20 Disember 2008

Pegawai negeri suarakan bantahan di kain rentang

Oleh Baharom Bakarbhkt@bharian.com.my
Rombakan besar-besaran 1 Januari cetus rasa tak puas hati
KUALA TERENGGANU: Rombakan besar-besaran pegawai tadbir kerajaan negeri berkuat kuasa 1 Januari ini kurang disenangi dan mendapat bantahan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri berdasarkan sepanduk yang dipasang di beberapa tempat sekitar bandar raya termasuk di hadapan Wisma Darul Iman, semalam.
Perasaan tidak puas hati kerana pertukaran 61 pegawai tertinggi itu diterjemahan pihak tertentu menerusi pemasangan sepanduk yang tertera dengan pelbagai perkataan menghentam kepemimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Antara perkataan ditulis pada kain sepanduk berkenaan ialah ‘Rombakan Besar-besaran TCS Kerajaan negeri, 1 Januari 2009. Siapa sebenarnya mentadbir Terengganu sekarang?, Mat Said (Menteri Besar) atau Wan Ahmad Wan Muda (merujuk kepada Setiausaha sulit kanan Menteri Besar) atau sepupunya, Wan Lutfi (Wan Mohamad Lotfi Wan Ismail) ataupun Husin Botak (Husain Embong, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri).
Perkataan lain yang ditulis pada kain rentang itu ialah ‘Satu kezaliman, pegawai senior diberi jawatan junior dan pegawai junior diberi sebaliknya, suatu penghinaan terhadap TCS, umpama tikus membaiki labu, Mat Said (Ahmad) menghancurkan Terengganu dan tolak BN (Barisan Nasional) serta doa orang teraniaya.
Seorang pegawai kerajaan yang terbabit dengan pertukaran dan enggan namanya disiarkan berkata, sebagai seorang kakitangan awam, tidak sepatutnya bantahan melalui sepanduk itu dipasang di sekitar bandar raya ini.
Katanya, sebagai seorang pegawai dan kakitangan awam, kerja untuk rakyat hendaklah diutamakan walaupun di mana saja diarahkan bertugas.
"Walaupun turut terkilan kerana kita juga turut terbabit dengan pertukaran itu, tetapi selepas memikirkan peranan berkhidmat untuk rakyat, kita sebagai pegawai dan kakitangan awam perlu akur.
"Kita tidak tahu siapa pasang sepanduk itu, tetapi berkemungkinan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan sempena pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan.
"Jika diteliti tulisan pada sepanduk itu, kita akui ada kebenarannya kerana sebahagian daripada yang terbabit dalam rombakan pertukaran itu adalah pegawai senior tetapi diberi jawatan yang lebih junior," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kain sepanduk bantahan itu dipasang di tiga kawasan sekitar bandar raya iaitu berhampiran Perpustakaan Awam negeri, simpang empat lampu isyarat Kuala Ibai dan di hadapan Wisma Darul Iman, tetapi sudah dibuang tengah hari semalam.
- BH, 20/12/08.

Tiada ulasan: