14 Disember 2008

Fokus Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu

Najib umum calon Barisan Nasional minggu depan

KUALA TERENGGANU 13 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu minggu depan.
Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan tanggungjawab untuk mengumumkan calon pada pilihan raya kecil itu kepada beliau.
"Saya sudah diberikan mandat untuk mengumumkan nama calon berkenaan namun saya tidak mahu menyebut soal calon kerana agenda hari ini ialah mengenai jentera pilihan raya.
"Saya mungkin mengumumkan nama calon BN minggu depan," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Pemukiman UMNO Terengganu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya P036 Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri dijangka menghadiri satu majlis di sini pada minggu depan.
Najib berharap semua peringkat ahli UMNO dan BN terus memberi sokongan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN.
"Sesiapa saja yang akan jadi calon tak penting tapi yang penting beliau mempunyai sikap dan sifat yang disenangi pengundi seperti merendah diri, tidak sombong dan mesra rakyat," ujarnya.
Beliau menambah, pengundi adalah perkara yang paling penting dan harus diberi keutamaan melebihi perkara-perkara lain dalam pilihan raya umum atau kecil.
"Kita mesti faham dalam masa pilihan raya yang lebih penting bukanlah jentera UMNO, ketua cawangan dan ahli jawatankuasa cawangan, tetapi pengundi yang paling penting kerana mereka adalah 'raja' semasa pilihan raya," jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, kesemua peringkat ahli UMNO juga perlu mempunyai keinginan dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menang dalam pilihan raya kecil itu dan bukan sekadar meluahkannya melalui kata-kata.
"Semua mahu menang, siapa hendak kalah tetapi kadang-kadang kita luahkan saja UMNO akan menang atau saya nak menang tetapi amalan, perbuatan dan tingkah laku kita tak mencerminkan orang yang nak menang pilihan raya," katanya.
-Utusan, 14/12/08.

Tiada ulasan: