29 September 2008

Sesiapa sahaja berhak bertanding - Muhyiddin

Oleh NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sesiapa sahaja yang merasakan mereka mempunyai kelayakan dan ingin terus memberi khidmat kepada UMNO berhak untuk menawarkan diri bertanding pada pemilihan tertinggi parti, Mac depan.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan prinsip demokrasi dalam parti, sesiapa sahaja boleh bertanding jika berlaku kekosongan jawatan termasuk peringkat tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan naib-naib presiden.
''Tidak kisah mereka yang akan bertanding hendak dipanggil apa. Jika layak, ia tidak menjadi apa-apa masalah dan bagi saya memang tentu ada (pertandingan).
''Tetapi eloklah kita tunggu dulu apa yang hendak diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama ada mempertahankan atau tidak jawatannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sinar Ramadan anjuran Yayasan Pendidikan Cheras di sini malam ini.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam bahawa calon-calon 'kuda hitam' atau nama-nama yang tidak disangka akan muncul menawarkan diri untuk merebut jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan akan datang.
Menurut Ahmad Shabery, kemunculan calon sedemikian akan bergantung kepada keputusan Abdullah sama ada mahu mempertahankan jawatannya atau tidak.
Muhyiddin berkata, individu yang bakal menawarkan diri itu harus meletakkan hasrat untuk membantu kepimpinan bagi mengukuhkan parti yang kini semua orang tahu berada dalam keadaan agak lemah.
''Bagaimana kita hendak memulihkan keyakinan ahli dan masyarakat serta membantu memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) serta memastikan pengundi terus memberi sokongan sampai pilihan raya akan datang," ujarnya.
Mengenai kenyataan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam bahawa beliau akan bertanding jawatan Presiden walaupun terpaksa melawan Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin berkata, itu adalah hak bekas Naib Presiden UMNO itu dan semua pihak harus menghormatinya.
''Terserah kepada ahli dan perwakilan di bahagian, sama ada hendak mencalonkan beliau atau tidak," katanya.
Ditanya dakwaan Tengku Razaleigh bahawa penangguhan pemilihan dan Perhimpunan Agung UMNO kepada Mac tahun depan telah melanggar perlembagaan parti, Muhyiddin berkata, ia adalah tidak benar.
''Mengikut perlembagaan, kuasa tertinggi ialah MT selain daripada Perhimpunan Agung. MT juga berhak untuk menetapkan tarikh mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung. Jadi saya tidak nampak macam mana dia kata melanggar perlembagaan.
''Kita juga sudah semak dengan penasihat undang-undang parti dan mendapati Mac itu adalah waktu yang terakhir tempoh 18 bulan yang dibenarkan untuk ditangguhkan perhimpunan,'' jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Shafie pula berkata, mengikut tradisi, MT mempunyai hak untuk menangguh atau melewatkan sedikit Perhimpunan Agung.
''Sebelum ini, MT pernah menangguhkan perhimpunan kerana pilihan raya umum bagi mengelak berlaku perpecahan di peringkat akar umbi.
''Kali ini asasnya ialah untuk mempermudah dan mempercepatkan peralihan kuasa yang lebih singkat daripada tempoh 2010,'' katanya.
- Utusan, 29-09-08.

Tiada ulasan: