29 November 2008

Pemergian Razali satu kerugian: PM

KUALA LUMPUR: Kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail adalah satu kerugian kepada Umno dan kementerian berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata Razali adalah seorang yang berbakat dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik.Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berpengalaman luas dan anggota Parlimen yang berkaliber.
Katanya sebagai Timbalan Menteri, Razali juga arif dengan dasar kementerian yang dipimpinnya itu."Beliau telah menunjukkan satu prestasi yang baik sebagai seorang Timbalan Menteri, mampu memahami dasar-dasar kerajaan dengan baik.
"Saya memang pun sentiasa menaruh harapan yang satu hari dia akan jadi Menteri Pelajaran. Tapi apa boleh buat, Tuhan telah mentakdirkan dia meninggal dunia," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis makan malam Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia yang ke-29 di sini, hari ini.
Abdullah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.Katanya beliau terkejut apabila dimaklumkan dengan berita berkenaan.
"Saya terkejut apabila mendengar berita itu. Saya tidak pernah tahu bahawa beliau mempunyai apa-apa penyakit ataupun penyakit jantung," katanya.
Razali, 59, yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dekat sini kira-kira 6.30 petang, ketika sedang bermain badminton di institut itu.Razali meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.
- Bernama

Tiada ulasan: