13 September 2008

Tiga ditahan ISA

Oleh RAMLI ABDUL KARIM, UMAVATHI RAMAYAH dan TAN MING WAI
Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok (atas kiri), pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di kenakan tahanan ISA. Bawah: Tan Hoon Cheng (tengah) dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, malam tadi.
KUALA LUMPUR 12 Sept. – Tiga orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga tengah malam ini dalam satu operasi polis ke atas beberapa individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.
Mereka ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan.
Mengikut peruntukan itu, mereka boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan sebelum Menteri Dalam Negeri membuat keputusan sama ada penahanan itu perlu dilanjutkan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan ketiga-tiga mereka.
Menurut Ismail, penahanan di bawah ISA itu dibuat “untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan bagi membendung sebarang tindakan yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum dan persengketaan agama.”
Difahamkan, beberapa orang lagi akan ditahan di bawah akta yang sama dalam masa terdekat.
Teresa, 44, ditahan oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kereta peronda ketika Ahli Parlimen Seputeh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kinrara itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di ibu negara pukul 11.20 malam ini.
Penahanan ahli politik yang masih bujang itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan arahan melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid dan surau.
Wakil rakyat DAP itu dilaporkan turut cuba menghapuskan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan di ibu negara dan mencadangkannya digantikan dengan tulisan Cina serta Tamil.
Sebelum itu, pada pukul 8.40 malam, polis menahan Hoon Cheng mengikut akta yang sama di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Wartawan wanita itu yang dilihat menangis kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Mertajam untuk disoal siasat sebelum diiringi oleh pegawai polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Penahanan tersebut dipercayai ada kaitan dengan laporan wartawan itu dalam akhbar Sin Chew Daily yang memetik kenyataan kontroversi Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini yang mendakwa orang Cina Malaysia adalah pendatang di negara ini.
Hoon Cheng, 33, yang masih belum berkahwin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan telah berkhidmat dengan Sin Chew Daily sejak sembilan tahun lalu.
Dalam kes Hoon Cheng, laporan beliau itu menimbulkan kontroversi di seluruh negara yang akhirnya menyebabkan Ahmad digantung keahlian UMNO selama tiga tahun dalam satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO Rabu lalu.
Hari ini, akhbar Sin Chew Daily diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri berhubung isu yang sama. Tiga hari lalu, akhbar itu mempertahankan sepenuhnya Hoon Cheng.
Dua buah lagi akhbar, The Sun dan Suara Keadilan terbitan Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga diberi surat tunjuk sebab berhubung isu berasingan.
Terdahulu, pada pukul 1.10 petang ini, Raja Petra, 58, ditahan oleh sepasukan 10 anggota polis di rumahnya di Bukit Rahman Putra Sungai Buloh, Selangor.
Raja Petra ditahan di bawah ISA selepas polis berpuas hati bahawa beliau menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui laman web Malaysia Today.
Sepasukan polis yang diketuai oleh Asisten Supritendan Mohd. Yusof Chem turut merampas 15 keping cakera padat dipercayai mengandungi ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 16 naskhah buku.
Mereka dilihat meninggalkan rumah pengendali blog itu kira-kira pukul 1.50 petang.
Ismail dalam kenyataannya berhubung kes Raja Petra berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerusi pemantauannya berpuas hati bahawa pengendali laman blog itu telah melakukan tindakan-tindakan yang mencetuskan kegelisahan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Tangkapan ini terpaksa dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan beliau,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, polis menahan Raja Petra dan dua yang lain kerana tindakan-tindakan mereka yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Dalam kes Raja Petra, katanya, pengendali blog itu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyebabkan pertelingkahan dan permusuhan agama di negara ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Raja Petra sebelum ini pernah diberi teguran dan amaran oleh polis beberapa kali namun beliau langsung tidak menghiraukan teguran tersebut.
“Selepas melakukan pemantauan terhadap segala aktiviti beliau sejak kebelakangan ini, polis terpaksa menahan pengendali blog terbabit,” katanya.
Pada 5 Ogos lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama tiga lagi agensi Islam membuat laporan polis ke atas Raja Petra ekoran beberapa artikel dan komentar pembaca dalam blog itu yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah ketika ditemui di rumahnya memberitahu, penahanan Raja Petra memang sesuatu yang dijangkakan.
“Tapi saya langsung tidak menyangka dia (Raja Petra) akan ditahan di bawah ISA,” ujarnya.
Raja Petra sebelum ini pernah ditahan ISA pada 11 April 2001 kerana terbabit dalam gerakan reformasi menyokong Anwar Ibrahim. Ketika itu beliau merupakan web master laman FreeAnwar.com.
Beliau juga dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berkaitan Akta Hasutan.
- Utusan, 13-09-08.

Tiada ulasan: