30 September 2010

Kottapan dakwa Xavier upah gengster

UM - 30/9/10


S. KOTTAPAN menunjukkan bagaimana beliau dipukul sambil diperhatikan dua anaknya, Kavendran (kiri) dan Yukenthiran (kanan) yang turut cedera di sebuah hospital di Klang, semalam.


KLANG 29 Sept. - Ahli perniagaan, S. Kottapan tetap mempertahankan dakwaannya yang beliau ditumbuk dan ditendang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja, Ahad lalu.

Kottapan berkata, kejadian itu memang berlaku kerana Xavier berang dengan tindakannya mengoyakkan sehelai kertas undi sebagai membantah sesi pemilihan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Bukit Naga di sini.

Beliau yang mencabar Xavier untuk jawatan Ketua Cabang PKR Kota Raja mendakwa, sekumpulan samseng dipercayai diupah oleh wakil rakyat itu telah memukul dan mencederakannya semasa kekecohan selepas peristiwa mengoyakkan kertas undi itu berlaku.

Dakwanya, kumpulan samseng itu turut mencederakan dua anaknya, Kavendran, 20, dan Yukenthiran, 13, serta beberapa ahli PKR Cabang Kota Raja yang cuba membantunya semasa dipukul.

''Semasa sesi mengundi berjalan, saya dan beberapa rakan nampak berlaku beberapa perkara yang tidak kena dilakukan oleh wakil Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang nyata memihak kepada Xavier.

''Selesai sesi pengundian, saya pergi ke hadapan dewan untuk menghentikan pengagihan kertas undi dan mengoyakkan sehelai kertas undi sebagai tanda membantah dan meminta sesi pemilihan hari itu dibatalkan.

''Tiba-tiba Xavier meluru ke arah saya dan menumbuk muka saya di bahagian rahang kanan sebelum menendang beberapa kali dan apabila saya keluar dari dewan, sekumpulan samseng pula menyerang dengan topi keledar dan kerusi," katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini hari ini.

Turut bersama beliau ialah tiga anaknya iaitu Reymadan, 25, Kavendran, dan Yukenthiran serta beberapa ahli PKR Kota Raja.

Ujarnya, kecederaan itu menyebabkan dia dan anak-anaknya serta beberapa ahli PKR yang cedera termasuk peguam, V. Ayasamy, 40, menerima rawatan di hospital.

Menurut Kottapan, beliau telah pun membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Seksyen 15 Shah Alam dekat sini.

Beliau dengan itu meminta Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR mengadakan semula sesi pemilihan Cabang Kota Raja agar pengundian dapat dilakukan dengan adil.

Beliau juga mahu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pucuk pimpinan PKR menyiasat kejadian yang berlaku dan jika terbukti Xavier bersalah, pemimpin itu perlu dikenakan tindakan.

Kottapan juga tidak mahu keluarganya dan mereka yang secara terang-terangan tidak menyokong Xavier hidup dalam ketakutan kerana bimbang dipukul dan diapa-apakan.

Dakwanya, sehari selepas kejadian itu, anak sulungnya, Reymadan pula telah dipukul oleh samseng sehingga terpaksa dirawat di hospital.

''Jangan ada pemimpin yang hanya tahu mengata orang itu dan ini tetapi diri sendiri pun tidak betul dan menggunakan samseng untuk menang pemilihan.

''Pemimpin seperti ini tidak diperlukan dan hanya akan menjatuhkan imej parti," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: