiar Islam ketika membuat sesuatu keputusan berkaitan pentadbiran kerajaan negeri semata-mata mahu mengambil hati PKR dan DAP.
“Pas Selangor terpaksa mengambil kira perjuangan parti dan perjuangan kerajaan campuran negeri yang turut diterajui PKR dan DAP.
“PKR dan DAP memiliki objektif parti masing-masing yang amat berbeza dengan Pas.
“Disebabkan perbezaan ini, Pas kadang-kala terpaksa melupakan perjuangan asal demi negeri Selangor,” katanya.
- Utusan, 6/12/08.

5 Disember 2008

6 Januari penamaan calon, mengundi 17 Januari

Oleh Wan Hazmir Bakar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil P036 Parlimen Kuala Terengganu, manakala 17 Januari tarikh mengundi.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mengumumkannya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPR, di Putrajaya, jam 11.30 pagi ini berkata, SPR turut menetapkan tempoh berkempen 11 hari.P
ilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan ini selepas kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail, minggu lalu.
Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, meninggal dunia Jumaat lalu selepas rebah dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands.
Pada pilihan raya umum Mac lalu, Allahyarham mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 628 undi.
-BH, 05/12/08.

4 Disember 2008

Pas terima Zaid jika dia insaf

KOTA BHARU 3 Dis. - Pas sedia menerima dan memberi tempat kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dengan syarat beliau insaf dan ikhlas untuk berjuang di dalam sebuah parti yang mendokong dasar politik Islam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka untuk menerima sesiapa sahaja termasuk Zaid dan kaum lain berjuang bersama dengan parti itu.
"Kami terbuka, usahkan Zaid, orang Cina dan India pun kami terima. Cuma yang tinggal kini ialah mekanisme penerimaan itu (sebagai ahli) terpulang kepada jawatankuasa teknikal parti, saya hanya bercakap mengenai dasarnya sahaja.
"Saya lebih suka begini, mana-mana pemimpin UMNO yang telah lama berjuang dalam parti itu dengan menyerang Pas dan Islam. Kalau bolehlah biar dia pula puji Islam, marah balik kepada sekular yang dia pertahan sebelum ini, lepas tu barulah isi borang Pas," katanya.
- Utusan, 4 Dec 08.