25 Disember 2008

Wan Ahmad Farid ikrar bawa kemenangan selesa

KUALA TERENGGANU 20 Dis. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh (gambar) berikrar akan memastikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 17 Januari ini.
Wan Ahmad Farid yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, beliau akan membalas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan BN di atas pemilihannya sebagai calon parti itu dengan kemenangan majoriti luar biasa.
''Insya-Allah dengan bantuan rakan-rakan daripada seluruh parti komponen BN, saya yakin kita akan menang dengan selesa dalam pilihan raya kecil ini malah mencapai majoriti luar biasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman Calon P036 Kuala Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediaman rasmi Menteri Besar, Sri Iman di Batu Burok di sini hari ini.
Wan Ahmad Farid yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu melahirkan rasa terkejut dengan pemilihannya itu kerana tidak pernah dimaklumkan atau diberi petunjuk oleh kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO dan BN berkenaan.
''Antara Sabtu lepas sehingga hari ini, adalah minggu paling lama dalam hidup saya. Dua hari lalu, saya menghantar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke lapangan terbang untuk lawatan kerja ke Iran dan saya dimaklumkan Najib akan mengumumkan nama calon yang diputuskan oleh mereka berdua.
''Bagaimanapun, Najib tidak memaklumkan saya berhubung keputusan tersebut sehinggalah beliau mengumumkan nama calon hari ini," katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua pucuk pimpinan kerana memberikan kepercayaan kepadanya.
''Saya juga ingin mengucap terima kasih di atas keyakinan yang diberikan oleh 103 UMNO cawangan Kuala Terengganu, pemimpin-pemimpin sayap UMNO dan parti komponen BN," katanya.
Wan Ahmad Farid berkata, inilah masanya untuk UMNO dan BN mengetepikan kepentingan diri serta menunjukkan parti itu akan tetap bersama rakyat mentadbir negara ke arah kemajuan dan kecemerlangan.
- Utusan, 21/12/08.

Tiada ulasan: