19 November 2008

Polemik Wanita selesai jika ikut pelan Presiden

PUTRAJAYA 18 Nov. - Polemik pelan peralihan kepimpinan Wanita UMNO hanya boleh selesai jika sayap kanan parti itu memberi takrifan yang tepat dan ikhlas bahawa pelan peralihan kuasa Presiden adalah satu proses parti yang harus dicontohi.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengakui realitinya tidak akan ada kesamarataan dari segi keinginan dan sikap seseorang yang menawarkan diri bertanding termasuk menyelitkan sentimen peribadi dalam aspek itu.
Namun, katanya, jika semua yang terlibat dalam polemik itu bersandarkan perjuangan yang ikhlas untuk faedah ahli Wanita akar umbi, jalan penyelesaian untuk keluar dari masalah itu masih tetap ada.
''Kita ahli UMNO selalu memberi takrifan apabila Presiden sudah berkorban untuk mempercepatkan peralihan kepimpinan, maka proses inilah yang harus diikuti baik oleh Pemuda, Wanita dan Puteri.
''Mungkin kepada (Tan Sri) Rafidah (Aziz), kita boleh bertanya kalau (pelan peralihan kepimpinan Wanita) dilanjutkan ke bulan Jun 2009, apa faedah yang boleh diterangkan sedangkan Presiden UMNO sendiri sanggup berkorban mempercepatkan peralihan dari Jun 2010 kepada Mac tahun depan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Polemik pelan peralihan kepimpinan Wanita UMNO hangat diperkatakan apabila mesyuarat Exco yang dipengerusikan Rafidah baru-baru ini tidak berganjak daripada pendirian untuk mengekalkan pelan asal yang dijadualkan pada Jun tahun depan.
Meskipun banyak cadangan supaya ia dipercepatkan tiga bulan lebih awal bagi membolehkan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menerajui sayap kanan itu dalam mandat yang penuh namun jalan penyelesaiannya tetap menemui jalan buntu.
Dalam aspek ini, Rais berkata, jalan penyelesaian terbaik ketika ini adalah merealisasikan pertemuan empat mata antara Rafidah dan Shahrizat.
''Kalau usaha rundingan ini juga tidak selesai dan tidak ada titik persetujuan, maka jalan keluar terakhir adalah pertandingan," katanya.
- Utusan, 19/11/08.

Tiada ulasan: