20 Mei 2009

Anak Raja Petra mengaku bersalah empat tuduhan mencuri

SHAH ALAM 19 Mei - Anak kedua editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta melakukan pecah rumah.
Raja Azman Raja Petra, (gambar) 33, yang beralamat di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini membuat pengakuan tersebut ketika dia didakwa di hadapan Majistret Norkamilah Aziz.
Sepanjang berada di mahkamah, Raja Azman kelihatan ceria meskipun tiada seorang ahli keluarganya hadir.
Dengan tangan bergari, tertuduh tiba di mahkamah pada pukul 11.40 pagi dengan memakai jersi nombor tiga berwarna hitam bertulis Russia.
Menurut kertas pertuduhan, Raja Azman didakwa mencuri sebuah motosikal Yamaha RXZ nombor pendaftaran BJQ 9597 bernilai RM8,000 milik seorang operator, Mohd. Syaiful Setapa, 24, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mac lalu, di Seksyen 19 di sini.
Tertuduh juga mengaku telah memecah masuk ke dalam rumah Mohd. Syaiful di No. 65, Jalan Batas 2, 19/6B, Seksyen 19 dan mencuri beg duit berisi wang tunai RM20, cukai jalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) Maybank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) serta lesen memandu milik mangsa.
Raja Azman didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dia turut mengaku mencuri sebuah telefon bimbit Nokia dan jam tangan Seiko serta serangkai kunci motosikal yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM3,850 dari sebuah kediaman milik seorang pelajar, Saipul Adli Mohamad Yunus, 21.
Tertuduh mengaku melakukan perbuatan itu pada pukul 10 pagi, 24 April lalu di No. 16, Jalan Sastera U2/1K, Seksyen U2 di sini.
Bagi kesalahan itu, Raja Azman didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dia juga mengaku atas tuduhan pilihan iaitu memiliki sebuah motosikal Yamaha 135LC bernombor pendaftaran NBT 7332 bernilai RM6,000 milik penuntut, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23.
Raja Azman didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10.40 malam, 5 Mei lalu di depan rumah No.3 Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong, Petaling Jaya.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan membolehkan tertuduh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum penjara lima tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 19 Jun ini, Norkamilah membenarkan Raja Azman diikat jamin berjumlah RM10,500 bagi kesemua pertuduhan.
Tertuduh dihantar ke Penjara Sungai Buloh lewat petang ini kerana tiada ahli keluarganya hadir untuk mengemukakan wang jaminan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.
Berdasarkan carian menerusi laman web Wikipedia di Internet, Raja Petra yang dilahirkan pada 27 September 1950, telah berkahwin dengan Marina Lee Abdullah pada 14 April 1973.
Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan lima orang anak iaitu Raja Suraya, 35; Raja Azman; Raja Shahril, 31; Raja Azmir, 26 dan Raja Sara, 21.
#

Tiada ulasan: