19 Disember 2008

Perlu adil, bijak semasa tulis blog: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan blog untuk memperlekehkan orang lain tetapi perlu bijak dan adil semasa menulis.
Beliau berkata oleh kerana penulisan dalam blog tidak boleh ditapis, jika digunakan dengan tidak bertanggungjawab, ia boleh menyinggung perasaan orang.
“Blog memberikan anda peluang untuk menyatakan sesuatu dengan menggunakan perkataan anda sendiri dan anda dapat memperbaikinya dari semasa ke semasa apabila anda berulang kali menulis, anda akan lebih mahir.
“Pada pandangan saya, menulis blog dalam Internet adalah satu peluang untuk orang belajar bagaimana untuk menulis,” katanya.
Dr Mahathir menandatangani buku terbaru beliau yang dihasilkan berdasarkan blog beliau bertajuk ’Chedet.com - Blogging to Unblock” dan biografi bergambar bertajuk “Mahathir Mohamad: An Illustrated Biography” di sini hari ini.
Beliau menandatangani kira-kira 100 buku berkenaan pada majlis itu.Hampir 9,000 naskhah ’Chedet.com - Blogging to Unblock’ dicetak setakat ini dengan dua cetakan baru, sejak dilancarkan pada 17 September. Buku itu berharga RM25 senaskhah.Chedet.com - Blogging to Unblock, antara lain menyentuh mengenai badan kehakiman dan pentadbiran kerajaan sekarang dan ruangan coretan.
Ditanya sama ada media elektronik akan mengatasi media cetak daripada segi kepentingan, Dr Mahathir berkata ia bergantung kepada kemahiran menulis seseorang dan isi kandungannya.
“Jika anda tulis perkara yang karut dan tiada asas, tiada siapa yang mahu membacanya,” katanya.
Mengenai memoir beliau, bekas perdana memberitahu hadirin pada majlis itu yang beliau telah cuba menyiapkannya sejak enam tahun lalu, tetapi setiap kali beliau fikir ia telah siap, beliau berasa tidak puas hati dan berterusan membuat pembetulan.“Jurutaip saya sudah berasa amat letih sekarang ni.
Jadi, jujurnya saya tidak tahu bila ia akan keluar,” katanya.
- Bernama, 18/12/08

Tiada ulasan: