10 Disember 2008

UMNO Kuala Terengganu serah nama calon kepada UMNO Perhubungan

10/12/2008 7:00pm
KUALA TERENGGANU 10 Dis. — Badan Perhubungan UMNO negeri akan bermesyuarat malam esok untuk membincangkan senarai calon yang difikirkan layak untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, nama calon terbabit telah diputuskan pada mesyuarat khas tertutup anggota jawatankuasa UMNO bahagian itu malam semalam yang turut dihadiri pemimpin semua sayap parti Pemuda, Wanita dan Puteri.
Ditanya sama ada calon terbabit merupakan pilihan UMNO cawangan, beliau berkata “bukan semua cawangan... tetapi ikut perlembagaan parti bahagian diminta cadangkan nama calon kepada perhubungan dan bahagian telah buat ketetapan.
Ketetapan itu akan saya panjangkan kepada perhubungan untuk buat pertimbangan secepat mungkin.”
Beliau juga enggan mendedahkan senarai nama calon yang dipilih dan jumlah nama yang dikemukakan dengan alasan tidak mahu mendahului Badan Perhubungan UMNO negeri yang dijangka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara itu esok.
Katanya, UMNO bahagian akan mencadangkan kepada UMNO perhubungan negeri supaya mengumumkan nama calon lebih awal untuk mengelakkan spekulasi di kalangan media dan sekali gus akan memudahkan jentera parti menumpukan perhatian menghadapi pilihan raya kecil itu.
- Bernama, 10/12/08.

Tiada ulasan: