29 September 2010

Risiko besar jika PKR memerintah negara

UM - 29/9/10

PUTRAJAYA 28 Sept. - Ramai percaya PKR yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meminda Perlembagaan Persekutuan dan negeri seandainya parti itu dan sekutunya dalam pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum akan datang.

Sambil secara sinis menyifatkan PKR memang berselera besar 'nak jadi kerajaan' dan sedia berbuat apa sahaja asalkan Anwar 'boleh jadi PM', Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) bagaimanapun mengingatkan semua pihak bahawa PKR sebenarnya langsung tidak pernah memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama.

Beliau menarik perhatian bahawa imej PKR sebagai sebuah parti kasar dari segi bahasa dan perbuatan sudah tertanam kuat dalam persepsi masyarakat Malaysia.

Malah, katanya, keadaan huru-hara dalam parti itu sekarang menokok lagi kepada imej buruk tersebut.

"Imej parti dinasti keluarga Anwar juga amat jelas. PKR memuja individu melalui dasar sosialis moden mereka. Demikian juga kerja memburukkan negara sendiri bukan perkara baru.

"Memburukkan negara sendiri di negara orang mencerminkan sahsiah keji dan lemah. Anwar fikir dia saja yang hebat manakala orang lain termasuk negara sendiri dianggap buruk," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais mengulas tindak tanduk Anwar yang memburuk-burukkan negara di Indonesia yang antaranya menyalahkan kerajaan sedia ada dan UMNO sebagai cuba menjejaskan hubungan Indonesia-Malaysia.

Ketua Pembangkang itu juga menyatakan kekecewaan terhadap media di Malaysia yang didakwanya bersikap berat sebelah dalam penerbitan berita mengenai Indonesia.

Anwar membangkitkan perkara itu ketika berucap pada majlis 'Reformasi Politik dan Demokrasi' di Malaysia, Menuju Persahabatan Setara Indonesia-Malaysia di Hotel Four Seasons di Setiabudi, Jakarta Selatan kelmarin.

Rais berkata, pendirian Anwar yang memburuk-burukkan Malaysia sedemikian rupa bukan sahaja akan menghancurkan negara tetapi juga melupuskan imejnya sebagai pemimpin ikhlas dan berpotensi.

"PKR bersedia menenggelamkan kepentingan Melayu dan bumiputera asalkan belaan sosialisnya berjalan dan Anwar jadi PM.

"Parti yang mengutamakan individu tak kekal," kata Rais.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: