16 Disember 2008

Terengganu terima royalti RM6.218b dalam tempoh 8 tahun

14/12/2008 6:54pm
KUALA TERENGANU 14 Dis. — Kerajaan Terengganu menerima wang royalti minyak secara langsung daripada kerajaan Pusat sejak 2000, berjumlah RM6.218 bilion, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.
Beliau berkata jumlah itu, termasuk RM408.6 juta yang dibayar pada majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan di sini, semalam.
“(Bagaimanapun), pada masa ini, kerajaan Terengganu sedang menunggu senarai penuh perbelanjaan digunakan oleh kerajaan Pusat, yang melibatkan wang royalti minyak itu,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) yang ingin tahu jumlah wang royalti minyak yang diterima kerajaan Terengganu dari 2000 hingga 2008, pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12, di sini hari ini.
Ahmad berkata setakat ini, Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain.
Beliau berkata RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain.
“Jumlah keseluruhan wang yang digunakan ini adalah sebanyak RM1.5 bilion.
Wang ini akan dituntut kembali kerana beberapa senarai lain yang kita kehendaki masih belum disahkan oleh Kementerian Kewangan.
“Insya-Allah, setelah kita mendapat senarai lengkap ini, rundingan terakhir dengan kerajaan Pusat untuk menuntut kembali hak kita, iaitu baki yang ada dapat dilaksanakan,” katanya.
Ahmad berkata kerajaan Pusat telah bersetuju menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dan rundingan untuk menyelesaikan beberapa perkara masih dijalankan.
“Sebab itu, sehingga kini kita belum menarik balik saman kerajaan Terengganu terhadap kerajaan Pusat,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Harun Taib (PAS-Manir), yang ingin tahu kenapa wang royalti itu disimpan kerajaan Pusat.
Saman terhadap kerajaan Pusat berhubung isu wang royalti tersebut difailkan di mahkamah oleh PAS pada 2000 ketika memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.
— BERNAMA, 14/12/08.

Tiada ulasan: