25 Disember 2008

Pemimpin BN sifatkan pemilihan tepat

Wan Ahmad Farid... diperkenalkan oleh Timbalan Presiden UMNO - Datuk Seri Najid.
*****
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyifatkan pemilihan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari nanti sebagai keputusan tepat.
Menurut mereka, Wan Ahmad Farid mempunyai ketokohan sebagai seorang pemimpin di peringkat tempatan mahu pun nasional yang menjadi perkara penting untuk menyaingi bakal calon pakatan pembangkang.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, secara peribadi, beliau memang merasakan bahawa Wan Ahmad Farid adalah calon paling sesuai bagi mewakili BN.
Katanya, ini memandangkan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu mempunyai rekod kerja yang cemerlang termasuk dalam menjalankan tugasnya sebagai anggota kerajaan.
''Beliau bukan sahaja faham masalah tempatan tetapi turut mempunyai kewibawaan untuk diketengahkan di peringkat Pusat.
''Jadi, Wan Ahmad Farid akan dapat membawa pembaharuan untuk kawasan Kuala Terengganu dan seterusnya memberi sumbangan bermakna kepada negara juga,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan menyifatkan pemilihan Wan Ahmad Farid sebagai keputusan yang cukup baik dalam memastikan kejayaan BN mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Katanya, dengan reputasi beliau yang sangat baik khususnya sepanjang perkhidmatan dalam kerajaan, pengundi Kuala Terengganu pastinya boleh membuat penilaian terbaik.
''Saya rasa pengundi Kuala Terengganu mampu membuat keputusan bijaksana. Saya percaya beliau mampu menjadi wakil mereka,'' jelasnya.
Ahli Jawatan Kuasa Pusat Parti Gerakan, Senator A. Kohillan Pillay pula mengakui Wan Ahmad Farid sebagai calon terbaik di kalangan nama-nama yang disebut-sebut sebelum ini.
''Rekodnya sebagai timbalan menteri jelas membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjaya melaksanakan tugas dengan baik sekali.
''Malah, kita tengok stail kerja beliau juga cukup menyenangkan semua pihak. Jadi, saya percaya peluang BN amat cerah,'' ujarnya.
- Utusan, 21/12/08.

Tiada ulasan: