16 Disember 2008

Terengganu tubuh TIA jana ekonomi mapan

Oleh Azman Zakariaazmanz@bharian.com.my
Langkah jamin pembangunan negeri secara berterusanKUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu akan menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion untuk menjana pertumbuhan ekonomi mapan serta menjamin pembangunan negeri secara berterusan.
Penubuhan TIA itu juga dibuat sebagai sebahagian usaha untuk memastikan pendapatan negeri berkenaan mencukupi untuk menjana pembangunan bagi generasi akan datang terutama apabila negeri itu kehabisan sumber minyak dan gas.Menurut sumber, cadangan mewujudkan TIA yang diilhamkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat baru-baru ini, diluluskan sebulat suara oleh mesyuarat Exco negeri, kelmarin.
TIA akan beroperasi sebagai satu ‘dana kekayaan’ (sovereign wealth fund) bagi Terengganu bertujuan mengurus pelaburan negeri bagi menghasilkan pulangan jangka panjang dari segi ekonomi kepada rakyat negeri itu dan Malaysia amnya.
Sumber itu berkata, dana RM10 bilion itu akan diperoleh daripada pasaran kewangan tempatan dan luar negara dengan cadangan supaya Kerajaan Pusat menye-diakan jaminan sebanyak RM5 bilion serta memberi status bebas cukai kepada TIA.“
Permohonan bagi jaminan kerajaan sebanyak RM5 bilion dan taraf bebas cukai masih dipertimbangkan Kerajaan Pusat. Dana itu akan dijamin bersandarkan kepada sebahagian daripada pendapatan minyak masa depan Terengganu, katanya. Terengganu mempunyai 1.1 juta penduduk dengan tahap miskin tegar antara tertinggi di Malaysia, iaitu 6.5 peratus.
Sumber itu berkata, sebagai langkah mencapai pembangunan lestari jangka panjang, TIA juga akan terus melabur modal, simpanan dan keuntungannya untuk menjana kadar pertumbuhan yang tinggi manakala dividen akan diumumkan kepada kerajaan negeri. Pengurusan serta pelaburan sumber kewangan TIA akan dilaksanakan pada peringkat tempatan dan antarabangsa untuk memastikan pendapatan berterusan untuk jangka panjang bagi Terengganu serta memberi faedah khususnya, generasi akan datang.
Untuk itu, katanya, kerajaan negeri akan mengkhususkan sebahagian besar daripada royalti minyak dan gas kepada TIA untuk pembangunan ekonomi jangka panjang Terengganu.
Menurut sumber itu, Seri Paduka akan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat TIA, yang akan turut dianggotai Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said manakala barisan Lembaga Pengarahnya akan mengambil kira tokoh dengan kelulusan bersesuaian, personaliti di kalangan profesional, mempu-nyai integriti tinggi serta pengalaman pada peringkat antarabangsa.
- BH

Tiada ulasan: