28 Mei 2009

'Ayah saya diseksa sebelum disembelih'

[UTUSAN - 28/05/09]
BANGI 27 Mei - "Ayah dan bapa saudara saya diikat dengan tali antara satu sama lain, mereka diseksa, seluruh tubuh ditetak dan ditakik-takik sebelum leher kedua-duanya disembelih.
"Semasa ditemui, mayat kedua-duanya hanya tinggal rangka dan tulang, bercampur antara satu sama lain tanpa kepala, amat jelas kesan takikan bertubi-tubi seperti sebatang pokok kayu yang ditakik-takik bagi dikeluarkan getahnya."
Demikian cerita Profesor Dr. Amat Juhari Moain, bekas Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berkata, jenazah bapanya, Moain Saridin @ Shahidin dan Hassan Akasah yang dibunuh dengan penuh kejam tanpa perikemanusiaan oleh komunis itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat Johor.
Mengimbas kejadian menyayat hati yang berlaku pada akhir Jun 1945 tetapi masih lagi segar di ingatan seolah-olah baru berlaku semalam, Amat Juhari, 69, berkata, semasa dia dan bapanya mandi di tepi Sungai Dulang pada waktu petang, mereka didatangi beberapa penduduk yang meminta bantuan.
Menurut beliau, arwah ayahnya, seorang ketua kampung, dimaklumkan mengenai penangkapan seorang alim yang dikenali dengan nama Wak Sulaiman oleh sekumpulan komunis.
"Adalah menjadi tanggungjawab arwah ayah untuk membantu anak buahnya, lantas dia yang berselempang kain merah segera bergegas ke kawasan hutan di pinggir kampung, kawasan yang menjadi persembunyian komunis itu dengan ditemani oleh Hassan.
"Sehingga lewat tengah malam ayah, Hassan dan Wak Sulaiman masih tidak pulang dan selepas beberapa minggu, langsung tiada berita mengenai mereka bertiga, sama ada hidup atau mati.
"Pada malam yang sama terdapat seorang Cina bersenjata mundar-mandir di kawasan rumah kami, seperti tidak membenarkan kami keluar mendapatkan bantuan.
"Keadaan itu berlarutan sehingga beberapa minggu menyebabkan kami sekeluarga menjelang malam terpaksa menyorok di kawasan pokok buluh berhampiran bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beberapa minggu selepas itu apabila keadaan telah menjadi aman, penduduk kampung mula berani keluar rumah untuk mengerjakan kebun masing-masing dan ketika itulah mayat Moain dan Hassan ditemui di bahagian hutan.
Sementara itu, Amat Juhari berkata, pada akhir Mei tahun sama, sebelum kejadian itu berlaku, sekumpulan kira-kira 20 komunis yang lengkap bersenjata mengunjungi bapanya di rumah bagi mempelawa dan meyakinkan arwah supaya menyertai kumpulan haram mereka, tetapi telah ditolak.
Tambah beliau, kekejaman komunis tidak hanya terhenti di situ malah ramai lagi penduduk kampung yang berpengaruh seperti penghulu, orang alim dan pendekar dibunuh kerana enggan memberikan sokongan dan kerjasama kepada mereka.
"Saya masih ingat lagi kejadian di Kampung Sungai Tongkang berhampiran kampung kami apabila komunis menyerang rumah penghulu, mereka tembak bertubi-tubi sebelum dibakar menyebabkan kira-kira 30 orang yang berlindung di rumah berkenaan mati," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, arwah bapanya sebenarnya telah menghidu lebih awal kegiatan komunis di negara ini apabila mendapat maklumat melalui pembacaan dalam Utusan Melayu dan Utusan Zaman yang dilanggan terus daripada Singapura pada masa itu.
#

Tidak! Chin Peng

[UTUSAN - 28/05/09]
Oleh ZULKIFLI JALIL dan ZABRY MOHAMAD pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 27 Mei - Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, kepulangannya jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara 1948 hingga 1960.
''Kerajaan tidak benarkan Chin Peng balik ke negara ini sebab ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada mereka yang terkorban dan ahli-ahli keluarga mereka yang telah terkorban dalam waktu darurat dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara di pejabatnya di sini hari ini.
Perdana Menteri mengulas permintaan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan baru-baru ini agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM itu pulang ke Malaysia.
Hock Nan membuat permintaan itu atas alasan kemanusiaan di samping mendakwa Chin Peng bukan lagi ancaman keselamatan kepada negara.
Kenyataan pemimpin Gerakan itu mendapat bantahan keras daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berasakan permintaan tersebut tidak tepat.
Kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan PKM diketuai Chin Peng semasa era keganasan kumpulan pengganas itu antara 1948 sehingga mereka meletakkan senjata pada 1989.
#

24 Mei 2009

'Kalau menang belah dia tidak apa'

[UTUSAN - 24/05/09]
IPOH 23 Mei - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) hari ini membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Beliau berkata, mereka sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan masalah apabila keputusan itu tidak memihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.
''Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang," katanya ketika dihubungi semasa berada di Mekah, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selama tiga hari mulai Selasa hingga Khamis depan bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.
Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".
Zambry pula semasa diminta mengulas rancangan pembangkang itu berkata, biarlah rakyat menilai sendiri sikap mereka.
#

23 Mei 2009

Raja Petra, isteri gagal hadir

[UTUSAN - 23/05/09]
Oleh SUWARNI MOKHTAR pengarang@utusan.com.my
PETALING JAYA 22 Mei - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Julai ini sebutan semula waran tangkap terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang gagal hadir buat kali kedua hari ini.
Raja Petra sepatutnya hadir di mahkamah bagi menghadapi perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan.
Penjamin tertuduh iaitu isterinya, Marina Lee Abdullah yang turut dikenakan surat tunjuk sebab juga tidak hadir pada prosiding hari ini yang disebut di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Terdahulu, peguam bela Raja Petra, J. Chandra memohon tiada tarikh akhir (sine die) ditetapkan sehingga waran tangkap dapat disempurnakan.
Aslam bagaimanapun menolak permohonan tersebut dengan alasan ia sepatutnya dikemukakan kepada Hakim Rozina Ayob yang mendengar perbicaraan kes tersebut.
Pada 23 April lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap dan notis kepada Raja Petra serta isterinya kerana gagal hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan yang dihadapinya.
Mahkamah pada prosiding yang lalu sepatutnya mendengar sambungan perbicaraan kes Raja Petra yang dituduh menerbitkan satu artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://www.MalaysiaToday.com.
Raja Petra yang merupakan pengendali blog pertama didakwa atas kesalahan seumpama itu dituduh melakukannya di alamat No. 5, Jalan BPR5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini pada 25 April tahun lalu.
Alasan yang diberikan oleh tertuduh kerana tidak menghadirkan diri ialah dia telah meletakkan dirinya dalam buangan dan tidak boleh menjejakkan kaki di Selangor kerana mendakwa telah menderhaka kepada keturunan diraja Selangor.
Alasan itu bagaimanapun disampaikan melalui laman webnya.
#

20 Mei 2009

Anak Raja Petra mengaku bersalah empat tuduhan mencuri

SHAH ALAM 19 Mei - Anak kedua editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta melakukan pecah rumah.
Raja Azman Raja Petra, (gambar) 33, yang beralamat di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini membuat pengakuan tersebut ketika dia didakwa di hadapan Majistret Norkamilah Aziz.
Sepanjang berada di mahkamah, Raja Azman kelihatan ceria meskipun tiada seorang ahli keluarganya hadir.
Dengan tangan bergari, tertuduh tiba di mahkamah pada pukul 11.40 pagi dengan memakai jersi nombor tiga berwarna hitam bertulis Russia.
Menurut kertas pertuduhan, Raja Azman didakwa mencuri sebuah motosikal Yamaha RXZ nombor pendaftaran BJQ 9597 bernilai RM8,000 milik seorang operator, Mohd. Syaiful Setapa, 24, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mac lalu, di Seksyen 19 di sini.
Tertuduh juga mengaku telah memecah masuk ke dalam rumah Mohd. Syaiful di No. 65, Jalan Batas 2, 19/6B, Seksyen 19 dan mencuri beg duit berisi wang tunai RM20, cukai jalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) Maybank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) serta lesen memandu milik mangsa.
Raja Azman didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dia turut mengaku mencuri sebuah telefon bimbit Nokia dan jam tangan Seiko serta serangkai kunci motosikal yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM3,850 dari sebuah kediaman milik seorang pelajar, Saipul Adli Mohamad Yunus, 21.
Tertuduh mengaku melakukan perbuatan itu pada pukul 10 pagi, 24 April lalu di No. 16, Jalan Sastera U2/1K, Seksyen U2 di sini.
Bagi kesalahan itu, Raja Azman didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dia juga mengaku atas tuduhan pilihan iaitu memiliki sebuah motosikal Yamaha 135LC bernombor pendaftaran NBT 7332 bernilai RM6,000 milik penuntut, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23.
Raja Azman didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10.40 malam, 5 Mei lalu di depan rumah No.3 Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong, Petaling Jaya.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan membolehkan tertuduh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum penjara lima tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 19 Jun ini, Norkamilah membenarkan Raja Azman diikat jamin berjumlah RM10,500 bagi kesemua pertuduhan.
Tertuduh dihantar ke Penjara Sungai Buloh lewat petang ini kerana tiada ahli keluarganya hadir untuk mengemukakan wang jaminan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.
Berdasarkan carian menerusi laman web Wikipedia di Internet, Raja Petra yang dilahirkan pada 27 September 1950, telah berkahwin dengan Marina Lee Abdullah pada 14 April 1973.
Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan lima orang anak iaitu Raja Suraya, 35; Raja Azman; Raja Shahril, 31; Raja Azmir, 26 dan Raja Sara, 21.
#

7 Mei 2009

Speaker atau Gembala Lembu!

Sivakumar halau ADUN BN, Bebas keluar dewan
[UTUSAN - 07/05/2009 10:14am]
IPOH 7 Mei - Sidang Dewan Undangan Negeri Perak kecoh apabila Speaker, V. Sivakumar menghalau tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dan tiga ADUN Bebas keluar dewan.
Arahan itu dibuat sebelum sidang tersebut dimulakan.
Sivakumar berkata, dewan tidak akan dibenarkan bersidang selagi 10 ADUN tersebut tidak keluar dari dewan berkenaan.
#

Hanya pengembala lembu saja main halau-halau ni.

1 Mei 2009

Ulama Pas dibidas tak faham konsep sebenar kepimpinan ulama

[BERITA - 01/05/09]
RANTAU PANJANG: Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun hari ini membidas sesetengah pemimpin ulama yang tidak memahami konsep sebenar kepimpinan ulama bagi mewujudkan barisan kepimpinan yang mantap.
"Kepimpinan ulama yang sebenarnya ialah kombinasi antara kalangan ulama dengan profesional bagi memantapkan masa depan parti," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamad Daud yang mahukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas diberi kepada golongan ulama bagi memastikan kesinambungan masa depan parti.
Beliau berpendapat, saranan Mohamad itu tidak berbangkit kerana kombinasi antara dua golongan itu penting jika Pas mahu terus diterima oleh semua peringkat pengikut sepanjang masa.
Sehubungan itu beliau mahu pemimpin terbabit diberi pendedahan mengenai konsep itu seperti yang diputuskan oleh Dewan Pemuda Pas.
"Saya bimbang jika konsep kepimpinan ulama ini tidak difahami, sesetengah ahli Pas mahu Pas hanya dimonopoli oleh golongan ulama," katanya di sini, hari ini.
Semalam Mohamad dilaporkan berkata, kepimpinan tertinggi Pas perlu diterajui golongan ulama.
"Orang nombor satu (presiden) dan nombor dua (timbalan presiden) mesti ulama. Sebab kalau orang nombor satu ada tugasan lain, seperti cuti, sakit dan sebagainya, tugasnya mesti diambil oleh orang nombor dua," kata Mohamad.
#