25 Disember 2008

'Hudud slogan politik Pas'

Oleh HERMAN HAMID
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pas hanya menjadikan hukum hudud sebagai slogan politik dan membangkitkan isu itu ketika timbulnya keperluan politik.
Menurutnya, ini dapat dilihat apabila pada pilihan raya umum Mac lalu, Pas hanya mengetengahkan konsep negara kebajikan tetapi dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang majoritinya pengundi Melayu, mereka membangkitkan semula isu hudud.
''Masa pilihan raya lalu guna negara kebajikan, tak main isu hudud sedangkan sebelum ini dia yang main isu hudud.
''Tapi nampaknya sekarang (menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu) pemimpinnya sebut pula pasal nak laksanakan hudud.
''Sekarang persoalannya ialah kredibiliti. Mereka jadikan ini (hudud) sebagai soal politik, disebut-sebut sebagai slogan politik sahaja tetapi tidak ada apa yang dilakukan oleh mereka (melaksanakan hudud),'' katanya.
Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Dialog Bersama Ulama dan Umara di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang menegaskan bahawa pakatan pembangkang akan tetap melaksanakan hukum hudud sekiranya berpeluang memerintah di peringkat Pusat.
Ketika bercakap pada Wacana Transformasi Politik Negara di Kota Bharu semalam, Husam berkata, Pas tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini, termasuk melaksanakan hukum itu.
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri menambah, cerita Pas hendak melaksanakan hukum hudud sebenarnya bukanlah suatu perkara baru di kalangan pemimpin parti itu.
''Itu Pas, cerita dah lama. Bukan perkara baru. Masa (memerintah) di Kelantan pun dia tak buat juga (hudud), masa di Terengganu dulu pun sama, dia tak buat.
''Cuma tiap-tiap kali timbul pilihan raya macam sekarang, dia jadikanlah isu,'' kata beliau.
- Utusan, 23/12/08.

Tiada ulasan: