23 Mei 2009

Raja Petra, isteri gagal hadir

[UTUSAN - 23/05/09]
Oleh SUWARNI MOKHTAR pengarang@utusan.com.my
PETALING JAYA 22 Mei - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Julai ini sebutan semula waran tangkap terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang gagal hadir buat kali kedua hari ini.
Raja Petra sepatutnya hadir di mahkamah bagi menghadapi perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan.
Penjamin tertuduh iaitu isterinya, Marina Lee Abdullah yang turut dikenakan surat tunjuk sebab juga tidak hadir pada prosiding hari ini yang disebut di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Terdahulu, peguam bela Raja Petra, J. Chandra memohon tiada tarikh akhir (sine die) ditetapkan sehingga waran tangkap dapat disempurnakan.
Aslam bagaimanapun menolak permohonan tersebut dengan alasan ia sepatutnya dikemukakan kepada Hakim Rozina Ayob yang mendengar perbicaraan kes tersebut.
Pada 23 April lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap dan notis kepada Raja Petra serta isterinya kerana gagal hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan yang dihadapinya.
Mahkamah pada prosiding yang lalu sepatutnya mendengar sambungan perbicaraan kes Raja Petra yang dituduh menerbitkan satu artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://www.MalaysiaToday.com.
Raja Petra yang merupakan pengendali blog pertama didakwa atas kesalahan seumpama itu dituduh melakukannya di alamat No. 5, Jalan BPR5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini pada 25 April tahun lalu.
Alasan yang diberikan oleh tertuduh kerana tidak menghadirkan diri ialah dia telah meletakkan dirinya dalam buangan dan tidak boleh menjejakkan kaki di Selangor kerana mendakwa telah menderhaka kepada keturunan diraja Selangor.
Alasan itu bagaimanapun disampaikan melalui laman webnya.
#

Tiada ulasan: