25 Disember 2008

Gimik politik raih undi pilihan raya kecil

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kenyataan Pas berhubung pelaksanaan hukum hudud jika pembangkang memerintah hanya gimik politik untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan.
Beberapa pemimpin UMNO berpendapat, isu hudud adalah isu lama yang jelas menunjukkan niat Pas hanya bermotifkan politik dan bukannya memperjuangkan agama seperti yang dicanangkan selama ini.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Pas itu adalah strategi mereka untuk memancing pengundi di Kuala Terengganu yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu dan Islam.
''Setelah lima penggal memerintah Kelantan, namun tiada satu hukuman hudud dilaksanakan di negeri tersebut menunjukkan Pas telah menipu rakyat sejak sekian lama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa baru-baru ini yang menegaskan bahawa pakatan pembangkang akan tetap melaksanakan hukum hudud sekiranya berpeluang memerintah di peringkat Pusat.
Husam berkata demikian ketika membalas cabaran Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mencabar Naib Presiden Pas itu supaya menyatakan pendirian mengenai hudud jika pembangkang membentuk kerajaan pada satu sesi debat di Kota Bharu Sabtu lalu.
Namun begitu, DAP menafikannya dan menyatakan hudud tidak termasuk dalam manifesto pakatan pembangkang.
''Pas seharusnya menghormati dan menerima pandangan yang dikemukakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dalam pelaksanaan hukum untuk dijadikan panduan hukum agama Islam sejak sekian lama," kata Muhyiddin.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, slogan Pas 'Bangun Bersama Islam' adalah tidak relevan dengan tindakan mereka terutama selepas menang dalam pilihan raya lepas.
''Jika benar Pas ingin bangun bersama Islam, kenapa tidak mempraktikkan hukum hudud terutama di lima buah negeri yang dikuasai pakatan pembangkang," kata beliau.
Menurut Mohd. Ali, contoh yang paling mudah dalam melihat ketelusan Pas ini ialah semasa pengakuan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjalinkan hubungan seks dengan bukan muhrim di Perak beberapa bulan lepas.
''Kenapa Pas mendiamkan diri tanpa mengambil apa-apa tindakan khususnya melaksanakan hukum hudud ke atas individu tersebut yang secara terang mengaku berzina, apatah lagi Menteri Besar Perak adalah orang Pas sendiri," katanya.
Malah, menurut beliau, tindakan DAP membidas keras niat Pas untuk melaksanakan hukum hudud, jelas menunjukkan tiada kesepakatan di kalangan anggota pakatan pembangkang yang nyata mempunyai perbezaan ideologi.
''Pembohongan yang nyata daripada Pas kepada rakyat khususnya di Kuala Terengganu, kerana cita-cita Pas itu tidak akan terlaksana selagi tidak mendapat restu daripada seluruh anggota pakatan pembangkang," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar meminta Pas bangun daripada tidur yang lena kerana ada sebahagian sekutunya dalam pakatan pembangkang secara terang-terangan menentang ideologi hukum hudud tersebut.
''Kita hairan bagaimana pemimpin Pas boleh merelakan parti mereka dieksploitasi untuk melemahkan perpaduan umat Islam di negara kita sendiri," katanya.
Menurut Syed Hamid, selepas pilihan raya umum yang lepas, Pas tidak pernah menimbulkan isu hudud ini sehingga sekarang hanya selepas pengumuman pilihan raya kecil di Kuala Terengganu.
''Ini jelas menunjukkan perjuangan pemimpin Pas dilihat lebih kepada kepentingan politik, tidak ikhlas dan tidak mempunyai pendirian dalam menjadikan Islam sebagai tunjang perjuangan parti tersebut.
''Orang ramai khususnya orang Melayu dan umat Islam perlu menyedari akan hakikat ini dan sudah sampai masanya untuk kita mencari kesepakatan dalam menilai tindakan dan kewajaran janji-janji parti tersebut," katanya.
- Utusan, 24/12/08.

Tiada ulasan: